Kesihatan mental di Yaman: "Jumlah kes teruk tersangat tinggi"
Seorang pakar psikologi menjalankan sesi kaunseling bersama pesakit di klinik kesihatan mental disokong Doctors Without Borders di Hospital Al-Gamhouri di Hajjah. Yaman, 2021. © Nasir Ghafoor/MSF
Kini masuk tahun ketujuh, krisis di Yaman bukan lagi berita utama. Namun konflik itu terus memberi kesan buruk kepada kesejahteraan orang ramai, serta kepada kesihatan mental mereka khususnya. Antonella Pozzi, Pengurus Aktiviti Kesihatan Mental Doctors Without Borders di Hajjah menceritakan keperluan di rantau ini yang kompleks.
Apa sedang berlaku kini di Yaman?
Krisis di Yaman berlarutan lebih enam tahun, dan ia tidak lagi menjadi kisah utama dalam tajuk berita. Nasib baik, di pentadbiran Hajjah kita melihat lebih sedikit korban akibat pertempuran berbanding hari awal konflik. Namun, perang belum berakhir. Sudah tentu terdapat kematian berkaitan konflik di negara ini. Bagaimanapun, perkara yang biasanya tidak mendapat perhatian ialah kesan konflik ini terhadap kesejahteraan orang ramai, dan kesihatan mental mereka khususnya.
Apa jenis isu kesihatan mental selalu Doctors Without Borders temui?
Di bandar Hajjah, kira-kira 120 kilometer barat laut ibu kota Yaman, Sana'a, Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menyokong hospital Al-Gamhouri untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan mental khusus. Jenis keadaan yang kami rawat sangat pelbagai; terdapat mereka yang mengalami kebimbangan dan insomnia, ada juga kami temui pesakit mengalami patologi teruk seperti psikosis, kemurungan, gangguan bipolar dan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).
Dalam memberikan khidmat, kami kerap melihat pesakit yang menjurus kepada percubaan untuk membunuh diri. Cubaan bunuh diri boleh didorong pelbagai keadaan. Gejala psikosis yang teruk boleh mengundang halusinasi pendengaran yang memberitahu pesakit untuk menyakiti dirinya sendiri, atau pesakit mungkin mengalami kemurungan teruk. Dalam kes psikosis, penting untuk memahami pengalaman subjektif individu, memandangkan halusinasi ada kalanya kelihatan tersangat nyata dan menimbulkan banyak penderitaan.
Kenapa begitu ramai pesakit menderita akibat keadaan kesihatan mental?
Kesejahteraan mental sangat dipengaruhi oleh faktor luaran. Lebih teruk keadaan seseorang, lebih banyak kesejahteraan mereka akan terjejas. Hidup dalam konteks peperangan bermakna terdedah kepada tekanan berterusan untuk jangka masa panjang. Konflik bersenjata di Yaman bukan hanya menjejaskan kesihatan fizikal orang ramai: ia mengurangkan akses mereka kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan makanan, ia juga menyekat kebebasan mereka bergerak dan menafikan kebebasan mereka untuk menzahirkan diri. Ini mewujudkan gangguan kesihatan mental yang serius.
Pesakit dengan masalah kesihatan mental di Yaman tiada beza berbanding mereka yang mengalami konflik di seluruh dunia. Namun 45% pesakit yang kita temui di klinik kesihatan mental Doctors Without Borders adalah kes teruk. Bilangan kes teruk sangat tinggi, terutama mengambil kira bahawa di seluruh dunia, malah dalam suasana konflik, bilangan pesakit mengalami keadaan kesihatan mental teruk tidak boleh melebihi 5.1% daripada jumlah kes, seperti ditakrifkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2019. Kekurangan perkhidmatan di kawasan bandar Hajjah dan beberapa kilometer di sekitarnya bermakna semua kes teruk di kawasan itu dihalakan kepada perkhidmatan kami, mungkin menjelaskan kedudukan angka itu.
- Kisah Hamdan: Gangguan kesihatan mental bukan satu pilihan
Hamdan Saleh gembira bekerja di jabatan pentadbiran pasukan keselamatan Yaman selama bertahun-tahun. Namun ketika bermula perang saudara di Yaman, dia antara ratusan kakitangan kerajaan yang diberhentikan pembayaran gaji. Gajinya satu-satunya sumber pendapatan keluarganya. Kesukaran kewangan dilamai tiba-tiba, di samping konflik yang semakin teruk, menyebabkan Hamdan mengalami masalah kesihatan mental. Hamdan mula mengalami psikosis dan perasaan paranoid.
