Perang habis-habisan Israel ke atas Gaza mesti ditamatkan dan sekutunya mesti berhenti menyokongnya
Rasha Misbeh, 24 tahun, yang kini menjadi pelarian di Al Mawasi, Khan Younis, Gaza, menzahirkan keperluan mendesak bagi air minuman yang bersih ketika anak-anaknya menderita penyakit kulit yang semakin merebak. “Semua kanak-kanak terjejas; tiada seorang pun yang terkecuali,” katanya. Wilayah Palestin, Ogos 2024. © Nour Daher
Baitulmaqdis, 2 Oktober 2024: Sudah hampir setahun Israel melakukan pembunuhan tanpa henti di Semenanjung Gaza, Palestin. Sejak kekejaman dilakukan Hamas pada 7 Oktober 2023, meragut sehingga 1,200 nyawa orang dan kira-kira 250 lagi dijadikan tebusan, tentera Israel melancarkan perang habis-habisan terhadap penduduk di Semenanjung Gaza, membunuh lebih 41,500 orang, serta mencederakan lebih 96,000 yang lain. Orang ramai berulang kali berpindah randah dan dipaksa bersesak ke kawasan yang semakin mengecil di sebalik pengeboman dan keadaan yang semakin tidak berperikemanusiaan.
Selama setahun, Israel, Hamas dan sekutu masing-masing gagal mencapai kata sepakat berhubung gencatan senjata yang berterusan di Gaza, ketika risiko konflik serantau yang besar kini semakin meningkat. Israel perlu segera menghentikan pembunuhan orang awam di Gaza dan segera memudahkan penyampaian bantuan untuk mengurangkan penderitaan dalam Semenanjung itu, termasuk melalui pembukaan semula lintasan sempadan yang penting, dengan mematuhi langkah-langkah diminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Kakitangan perubatan Doctors Without Borders/ Médecins Sans Frontières’ (MSF) merawat pesakit setiap hari dengan kecederaan yang disebabkan pengeboman besar-besaran. Orang ramai mengalami luka kelecuran yang teruk, tulang remuk, serta terpisah. Sejak awal perang, pasukan Doctors Without Borders merawat lebih 27,500 pesakit kerana kecederaan berkaitan keganasan, dengan lebih 80 peratus luka dikaitkan dengan tembakan.
Pemandangan umum bangunan yang musnah di kawasan Al-Shifa, berhampiran klinik Doctors Without Borders di Bandar Gaza, pada Jun 2024. Kemusnahan ini menzahirkan keperluan mendesak bagi bantuan kemanusiaan di wilayah tersebut. © MSF
Pengeboman oleh Israel di kawasan padat penduduk berulang kali menyebabkan kecederaan secara besar-besaran. Pasukan kami terpaksa melakukan pembedahan tanpa bius, menyaksikan kanak-kanak mati di lantai hospital akibat kekurangan sumber, malah terpaksa merawat rakan sekerja serta ahli keluarga mereka sendiri.Dr Amber, pengurus program perubatan
Pasukan Doctors Without Borders sudah sedia merawat kesan akibat sekatan, dan serangan berulang Israel ke atas penduduk di Gaza selama 17 tahun, termasuk merawat pesakit kerana kecederaan berpanjangan, keadaan kesihatan mental dan kelecuran yang teruk, yang berlaku sebelum 7 Oktober. Sejak tarikh itu, meskipun keperluan melonjak akibat tindakan Israel menyerang Semenanjung Gaza, akses kepada penjagaan kesihatan telah berkurangan.
Hari ini, hanya 17 daripada 36 hospital berfungsi secara separa. Pihak yang berperang membawa permusuhan berhampiran kepada kemudahan perubatan, membahayakan pesakit, penjaga dan kakitangan perubatan. Enam rakan sekerja Doctors Without Borders juga terbunuh. Mulai Oktober 2023, kakitangan dan pesakit dari Doctors Without Borders terpaksa meninggalkan 14 struktur kesihatan berbeza, disebabkan insiden serius dan pertempuran berterusan. Setiap kali kemudahan perubatan dipindahkan, ribuan orang kehilangan akses kepada rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa. Ini akan memberi kesan kepada kesihatan orang ramai, bukan sahaja dalam jangka masa terdekat, tetapi dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.
Di Hospital Al Nasser di Gaza, Jabatan Bersalin kini menguruskan sebanyak 25 hingga 30 kelahiran selamat setiap hari. Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding waktu sebelum peperangan, menjadikan hospital ini antara segelintir fasiliti bersalin yang masih beroperasi di Gaza Selatan. Jun 2024. © Mariam Abu Dagga/MSF
Kakitangan berdedikasi di Hospital Al Nasser, dengan sokongan daripada Doctors Without Borders, telah bekerja tanpa henti untuk membersih dan melengkapkan fasiliti ini demi pembukaan semula. Selepas enam minggu kerja pemulihan, hospital ini kini beroperasi melebihi kapasiti, menjadi salah satu daripada sedikit hospital yang masih berfungsi di Gaza untuk menyediakan penjagaan kesihatan tertiari penting. Wilayah Palestin, Jun 2024. © Mariam Abu Dagga/MSF
Kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan diburukkan lagi dengan kekurangan bekalan kemanusiaan yang mencukupi di Gaza. Pihak berkuasa Israel secara rutin menetapkan kriteria yang tidak jelas dan tidak dapat diramalkan untuk membenarkan kemasukan bekalan. Sebaik bekalan melintasi Semenanjung Gaza, ianya seringkali tidak sampai ke destinasi, disebabkan ketiadaan jalan selamat dan mudah diakses, pertempuran berterusan, serta rompakan makanan dan barangan bekalan asas.
