Soalan lazim
- Apa langkah perlu diambil melalui proses pengambilan?
Anda dinasihat meluangkan sebanyak mungkin masa sebelum dapat ke lapangan, mengambil kira proses meliputi temu duga, pemeriksaan pengambilan dan kursus pra-pelepasan. Kadang-kadang ia mengambil masa enam bulan atau lebih lama bermula permohonan hinggalah ke lapangan.
- Kaji jika anda sesuai dengan profil lapangan kami. Kaji profil anda dan jika boleh hadiri sesi informasi Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF).
- Sediakan permohonan anda dan mohon secara dalam talian. Pemohon melengkapkan borang permohonan dalam talian, termasuk CV terkini dan borang penilaian kendiri kemahiran. Untuk sesetengah profil, bukti diploma dan rujukan diperlukan.
- Permohonan anda kemudian dinilai pegawai pengambilan, sesetengah profil dinilai secara teknikal untuk pengesahan tambahan. Profil dipilih akan turut menjalani penilaian dan pengesahan kemahiran teknikal tambahan, pemohon berkenaan akan diminta mengisi borang tambahan. Penilaian permohonan boleh mengambil masa kira-kira empat minggu selepas permohonan diterima.
- Pemohon berjaya disaring dijemput menghadiri temu duga bersama pegawai pengambilan. Temu duga berlangsung dalam talian jadi pastikan anda mempunyai sambungan Wi-Fi yang baik, panggilan video/ kamera dan privasi untuk memudahkan anda fokus kepada temu duga. (Dalam sesetengah situasi, mungkin diperlukan temu duga atau penilaian secara berdepan, namun disebabkan COVID-19 penilaian secara berdepan ditangguhkan sementara sehingga notis lanjut).
- Apabila berjaya melepasi temu duga dan semakan rujukan, calon dijemput menghadiri (lebih kurang tiga hari) kursus induksi bukan teknikal dipanggil 'Welcome to Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF)'. Kursus ini sebahagian daripada proses pengambilan. Sesetengah calon masih boleh ditolak atau mungkin penilaian tambahan diperlukan.
- Selepas berjaya melengkapkan kursus 'Welcome to Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF)' calon diterima masuk ke dalam kelompok petugas lapangan aktif.
- Penempatan untuk tugasan lapangan semuanya bergantung kepada keperluan lapangan dan boleh mengambil masa beberapa bulan bermula daripada waktu penerimaan masuk kelompok aktif.
- Selepas anda dipadankan dengan misi lapangan berdasarkan profil anda, ketersediaan dan keadaan perubatan di lokasi pilihan; visa, tiket penerbangan, taklimat dan keperluan lain yang diperlukan akan diuruskan untuk membantu anda bersedia menyertai pasukan lapangan anda.
- Adakah ditetapkan had umur?
Tiada, Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) tidak mendiskriminasi dari segi usia. Namun, petugas lapangan perlu memiliki kecergasan fizikal dan mental untuk menempuhi tuntutan keadaan dihadapi dalam tugasan lapangan.
Sila ambil perhatian: di sesetengah negara di mana Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) bekerja, mungkin ada had usia ditetapkan undang-undang antarabangsa, yang mana sesetengah profil mungkin tidak boleh mendapatkan permit kerja yang diperlukan.
- Jika saya bukan seorang profesional perubatan, bolehkah saya berkhidmat bersama Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) di lapangan?
Ya, Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) turut merekrut pertugas lapangan dalam kalangan profesional bukan perubatan seperti jurutera, jurubina dan arkitek, juruelektrik, mekanik, pakar jaringan bekalan, pakar air dan sanitasi (Watsan), akauntan dan pakar kewangan, profesional komunikasi serta advokasi.
- Apa kriteria pengambilan Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF)?
Kriteria penting untuk bekerja di lapangan sekurang-kurangnya memiliki dua tahun pengalaman profesional di lapangan, sijil profesional semasa, pengalaman kerja berkaitan di persekitaran sumber dan kemanusiaan yang terhad, serta ketersediaan sekurang-kurangnya sembilan hingga 12 bulan untuk misi pertama (kecuali pakar bedah, pakar bius, jururawat bilik bedah dan obstetrik-ginekologi, yang mungkin diterima untuk tugasan singkat 6-8 minggu). Tempoh misi kedua dan berikutnya berbeza-beza antara tiga hingga enam bulan.
