Skip to main content

Paksaan pasukan Israel untuk memindahkan penduduk dari utara ke selatan Gaza memperburukkan krisis kemanusiaan

Close-up of an MSF speakerphone during an emergency medical aid response on Samos island, Greece. © Alice Gotheron/MSF

© Alice Gotheron/MSF

Perintah pemindahan yang dikeluarkan oleh Israel untuk bahagian utara Gaza pada 7 Oktober telah memaksa puluhan ribu orang melarikan diri ke selatan, ke kawasan yang lebih sesak antara Al-Mawasi dan Deir Al-Balah. Kawasan ini sudah pun dihuni lebih satu juta penduduk yang hidup dalam keadaan tidak manusiawi dan tidak selamat untuk penduduk awam mahupun petugas bantuan, dengan serangan udara masih berlaku berulang kali.

Pemindahan secara paksa ini serta pengeboman kawasan kediaman telah menukar utara Gaza menjadi tanah tandus yang tidak berpenghuni, mengusir kehidupan Palestin dari wilayah tersebut. Keadaan semakin teruk apabila tiada bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki wilayah ini sejak 1 Oktober.

Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menyeru pihak Israel agar menghentikan perintah pemindahan yang mengakibatkan pemindahan paksa rakyat Palestin dan memastikan perlindungan ke atas penduduk awam. Mereka juga mesti membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan ke kawasan utara sebagai langkah kecemasan yang penting.

Langkah terbaru Israel untuk memaksa ribuan rakyat Palestin meninggalkan utara Gaza telah menukarkan kawasan ini menjadi padang pasir yang sepi.
Sarah Vuylsteke, Koordinator Projek

“Tiba-tiba saya diberitahu bahawa kami perlu berpindah dari utara,” kata Mahmoud, seorang Pengawal Doctors Without Borders yang meninggalkan Jabalia pada waktu malam untuk berlindung di rumah tamu Doctors Without Borders di Gaza City. “Kami meninggalkan rumah kami dalam ketakutan, di bawah letupan bom dan peluru. Ia sangat, sangat sukar. Saya lebih rela mati daripada terpaksa berpindah ke selatan; rumah saya di sini, dan saya tidak mahu meninggalkannya.”

Pihak Israel turut menyeru agar tiga hospital utama di utara Gaza, iaitu Hospital Indonesia, Kamal Adwan dan Al-Awda dikosongkan. Hospital-hospital ini kini beroperasi pada tahap minimum dan masih menempatkan 317 pesakit dengan sekitar 80 orang di unit rawatan rapi yang tidak boleh dipindahkan. Kementerian Kesihatan menyeru agar kemudahan-kemudahan ini dilindungi dengan apa cara sekalipun.

Klinik Doctors Without Borders di Gaza City telah menerima 255 pesakit hanya pada hari Ahad dan Isnin yang lalu, manakala akses kepada rawatan perubatan semakin terhad setiap hari. Bagi sesetengah orang, untuk mendapatkan rawatan adalah sesuatu yang mustahil; pasukan kami menerima laporan bahawa terdapat mangsa cedera yang meninggal dunia kerana tidak dapat bantuan perubatan.

Antara mereka yang terpaksa berpindah dari utara ialah tujuh staf Doctors Without Borders yang berjaya berlindung di Gaza City, manakala lima lagi masih terperangkap di Jabalia yang kini diserang secara aktif oleh pasukan Israel.

“Kami meninggalkan rumah kami dalam keputusasaan, di bawah hujan bom... Saya lebih rela mati daripada terpaksa berpindah ke selatan; rumah saya di sini, dan saya tidak mahu pergi.”
Mahmoud, pengawal MSF di utara Gaza

“Tindakan terbaru untuk memaksa ribuan rakyat dari utara Gaza berpindah ke selatan secara ganas telah menukarkan kawasan utara menjadi padang pasir tandus, sambil memburukkan lagi keadaan di selatan, di mana lebih sejuta orang sudah dihimpit di kawasan yang kecil di Semenanjung Gaza dan hidup dalam keadaan yang daif,” kata Sarah Vuylsteke, Koordinator Projek Doctors Without Borders di Gaza.

“Akses kepada air, rawatan kesihatan, dan keselamatan hampir tiada, dan sukar untuk dibayangkan bagaimana lebih ramai orang dapat ditempatkan di sini,” tambah Vuylsteke. “Rakyat telah berhadapan dengan pemindahan berulang kali dan pengeboman yang berterusan selama 12 bulan. Ini sudah cukup. Keadaan ini mesti dihentikan sekarang.”

Walaupun pihak berkuasa Israel baru-baru ini mengumumkan sedikit peluasan kepada apa yang dikatakan sebagai ‘zon kemanusiaan’, kawasan ini masih tertakluk kepada perintah pemindahan dan tetap tidak selamat akibat pengeboman Israel yang berterusan. Ramai penduduk di zon ini menderita penyakit kulit dan jangkitan pernafasan kerana keadaan hidup yang sangat daif. Keadaan ini semakin membimbangkan dengan kedatangan musim sejuk dan suhu sejuk yang bakal dihadapi penduduk.

Pasukan Israel mesti segera menghentikan perintah pemindahan di utara Gaza. Pembunuhan yang berterusan di Gaza mesti dihentikan sekarang, dan gencatan senjata yang berkekalan mesti segera dilaksanakan.



Adakah anda akan menyokong kerja respons kecemasan kami?

Bantulah kami menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa semasa kecemasan dengan membuat sumbangan hari ini.