“Saya mula percaya bahawa semua orang berkomplot menentang saya, cuba mencederakan saya. Saya juga mengalami halusinasi, mendengar dan melihat makhluk mistik menyuruh saya melakukan sesuatu. Memberitahu saya untuk mati. Suatu hari saya mencurahkan petrol untuk membakar diri sendiri. Saya mengubah fikiran pada saat terakhir dengan memikirkan tentang anak-anak saya.”
Tanpa pengetahuan atau pemahaman tentang penjagaan kesihatan mental, keluarga Hamdan beralih kepada rawatan rohani. Namun, ia tidak berjaya.
"Hamdan dirujuk ke klinik kesihatan mental Doctors Without Borders di Hospital Al-Gamhouri pada 2019 selepas dia mengalami gangguan bertahun-tahun," kata ahli psikologi Doctors Without Borders Rasmia Mohammed Ali. "Dia satu lagi contoh bagaimana konflik itu menjejaskan kehidupan orang ramai dari segi ekonomi dan sosial, mengundang kepada masalah kesihatan mental yang teruk."
"Walaupun dibebani kekurangan perkhidmatan untuk penjagaan kesihatan mental, pemahaman terhad orang ramai tentang keadaan sedemikian juga mengundang cabaran. Ada pesakit merasa lebih baik apabila mereka mula mengambil ubat yang betul, lalu meninggalkan rawatan dengan menganggap diri mereka sudah baik. Ini boleh menyebabkan penyakit mereka kembali. Hamdan antara yang bergelut untuk konsisten menjalani rawatan, namun dia kini sudah dirawat sepenuhnya dan dibenarkan keluar daripada klinik.”
Hamdan kini menjadi petani di kampungnya. Dia menanam jagung dan gandum. Dia berasa lebih baik, dan kehidupan keluarga serta sosialnya kembali normal. Sudah sebulan sejak kali terakhir Hamdan datang ke klinik kesihatan mental bersama anaknya. Semasa keluar dari klinik, Hamdan berkata dia berharap dia tidak akan kembali ke sini lagi.
“Saya mengalami beberapa kesan sampingan daripada rawatan itu. Namun saya terpaksa mengambil ubat supaya diri saya lebih baik. Jika saya mempunyai pilihan, saya tidak akan pernah mengambil ubat-ubatan itu, tetapi gangguan kesihatan mental bukanlah pilihan."
- Kisah Hafsa: Saya masih takut sesuatu akan berlaku kepada anak-anak saya
Kenangan di kampung halamannya di Harad masih menghantui Hafsa. Sekitar jam sembilan pada suatu petang pada 2016, serangan udara melanda kawasan kejiranannya. Anak-anaknya di masjid menunaikan solat dan hanya Hafsa serta suaminya di rumah. Kini, walaupun tinggal lebih 150 kilometer jaraknya, Hafsa masih teringat bagaimana rumahnya bergegar dan bunyi kuat ketika bom melanda stesen minyak berhampiran. Banyak rumah berdekatan runtuh dan lebih 250 orang sama ada cedera atau terbunuh.
Bahagian luar rumah Hafsa rosak teruk, tetapi ia tidak seberapa dibandingkan kehilangan dialami keluarga itu pada malam terbabit.
Suami Hafsa memang menghidap penyakit jantung dan, walaupun tidak mengalami kecederaan fizikal semasa serangan udara, kejutan akibat letupan menyebabkan jantungnya berhenti. Hafsa segera membawanya ke hospital, namun doktor memaklumkan bahawa suaminya sudah meninggal dunia beberapa jam sebelumnya.“Kami berpindah dari Harad ke Hajjah. Sudah lebih lima tahun sejak saya melawat kampung halaman saya, tempat saya tinggal sepanjang 50 tahun pertama dalam hidup saya. Harad sangat dekat dengan barisan hadapan dan tiada siapa menetap di sana sekarang. Kami tidak dibenarkan ke sana. Saya dimaklumkan satu-satunya boleh ditemui di sana adalah periuk api.”
