Gaza: Hospital terakhir di utara Gaza dikepung, rakyat terkurung
"Ketika wilayah utara Gaza berada di bawah kepungan lebih dua minggu, adalah sangat penting untuk memastikan perlindungan terhadap kemudahan kesihatan yang masih berfungsi. Penduduk mesti terus mendapat akses kepada rawatan perubatan dan bantuan hayat. Kami menggesa tentera Israel untuk segera menghentikan serangan terhadap hospital di Utara Gaza," kata Anna Halford, penyelaras kecemasan Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan dan petugas perubatan di lapangan, tentera Israel kini mengepung dan mensasarkan hospital-hospital seperti Hospital Indonesia, Al-Awda, dan Kamal Adwan. Lebih 350 pesakit dilaporkan terperangkap di dalamnya, termasuk wanita hamil dan pesakit yang baru menjalani pembedahan. Pesakit-pesakit ini memerlukan rawatan berterusan dan tidak dapat keluar.
"Peningkatan keganasan yang semakin buruk dan operasi ketenteraan Israel yang tidak henti-henti selama dua minggu di utara Gaza mempunyai akibat yang mengerikan," tambah Halford. Puluhan ribu orang masih terperangkap di kem Jabalia disebabkan pengeboman harian, termasuk enam kakitangan kami yang tidak dapat dihubungi akibat ketiadaan bekalan elektrik, manakala salah seorang rakan sekerja kami terbunuh akibat terkena serpihan bom. "Apabila hospital-hospital diserang, infrastruktur musnah, dan bekalan elektrik terputus, nyawa pesakit dan petugas perubatan berada dalam bahaya."
Ratusan orang yang memerlukan rawatan penting mesti segera dipindahkan kerana nyawa mereka kini di ambang maut. Barangan asas, termasuk makanan, hanya masuk dalam jumlah yang sangat tidak mencukupi untuk penduduk di utara Gaza.
"Inilah hukuman kolektif yang dikenakan ke atas rakyat Palestin di Gaza, yang terpaksa memilih antara dipindahkan secara paksa dari Utara atau dibunuh. Kami bimbang ini tidak akan berakhir," kata Halford.
"Perang habis-habisan Israel terhadap Gaza nampaknya tiada penghujung. Sekutu-sekutu Israel memikul tanggungjawab besar atas situasi buruk ini, disebabkan sokongan tanpa henti mereka terhadap perang tersebut. Mereka mesti segera melakukan segala yang terdaya untuk memperoleh gencatan senjata yang berkekalan. Bukan esok, bukan minggu depan. Sekarang," tegas Halford.
Sudikah anda menyokong kerja tindak balas kecemasan kami?
Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.