Skip to main content

Yaman: Lima sebab mengapa kekurangan zat makanan akut kanak-kanak meningkat di negara itu

A Doctors Without Borders nurse tends to a child, suffering from malnutrition, admitted in in the Inpatient Therapeutic Feeding Centre (ITFC) in Abs General Hospital, Hajjah Governorate. Yemen, 2022. © Mohammed Al-Shahethi/MSF

Jururawat Doctors Without Borders merawat seorang kanak-kanak, yang mengalami kekurangan zat makanan, dimasukkan ke Pusat Pemakanan Terapeutik Pesakit Dalam (ITFC) di Hospital Besar Abs, Gabenor Hajjah. Yaman, 2022. © Mohammed Al-Shahethi/MSF

Malnutrisi adalah risiko berterusan kepada kanak-kanak di Yaman. Negara ini menyaksikan lonjakan kes bermusim dan tahunan, biasanya dikaitkan dengan waktu antara musim menuai yang disebabkan gangguan pengeluaran pertanian di kawasan luar bandar. Corak ini dilihat sebelum meningkatnya perang pada akhir 2014, namun ia menjadi lebih teruk disebabkan kesan langsung dan tidak langsung konflik yang berterusan, yang memburukkan lagi ketidakamanan makanan bagi mereka yang sedia rentan.

Namun puncanya bukan sekadar disebabkan ketidakamanan makanan. Berikut lima faktor utama dinyatakan pasukan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) di seluruh Yaman yang menyumbang kepada peningkatan kekurangan zat makanan:

1. Kemampuan membeli makanan berkurangan

Banyak keluarga di Yaman tidak mampu membeli makanan yang mencukupi, mahupun makanan berkhasiat, kerana krisis ekonomi Yaman semakin meruncing menyebabkan harga melambung tinggi. Ramai tidak mempunyai akses kepada kerja bergaji atau kehilangan tempat tinggal akibat perang selama 8 tahun, akibat kemusnahan atau perpindahan. Nilai Riyal Yaman [mata wang rasmi Yaman] susut nilai, dan kos makanan serta pengangkutan - termasuk bahan api - meningkat, seterusnya menghalang akses orang ramai kepada makanan yang mencukupi.

Kami datang ke Hospital Abs beberapa kali dan dia bertambah baik. Kali terakhir dia dibenar keluar wad 20 hari lalu. Kami lebih suka datang ke sini kerana perkhidmatannya percuma. Bapa Abdullah tiada. Bersama ibunya, kami cuba memberinya makan apa yang kami ada, jarang sekali kami mampu memberinya susu. Kami tidak mempunyai akses kepada pusat kesihatan yang menyediakan makanan terapeutik berdekatan.
Shohra Mohamed, ibu seorang pesakit

2. Kurang akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan primer

Rangkaian penjagaan kesihatan di seluruh Yaman terus runtuh. Sumber kewangan pihak berkuasa kesihatan terhad, kekurangan bekalan dan peralatan, tiada atau pembayaran gaji kakitangan perubatan tidak teratur menyebabkan banyak kemudahan kesihatan awam ditutup. Kos bahan api yang tinggi juga mengehadkan akses orang ramai kepada rawatan perubatan segera. Ini sering melambatkan orang ramai menerima rawatan perubatan yang sangat diperlukan, yang membawa kepada komplikasi yang boleh dicegah jika dirawat lebih awal, termasuk kekurangan zat makanan.

Pasukan Doctors Without Borders di wilayah Amran yang bekerja di Hospital Al-Salam-Khamer menyaksikan peningkatan berterusan bilangan pesakit dengan kekurangan zat makanan akut (SAM) yang teruk sejak akhir Mei. Kadar pengisian katil di pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam (ITFC) mencapai 396 peratus pada September 2022. Pada masa sama, terdapat peningkatan lebih 20 peratus dalam bilangan konsultasi kecemasan. Antara Januari dan September 2022, 31 pesakit dengan SAM meninggal dunia selepas dimasukkan. Kebanyakan, malangnya, tiba terlalu lewat dan mengalami komplikasi perubatan yang terlalu teruk untuk dirawat.