Hafsa mengalami psikosis berikutan kejadian traumatik ini. Dia mula mengimbas semula serangan udara itu dan tidak dapat berhenti memikirkan bagaimana ia merampas segala-galanya daripadanya. Dia juga mengalami paranoid, sentiasa takut sesuatu yang mengerikan boleh berlaku lagi.
“Saya tidak mahu semua anak saya bersama dalam satu bilik. Jika sesuatu berlaku, semua orang bersama-sama akan menjadi mangsa bom atau serangan udara. Saya tidak suka membiarkan anak saya keluar. Apabila mereka melakukannya, saya meminta mereka untuk sentiasa berhubung dengan saya. Saya takut sesuatu boleh berlaku kepada mereka,” tambah Hafsa.
Selepas kematian suaminya dan perpindahan mereka ke Hajjah, kehidupan tidak mudah untuk Hafsa dan keluarganya. Tiada pendapatan untuk keluarga, dan mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan. Hafsa mendapat tahu tentang perkhidmatan kesihatan mental daripada cucunya, yang menghadiri sesi kesedaran kesihatan mental rutin di sebuah hospital. Apabila mengetahui tentang gejala yang mungkin menunjukkan gangguan kesihatan mental, dia menyedari neneknya mungkin salah seorang pesakit.
Hafsa bukan satu-satunya dalam keluarganya yang mengalami masalah kesihatan mental. Anak perempuannya juga mengalami psikosis dan cuba membunuh diri dengan membakar dirinya. Dia melecur teruk dan memerlukan rawatan berminggu-minggu untuk kecederaannya. Di samping itu, dia juga dirawat kerana psikosis di klinik kesihatan mental Hospital Al-Gamhouri di Hajjah, yang disokong oleh Doctors Without Borders.
“Kami merawat kedua-dua Hafsa dan anak perempuannya kerana mengalami psikosis berikutan pengalaman mereka semasa dan selepas serangan udara. Kami menemui ramai pesakit sedemikian. Konflik dan akibatnya terhadap kehidupan orang ramai antara punca utama gangguan kesihatan mental,” kata ahli psikologi Doctors Without Borders, Rasmia Mohammed Ali.
*Nama semua pesakit diubah
Berapa ramai yang perlukan sokongan medikal?
Pihak berkuasa mengenal pasti lebih 9,000 pesakit di kawasan Hajjah yang memerlukan perkhidmatan kesihatan mental. Jumlah sebenar mungkin lebih tinggi, kerana keperluan kesihatan mental cenderung dipandang remeh. Orang ramai sering datang ke klinik kami dari kawasan sejauh lebih 100km untuk mengakses perkhidmatan kami, dan ini menunjukkan keperluan tinggi di seluruh negara.
Disebabkan peperangan, penduduk di Hajjah sudah terbiasa dengan keganasan tahap tinggi. Orang di sini sangat berdaya tahan dan toleransi mereka terhadap keadaan buruk sangat tinggi. Ini bermakna mereka hadir untuk konsultasi kesihatan mental hanya sekiranya isu kesihatan mental menjadi tersangat jelas dan mengganggu pesakit serta orang yang tersayang. Sebagai contoh, keluarga mungkin hanya menjadi cemas dan mendapatkan bantuan apabila pesakit berada pada tahap menjadi gelisah atau paranoid dan mengancam untuk menyakiti orang lain.
Peperangan dan kekurangan perkhidmatan kesihatan mental di kawasan itu meningkatkan kelaziman keadaan seperti ini. Pada Mac, Jun dan Julai (sebagai contoh) tahun ini, lebih separuh pesakit baharu mendapatkan bantuan di klinik Doctors Without Borders mengalami gangguan kesihatan mental yang teruk.
Rawatan keadaan kesihatan mental yang teruk sangat mencabar di sini. Di Yaman pilihan pertama bagi mereka yang mengalami gejala kesihatan mental adalah mendapatkan rawatan spiritual. Akibatnya kadangkala, sewaktu pesakit tiba di klinik kami, mereka sudah terdedah kepada amalan tidak berkesan dan kadangkala berbahaya sehingga memburukkan lagi gejala mereka. Mencari rawatan spiritual dan bukannya pergi ke kemudahan kesihatan menunjukkan kekurangan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan penduduk, satu lagi faktor penting dalam konteks ini.
