Utara Gaza: "Kemusnahan amat dahsyat. Keadaannya sukar digambarkan."
Di kejiranan Shujaeyya, di Jalan Baghdad, Bandar Gaza, seorang wanita sedang mendukung anaknya pulang melalui runtuhan. Wilayah Palestin, September 2024. © MSF
Meskipun gencatan senjata di Gaza akhirnya diumumkan, rakyat di seluruh wilayah ini terus menderita akibat serangan udara tanpa henti oleh pasukan Israel dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Kawasan utara Gaza khususnya berada dalam kepungan dan mengalami serangan serta pengeboman dahsyat.
Dalam keadaan yang amat genting ini, hampir tiada bantuan kemanusiaan berjaya memasuki wilayah utara, menyebabkan penduduk terputus daripada akses kepada keperluan asas, termasuk rawatan kesihatan. Hospital-hospital turut menjadi sasaran serangan dan kepungan, menjadikan keadaan semakin meruncing.
Di klinik kami di Gaza City, para pesakit yang berjaya melarikan diri daripada keganasan menceritakan pengalaman mereka ketika berada di bawah kepungan, menggambarkan keperitan dan ketakutan yang mereka alami sepanjang tempoh tersebut.
Mustafa Hassan Abu Hamada dan keluarganya menetap di kem Jabalia, utara Gaza, ketika serangan ketenteraan Israel yang kejam baru-baru ini mengakibatkan kemusnahan menyeluruh di bandar tersebut. Serangan itu telah meragut nyawa serta mencederakan ramai orang awam, termasuk kakitangan Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF).
“Di hadapan kami, orang ramai cuba melarikan diri di persimpangan Al-Awda, tetapi mereka ditembak. Kami terpaksa berpatah balik. Kami berkata, ‘Biarlah kami mati di rumah sendiri.’ Saya lebih rela mati di rumah sendiri daripada menjadi pelarian,” kata Mustafa.
Di Al Saraya, Gaza City, penduduk duduk di atas runtuhan rumah mereka yang musnah, sementara khemah mereka didirikan bertentangan dengan sisa-sisa kehancuran. Wilayah Palestin, November 2024. © MSF
Sejak 6 Oktober 2024, tentera Israel telah melancarkan serangan darat di Gaza utara. Serangan ini bukan sekadar operasi ketenteraan biasa, sebaliknya ia menggambarkan kezaliman perang yang sedang dilancarkan ke atas Gaza. Kehidupan rakyat Palestin di kawasan tersebut semakin terhapus akibat keganasan yang berterusan.
Sabah Al-Sharawi, seorang penduduk Beit Hanoun, menceritakan detik-detik cemas ketika rumahnya menjadi sasaran serangan udara Israel.
"Apabila tentera Israel tiba, kami hanya sempat bertahan selama satu atau dua jam sebelum peluru mula menghujani kami dari segala arah," katanya.
"Peluru pertama menembusi ruang tamu dan terkena kedua-dua kaki saya," jelas Sabah. "Kami segera dibawa ke Hospital Kamal Adwan untuk mendapatkan rawatan."
Seorang jururawat Doctors Without Borders sedang merawat balutan luka seorang kanak-kanak di klinik di Bandar Gaza. Kanak-kanak perempuan itu mengalami kecederaan akibat kebakaran selepas rumah keluarganya di Beit Hanoun menjadi sasaran serangan. Wilayah Palestin, Disember 2024. © MSF
Dalam perjalanan, kami melihat mayat bergelimpangan di merata tempat. Anjing-anjing liar berkeliaran, menggigit tubuh-tubuh yang tidak bernyawa. Di atas, dron berlegar tanpa henti, sementara sebuah helikopter berputar-putar di udara.
Sabah, seorang penduduk Gaza, terpaksa dipindahkan dari Kamal Adwan ke Gaza City akibat serangan yang tidak berkesudahan. Kini, beliau dalam keadaan terhimpit dan menerima rawatan bagi kecederaannya di Klinik Doctors Without Borders di Gaza.
“Saya mengebumikan anak perempuan saya dan terus pergi. Saya tidak sempat menatap wajahnya buat kali terakhir. Saya tidak dapat melihat anak saya. Saya tidak dapat melihat insan tersayang. Saya pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal,” luah Sabah dengan penuh kepiluan.
Selain kemusnahan yang berterusan, serangan ini telah menyebabkan ribuan penduduk di utara Gaza tanpa akses kepada bekalan makanan, air, dan rawatan kesihatan. Keadaan ini membawa kesan yang amat buruk, terutamanya terhadap warga emas, kanak-kanak, serta individu yang mempunyai keperluan khas, termasuk mereka yang mengalami kecacatan.
Pada suatu hari hujan di Bandar Gaza, suasana di sekitar Klinik Doctors Without Borders kelihatan suram dan basah. Wilayah Palestin, Disember 2024. © MSF
Sejak beberapa minggu yang lalu, hospital-hospital di Gaza telah mengalami kepungan serta serangan ganas secara berperingkat, menyebabkan kemudahan kesihatan semakin berkurangan. Ramai petugas perubatan turut menjadi mangsa, termasuk seorang staf Doctors Without Borders yang telah ditahan. Secara beransur-ansur, jumlah hospital yang beroperasi untuk orang awam semakin berkurangan. Sejak 9 Januari 2025, tiada lagi hospital yang berfungsi di utara Gaza bagi mereka yang memerlukan rawatan perubatan.
Selain itu, sejak 21 November 2024, pihak berkuasa Israel tidak membenarkan sebarang trak bekalan perubatan dari Doctors Without Borders memasuki kawasan utara Gaza. Hal ini menyebabkan pesakit, termasuk mereka yang mengalami kecederaan akibat peperangan, hampir tidak mempunyai akses kepada rawatan yang diperlukan.
Dalam keadaan yang semakin genting, ramai penduduk Gaza terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk berpindah ke Bandar Gaza demi mendapatkan perlindungan dan rawatan. Di klinik kami, peningkatan mendadak pesakit yang memerlukan rawatan semakin ketara. Sebelum Oktober 2024, pasukan kami menyediakan kira-kira 600 sesi rundingan perubatan setiap minggu. Namun, sejak serangan ganas bermula, jumlah itu meningkat lebih daripada 1,400 sesi seminggu sehingga Disember 2024, dengan peratusan pesakit yang mengalami kecederaan akibat kebakaran semakin bertambah.
Situasi ini benar-benar luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya berusia 40 tahun, dan sepanjang hidup saya, belum pernah saya menyaksikan tahap keganasan atau konflik sebegini. Peperangan ini telah memusnahkan pelbagai aspek kehidupan. Bekalan air minum tidak tersedia. Makanan, malangnya, tidak mencukupi. Keadaan ini amat memilukan.Mohammed Wadi, Timb. Penyelaras Perubatn
Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?
Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan menderma hari ini.