Gaza: Kekurangan air bersih mengundang banyak penyakit dan penderitaan
Kakitangan air dan sanitasi Doctors Without Borders, menyelia pengagihan air untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal di kejiranan Saudi di bandar Rafah di Gaza selatan. Wilayah Palestin, Februari 2024. © Mohammed Abed
Barisan panjang dapat dilihat dari jauh, ratusan orang dari semua peringkat umur, kebanyakan mereka masing-masing memegang tong jerry 40 liter sama ada berwarna kuning atau biru. Ada yang tinggal di khemah berdekatan trak air yang menarik orang ramai ke tempat ini di Rafah, sebuah bandar di selatan Semenanjung Gaza. Yang lain tinggal di tempat perlindungan sehingga beberapa kilometer jauhnya, dan membawa kerusi roda, (hand truck) troli tarik, troli beli-belah dan juga kereta sorong untuk mengangkut sumber penting kembali ke tempat perlindungan mereka.
Seorang lelaki cacat penglihatan datang bersama anak perempuannya - gadis itu memimpinnya berjalan, bapanya pula membawa air. Mereka berjalan dua kilometer untuk sampai ke sini, kerana tidak ada air bersih di Al-Mawasi, kawasan pantai tempat mereka tinggal.
Sekumpulan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal menunggu di hadapan syarikat Abed Al-Salam Yassin di kawasan Tal Al-Sultan di bandar Rafah di selatan Gaza. Untuk memenuhi beberapa keperluan paling mendesak kelompok yang kehilangan tempat tinggal di Rafah, pasukan kami memulakan program pengagihan air pada Disember 2023. Wilayah Palestin, Februari 2024. © Mohammed Abed
Sejak perang meletus di Gaza empat bulan lalu, sedikit sahaja infrastruktur terlepas daripada serangan udara yang dilakukan hampir tanpa henti ke kawasan itu, termasuk paip air. Menurut UNICEF, sekurang-kurangnya separuh daripada kemudahan air dan sanitasi di Gaza telah musnah atau rosak, manakala UNWRA melaporkan bahawa kira-kira 70 peratus penduduk Gaza sedang meminum air bergaram atau air tercemar.
Penduduk Palestin di Rafah di sempadan Mesir – dahulunya sebuah bandar dengan 300,000 orang, namun kini menampung 1.5 juta orang yang berpindah dari seluruh Gaza – berjuang untuk mencari air bersih untuk minum, memasak atau mencuci. Keadaan hidup bagi penduduk di bahagian terkepung ini terdesak - berpunca daripada keadaan yang sesak dan kekurangan air bersih, tandas, pancuran mandian dan sistem pembetungan, diburukkan lagi oleh cuaca musim sejuk yang dingin.
Selesema, penyakit kulit dan cirit-birit
"Kami mengesan bahawa, disebabkan kekurangan air bersih untuk diminum atau kegunaan lain, pesakit mengalami gangguan usus dan virus selesema, yang mana ia merebak secara meluas," kata pengurus promosi kesihatan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), Mohammad Abu Zayed. "Kebelakangan ini, kami juga menyaksikan kanak-kanak mengalami ruam kulit disebabkan kekurangan air bersih untuk mandi atau mencuci."
Risiko kesihatan lain termasuk dehidrasi dan hepatitis A. Memasak dan kebersihan diri turut terjejas, meningkatkan risiko jangkitan.
Kekurangan air bersih boleh menyebabkan banyak penyakit yang berkaitan dengan kualiti air, seperti cirit-birit dan penyakit kulit, namun tidak cukup air juga boleh menyebabkan dehidrasi. Kesannya lebih teruk pada kanak-kanak, yang mempunyai sistem imun lebih lemah berbanding dewasa, dan mereka juga lebih terdedah kepada penyakit dan alahan.Marina Pomares, penasihat perubatan
Pasukan Doctors Without Borders menyediakan penjagaan kesihatan asas di dua lokasi di Rafah. Sehingga 2 Februari, hampir 30 peratus morbiditi pesakit bawah lima tahun yang datang ke klinik Shaboura Doctors Without Borders dan pos kesihatan Al-Mawasi adalah untuk cirit-birit atau penyakit kulit.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pasukan Doctors Without Borders di Rafah juga menerima 43 pesakit yang disyaki menghidap hepatitis A. Keadaan perubatan ini semuanya berkaitan dengan kekurangan air bersih dan diburukkan lagi dengan kekurangan kemudahan perubatan yang berfungsi di kawasan itu.
Untuk bertindak balas terhadap beberapa keperluan paling mendesak mereka yang dipindahkan di Rafah, pasukan Doctors Without Borders memulakan program pengagihan air pada Disember 2023. Hari ini, pasukan air dan sanitasi Doctors Without Borders menyediakan purata 110,000 liter air minuman selamat setiap hari kepada kira-kira 20,000 orang.
Bagaimanapun, ia masih terlalu sedikit untuk diagihkan kepada semua. “Dalam situasi biasa, seorang memerlukan dua hingga tiga liter air minuman setiap hari,” kata ejen air dan sanitasi Doctors Without Borders, Youssef Al-Khishawi. “Kini, dengan kekurangan semasa, purata bagi satu keluarga enam orang ialah satu gelen air (3.8 liter).”
Penduduk Palestin di Rafah di sempadan Mesir - dahulunya sebuah bandar dengan 300,000 orang, tetapi kini menampung 1.5 juta orang yang berpindah dari seluruh Gaza - berjuang untuk mencari air bersih untuk minum, memasak atau mencuci. Wilayah Palestin, Februari 2024. © Mohammed Abed
Hanin meninggalkan kediamannya di Kota Gaza pada hari-hari awal perang akibat penembakan dan kini berlindung di Rafah. Seperti kebanyakan orang di bandar itu, dia bergelut untuk mendapatkan makanan, air dan keperluan lain yang mencukupi. "Kami beratur untuk mendapatkan air," katanya. "Jika kami mendapat peluang untuk mendapatkan air, kami akan menggunakannya untuk membasuh dan mencuci pinggan mangkuk, dan jika kami tidak mendapat apa-apa air, kami akan menunggu keesokan harinya .”
Doctors Without Borders bersedia untuk meningkatkan jumlah air yang diagihkan, namun kekurangan lain menghalang proses itu, seperti bilangan trak terhad yang dibenarkan masuk ke dalam kawasan terkepung yang membawa bantuan dan bahan api.
Cabaran utama yang kami hadapi dalam mengagihkan air adalah kekurangan bahan api untuk mengepam dan mengangkutnya. Yang kedua adalah kekurangan jalan yang sesuai untuk trak kami bergerak, kerana terdapat khemah walaupun di atas jalan tar. Yang ketiga adalah tidak ada titik pengagihan air - malah itu juga telah dibom. Paip air, jalan dan infrastruktur musnah.Youssef Al-Khishawi, kakitangan watsan
Doctors Without Borders mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata yang berterusan, yang merupakan satu-satunya cara bagi penduduk di Gaza untuk pulang ke rumah mereka. Ia juga menyeru agar aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza dipulihkan dan dipertingkatkan bagi memastikan orang ramai mendapat akses kepada barangan penting seperti makanan, air dan penjagaan kesihatan.
Sudikah anda menyokong tugas tindakan balas kecemasan kami?
Bantu kami menyediakan penjagaan perubatan yang menyelamatkan nyawa dengan melakukan sumbangan hari ini.