Skip to main content

Yaman: Kekurangan zat makanan bertambah buruk dalam kalangan kanak-kanak di Abs

An MSF doctor examines a child during a mobile clinic for displaced people in Khudaish camp, Abs, Yemen

Petugas perubatan Doctors Without Borders memeriksa seorang kanak-kanak semasa mengendalikan klinik bergerak untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal di kem Khudaish, Abs, Yaman. September 2020. © Tareq Farhan/MSF

Hamdi belum pun mencecah usia dua tahun, tetapi sudah dua kali dirawat sebagai pesakit di hospital Abs dikendalikan Doctors Without Borders, di utara Yaman. Kali pertama ketika dia berusia lima bulan. Sekarang, lebih setahun kemudian, dia menderita kekurangan zat makanan yang teruk dengan radang paru-paru. Kelopak matanya bengkak, dia mengalami batuk berterusan dan dia juga sukar bernafas. Keluarganya tinggal di negara yang berperang sejak enam tahun lalu, manakala dia mengenali perang sepanjang hidupnya.

Hamdi antara ratusan kanak-kanak yang dirawat Doctors Without Borders di pusat makan terapi pesakit dalam Abs sejak awal tahun ini. Sebilangan besar berusia bawah lima tahun, dan semuanya menderita kekurangan zat makanan yang teruk. Kami selalu melihat lonjakan kes di hospital sekitar sepanjang tahun ini, namun kali ini keadaannya lebih teruk: kes meningkat 41 peratus berbanding tempoh sama enam bulan tahun lalu. Menyakitkan apabila melihat anak-anak dimasukkan ke wad 50 katil di bandar terpencil ini.

Banyak sebab mengapa kita melihat kanak-kanak kekurangan zat makanan di Abs, tetapi kebanyakannya berkaitan dengan konflik kekejaman enam tahun yang melanda Yaman sejak 2015. Perang merosakkan ekonomi, merosakkan mata pencarian. Orang ramai tidak lagi mampu membeli makanan untuk mengisi perut keluarga mereka atau bahan bakar untuk melakukan perjalanan bagi mencari pekerjaan atau rawatan perubatan. Banyak kakitangan sektor awam - termasuk pekerja perubatan - tidak dibayar bertahun-tahun. Harga sentiasa meningkat: tanpa bantuan kemanusiaan, banyak keluarga tidak akan makan walaupun sekali.

Sebilangan besar penduduk Yaman bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup. Walaupun keperluan ini amat mendesak, menjadi cabaran berterusan bagi organisasi kemanusiaan untuk sampai kepada (komuniti) paling rentan ini. Tindak balas kemanusiaan untuk Yaman tidak berterusan, tidak mencukupi, dan berdepan kekurangan dana.

MSF doctor Naseer Abdulkarim checks a child suffering respiratory problems

Doktor Doctors Without Borders Naseer Abdulkarim memeriksa kanak-kanak yang mengalami masalah pernafasan ketika mengendalikan klinik bergerak di Al Matayn, berdekatan Abs. © Pau Miranda/MSF

Doctors Without Borders menggerakkan operasi di daerah Abs selama lebih lima tahun. Menyediakan program sokongan pemakanan yang lebih konsisten dan berkekalan serta meningkatkan akses kepada bekalan air di kedua-dua kem perpindahan dan hos komuniti akan mengurangkan kehadiran bilangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan ke hospital. Namun, jumlah pesakit yang kita rawat sering melebihi kapasiti wad.

Kekurangan zat makanan mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai penyakit sekunder, yang boleh membawa maut jika tidak dirawat. Cirit-birit, campak dan jangkitan pernafasan kedenagarn seperti penyakit normal bagi kebanyakan kanak-kanak seluruh dunia – namun bagi kanak-kanak yang sudah lemah dan kekurangan nutrien penting, serta jika tiada akses rawatan kesihatan yang tepat pada masanya, ia boleh membawa akibat yang mengancam nyawa. Banyak komplikasi kesihatan berkaitan kekurangan zat makanan yang kita rawat dapat dielakkan dengan penyediaan perkhidmatan asas di peringkat rawatan kesihatan primer.

Kami sedar, daripada ribuan pesakit yang kami rawat di hospital Abs setiap tahun, malangnya apa yang menimpa Hamdi tetap kisah biasa. Anak-anak yang kami rawat biasa mendengar ibu bapa mereka bimbang tentang keadaan ekonomi: bapa hilang berhari-hari mencari pekerjaan, untuk bahan bakar, atau makanan. Ibu pula melakukan semua yang mereka mampu untuk memberi keluarga makan - namun, walaupun semua usaha ini dilakukan, anak-anak tetap kelaparan. Walaupun kenyataan ini selalu muncul di berita utama, kita melihat sedikit perubahan di lapangan.

Dunia sibuk dengan banyak keutamaan lain, tetapi sukar untuk mempercayai bahawa pemerintah dan petugas kemanusiaan pada abad ke-21 tidak dapat melakukan lebih baik untuk anak-anak di Abs.

Warga Yaman didorong melepasi had ketahanan mereka. Perang mengorbankan sekitar 233,000 orang sejak 2015, menurut agensi kemanusiaan PBB. Ia menyebabkan jutaan kehilangan tempat tinggal, selalunya berkali ganda daripada itu. Ia merosakkan infrastruktur, dan sistem kesihatan khususnya. Masyarakat awam Yaman tidak boleh terus seperti ini. Pihak terbabit konflik dan komuniti kemanusiaan baik penderma atau organisasi, mesti memastikan keluarga menerima akses makanan dan perkhidmatan penting, serta bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang sangat memerlukan. Kanak-kanak yang kami rawat di hospital Abs, yang berjaya mengatasi kekurangan zat makanan yang teruk, penyakit jantung, radang paru-paru, dan penyakit serius yang lain, tidak boleh dihampakan oleh mereka.
 

Muriel Boursier
Ketua Misi

Muriel Boursier sedang bertugas sebagai ketua misi Doctors Without Borders di Yaman.