Skip to main content

Gaza: Keadaan hidup yang mencabar terus membahayakan nyawa kanak-kanak dan bayi Palestin.

A mother sits with her malnourished child at the MSF-supported Nasser hospital. In Gaza, many children suffer from severe malnutrition, their lives hanging in the balance.

Seorang ibu duduk bersama anaknya yang kekurangan zat makanan di Hospital Nasser yang disokong oleh Doctors Without Borders. Di Gaza, banyak kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, dengan nyawa mereka dalam keadaan yang amat genting. Wilayah Palestin, Oktober 2024. © MSF

Selepas lebih setahun peperangan tanpa henti dan kemusnahan di Gaza, pasukan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menyaksikan bagaimana keadaan hidup yang teruk, serangan di kawasan berpenduduk padat, kekurangan akses kepada makanan, dan perpindahan berulang kali telah menyebabkan masalah kesihatan yang serius dalam kalangan kanak-kanak Palestin, bayi baru lahir, dan ibu mereka.

Kami merawat bayi yang menghidap penyakit berjangkit, penyakit pernafasan, dan penyakit kulit. Sudah tentu, masalah ini pernah wujud sebelum peperangan, tetapi kini ia semakin ketara, dan angka kes terus meningkat.
Dr. Mohammad Abu Tayyem, Pakar Pediatrik

"Kami melihat kesesakan yang teruk di jabatan ini, termasuk kanak-kanak yang menghidap pneumonia akut," kata Dr. Mohammad Abu Tayyem, seorang pakar pediatrik Doctors Without Borders yang bertugas di Hospital Nasser di Selatan Gaza, di mana lebih 300 pesakit pediatrik dirawat setiap hari.

Pasukan Doctors Without Borders menghadapi jumlah pesakit yang luar biasa ramai: antara Jun hingga Oktober 2024, seramai 3,421 bayi dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun telah dirawat di wad pediatrik Hospital Nasser. Hampir suku daripada kes ini (22%) berkaitan dengan cirit-birit, manakala 8.9% melibatkan meningitis. Dalam tempoh yang sama, seramai 168 bayi baru lahir berusia kurang dari sebulan dan lebih daripada 10,800 kanak-kanak berumur antara satu hingga lima tahun menerima rawatan di bilik kecemasan Hospital Nasser untuk jangkitan saluran pernafasan atas. Selain itu, sekitar 1,294 kanak-kanak berumur antara satu hingga lima tahun dimasukkan ke Hospital Nasser kerana jangkitan saluran pernafasan bawah, termasuk sekitar 459 kes pneumonia.

A view of overcrowded tents in the Attar area of Khan Younis, South Gaza

Pemandangan khemah-khemah yang sesak di kawasan Attar, Khan Younis, Selatan Gaza, di mana keluarga-keluarga yang dipindahkan terpaksa tinggal dalam keadaan sempit dengan akses yang sangat terhad kepada keperluan asas seperti air, makanan, dan pakaian. Wilayah Palestin, November 2024.

Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?

Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.


Peperangan selama setahun telah menghancurkan sistem kesihatan dan menghalang akses kepada rawatan perubatan

Di kawasan yang dikenali sebagai "zon kemanusiaan," di mana penduduk yang dipindahkan terpaksa tinggal dalam keadaan sesak, Doctors Without Borders menyediakan penjagaan neonatal, obstetrik, dan pediatrik di tiga Klinik Kesihatan Primer (PHCC) serta di Hospital Nasser, yang mempunyai salah satu daripada segelintir wad bersalin yang masih berfungsi di selatan Gaza. Daripada 36 hospital di Gaza, hanya 17 yang kekal beroperasi sebahagian pada 19 November (Sumber: OCHA).

Para ibu di Gaza menghadapi risiko besar apabila membawa bayi baru lahir dan anak-anak mereka ke beberapa hospital dan pusat kesihatan yang masih beroperasi. Mereka terpaksa berjalan jauh melalui kawasan yang tidak selamat dengan berjalan kaki atau menggunakan gerabak haiwan, di kawasan yang berdebu dan berpenduduk padat, untuk mendapatkan rawatan perubatan. Perjalanan ini mendedahkan kanak-kanak dan bayi baru lahir kepada bahaya serangan serta meningkatkan risiko komplikasi kesihatan. Walaupun selepas menerima rawatan, bayi baru lahir dan kanak-kanak sering kembali ke keadaan hidup yang tidak bersih, yang seterusnya menyebabkan kemerosotan kesihatan mereka dan menghalang proses penyembuhan.

Berhadapan dengan keadaan hidup yang tidak memadai, kekurangan barangan kebersihan dan makanan, serta tekanan yang berterusan, ramai ibu - yang turut kekurangan zat makanan - melahirkan bayi pramatang, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi selepas bersalin. Krisis ini diperburukkan oleh kekurangan bekalan perubatan dan bukan perubatan yang kritikal di kemudahan-kemudahan kesihatan dan hospital-hospital. 