Ramai yang dimasukkan ke hospital Al-Salam yang disokong Doctors Without Borders dengan SAM, melalui perjalanan dari kawasan sekitar di mana kemudahan penjagaan kesihatan utama hanya berfungsi sebahagian. Trend sama diperhatikan di kawasan pentadbiran Al-Hudaydah. Pasukan kami di jabatan kecemasan hospital luar bandar Ad-Dahi menerima 1,902 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan dengan komplikasi, antara Januari dan Oktober 2022.

3. Kemiskinan dan keadaan hidup tidak stabil

Kemiskinan hidup, terutamanya bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal, juga menyumbang kepada peningkatan kekurangan zat makanan. Hospital Abs di wilayah pentadbiran Hajjah menerima pesakit dari kawasan sekitar Abs, di mana ramai berstatus pelarian dalaman dan hidup tanpa tempat perlindungan sewajarnya serta akses terhad kepada makanan atau pendapatan. Antara Januari hingga September 2022, Pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam (ITFC) yang disokong Doctors Without Borders di Hospital Besar Abs menerima 2,087 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan dan komplikasi perubatan berkaitan. Ramai daripada pesakit ini datang dari Al-Khamis, sebuah daerah kecil di pentadbiran Hudaydah, selatan Abs, dan sebahagian daripada lewat tiba. Kebanyakan pesakit berusia antara 6 dan 23 bulan.

Kebanyakan yang hilang tempat tinggal tidak mempunyai pendapatan tetap kerana kesukaran untuk mengakses peluang [pekerjaan]. Isu lain ialah kekurangan akses kepada air bersih. Ini meningkatkan kes cirit-birit contohnya, di samping kekurangan bahan kebersihan yang penting untuk mengurangkan risiko atau mengehadkan penyebaran beberapa penyakit.
Saddam Shayea, Penyelia Penganjur

4. Kurangnya kesedaran komuniti   

Terdapat keperluan besar untuk meningkatkan akses kepada promosi kesihatan untuk penjagaan antenatal (ANC) dan penjagaan selepas bersalin (PNC), yang dikaitkan secara langsung dengan kekurangan zat makanan. Ketersediaan dan kebolehcapaian lemah bagi penjagaan ini membawa kepada komplikasi kehamilan, mengakibatkan hasil kelahiran lebih buruk untuk ibu dan bayi yang baru lahir. Sebagai contoh, di Hospital Abs, pada tahun 2022, lebih daripada 50 peratus ibu di jabatan bersalin, mengalami kekurangan zat makanan.

Pada masa lalu, Doctors Without Borders memerhatikan kadar sangat rendah wanita di wad bersalin yang menerima rawatan antenatal (ANC). Pada 2021, hanya 10 peratus wanita yang bersalin di hospital menghadiri sekurang-kurangnya satu perundingan penjagaan antenatal. Perundingan antenatal biasanya merupakan peluang untuk kekurangan zat makanan dalam wanita hamil dikenal pasti dan dirawat melalui rujukan kepada perkhidmatan pemakanan yang sesuai. Ini meningkatkan hasil kehamilan dan mengurangkan risiko kekurangan zat makanan pada bayi baharu lahir dan kanak-kanak.

Selain itu, kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemberian susu ibu dan vaksinasi rutin untuk kanak-kanak masih terhad. Ibu bapa juga tidak mempunyai akses kepada maklumat tentang mengenal pasti simptom awal kekurangan zat makanan, yang melambatkan pengesanan dan pencegahan kekurangan zat makanan.

5. Jurang dalam tindak balas kemanusiaan

Tahun ini, pemotongan pembiayaan menyebabkan kemudahan penjagaan kesihatan utama menghentikan perkhidmatan atau mempunyai bekalan ubat yang tidak mencukupi.