Ketika keperluan perubatan di Semenanjung meningkat, kapasiti kami untuk bertindak balas berterusan terhad; kami tidak boleh mendapatkan bekalan kemanusiaan dan perubatan yang mencukupi ke Gaza. Hospital lapangan yang kami tubuhkan sebagai pilihan terakhir ibarat sekadar kain pembalut untuk memperbaiki kemusnahan disebabkan perang dan kemusnahan sistem penjagaan kesihatan. Malah persediaan mereka dihalang dan ditangguhkan dengan menyekat keupayaan kami untuk mendapatkan bahan dan peralatan. Setakat ini, kemudahan perubatan yang masih beroperasi tidak dapat menampung keperluan yang besar.Dr Amber, pengurus program perubatan
Ketika ketersediaan rawatan perubatan mengecil, begitulah juga pilihan untuk orang ramai mendapatkan penjagaan kesihatan yang sangat diperlukan di Gaza. Arahan pemindahan berulang kali menyebabkan 90 peratus orang berpindah ke kawasan yang dipanggil sebagai zon selamat yang dibom Israel berulang kali. Orang ramai kini digesa tinggal di kawasan kecil seluas 41 kilometer persegi, dengan tempat tinggal, makanan dan air yang terhad. Risiko penyakit meningkat akibat kesesakan. Daripada dua juta orang di Semenanjung Gaza, sekurang-kurangnya 12,000 orang terdesak perlu dipindahkan secara perubatan. Pemindahan perubatan mereka yang memerlukan, dan hak rakyat Palestin semata-mata mencari keselamatan untuk diri mereka dan keluarga mereka untuk meninggalkan Semenanjung, mesti segera dipermudahkan, tanpa menjejaskan hak mereka untuk kembali.
Sementara 12 bulan lalu ditandai dengan tindakan yang merosakkan, ia juga sebaliknya ditakrifkan oleh situasi memalukan akibat tidak yang tidak diambil.
Selama setahun, sekutu Israel terus memberikan sokongan ketenteraan mereka kepada Israel, ketika kanak-kanak terkorban beramai-ramai, kereta kebal menembak lokasi perlindungan yang tidak berkonflik, jet pejuang mengebom apa yang dipanggil sebagai zon kemanusiaan. Ini disertai naratif awam yang konsisten yang merendahkan manusia di Gaza dan gagal membezakan antara sasaran tentera dan kehidupan awam. Satu-satunya cara untuk menghentikan pembunuhan adalah dengan gencatan senjata serta-merta dan berterusanChris Lockyear, Setiausaha Agung
Berkali-kali, kesetiaan politik diutamakan lebih daripada nyawa manusia. Walaupun sekutu Israel secara terbuka membincangkan kepentingan gencatan senjata dan keperluan untuk memudahkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, mereka terus membekalkan senjata kepada Israel. Amerika Syarikat khususnya, walaupun baru-baru ini menyokong gesaan untuk gencatan senjata, telah kerap berusaha untuk mengelirukan, menyekat dan melemahkan usaha gencatan senjata melalui peranannya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sementara itu, perang di Gaza menyemarakkan ketegangan serantau, yang mencapai tahap merugikan. Serangan Israel melonjak di Tebing Barat, dan kini di Lubnan, dengan akibat yang memusnahkan orang awam.
Desakan Doctors Without Borders:
- Gencatan senjata berterusan mesti segera dilaksanakan.
- Pembunuhan beramai-ramai orang awam mesti segera dihentikan.
- Kemusnahan sistem penjagaan kesihatan dan infrastruktur awam mesti dihentikan.
- Kepungan Gaza mesti diakhiri.
- Israel mesti membuka sempadan darat yang penting, termasuk lintasan Rafah, untuk memastikan peningkatan besar-besaran bantuan kemanusiaan dan perubatan dapat sampai kepada mereka yang memerlukan sebagai perkara yang mendesak.
- Israel mesti memastikan pemindahan perubatan bagi mereka yang memerlukan rawatan perubatan khusus, termasuk penjaga mereka, dan membenarkan mereka yang ingin mencari keselamatan di luar negara berbuat demikian, sambil memastikan semua dijamin kembali ke Gaza dengan selamat, sukarela dan bermaruah.
- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mesti mengambil tindakan untuk memastikan gencatan senjata sebagai jaminan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta menamatkan rasa selesa dengan kemusnahan berterusan di Semenanjung Gaza.
TIND
Adakah anda akan menyokong kerja respons kecemasan kami?
Bantulah kami menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa semasa kecemasan dengan membuat sumbangan hari ini.