Hamdan dan anaknya Hashid masing-masing tersenyum ketika Hamdan mengucapkan selamat tinggal kepada kakitangan perubatan selepas selesai rawatan di ruang menunggu klinik kesihatan mental yang disokong oleh Doctors Without Borders di Hospital Al-Gamhouri di Hajjah. Yaman, 2021. © Nasir Ghafoor/MSF
Apa boleh kita lakukan untuk meningkatkan situasi di Hajjah?
Penting untuk cuba membantu penduduk memahami apa itu keadaan kesihatan mental, serta cara mengenalinya. Ini akan memberi pesakit dan keluarga sekurang-kurangnya beberapa alat untuk menangani keadaan yang teruk. Dalam kes pesakit psikotik menunjukkan tanda gangguan yang teruk, keluarga selalunya terpaksa merantai mereka, kadangkala dengan rantai kekal yang dipakai pesakit beberapa hari atau minggu, bagi menangani krisis mereka. Apabila ditanya tentang kaedah ini, keluarga menyatakan mereka tidak tahu bagaimana untuk mengendalikan pesakit pada saat agresif dan gangguan yang teruk, apabila mereka mencetus bahaya kepada orang di sekeliling, jadi mereka menggunakan langkah ini. Walaupun kita berempati dengan keperluan keluarga untuk mengawal gejala, kita perlu mengambil kira bahawa langkah sebegini melampau dan melanggar hak asasi manusia. Ini antara sebab mengapa penting untuk meningkatkan kesedaran kesihatan mental, supaya apabila mereka menghadapi simptom sebegini, keluarga tahu tempat untuk dituju bagi mendapatkan bantuan profesional.
Kekurangan kesedaran dan stigma adalah dua sisi syiling yang sama. Kekurangan kesedaran mengundang stigma, diskriminasi dan pengasingan, dan ia menyebabkan orang ramai menyembunyikan keadaan mereka, meningkatkan lagi penderitaan dan pengasingan mereka. Kes begini biasanya berlaku dalam kalangan wanita yang tidak digalakkan berkongsi perasaan mereka serta bercakap mengenai pergolakan psikologi mereka. Dalam banyak kes ini membawa kepada keadaan kemurungan yang teruk.
Hafsa* memegang tangannya sendiri sewaktu berbual dengan ahli psikologi semasa sesi kaunseling di klinik kesihatan mental yang disokong oleh MSF di Hospital Al-Gamhouri di Hajjah
Apakah jalan ke hadapan dari sini?
Dalam tugas harian di klinik Doctors Without Borders di Hajjah, kami cuba menormalisasi isu kesihatan mental dan membantu mengubah pemahaman serta kaitan sosial yang menghubungkan keadaan kesihatan mental dengan perkara seperti "kegilaan" dan "bahaya". Perkaitan ini mewujudkan stigma dan penderitaan untuk pesakit kesihatan mental dan keluarga mereka. Norma tidak berubah secepat kita mahu, namun menjadi harapan bahawa jika kita terus komited dengan kerja kita, perubahan dalam amalan kita akan memberi kesan langsung kepada cara tanggapan ini diutarakan dalam masyarakat, dengan harapan mengundang kepada perubahan yang mampan walaupun perlahan.
Walaupun konflik itu akan berakhir esok, apa yang telah dilakukannya terhadap kesihatan psikologi manusia akan dapat dilihat dan dirasai untuk beberapa tahun akan datang. Yaman memerlukan pendekatan komprehensif jangka panjang termasuk lebih banyak perkhidmatan untuk menangani krisis kesihatan mental yang memuncak. Jika diabaikan, isu kesihatan mental boleh bertukar menjadi masalah kronik pada skala lebih besar, mengakibatkan pengasingan mereka yang mengalami gangguan. Ini boleh membawa kerosakan selanjutnya kepada fabrik sosial, yang sudah sangat lemah. Menjadi harapan kami bahawa melalui kerja kolaboratif, kami dapat menyumbang kepada usaha meningkatkan keadaan kesihatan mental penduduk yang sudah pun terpaksa menghadapi dan mengatasi kesukaran pada tahap sangat mendalam dan dahsyat.