Sudan: Perang memburukkan lagi keperluan kemanusiaan di Sudan Selatan yang berjiran
Pemandangan tempat perlindungan yang tidak menentu pada waktu matahari terbenam di Pusat Transit. Sudan Selatan, Mac 2024. © Kristen Poels/MSF
- Sudan Selatan merupakan salah satu negara paling terjejas akibat perang di Sudan dengan hampir 680,000 orang menyeberang tahun lalu. Bagaimanapun, di sebalik skala besar krisis ini, bantuan kemanusiaan masih sangat rendah
- Jangkaan peningkatan mereka yang kembali serta pelarian dari Sudan dijangka memburukkan lagi situasi ketidakamanan makanan akut dan keperluan penjagaan kesihatan dalam kalangan pendatang baharu serta komuniti tuan rumah
- Doctors Without Borders menyeru peningkatan besar-besaran dalam bantuan kemanusiaan di sempadan dan dalam negara
Peperangan berterusan di Sudan meningkatkan keperluan orang ramai secara drastik merentasi sempadan di Sudan Selatan, demikian dimaklumkan organisasi perubatan antarabangsa Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) hari ini. Doctors Without Borders menyeru peningkatan segera bantuan yang menyelamatkan nyawa untuk pelarian dan kelompok yang kembali selepas melarikan diri dari perang serta buat komuniti yang menerima mereka.
Perang di Sudan ini, yang bermula pada April 2023, telah mencipta satu krisis perpindahan terbesar di dunia, dengan lebih 10 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka. Lebih 680,000 orang (Sumber: UNHCR dan IOM) telah tiba di Sudan Selatan sejak April tahun lalu, ketika mana sistem kesihatan negara dan bantuan kemanusiaan sedia ada hampir tidak dapat memenuhi keperluan penduduknya. Dalam beberapa bulan akan datang, tekanan ke atas perkhidmatan kesihatan dan organisasi bantuan berkemungkinan meningkat, dengan anggaran tujuh juta orang diramalkan tidak mempunyai akses kepada makanan yang mencukupi menjelang Julai. (Sumber: Analisis Ketidakamanan Makanan Akut dan Malnutrisi IPC Selatan September 2023-Julai 2024)
Renk di negeri Upper Nile di Sudan Selatan terletak sekitar 60 kilometer dari Joda, pintu masuk rasmi untuk mereka yang melarikan diri dari perang. Kira-kira 13,000 pelarian dan mereka yang kembali kini terkandas di dalam dan sekitar pusat transit di bandar itu. Angka itu turun naik bergantung kepada pergerakan seterusnya; sama ada mereka menunggu untuk dapat meneruskan perjalanan merentasi Sudan Selatan atau kembali ke Sudan. Keadaan hidup teruk dan bekalan makanan, air, tempat tinggal, kemudahan sanitasi dan rawatan perubatan untuk mereka terhad.
Seorang pekerja kesihatan Doctors Without Borders mengendalikan konsultasi bersama seorang pesakit dalam klinik kami di pusat transit Bulukat, Malakal, Upper Nil. Sudan Selatan, Mei 2024. © Kristen Poels/MSF
Ramai daripada mereka yang tiba di sempadan cedera dan kekurangan zat makanan, selepas berjalan selama berminggu-minggu untuk mencari keselamatan. Pada masa ini, agensi bantuan memberikan mereka wang untuk membeli makanan selama tujuh hari, namun ramai yang mendapati diri mereka terperangkap di pusat transit Renk selama berminggu-minggu atau bahkan berbulan-bulan, disebabkan mereka menunggu pengangkutan untuk meneruskan perjalanan mereka.
"Kadang-kadang kami boleh makan dua kali sehari, tetapi biasanya kami hanya makan sarapan pagi, dan pada waktu malam kami tidur dengan perut kosong, termasuklah bagi yang paling muda," kata Dak Denj, seorang penggembala lembu berusia 70 tahun yang menetap di pusat transit Renk sejak Disember 2023.