Aset yang memberi kelebihan kepada pemohon adalah fleksibiliti, projek khidmat komuniti, boleh menyesuaikan diri dengan keadaan hidup yang asas, serta kemahiran bahasa asing.
Maklumat lanjut disediakan pada halaman kriteria penting.
- Bolehkah pasangan memohon bekerja bersama dalam satu projek sama?
Kami selalunya tidak dapat menempatkan pasangan bersama dalam tugasan pertama mereka, memandangkan setiap individu dipadankan mengikut kekosongan spesifik serata dunia, berdasarkan kemahiran mereka.
Ia juga mungkin sukar untuk menempatkan pasangan di tempat sama pada waktu yang sama apabila mereka mempunyai pengalaman bersama Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF), memandangkan kekosongan berbeza wujud pada waktu yang berbeza.
- MSF memerlukan minimum dua tahun pengalaman profesional. Untuk pakar, adakah ini bermakna dua tahun sejak mereka memiliki kelayakan, contohnya, sebagai doktor, atau dua tahun sejak mereka memiliki kelayakan dalam kepakaran tertentu?
Pengalaman minimum 2 tahun ini berkaitan jawatan lapangan yang akan mereka penuhi. Kebiasaannya mereka yang memiliki kelayakan sebagai pakar memohon bekerja bersama Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) dalam bidang kepakaran mereka, yang mana keperluan ditetapkan dua tahun itu dalam bidang kepakaran terbabit.
Namun, biasanya seorang pakar sanggup mengisi jawatan yang lebih umum. Contohnya, seorang Pakar Bedah Saraf mungkin rela bekerja sebagai Pakar Bedah Umum dalam misi lapangan, atau seorang Pakar Pediatrik mungkin mengisi jawatan Doktor Perubatan (MD). Dalam kes ini, dua tahun pengalaman adalah berkaitan kelayakan asas mereka. Namun keperluan itu adalah untuk pengalaman semasa. Seseorang yang sudah bekerja sebagai pakar selama bertahun-tahun mungkin tidak, contohnya, memiliki pengalaman semasa sebagai seorang MD.
Lebih maklumat disediakan pada halaman kriteria penting.
- Berapa lama diperlukan untuk proses pengambilan?
Proses permohonan secara purata memakan masa kira-kira tiga hingga enam bulan atau lebih lama untuk profil tertentu kerana ia bergantung kepada (keutamaan) keperluan aktiviti.
- Berapa lama diperlukan untuk membuat keputusan bagi satu-satu permohonan?
Jika permohonan anda lengkap, kami jangka permohonan anda boleh disaring dalam tiga hingga empat minggu bekerja, namun, tempoh menunggu lebih lama kadang-kala dijangka disebabkan jumlah permohonan banyak atau keadaan luar jangka lain.
Proses pengambilan
- Berapa lama misi MSF?
Untuk misi pertama anda, kami meminta komitmen minimum 9-12 bulan, namun, mungkin ada pengecualian untuk profesional berkaitan surgeri (contohnya pakar bedah, pakar bius, jururawat bilik bedah dan ob-gyn) yang mana diterima untuk misi pendek 6-8 minggu. Bagi sesetengah kepakaran seperti pediatrik, jururawat neonatal, doktor perubatan ICU dan ER durasi minimum mungkin 6 bulan.
Tempoh untuk misi berikutnya berbeza-beza bergantung kesediaan jawatan. Sesetengah jawatan projek mungkin untuk minimum 6 bulan, sementara jawatan lain mungkin masih memerlukan komitmen 9-12 bulan. Ia bergantung kepada konteks dan keperluan projek.
Untuk kecemasan (contohnya bencana alam, pandemik) ia mungkin antara 6-8 minggu hingga 3 bulan secara purata, dan untuk projek ini, kemampuan anda untuk berlepas dengan notis singkat diperlukan.
