Skip to main content

Tebing Barat: Merawat luka terbuka di Tulkarem

In Nur Shams Refugee Camp, Tulkarem, women trainees practice hands-on techniques for stopping bleeding.

Di Kem Pelarian Nur Shams, Tulkarem, sekumpulan wanita giat menjalani latihan praktikal untuk menghentikan pendarahan. Salah seorang peserta meluahkan, “Semua orang di kem ini perlu tahu asas pertolongan cemas supaya kami dapat membantu mereka yang cedera di depan mata kami.”  Wilayah Palestin, Oktober 2024. © Oday Alshobaki/MSF

  • Peperangan yang semakin meruncing di Gaza telah mengakibatkan peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.
  • Kesan psikologi yang ditinggalkan oleh serangan ini sangat mendalam. Penduduk hidup dalam trauma, ketakutan, dan suasana penuh ketidakpastian serta keganasan.
  • Doctors Without Borders menawarkan latihan pertolongan kecemasan kepada penduduk kem untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera sebelum dibawa ke hospital.

Pada pagi yang cerah di Kem Pelarian Nur Shams, Tulkarem, lebih 20 wanita berkumpul di sebuah bilik yang disediakan oleh staf Doctors Without Borders. Mereka duduk dalam bulatan sambil berbual dan menikmati kopi Arab. Di tengah-tengah bilik, terdapat meja yang dipenuhi kain pembalut, turniket, serta carta yang menerangkan aliran darah manusia. Inilah latihan "hentikan pendarahan" yang dianjurkan oleh Doctors Without Borders.

Sebilangan besar wanita ini tidak mempunyai pengalaman perubatan, namun kecederaan akibat trauma dan pendarahan teruk bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka. Dalam latihan ini, mereka diajar cara merawat luka, menggunakan alat pencekik, dan memberikan pertolongan cemas asas kepada ahli keluarga serta jiran yang cedera ketika serangan tentera Israel.

Kami sering menghadapi serangan, pengeboman, dan kecederaan akibat tembakan. Kadangkala, mangsa cedera berada betul-betul di depan kami. Dalam situasi sebegini, kami perlu tahu cara memberikan bantuan awal dengan betul. Ketika serangan, ambulans sukar untuk sampai ke tempat kejadian. Oleh itu, semua orang di kem ini perlu mempunyai sedikit pengetahuan tentang pertolongan cemas supaya kami sendiri dapat membantu mereka yang cedera.
Saeda Ahmad, peserta latihan
One of the buildings heavily targeted during intense gunfire from Israeli forces in Nur Shams Refugee Camp, Tulkarm, located in the northern West Bank.

Salah satu bangunan yang menjadi sasaran serangan hebat pasukan bersenjata Israel di Kem Pelarian Nur Shams, Tulkarem, Tebing Barat Utara. Kem ini menempatkan kira-kira 13,000 penduduk, menurut data UNRWA.Wilayah Palestin, Oktober 2024. © Oday Alshobaki/MSF

Serangan tentera Israel di Kem Pelarian Nur Shams semakin kerap, menghalang akses kepada perkhidmatan kesihatan. Jalan-jalan disekat, ambulans tidak dapat bergerak, dan petugas kesihatan diganggu atau dihalang. Akibatnya, ramai mangsa tidak sempat mendapat rawatan di hospital.

Serangan oleh tentera Israel semakin meningkat dari segi keganasan dan intensiti. Pada 3 Oktober 2024, serangan udara ke atas kem pelarian Tulkarem telah mengorbankan 18 nyawa. Penggunaan serangan dron, serangan udara, dan pengeboman lain oleh tentera Israel di kawasan padat penduduk serta kem pelarian kini menjadi kebiasaan. Serangan ini juga semakin berpanjangan. Sebagai contoh, pada Ogos lalu di Jenin, kawasan yang terletak di utara Tulkarem, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran selama sembilan hari.

Dalam konteks keganasan dan ketidakamanan yang berterusan, penghuni kem pelarian berkongsi pengalaman mereka dengan staf kesihatan mental Doctors Without Borders mengenai kesan psikologi mendalam akibat serangan ini. Serangan tentera oleh pasukan Israel telah mengubah kehidupan mereka, merampas segala bentuk normaliti dan rasa selamat. Penduduk kem sentiasa terkesan akibat serangan sebelumnya—membaiki jalan yang rosak dan rumah yang musnah—sambil menanti dengan penuh debaran kemungkinan serangan tentera yang berikutnya.

Doctors Without Borders turut menyediakan bantuan psikologi kecemasan kepada penghuni kem bagi menangani masalah kesihatan mental yang serius akibat daripada situasi ini, yang memberi kesan kepada semua penduduk, khususnya kanak-kanak.

“Keadaan sangat mencabar. Kanak-kanak di kem ini takut untuk ke sekolah kerana bimbang serangan akan berlaku sewaktu mereka di sana,” kata seorang Pendidik Kesihatan Komuniti Doctors Without Borders di Tulkarem.

Dalam kehidupan seharian mereka, kestabilan telah hilang. Orang ramai hidup dalam kegelisahan yang berterusan. Kanak-kanak tidak lagi bermain di lorong-lorong seperti dahulu. Mereka menghabiskan sebahagian besar masa di rumah dan tidak dapat keluar. Malah, mereka tidak dapat keluar untuk membeli keperluan kerana ibu bapa melarang, bimbang serangan atau insiden berlaku ketika mereka berada di luar. Ada juga kanak-kanak yang kini menjadikan pengalaman keganasan yang mereka lalui sebagai pusat permainan mereka.
Seorang Pendidik Kesihatan Komuniti

Dalam konteks ketakutan dan ketidakamanan, kehidupan normal menjadi sesuatu yang mustahil, apatah lagi untuk merancang masa depan. Latihan seperti “Stop the Bleed” mampu memberikan sedikit rasa kawalan ke atas keadaan yang dialami, dengan membekalkan alat dan pengetahuan kepada penduduk untuk bertindak dalam kecemasan perubatan semasa pencerobohan. Namun, kewujudan latihan sebegini sendiri menggambarkan betapa gentingnya situasi di Tebing Barat.

Di dalam bilik ini, ketika peserta berlatih membalut kain kasa pada lengan rakan mereka, luka emosi juga mula terserlah. Peserta berkongsi kisah tentang keganasan yang mereka alami—melalui perbualan, cerita, dan gambar ahli keluarga yang terkorban, terpampang pada skrin kunci telefon mereka. Luka psikologi mereka sama dalamnya. Dan untuk menyembuhkan luka-luka ini memerlukan lebih banyak masa berbanding menekan atau mengetatkan turniket.