Skip to main content

Tebing Barat: Akses kepada rawatan perubatan berisiko ketika pencerobohan Israel semakin memuncak

A house in Jenin camp damaged multiple times by Israeli forces during their violent military incursions

Sebuah rumah di kem Jenin telah beberapa kali dirosakkan oleh tentera Israel semasa pencerobohan ketenteraan mereka yang ganas, termasuk oleh jentolak-jentolak semasa pencerobohan yang berlangsung sejak 21 hingga 23 Mei. Wilayah Palestin, Mei 2024. © Oday Alshobaki/MSF

Pencerobohan Israel, yang bermula pada awal pagi 28 Ogos, juga telah menyebabkan kerosakan besar-besaran kepada infrastruktur jalan raya, rangkaian elektrik dan bekalan air, secara serius menghalang keupayaan Doctors Without Borders untuk menggerakkan aktiviti perubatan di bandar Jenin dan Tulkarm.

Akses-akses perubatan yang ada sangat terhad di bandar Tulkarm serta kem-kem pelariannya dan kerosakan pada infrastruktur besar. Ia hampir mustahil untuk sampai kepada mereka yang memerlukan. Pencerobohan ini tidak diberikan makluman, menyebabkan orang ramai kebayakannya tidak bersedia. Antara lain, ibu-ibu memberitahu kami bahawa mereka tidak mempunyai makanan yang mencukupi untuk bayi-bayi mereka. Para penduduk merasakan terperangkap dan juga terasing.
Kakitangan Doctors Without Borders

“Kakitangan kami kini terhad dalam pergerakan mereka serta keupayaan untuk memberikan sokongan langsung kepada penduduk. Kami hanya mampu untuk memberikan pertolongan awal psikologi kecemasan di Tulkarm dan menyampaikan sumbangan [bekalan perubatan, susu bayi dan lampin] di Jenin," kata Penyelaras Projek Doctors Without Borders Caroline Willemen.

"Pencerobohan ini perlu dihentikan dan akses tanpa halangan kepada kesihatan dipulihkan secepat mungkin."

Di Hebron, tentera-tentera Israel telah menyekat akses masuk dan keluar bandar itu, menghalang pasukan-pasukan Doctors Without Borders daripada menyediakan khidmat klinik bergerak dan menyokong wad bersalin Doctors Without Borders yang terletak di luar bandar berkenaan. Di dalam bandar , klinik Doctors Without Borders sedang beroperasi, namun orang ramai melaporkan bahawa sekatan dan perasaan tidak selamat menghalang pesakit-pesakit daripada mengaksesnya.

Di Jenin dan Tulkarm, ambulans-ambulans dan para pekerja kesihatan telah berulang kali diserang, secara serius menjejaskan aktiviti-aktiviti perubatan. Selepas lapan hari pencerobohan, keperluan-keperluan semakin meningkat, terutamanya di kem-kem, dan lebih banyak tindak balas kemanusiaan diperlukan.

"Kenderaan-kenderaan berperisai milik Israel ditempatkan di pintu-pintu masuk ke hospital Khalil Suleiman yang disokong Doctors Without Borders di Jenin, dan kakitangan hospital sedang bergelut untuk mengekalkan aktiviti-aktiviti dalam keadaan kekurangan bekalan elektrik dan air," kata Willemen.

Seorang paramedik sukarelawan yang telah dilatih oleh Doctors Without Borders menerangkan bagaimana dia tercedera semasa memberikan pertolongan cemas kepada seorang pesakit di sebuah kem di Tulkarm: “Walaupun ketika memakai pakaian seragam perubatan saya, saya terkena peluru dari udara dan cedera pada bahagian atas mata saya dan mengalami kecederaan akibat serpihan.”

Seorang lagi paramedik yang telah dilatih oleh Doctors Without Borders menerangkan bagaimana para tentera Israel memasuki rumahnya dan mengancamnya: “Pasukan tentera Israel memecahkan pintu saya. Saya memberitahu mereka beberapa kali bahawa saya adalah seorang sukarelawan kepada organisasi perubatan, tetapi mereka telah mengheret saya keluar dan telah menendang belakang saya sebelum mengacukan senjata ke kepala saya.”

Serangan ke atas Tebing Barat baru-baru ini adalah yang paling hebat sejak 2002. Sehingga 5 September, 39 rakyat Palestin telah terbunuh dan 140 telah cedera sejak 28 Ogos, menurut Kementerian Kesihatan. Serangan-serangan ini adalah sebahagian daripada corak keganasan yang lebih luas yang telah merosot dengan ketara sejak permulaan peperangan itu di Gaza. Lebih daripada 652 rakyat Palestin telah terbunuh di Tebing Barat sejak Oktober 2023.

Doctors Without Borders menyeru orang-orang awam, petugas-petugas kesihatan, ambulans-ambulans, kemudahan-kemudahan kesihatan dan hospital-hospital dilindungi dengan apa cara sekalipun. Sebagai kuasa penjajah, pihak berkuasa Israel mesti berpegang kepada kewajipan-kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk menjamin akses tanpa halangan kepada penjagaan kesihatan dan perkhidmatan-perkhidmatan penting lain di Tebing Barat.