Yaman: Doctors Without Borders menyeru badan antarabangsa meningkatkan sokongan terhadap tindak balas COVID-19 ketika gelombang kedua mengatasi kemudahan perubatan.
Kakitangan merawat pesakit COVID-19 di hospital Aden's Al Gamhouria. YAMAN 2020 © Hareth Mohammed/MSF
"Kami menggesa semua organisasi kemanusiaan perubatan yang sudah ada di Yaman untuk meningkatkan tindak balas kecemasan COVID-19 mereka dengan cepat. Penderma antarabangsa yang menghentikan dana kemanusiaan mereka ke Yaman juga perlu bertindak cepat,” kata Raphael Veicht, Ketua Misi Doctors Without Bordersn di Yaman. "Semua aspek intervensi COVID-19 kurang dan memerlukan sokongan antarabangsa yang lebih besar, daripada penyaluran mesej kesihatan awam, hinggalah vaksinasi dan kepada terapi oksigen - sokongan diperlukan secara menyeluruh."
Selepas enam tahun berperang, sistem penjagaan kesihatan Yaman lumpuh dan kapasiti rawatan ICU terhad. Doctors Without Borders memberikan sokongan kepada Pusat Rawatan COVID-19 di hospital Al Gamhouria. Pasukan perubatannya dapat mengendalikan 11 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sehingga 46 pesakit di bahagian pesakit dalam. Ketika ini, semua 11 katil ICU penuh.
"Malangnya, ramai pesakit yang kita rawat sudah berada dalam keadaan perubatan yang kritikal ketika mereka tiba," kata Line Lootens, Penyelaras Perubatan Doctors Without Borders di Yaman. "Sebilangan besar pesakit memerlukan tahap oksigen dan rawatan perubatan yang sangat tinggi. Beberapa pesakit juga memerlukan pengudaraan mekanikal di ICU, yang secara teknikalnya sukar dan memerlukan rawatan perubatan yang sangat tinggi.
Doctors Without Borders menyeru penduduk Yaman untuk mengikuti langkah pencegahan COVID-19 secara ketat seperti penjarakan sosial, mencuci tangan dan memakai pelitup muka. Penting bagi pesakit yang mengalami gejala teruk untuk mendapatkan rawatan perubatan khusus sejak awal supaya peluang pemulihan daripada wabak lebih baik.
Respons COVID-19 Doctors Without Borders dikendalikan dengan sokongan Kementerian Kesihatan Awam dan Penduduk (MoPHP) serta Pengurusan Hospital Umum Al Gamhouria. Hari ini, pasukan di pusat rawatan COVID-19 keseluruhannya terdiri lebih 100 doktor, jururawat dan kakitangan sokongan, bekerja sepenuh masa untuk memenuhi keperluan.
“Kami sangat berterima kasih atas sokongan yang sangat diperlukan oleh pihak kesihatan di Yaman. Walaupun begitu, peningkatan mendadak kes COVID-19 selama beberapa minggu terakhir sangat memerlukan perhatian dan membimbangkan,” kata Raphael Veicht, Ketua Misi Doctors Without Borders di Yaman. "Ketika beberapa negara sudah pun berjaya memvaksinasi separuh daripada populasi mereka, Yaman masih di barisan belakang untuk vaksin, sekali lagi menyoroti ketidaksamaan akses kepada vaksin global, dengan hingga kini tiada seorang pun divaksin di negara ini."
Pusat rawatan Al Gamhouria COVID-19, di Aden ditubuhkan Doctors Without Borders pada 2020, sewaktu gelombang pertama wabak COVID-19. Ia kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Umum dan Penduduk ketika keadaan kesihatan bertambah baik. Berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 pada awal bulan ini, Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani pada 15 Mac dengan MoPHP dan pengurusan hospital Al Gamhouria untuk melancarkan semula campur tangan kecemasan COVID-19.
Untuk memastikan rawatan pesakit COVID-19 yang teruk, Doctors Without Borders mengerahkan pasukan kecemasan COVID-19 ke Aden, terdiri daripada seorang Penyelaras Perubatan, dua doktor perubatan ICU, dua jururawat ICU dan dua petugas logistik.
Doctors Without Borders adalah organisasi kemanusiaan antarabangsa yang bebas yang memberikan bantuan perubatan kepada mereka yang terkesan konflik, wabak, bencana, atau terkecuali daripada penjagaan kesihatan. Tindakan Doctors Without Borders dipandu etika perubatan dan prinsip tidak berpihak, bebas dan berkecuali.