Skip to main content

Yaman: Bukan sekadar angka – peningkatan campak yang membimbangkan di negara ini

A 1 year-old girl is receiving treatment in Al Thawrah Hospital isolation center in Al Bayda after she contracted measles. Yemen, June 2023. © Aljunaid/MSF

Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sedang menerima rawatan di pusat pengasingan Hospital Al Thawrah di Al Bayda selepas dia dijangkiti campak. Yaman, Jun 2023. © Aljunaid/MSF

Pada 2022, kami membangkitkan amaran mengenai malnutrisi kanak-kanak yang semakin meningkat di Yaman – keadaan yang memburukkan lagi penyakit lain. Malnutrisi melemahkan sistem imun, menjadikan kanak-kanak, terutamanya mereka yang tidak diberi vaksin, lebih terdedah kepada kesan maut demam campak.

Kedua-dua keadaan ini boleh dicegah dan menyerlahkan kekurangan penjagaan kesihatan yang penting serta keadaan ekonomi yang lemah bagi penduduk di Yaman. Faktor-faktor ini memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang seperti Aisha, dan anaknya Abdullah yang berusia tiga tahun.

Abdullah mengalami sakit tekak, demam panas, dan mata merah; kemudian ruam merah muncul pada badannya. Semasa saya membawanya ke klinik, doktor mengatakan dia mengalami demam campak dengan komplikasi, dan dia perlu dimasukkan ke hospital. Abdullah telah pun menerima beberapa vaksin, namun ia tidak lengkap; sukar untuk terus ke klinik. Pengangkutan sama ada tidak tersedia atau sangat mahal. Jadi, kami tidak dapat memberikan semua vaksin diperlukannya.
Aisha, ibu pesakit

Akses terhad kepada penjagaan kesihatan asas dan vaksinasi rutin

Campak adalah jangkitan virus yang sangat berjangkit yang boleh merebak dengan mudah dalam komuniti berpenduduk padat. Ia kebanyakannya memberi kesan kepada kanak-kanak bawah usia lima tahun dan amat berbahaya bagi mereka yang mempunyai keadaan atau komplikasi yang sedia ada. Walaupun penyakit yang boleh membawa maut, ia boleh dicegah melalui vaksinasi.

Tekanan ekonomi, didorong konflik ganas, menyukarkan penduduk di kawasan terpencil untuk membayar minyak atau pengangkutan bagi tujuan membawa anak-anak ke hospital. Lebih memburukkan keadaan ialah ketiadaan kempen vaksinasi, dan kemudahan penjagaan kesihatan am yang berpatutan dan berfungsi di negara ini, memaksa orang ramai melakukan perjalanan lebih jauh untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan.

A mother of 10-months-old patient in the isolation unit in Doctors Without Borders's Mocha Hospital. Yemen, August 2023. © Athmar Mohammed/MSF

Seorang ibu kepada pesakit berusia 10 bulan di unit pengasingan di hospital trauma Mocha. Yaman, Ogos 2023. © Athmar Mohammed/MSF

Akibatnya, pesakit sering tiba di hospital yang disokong Doctors Without Borders dengan komplikasi, termasuk campak peringkat lanjut, yang sepatutnya boleh dielakkan melalui penjagaan pencegahan seperti vaksinasi atau dengan rawatan perubatan yang tepat pada masanya.

Walaupun sukar untuk mengukur semua faktor dalam cabaran yang semakin meningkat di Yaman dengan campak dan penyakit lain yang boleh dicegah, jelas sekali jurang utama dalam vaksinasi rutin dan akses terhad kepada kemudahan penjagaan kesihatan asas memainkan peranan utama. Lebih memburukkan keadaan, kami telah melihat peningkatan besar dalam preavlen penyakit di klinik kami tahun ini.

Pada 2020, kami melihat bilangan pesakit campak di klinik kami menurun daripada 731 pada 2019, kepada hanya 77. Kami mungkin mengaitkannya dengan kempen vaksinasi besar-besaran yang dijalankan pada 2019. Namun, aktiviti vaksinasi terhad pada tahun-tahun berikutnya, ditambah cabaran untuk mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan mungkin mengubah angka ini, dan pada 2021, kami menerima 762 pesakit campak. Tetapi peningkatan dramatik yang kita lihat tahun ini tidak boleh diabaikan - beban kes meningkat hampir tiga kali ganda, kepada hampir 4,000, meningkatkan tekanan pada kemudahan perubatan, yang sudah terlebih beban. Ini bukan sekadar angka yang kita bincangkan - ia adalah kehidupan kanak-kanak.
Isaac Alcalde, ketua misi di Yaman

Malangnya, peningkatan mendadak dalam bilangan kes campak ini bukanlah isu terpencil. Pasukan perubatan kami menyaksikan peningkatan dan kesan buruk penyakit ini di wilayah Amran, Sa'ada, Hajjah, Ibb, Hodeida, Taiz, Marib dan Shabwah.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menekankan peningkatan teruk dalam penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin di Yaman, merujuk hakikat bahawa negara itu merekodkan lebih daripada 22,000 kes campak pada 2022, termasuk 161 kematian. Pada April tahun ini, sudah ada 16,114 kes. Dengan difteria dan pertusis – batuk kokol – kes juga semakin meningkat, begitu juga dengan kematian daripada setiap penyakit.