Saya mempunyai empat anak yang semuanya mengalami kekurangan zat makanan. Saya membawa mereka ke pusat rawatan kekurangan zat makanan terdekat di kawasan itu. Tetapi mereka terpaksa memilih dan menilai keutamaan dalam kalangan anak-anak saya untuk memberi mereka makanan terapeutik kerana tidak mencukupi.
Ahmed Abu Al Ghaith, bapa kepada pesakit

Sebagai tambahan kepada pemberhentian beberapa program kesihatan, jurang dalam program pemakanan dan bantuan makanan, serta perkhidmatan air, sanitasi dan kebersihan (WASH) yang tidak mencukupi telah meningkatkan risiko kekurangan zat makanan dan komplikasi berkaitan, yang mana ia lebih besar dengan penyakit bawaan air.

Bertindak balas terhadap peningkatan bilangan pesakit kekurangan zat makanan

Doctors Without Borders bekerja di 13 daripada 21 kawasan pentadbiran di Yaman. Pasukan Doctors Without Borders di kebanyakan kemudahan kami menyaksikan peningkatan membimbangkan dalam bilangan kanak-kanak kekurangan zat makanan dengan komplikasi perubatan. Ini meningkatkan kadar pengisian katil melebihi kapasiti 100 peratus di seluruh ITFC kami. Untuk mengatasi peningkatan bilangan kes kekurangan zat makanan dan untuk mengurangkan morbiditi dan kematian dalam kalangan mereka yang paling terdedah, pasukan kami meningkatkan kapasiti mereka merentasi projek di ITFC dan jabatan lain, meningkatkan sokongan kepada pusat penjagaan kesihatan primer, dan meningkatkan aktiviti promosi kesihatan .

Di pentadbiran Amran, Hospital Al-Salam melancarkan pelan kontingensi segera di jabatan pediatrik sejak Jun 2022 untuk menangani peningkatan kemasukan kes kekurangan zat makanan. Ketika ini kapasiti katil keseluruhan adalah 213, berbanding biasa dengan 113 katil.

Overview of the Inpatient Therapeutic Feeding Centre (ITFC) in Abs General Hospital, Hajjah Governorate. Yemen, 2022. © Mohammed Al-Shahethi/MSF

Gambaran Pusat Pemakanan Terapeutik Pesakit Dalam (ITFC) di Hospital Besar Abs, Pentadbiran Hajjah. Yaman, 2022. © Mohammed Al-Shahethi/MSF

Begitu juga di pentadbiran Al-Hudaydah, untuk segera menangani peningkatan mendadak dalam kes kekurangan zat makanan akut di daerah Ad-Dahi, Doctors Without Borders meningkatkan akses kepada perkhidmatan kekurangan zat makanan dengan menubuhkan ITFC 70 katil dan memudahkan rujukan percuma dari pusat kesihatan ke hospital, untuk kanak-kanak kurang zat makanan yang layak di bawah usia lima tahun. Pada November 2022 sahaja, 282 pesakit yang mengalami kekurangan zat makanan dengan komplikasi dimasukkan ke ITFC baharu. Pengawasan pemakanan juga diperkukuh di daerah Ad-Dahi untuk memastikan laporan awal terhadap situasi pemakanan dan wabak.

Namun, kekurangan zat makanan berterusan sangat membimbangkan di Yaman, menyebabkan kematian yang boleh dicegah, terutamanya kanak-kanak di bawah usia lima tahun. Pihak berkuasa kesihatan dan aktor kemanusiaan serta kesihatan mesti menyediakan tindak balas menyeluruh yang bertujuan memperkukuh skop dan kecekapan pengawasan pemakanan di seluruh negara. Terdapat keperluan untuk menangani jurang dalam kemudahan penjagaan kesihatan primer untuk memastikan akses segera kepada penjagaan dan membantu membina kesedaran kesihatan masyarakat untuk mengesan tanda-tanda awal kekurangan zat makanan. Tindak balas itu juga harus disertakan kempen vaksinasi di seluruh negara, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun yang kekal paling terdedah.

Categories