Memberi sokongan
mengikut prinsip amal Islam
Sumbangan anda membantu kami menyelamatkan nyawa di Palestin, Sudan, dan lebih daripada 70 negara di seluruh dunia. Ketahui lebih lanjut tentang Doctors Without Borders serta bagaimana usaha kami selari dengan prinsip Kebajikan Islam dan Ta’awun (solidariti dan kerjasama).
Kami menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa
Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières adalah organisasi kemanusiaan perubatan global yang menawarkan bantuan kepada orang ramai berdasarkan keperluan dan tidak mengira bangsa, agama, jantina atau gabungan politik. Sejak 1971, Doctors Without Borders telah beroperasi dengan komitmen yang jitu - dan mencabar - demi kebebasan, kesaksamaan dan neutraliti.
Prinsip-prinsip yang kami pegang teguh membolehkan kami bertindak balas dengan pantas dalam situasi kecemasan serta menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa di tempat-tempat yang sukar diakses atau diabaikan oleh organisasi lain. Komitmen ini memastikan bahawa keutamaan kami adalah membantu mereka yang memerlukan, tanpa dipengaruhi oleh kepentingan pihak lain, sama ada ahli politik, penyumbang dana, atau media.
Dalam setiap misi kami, Doctors Without Borders berpegang kepada kod etika perubatan yang ketat bagi memastikan tiada kemudaratan dilakukan serta mengutamakan pesakit yang paling memerlukan rawatan. Bagi kami, adalah amat penting untuk staf berada dalam hubungan langsung dengan pesakit dan komuniti yang kami bantu, demi memastikan perkhidmatan yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan mereka.
Tugas kami bukan hanya untuk memberikan bantuan perubatan tetapi juga satu tindakan perpaduan. Kami percaya bahawa prinsip-prinsip yang kami perjuangkan sejajar dengan prinsip-prinsip kerja amal dalam Islam.
Sumbangan Anda kepada Misi Kemanusiaan Kami Menepati Prinsip-Prinsip Amal dalam Islam
Doctors Without Borders menerima nasihat daripada sebuah Firma Penasihat Syariah terkemuka bagi memastikan sumbangan anda diagihkan selaras dengan keperluan perubatan kemanusiaan kami serta prinsip-prinsip Islam. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami melalui e-mel di [email protected].
Doctors Without Borders telah menerima sumbangan dan menjalinkan kerjasama dengan organisasi kebajikan Islam, termasuk agensi zakat yang berwibawa. Dengan panduan daripada Firma Penasihat Syariah yang terkemuka serta pengalaman dalam bekerjasama dengan pemegang taruh dalam bidang filantropi Islam, Doctors Without Borders komited untuk membentuk kerjasama baharu serta membangunkan amalan terbaik dalam pelaksanaan dan pengurusan instrumen kewangan sosial Islam.
Doctors Without Borders menerima dana daripada pelbagai sektor korporat kecuali daripada industri yang dikecualikan, iaitu entiti yang memperoleh sebahagian besar pendapatan mereka daripada pengeluaran dan/atau penjualan tembakau, alkohol, senjata, farmaseutikal (termasuk: ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan terapeutik, bahan diagnostik dan bioteknologi, serta penyelidikan), serta industri mineral, minyak, gas, atau sektor ekstraktif lain. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk ringkasan Polisi Penerimaan Sumbangan kami.
Bantu kami menyelamatkan nyawa
Sertai komuniti penyokong global kami dengan memberi sedekah hari ini.
Bagaimana Doctors Without Borders menggunakan sumbangan anda
Untuk setiap amaun yang anda derma, 80.5% disalurkan terus ke arah menyediakan bantuan perubatan yang menyelamatkan nyawa kepada mereka yang memerlukan di seluruh dunia, termasuk di Yaman, Afghanistan, Syria, Somalia dan projek perubatan khusus untuk Rohingya. Hanya kira-kira 15.1% daripada derma diterima dilaburkan semula dalam pengumpulan dana dan 4.4% disalurkan kepada kos pengurusan dan pentadbiran am. Mengekalkan piawaian ini adalah keutamaan kami untuk memastikan sumbangan anda membantu meringankan penderitaan dan menyelamatkan nyawa dalam pelbagai projek kami di lebih 70 negara di seluruh dunia.
Pada 2021, 55% daripada perbelanjaan program dibelanjakan di Afrika, 20% dibelanjakan di Timur Tengah dan Afrika Utara, 11% di Asia dan Pasifik, dan selebihnya di Amerika, Eropah dan Asia Tengah. Kami membelanjakan paling banyak di Republik Demokratik Congo, Yaman, Sudan Selatan, Republik Afrika Tengah, Nigeria, Sudan, Afghanistan, Ethiopia, Haiti dan Niger. Laporan Aktiviti Antarabangsa memberikan butiran lebih lanjut mengenai pengagihan perbelanjaan mengikut geografi. Ia turut memaparkan pecahan perbelanjaan dan pembiayaan untuk semua negara di mana Doctors Without Borders mempunyai aktiviti program yang penting pada tahun tertentu.
Krisis Gaza
Krisis kemanusiaan di Gaza telah mencapai tahap yang amat membimbangkan. Sejak peningkatan keganasan pada Oktober 2023, lebih daripada 50,000 nyawa terkorban dan lebih 100,000 orang cedera. Hampir dua juta penduduk Gaza—bersamaan 90 peratus daripada jumlah populasi—terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat serangan udara dan keganasan yang berterusan. Kawasan penempatan musnah, menyebabkan banyak kawasan tidak lagi boleh didiami.
Kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan peralatan perubatan semakin kritikal. Kemudahan kesihatan dan hospital beroperasi melebihi kapasiti, manakala akses kepada rawatan perubatan menjadi semakin sukar. Dalam keadaan ini, tiada tempat yang benar-benar selamat.
Dengan sokongan anda, pasukan Doctors Without Borders terus menyediakan bantuan perubatan kecemasan, termasuk pembedahan, rawatan kecederaan, penjagaan ibu dan anak, vaksinasi, serta sokongan kesihatan mental. Namun, skala penderitaan masih terlalu besar. Kemusnahan sistem kesihatan dan sekatan terhadap penghantaran bantuan menjadikan keadaan semakin genting. Keperluan untuk bantuan adalah lebih mendesak berbanding sebelum ini.
Adakah anda akan menyokong tindak balas kecemasan kami di Gaza?
Bantu kami menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa semasa kecemasan dengan memberi sedekah hari ini.
Langgan untuk menerima berita dan cerita daripada projek perubatan kami di seluruh dunia.