Meningkatkan kapasiti wad pengasingan


Di beberapa pusat kesihatan yang kami sokong, kami menyesuaikan aktiviti kami untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat. Sebagai contoh, sejak memulakan tindak balas kami terhadap campak di wilayah Al Bayda, kami melihat sejumlah 1,784 kes antara pertengahan Februari dan Jun 2023.

Hampir 52 peratus kes adalah rumit, manakala hanya 12 peratus daripada pesakit ini divaksinasi sebelum dimasukkan ke wad, meberi bayangan ilustrasi suram tentang tahap imunisasi yang rendah.

Kekurangan imunisasi ini nampaknya didorong oleh halangan logistik, termasuk sekatan ke atas import kemanusiaan, bilangan kemudahan kesihatan yang dapat menyediakan vaksinasi, serta ketiadaan pendidikan kesihatan untuk menyerlahkan peranan penting yang dimainkan oleh vaksin dalam melindungi orang daripada penyakit seperti demam campak.

Pasukan kami juga telah memperluaskan unit pengasingan campak di Hospital Abs untuk menampung peningkatan bilangan pesakit. Di Hospital Ibu dan Anak Al Qanawis, di wilayah Al Hudayda, lebih separuh daripada pesakit yang dimasukkan ke wad pediatrik adalah kanak-kanak yang menghidap campak, hanya beberapa hari selepas ia dibuka pada Mei 2023.

Doctors Without Borders's medical team having ward round in measles isolation during the measles outbreak in the Isolation unit that was launched in Mocha trauma hospital. Yemen, August 2023. © Athmar Mohammed/MSF

Pasukan perubatan Doctors Without Borders melakukan pemantauan di wad pengasingan campak sewaktu penularan wabak campak di unit Pengasingan yang dilancarkan di hospital trauma Mocha. Yaman, Ogos 2023. © Athmar Mohammed/MSF

Begitu juga, peningkatan ketara kes di Mocha, wilayah Taiz yang menyaksikan keperluan untuk wad pengasingan baharu dibuka khusus untuk campak pada April 2023. Di Khamer dan Haydan, 35 peratus dan 41 peratus (masing-masing) pesakit dimasukkan ke unit kanak-kanak mengalami demam campak. Perkara biasa di lokasi berbeza ini menunjukkan prevalen kes yang tinggi, bersama-sama dengan tahap imunisasi yang sangat rendah.

Seruan kepada pihak berkuasa dan aktor kesihatan untuk meningkatkan tindak balas

Fakta bahawa campak sangat menular, dan menimbulkan risiko maut kepada ramai orang, bermakna langkah pencegahan bagi mereka yang dijangkiti campak, seperti pengasingan, adalah kunci. Di pelbagai wilayah di mana Doctors Without Borders merawat campak di Yaman, kami mendengar daripada ibu bapa yang mengenali simptom campak dan berusaha melindungi kedua-duanya sama ada anak sendiri atau anak jiran mereka.

Ini adalah kes membabitkan Layal dan abangnya Hussein, yang dibawa ibu mereka ke Hospital Ra'ada di Al Bayda.

"Pada mulanya, Layal mengalami kontak dengan saudara-maranya, dan kemudian apabila dia mula mengalami simptom seperti demam dan ruam, saya mengasingkan abangnya," kata ibu Layal dan Hussein.

“Malangnya, dia sudah dijangkiti penyakit itu, dan simptom mula muncul. Tetapi alhamdulillah, saya memindahkan mereka ke hospital cukup awal dan mereka pulih. Saya sedar campak boleh merebak dengan cepat, dan ia juga boleh menjejaskan kanak-kanak lain di kawasan kejiranan, sebab itu saya risau pada awalnya."

A child was diagnosed with severe acute malnutrition during the consultations provided by the team at the mobile clinic in Qarn Al Asad area in Rada’a, Al Bayda Governorate. Malnourished children are more susceptible to measles. Yemen, June 2023. © Aljunaid/MSF

Seorang kanak-kanak disahkan mengalami malnutrisi akut yang teruk semasa perundingan disediakan pasukan di klinik bergerak di kawasan Qarn Al Asad di Rada'a, Gabenor Al Bayda. Kanak-kanak mengalami malnutrisi lebih mudah dijangkiti campak. Yaman, Jun 2023. © Aljunaid/MSF

Menangani krisis kesihatan yang serius ini memerlukan tindak balas komprehensif dan terancang. Untuk melindungi kanak-kanak Yaman daripada risiko campak, penting untuk meningkatkan langkah pencegahan, penglibatan komuniti dan meningkatkan pengurusan kes. Pihak berkuasa, bersama-sama aktor kemanusiaan dan kesihatan di Yaman, mesti memastikan ketersediaan vaksin dalam struktur kesihatan, meningkatkan kebolehcapaian dan kapasiti kemudahan penjagaan kesihatan am, mengukuhkan laluan rujukan dan memperkukuh kesedaran kesihatan masyarakat.

Doctors Without Borders mula bekerja di Yaman pada 1986 dan telah berada di negara ini secara berterusan sejak 2007. Pasukan kami bekerja di 11 hospital dan memberikan sokongan kepada 16 lagi kemudahan kesihatan di 13 wilayah. Pada 2022, kami menerima lebih daripada 108,000 orang untuk rawatan pesakit dalam, menyediakan lebih 71,000 konsultasi pesakit luar, lebih 36,000 intervensi pembedahan serta membantu lebih daripada 35,000 kelahiran.