- Baca kisah Dak Denj's
Dak Denj, seorang wanita berusia 70 tahun, melarikan diri dari peperangan bersama keluarganya seramai 17 orang. Ahli termuda, baru berusia 5 bulan, dilahirkan semasa persinggahan yang lama di Sinda ketika mereka melarikan diri dari konflik. Walaupun ibunya tidak menerima bantuan semasa kelahiran, semuanya berjalan lancar
"Kami tinggal di Khartoum selama 10 tahun sejak melarikan diri daripada konflik di Sudan Selatan pada 2013. Apabila perang bermula di Khartoum pada April 2023, kami fikir ia tidaklah begitu serius dan akan berhenti tidak lama lagi. Namun ia bertukar serius dengan pengeboman berat dari pesawat sehingga kami menyedari bahawa keadaannya sangat buruk. Kami memutuskan untuk bergerak menuju Madani, di selatan, di mana kami mempunyai saudara mara. Dalam perjalanan, terdapat banyak pusat pemeriksaan di mana tentera mengambil segala-galanya daripada orang ramai yang bergerak: wang, telefon, makanan. Mereka juga memaksa beberapa lelaki muda untuk menyertai mereka dan turut terbabit dalam pertempuran. Mereka yang berusia 18 tahun ke atas, tidak mempunyai pilihan. Jika menolak mereka akan dibunuh.
"Selepas pertempuran hebat di Madani, kami merasakan tidak selamat, banyak keluarga memutuskan untuk berpindah pada waktu itu. Kami juga perlu berpindah. Mujurlah ada wang yang disimpan dari Khartoum dan hasil jualan lembu yang diternak, kami berjaya tiba di Joda dengan menaiki bas. Ia berlaku pada Disember 2023. Kami menerima 12 600 SSP untuk setiap orang apabila kami tiba dan sejak itu tiada apa lagi yang diterima. Saya cuba mencari kayu api dan menjualnya dan wanita lain dalam keluarga cuba mencari kerja-kerja kecil di pasar namun ia tak mencukupi. Sukar sekali untuk dapatkan sesuatu untuk dimakan. Kadang-kadang kami berjaya makan dua kali sehari tetapi selalunya kami hanya bersarapan dan kemudian tidur pada waktu malam dengan perut kosong, kami semua, meskipun yang masih kecil. Kami memutuskan untuk menjual pakaian dan beberapa hidangan dapur untuk mendapatkan lebih banyak wang tetapi ia tidak mencukupi. Sekarang sudah tidak ada apa-apa yang tinggal untuk kami tetapi kami tidak tahu di mana kami boleh pergi. Di mana sahaja kami berada, situasinya tidak bagus.
"Keadaan paling teruk buat anak-anak kami kerana mereka tidak mempunyai sebarang pendidikan. Saya tidak gembira hari ini, semuanya sukar. Di Khartoum sebelum ini kami memiliki kehidupan yang baik, semua orang selamat. Di sini, penyakit ada di mana-mana, terutamanya disebabkan keadaan air yang tidak elok. Kanak-kanak sakit perut dan cirit-birit. Apabila sakit, kami boleh pergi ke klinik bergerak Doctors Without Borders tetapi kami hanya akan dapat ubat-ubatan untuk menghilangkan rasa sakit. Tiada apa yang boleh menyembuhkan kelaparan dan keadaan hidup yang teruk. Ramai menderita akibat isu kesihatan mental dan mereka boleh mendapatkan sokongan daripada Doctors Without Borders tetapi ia masih masalah yang sama, ia hanya jangka pendek. Kami tahu kehidupan kami tidak akan menjadi lebih baik selagi kami hidup seperti itu. Selepas musim panas ekstrem, musim hujan pula akan datang dan kami tidak ada meskipun hanya kepingan plastik untuk melindungi kanak-kanak. Siapa yang akan menjaga kami apabila ia berlaku? Siapa akan lindungi tempat kami berteduh?
"Saya tidak boleh mengatakan bahawa kami menyesal berada di sini kerana tiada pilihan lain ketika itu selain berpindah. Kami faham ia situasi sukar untuk semua orang dan kami tahu kami perlu bersabar tetapi kami benar-benar memerlukan lebih banyak bantuan. Daripada berita terkini yang kami terima dari Khartoum, nampaknya rumah kami tidak musnah tetapi kosong, semua yang ada di dalamnya dicuri, tidak ada apa lagi yang yang tinggal, kami ingin kembali kerana di sana kami dapat bekerja. Di sini tiada apa yang boleh kami lakukan.
