Sudan: Bantuan segera diperlukan untuk mereka yang kelaparan akibat sekatan di Kem Zamzam
Seorang kanak-kanak menjalani saringan MUAC di ATFC di klinik Doctors Without Borders di Kem Zamzam, Darfur Utara, satu langkah penting dalam mendiagnos malnutrisi. Sudan, Ogos 2024. © Mohammed Jamal
- Kem Zamzam, sebuah tapak untuk pelarian dalaman di negeri utara Darfur state, berada di bawah kepungan, dengan tidak ada bekalan-bekalan penting atau makanan sampai kepada lebih 300,000 penghuninya.
- Keputusan terkini saringan nutrisi menunjukkan tahap kekurangan zat makanan yang membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak: 10.1 peratus mengalami malnutrisi akut teruk (SAM) manakala 34.8 peratus mengalami malnutrisi akut global (GAM).
- Segala pilihan mesti dipertimbangkan untuk segera menghantar makanan dan bekalan-bekalan ke kem berkenaan.
Memandangkan hasil saringan nutrisi yang dijalankan oleh pihak berkuasa kesihatan Sudan dan Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) awal bulan ini di kem Zamzam, Darfur Utara, menunjukkan situasi dahsyat nutrisi yang hanya menjadi bertambah teruk, Doctors Without Borders menggesa PBB dan pihak-pihak berkepentingan antarabangsa yang terbabit dalam merundingkan akses kemanusiaan yang lebih luas untuk mempertimbangkan semua pilihan-pilihan bagi menyegerakan penghantaran makanan dan bekalan-bekalan penting di kawasan itu, termasuk melalui kaedah airdrop (digugurkan melalui udara).
“Hasil itu bukan sekadar mengesahkan bencana yang kami dan pihak-pihak berkepentingan lain sudah sedia perhati dan beri amaran selama berbulan-bulan, ia juga menunjukkan bahawa setiap hari keadaan menjadi bertambah buruk dan kami kini kesuntukan masa” tambah Michel Olivier Lacharité, Ketua Kecemasan Operasi untuk Doctors Without Borders.
Kita sedang bercakap mengenai beribu-ribu kanak-kanak yang akan mati dalam beberapa minggu akan datang tanpa akses kepada rawatan yang mencukupi dan penyelesaian segera untuk membolehkan bantuan kemanusiaan dan barangan-barangan penting untuk sampai ke Zamzam.Michel Olivier Lacharité, Ops Kecemasan
Di sebalik pengumuman yang memberi harapan untuk perkembangan positif, sebagai contoh susulan rundingan damai Geneva, tiada amaun signifikan bantuan kemanusiaan sampai kepada populasi di kem Zamzam dan bandar El-Fasher berhampiran yang dilanda perang sejak Jawatankuasa Semakan Kebuluran IPC merumuskan bahawa keadaan kebuluran adalah prevalen di kawasan terbabit pada 1 Ogos tahun ini.
Kebanyakan laluan-laluan bekalan dikawal oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang telah menjadikan segala-galanya mustahil untuk membawa makanan terapeutik, ubat-ubatan dan bekalan-bekalan penting ke dalam kem terbabit sejak pertempuran semakin sengit di sekitar El Fasher Mei lalu.
Pemeriksaan malaria dijalankan ke atas seorang kanak-kanak di jabatan ER di klinik Doctors Without Borders di Kem Zamzam, Darfur Utara, untuk memantau simptom-simptom dan memulakan rawatan sekiranya perlu. Sudan, Ogos 2024. © Mohammed Jamal
Tiada lagi masa untuk dibazirkan jika beribu-ribu kematian yang boleh dicegah ingin dielak. Antara lebih 29,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun yang telah disaring minggu lalu semasa kempen vaksinasi di kem Zamzam, 10.1 peratus mengalami malnutrisi akut teruk (SAM), keadaan yang mengancam nyawa, sementara 34.8 peratus mengalami malnutrisi akut global (GAM), yang akan berubah menjadi bentuk malnutrisi lebih teruk jika tidak dirawat dengan berkesan dan tepat pada masanya.
“Kadar malnutrisi yang ditemui semasa saringan adalah besar dan mungkin antara yang paling teruk di dunia pada masa ini. Malah ia lebih menakutkan kerana kami tahu daripada pengalaman bahawa hasilnya seringkali di bawah angka sebenar di kawasan berkenaan apabila kami hanya menggunakan kriteria lingkaran lengan atas seperti yang kami lakukan di sini berbanding menggabungkannya dengan mengukur berat dan ketinggian” jelas Claudine Mayer, Rujukan Perubatan Doctors Without Borders.
Satu-satunya makanan yang tersedia adalah daripada stok sedia ada, yang tidak mencukupi untuk mereka yang tinggal di kawasan itu, dan harga makanan sekurang-kurangnya tiga kali lebih tinggi berbanding di kawasan lain Darfur. Harga bahan api juga melambung tinggi, menjadikannya sangat sukar untuk mengepam air dan menggerakkan klinik yang bergantung kepada jana kuasa untuk bekalan elektrik. Kakitangan kami di lapangan melaporkan bahawa bagi kebanyakan orang, adalah mustahil untuk mendapatkan lebih daripada satu hidangan setiap hari.
"Dalam situasi yang begitu teruk itu, kami harus meningkatkan respons kami: sebaliknya, bekalan-bekalan berkurangan dengan kritikal, kami kini sampai ke tahap hilang kawalan dan baru-baru ini dipaksa mengurangkan aktiviti kami dengan memberi tumpuan hanya kepada kanak-kanak dalam keadaan yang paling teruk" kata Claudine Mayer .
"Ini bermakna kami terpaksa menangguhkan rawatan untuk bentuk malnutrisi yang kurang teruk, yang membabitkan kohort aktif 2,700 kanak-kanak, serta menamatkan konsultasi yang diberikan kepada orang-orang dewasa dan kanak-kanak berusia lebih lima tahun, yang membabitkan beribu-ribu konsultasi setiap bulan" .
Seorang jururawat merawat seorang pesakit di jabatan ER di klinik Doctors Without Borders di Kem Zamzam, Darfur Utara, menyediakan penjagaan kritikal bagi mereka yang memerlukan. Sudan, Ogos 2024. © Mohammed Jamal
Kem Zamzam dianggar menempatkan antara 300,000 dan 500,000 orang, ramai daripada mereka berpindah berkali-kali, kerana cuba melarikan diri daripada peperangan yang telah meruntuhkan negara mereka sejak tahun lalu. Di El Fasher, di mana kebanyakan pelarian pernah tinggal, hanya satu hospital yang masih kekal berdiri secara separa selepas yang lain telah rosak atau telah musnah dalam konflik berkenaan.
"Disebabkan oleh sekatan yang tidak wajar terhadap bekalan-bekalan ini, kami merasakan kami sedang meninggalkan semakin ramai pesakit yang sudah sedia mempunyai sedikit pilihan untuk mendapatkan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa" tambah Michel Olivier Lacharité.
“Jika jalan raya bukan suatu pilihan untuk membawa masuk bekalan segera dalam kuantiti yang banyak ke dalam kem, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu harus melihat setiap pilihan yang ada. Menangguhkan bekalan-bekalan ini bermakna menyebabkan lebih banyak kematian - beribu-ribu daripada mereka, antara yang paling terdedah."
Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?
Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.