- Bagaimana cara saya ditempatkan untuk tugasan?
Secara purata, kira-kira 2-3 bulan sebelum bermulanya keberadaan staf, MSF akan mula mencari kekosongan lapangan yang bersesuaian dengan pengalaman profesional anda. Senarai jawatan kosong di lapangan disediakan Pusat Operasi kepada MSF.
HR lapangan dan pengurus kerjaya akan mencadangkan kakitangan untuk kekosongan yang sesuai. Keputusan akhir mengenai penempatan dibuat Pusat Operasi selepas mempertimbangkan calon sesuai daripada semua seksyen MSF bagi setiap kekosongan yang tersedia.
- Perlukah diadakan saringan kesihatan sebelum bergerak ke lapangan?
Anda akan diminta melengkapkan borang pelepasan perubatan sebelum menyertai tugasan. Semua maklumat perubatan bersifat sulit dan tidak akan dikongsi tanpa persetujuan anda.
- Bolehkah saya pilih atau memohon negara tertentu untuk saya bekerja?
MSF menempatkan pekerja lapangan dalam sesuatu tugasan berdasarkan kepada (penting) keutamaan kekosongan dan keperluan di lapangan, selain berpandukan kepakaran dan kekosongan yang ada. Pekerja lapangan memang mempunyai kata putus sama ada menerima atau menolak sesuatu misi, namun mereka diharapkan bersifat terbuka kepada kepelbagai lokasi serta aktiviti dan ini tidak boleh dipandang ringan.
Kami tidak merekrut untuk tugasan atau negara tertentu. Kami merekrut sesiapa yang memenuhi kriteria kami, dan kemudian kami akan cuba mencari posisi sesuai untuk anda. Namun, kemahiran istimewa anda, bahasa dan soalan berkaitan sekuriti akan diberikan perhatian untuk setiap penempatan.
- Bolehkah keluarga atau pasangan saya menemani atau melawat saya ketika misi?
Dalam banyak kes, keadaan hidup di lapangan (sekuriti, perumahan, dsb) menyebabkan mustahil untuk pekerja lapangan ditemani anak atau pasangan yang tidak menyertai misi. Ini sememangnya realiti bagi semua tugasan awal.
Ada sesetengah posisi dan misi di mana tanggungan dibenarkan atau keluarga dan rakan boleh melawat untuk bercuti, namun, ia bergantung kepada konteks sekuriti dan polisi misi yang disertai.
- Insurans apa yang melindungi pekerja lapangan?
MSF ada polisi insurans untuk semua staf lapangan yang meliputi insurans kesihatan, kemalangan dan liabiliti profesional, repatriasi, insurans kehilangan bagasi/barangan ketika penerbangan. Jika sakit atau kemalangan yang mana tidak memperlukan repatriasi ke negara asal, insurans melindungi semua perbelanjaan dari tempat bekerja ke hospital rujukan paling sesuai mengikut kelayakan.
Semua pekerja lapangan MSF juga dilindungi SOS Antarabangsa, syarikat insurans peribadi antarabangsa yang meliputi repatriasi perubatan seluruh dunia oleh staf perubatan yang layak.
Kami menggalakkan staf MSF tidak membawa barangan berharga bersama ke lokasi projek kerana ia mungkin mudah rosak.
- Adakah saya akan diberi kontrak pengambilan atau gaji?
Anda akan menerima kontrak mengikut pampasan dan pakej Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF). Butiran lanjut kontrak anda berbeza bergantung kepada tempoh misi dan tahap pengalaman.
Sebagai pekerja, anda akan menerima gaji, perlindungan insurans komprehensif, vaksinasi dan sokongan lain berkaitan kesihatan, sokongan psikologi, akses kepada peluang latihan dan pembayaran balik untuk perjalanan berhubung kerja dan perbelanjaan berkaitan.
- Apa perbelanjaan yang mungkin saya perlu tanggung?
Selepas tugasan disahkan, Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) akan bertanggungjawab untuk semua perjalanan, visa dan vaksinasi. Semua staf lapangan menerima bayaran mengikut hari (per diem) sementara dalam tugasan di lapangan.