"Sudah tentu saya sangat kecewa tetapi apa yang boleh kami katakan? Di sini ada konflik, di sana pula ada peperangan... Inilah kehidupan. Tiada apa yang boleh saya lakukan selain berdoa demi kehidupan lebih baik dan meminta bantuan. Masa depan sangat gelap. Kami tidak melihat apa-apa yang baik akan menyusul. Kami hanya berusaha untuk bertahan, namun tanpa pendidikan untuk anak-anak kami, tidak akan ada harapan.
Sekitar 300 kilometer dari Renk, ribuan pelarian dan mereka yang kembali menetap di pusat transit Bulukat, berhampiran bandar Malakal. Kekurangan makanan, air, tempat tinggal dan sanitasi yang sesuai menyebabkan peningkatan penyakit seperti cirit-birit dan jangkitan pernafasan, menurut pasukan perubatan Doctors Without Borders.
Kemasukan berterusan pelarian dan mereka yang kembali ke Sudan Selatan berkemungkinan memburukkan lagi keadaan kekurangan makanan dan air yang teruk dalam kalangan pendatang baharu dan komuniti tuan rumah serta menyukarkan lagi orang ramai untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Sebelum April 2023, 30 hingga 50 kanak-kanak kekurangan zat makanan teruk dimasukkan setiap bulan ke pusat rawatan malnutrisi pesakit dalam di hospital Doctors Without Borders di bandar Malakal. Sejak tercetusnya perang di Sudan, bilangan kanak-kanak kekurangan zat makanan yang teruk dimasukkan ke kemudahan itu meningkat 200 peratus.
Kanak-kanak yang kekurangan zat makanan lebih terdedah kepada penyakit lain yang mengancam nyawa. “Malnutrisi meningkatkan risiko jangkitan, terutama dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun, yang lebih berkemungkinan mati akibat penyakit seperti meningitis, campak, demam kuning, kolera dan malaria,” kata penyelaras perubatan Doctors Without Borders Dr Eltigani Osman.
Disebabkan kekurangan ruang di Renk Civil Hospital, Doctors Without Borders membina khemah untuk menempatkan lebih ramai pesakit. Bagaimanapun, keadaan panas melampau meningkatkan suhu di dalamnya sehingga melebihi 50 darjah, menjadikan ia berbahaya untuk peralatan perubatan serta nyawa pesakit. Sudan Selatan, Mac 2024. © Kristen Poels/MSF
Kekurangan air di seluruh rantau ini memaksa orang ramai untuk mengambil bekalan air dari sungai. Meminum air tidak dirawat, yang mungkin tercemar, menimbulkan risiko kesihatan tambahan, terutama di kawasan yang terdedah kepada wabak taun. Risiko ini berkemungkinan meningkat dengan musim hujan yang semakin hampir, yang dijangka menyebabkan banjir serius di seluruh rantau ini, mencemari telaga dan lubang bor serta menghalang tindak balas kemanusiaan. Banjir di sebelah Sudan boleh mendorong lebih ramai orang untuk melarikan diri ke Sudan Selatan.
Organisasi bantuan kini bergelut untuk bertindak balas terhadap krisis dan membantu semua yang memerlukan. Sejak April 2023, Doctors Without Borders telah membuka klinik di lintasan utama sempadan dan dua klinik bergerak di sekitar Renk dan Bulukat, yang merawat kira-kira 190 pesakit setiap hari, serta menyokong hospital Renk. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi, dan skala krisis memerlukan tindak balas antarabangsa yang lebih besar.
Tindak balas kemanusiaan masih tidak mencukupi untuk memenuhi realiti keperluan, dalam konteks di mana terdapat tekanan besar pada sistem kesihatan. Kami dengan segera menyeru penderma antarabangsa untuk memperuntukkan pembiayaan untuk menangani keperluan mereka yang kembali, pelarian dan komuniti tuan rumah di Sudan Selatan. Ini mesti dilakukan termasuk penyediaan makanan, air, tempat tinggal, sanitasi dan penjagaan perubatan, begitu juga cara untuk orang ramai meneruskan perjalanan mereka.Iqbal Huda, Ketua Misi