A mother prepares a meal for her family and relatives, pouring a can of green beans into boiling water over a fire she lights herself.

Seorang ibu menyediakan makanan untuk keluarganya dan saudara-maranya, menuangkan kacang hijau dalam tin ke dalam air mendidih di atas api yang dinyalakannya sendiri. Wilayah Palestin, November 2024.

Suhu yang semakin sejuk membawa risiko kesihatan yang baru.

Keluarga-keluarga kini tinggal di khemah yang sesak atau di bawah lembaran plastik dan campuran kain-kain, tanpa akses kepada air bersih, sanitasi, barangan kebersihan seperti sabun, dan keperluan asas lain. Keadaan ini semakin merosot dengan ketibaan musim sejuk dan suhu yang menurun, meningkatkan risiko penyakit seperti jangkitan kulit dan pernafasan, kudis, cirit-birit akut, dan jangkitan virus, terutama dalam kalangan bayi baru lahir dan kanak-kanak.

Selain itu, kenaikan harga akibat pengurangan drastik bantuan yang memasuki Gaza menyebabkan penduduk tidak mampu mendapatkan makanan berkhasiat, yang sememangnya sudah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan. Ini mengakibatkan peningkatan kes-kes kekurangan zat makanan, terutamanya dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Bantuan kemanusiaan tanpa sekatan ke Gaza adalah penyelesaian penting untuk meringankan penderitaan penduduk yang terperangkap di wilayah tersebut. Ia dapat membantu menangani kekurangan bekalan perubatan dan bukan perubatan yang penting untuk menyelamatkan nyawa, termasuk bagi komuniti bayi baru lahir, kanak-kanak, dan ibu-ibu.

With no access to cooking gas, a mother is forced to light a fire using plastic to prepare a meal for her children, finding alternative ways to feed her family in dire conditions.

Tanpa akses kepada gas memasak, seorang ibu terpaksa menyalakan api menggunakan plastik untuk menyediakan makanan bagi anak-anaknya, mencari cara alternatif untuk memberi makan keluarganya dalam keadaan yang amat terdesak. Wilayah Palestin, November 2024.

“Saya tidak mempunyai lampin untuk anak saya,” kata Yasmin, seorang ibu yang anaknya sedang dirawat di Hospital Nasser. “Saya bahkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai untuknya; saya terpaksa menggunakan beg plastik, dan ini mendedahkan kulitnya kepada lebih banyak jangkitan dan ruam. Hidup di khemah menyebabkan anak-anak saya terdedah kepada keadaan yang melampau, dan mereka tidur tanpa katil yang sesuai.”

“Tempoh ini sangat sukar dan panjang. Sudah lebih setahun sejak peperangan bermula, dan ia telah memberi kesan mendalam kepada semua orang, terutamanya kanak-kanak yang sedang dalam peringkat tumbesaran,” kata Dr. Abu Tayyem. “Ini disebabkan kekurangan makanan berkhasiat dan nutrien penting, yang telah menjejaskan kesihatan bayi baru lahir dan kanak-kanak, serta pembinaan imuniti mereka, menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada penyakit berjangkit.”

Yasmin menambah, “Anak saya sentiasa batuk. Saya menghabiskan sebahagian besar masa saya di hospital. Anak saya tidak ketawa, tidak bermain, tidak minum susu. Dia hanya tidur sepanjang masa. Doktor berkata kami mesti menjauhkan dia daripada asap api [untuk membantu mengurangkan batuk], tetapi bagaimana? Semua makanan dimasak di atas api.”

An infection prevention and control (IPC) assistant nurse, walks through the hallways of the paediatric department at the MSF-supported Nasser Hospital in southern Gaza.

Bilal Abu Saada, seorang Penolong Jururawat Pencegahan dan Kawalan Jangkitan (IPC), berjalan melalui lorong-lorong di jabatan pediatrik di Hospital Nasser yang disokong oleh Doctors Without Borders di selatan Gaza. Wilayah Palestin, Oktober 2024. © MSF

Untuk memenuhi keperluan perubatan yang semakin meningkat, di Khan Younis, Selatan Gaza, pasukan Doctors Without Borders menyokong jabatan pediatrik di Hospital Nasser, termasuk bilik kecemasan (ER), unit rawatan rapi pediatrik (PICU) dengan sembilan katil, dan unit rawatan rapi bayi baru lahir (NICU) dengan 23 katil.

Aktiviti Doctors Without Borders dalam penjagaan pediatrik, neonatal, dan obstetrik hanyalah setitik dalam lautan keperluan perubatan yang sangat besar di Gaza. Gencatan senjata segera dan kekal di Gaza adalah satu-satunya penyelesaian untuk meringankan penderitaan penduduk Gaza dan menjamin akses kepada penjagaan kesihatan serta bantuan kemanusiaan.