Jadi secara umum, selain barangan peribadi, hampir semua kos ditanggung atau dibayar semula oleh Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) .
- Apa jenis bayaran, faedah dan perbelanjaan ditanggung oleh Doctors Without Borders?
Gaji pokok bermula kira-kira 1,100-1,300 EURO kasar (kira-kira 5,500 – 6,500 Ringgit Malaysia bergantung kepada kadar pertukaran) untuk 12 bulan pertama dan akan dimasukkan ke akaun bank individu setiap bulan. Selepas 12 bulan misi, gaji anda akan dikira semula berdasarkan pengalaman kerja yang berkenaan.
Selain gaji pokok, pekerja lapangan turut menerima elaun harian dalam mata wang tempatan apabila berada di lapangan serta faedah lain seperti penerbangan pulang dan elaun tambahan, bergantung kepada tempoh misi dan kontrak.
Penempatan pekerja lapangan
- Apa berlaku jika saya cedera atau jatuh sakit?
Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) menyedikan insurans perubatan, termasuk perlindungan untuk evakuasi medikal jika perlu. Sebagai tambahan, pakar perubatan dalam setiap pasukan bertanggungjawab merawat kecederaan ringan atau penyakit serta mempunyai kapasiti merujuk keperluan rawatan lebih serius jika perlu.
- Bagaimana dengan keadaan hidup? Apakah saya perlu berkongsi bilik? Bagaimana dengan Wi-Fi?
Keadaan hidup bergantung kepada projek dan lokasi. Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) berusaha menyediakan keperluan keadaan hidup mencukupi dalam semua projek kami, namun, keadaan ini kadang-kadang ringkas.
Ada situasi di mana anda perlu berkongsi bilik dengan rakan setugas atau berkongsi bilik air (biasanya berbeza ikut jantina). Bekalan makan dan barangan peribadi mungkin juga terhad mengikut bekalan setempat.
Di banyak tempat, kami cuba untuk menyediakan akses Wi-Fi namun ia bergantung kepada lokasi dan tidak selalunya dijamin.
- Bagaimana dengan waktu bekerja dalam projek MSF?
Waktu bekerja bergantung mengikut projek, secara purata, rehat diberi sehari dalam seminggu. Kerja boleh jadi mencabar dan anda mungkin diminta untuk bekerja dalam tempoh yang lama. Namun, waktu tetap disediakan untuk rehat dan relaks.
- Adakah saya dibenar bercuti atau mungkin mengambil cuti tahun atau waktu untuk berehat?
Amalan biasa ialah setiap tiga bulan bekerja, anda akan diberi seminggu cuti (ini bergantung kepada misi anda dan lokasi). Untuk bercuti biasanya ia diambil di luar negara misi anda. Namun ada sesetengah misi di mana anda dibenar bercuti dalam negara misi terbabit, namun, ia bergantung kepada konteks sekuriti dan polisi yang ada.
Anda akan diberikan prorata kira-kira 25 hari cuti tahunan, dikira berdasarkan durasi kontrak anda. Sebagai tambahan kepada cuti tahunan, anda boleh memanfaatkan cuti umum tempatan, atau cuti tambahan seperti rehat dan rawat (R&R) berdasarkan keadaan spesifik projek anda.
- Apa sokongan yang disediakan di lapangan dan selepas anda pulang daripada penempatan?
Di ibu kota negara tempat anda bekerja, akan ada satu pasukan petugas lapangan berpengalaman yang akan memberi anda sokongan sepanjang tugasan. Anda akan mempunyai akses kepada rujukan teknikal untuk profesion tertentu yang boleh membantu memberikan sokongan teknikal sepanjang tugasan anda.
Di peringkat HQ, akan ada unit/ sel yang turut menyediakan sokongan kepada pasukan. Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) juga menyediakan protokol, garis panduan dan bahan rujukan yang tersedia untuk anda.
Di penghujung penugasan anda Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) akan menyediakan pakej sokongan psikologi pasca tugasan serta ujian perubatan pasca misi.
- Bagaimana MSF menguruskan keselamatan dan sekuriti di lapangan?
Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) menyediakan prosedur pengurusan risiko yang menyeluruh dan garis panduan sekuriti yang sentiasa dikemas kini untuk setiap projek.
Petugas lapangan diberikan penerangan mengenai situasi keselamatan negara sebelum bergerak ke lapangan, dan sejurus tiba di lokasi projek akan diberi penerangan keselamatan khusus serta protokol. Pematuhan kepada garis panduan lapangan berkaitan untuk diri dan pasukan serta aspek keselamatan adalah penting.
- Apa penyakit utama boleh anda jangka dirawat melalui tugasan MSF?
Ia bergantung kepada bidang kepakaran anda dan projek. Untuk peranan medikal, anda mungkin berurusan dengan malaria, penyakit berkaitan parasit, penyakit berkaitan cirit-birit, demam yang tidak diketahui punca atau jangkitan respiratori. Sesetengah program kami mempunyai fokus spesifik, seperti tuberkulosis dan HIV/AIDS. Penyakit kanak-kanak adalah biasa, dan vaksinasi satu keutamaan. Kurang nutrisi ditemui dalam banyak projek kami. Di luar isu ambulatori, pediatrik dan perubatan tropika, amat penting untuk anda memiliki pengalaman berkaitan dalam masalah obstetrik dan ginekologi, kesihatan mental, dermatologi tropika, trauma, isu surgikal, ortopedik dan penstabilan pesakit tenat dengan sumber canggih yang sedikit.
- Bagaimana MSF mengendalikan dakwaan gangguan seksual dan salah laku?
Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) mengutamakan persekitaran kerja yang bebas daripada gangguan dan penderaan. Kepemimpinan kami menyatakan komitmen tegas untuk memerangi penderaan dan menguatkuasakan mekanisme serta prosedur untuk mencegah dan menanganinya. Ini termasuk memperkasa saluran aduan di segenap peringkat organisasi dan menyokong mangsa serta pengadu. Mangsa dan saksi dalam komuniti di mana MSF bekerja juga disaran melaporkan salah laku kepada kami supaya tuduhan boleh ditangani selayaknya.
- Apakah MSF menyediakan sokongan untuk psikologi dan kesihatan mental?
Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) mempunyai beberapa Unit Penjagaan Psikososial (PSCU) yang menyediakan sokongan pra pelepasan dan pasca tugasan kepada petugas lapangan.
Staf sokongan PSCU kami mempunyai pengalaman dalam kerja lapangan dan menyediakan sokongan kesihatan mental dalam konteks kemanusiaan antarabangsa. Khidmat disediakan dalam bahasa Inggeris dan mungkin juga terdapat dalam bahasa lain jika perlu.
Hidup di lapangan dan selepas misi anda
- Apakah terdapat peluang belajar dan peningkatan kerjaya di lapangan?
Kami amat menggalakkan kakitangan untuk terus bekerja bersama kami selepas tugasan pertama mereka. Untuk itu, kami menawarkan pelbagai peluang kerjaya kepada pekerja lapangan kami.
Anda boleh memperluaskan pengalaman profesional dengan bekerja di pelbagai projek serta lokasi berbeza, dan anda akan mempunyai akses kepada kursus latihan dikendalikan secara dalaman atau melalui penyedia luaran.- Adakah terdapat peluang peningkatan kerjaya?
Ada banyak peluang kerjaya jangka panjang bersama Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF). Dengan kepelbagain pengalaman dalam projek berbeza, anda boleh memohon jawatan dalam koordinasi lapangan atau peranan penasihat dalam pusat operasi kami.
Jika anda berminat membina karier bersama MSF, anda boleh berbincang pilihan anda ketika proses pengambilan dan, jika permohonan anda berjaya, anda akan dipadankan dengan pengurus karier yang akan menjadi individu rujukan untuk peningkatan kerjaya anda bersama MSF.
Peluang kerjaya dan peningkatan
Soalan lain?
Hubungi kami untuk pertanyaan yang tidak dijawab dalam soalan lazim ini. Kami akan membalas secepat mungkin, biasanya dalam dua minggu.