Yaman: Bukan selalunya peluru yang membunuh manusia
Pakar pediatrik Doctors Without Borders Monica Costeira memegang bayi di unit neonatal hospital ibu dan anak Al-Qanawis di Hodeidah. Yaman, 2021. © Nasir Ghafoor/MSF
Di atas bumbung kediaman Doctors Without Borders di Bandar Al-Qanawis, di pentadbiran Hodeidah di barat laut Yaman, saya melihat bintang. Kami semua memandang ke langit yang sama, saya fikir, namun kehidupan sangat berbeza bergantung sudut pandang anda. Saya berada di negara indah yang kaya dengan sejarah. Kini, ia sedang dimusnahkan akibat peperangan.
Anda mungkin merasakan kecederaan dalam peperangan adalah mengenai trauma: manusia menjadi mangsa bom, tembakan atau tembakan. Apa yang ramai tidak sedar adalah perang juga membawa kesengsaraan berterusan yang tidak dapat dilihat, selain kemudaratan fizikal. Al-Qanawis dan kawasan sekitarnya adalah contoh keadaan itu.
Pentadbiran Hodeidah antara zon konflik paling aktif di Yaman dalam tempoh enam tahun sejak perang bermula, namun ramai pesakit kami datang dari kampung terpencil di kawasan seperti padang pasir, bukannya barisan hadapan. Mereka biasanya tidak mendengar bunyi tembakan, serangan udara atau pengeboman, namun mereka tetap merasakan seperti berperang setiap hari.
Ketika bercakap dengan pesakit kami, saya mula memahami bahawa mereka kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan, makanan, air, tempat tinggal selamat dan pendidikan. Ramai antara mereka meninggal dunia akibat penyakit yang boleh dirawat dan dicegah dengan sempurna sekiranya mempunyai akses kepada hospital dengan kakitangan dan ubat diperlukan. Akibatnya mereka yang paling teruk terjejas adalah yang paling rentan; kanak-kanak, wanita hamil, orang tua, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik. Perkara pertama dilakukan peperangan kepada sesebuah negara adalah membebankan sistem kesihatannya. Sebuah negara seperti Yaman, dengan infrastruktur kesihatan yang sedia lemah, dibelenggu dengan beban tambahan ini.
Saalima – yang bersalin secara pembedahan caesarean – memegang bayinya yang baharu lahir Zamzam di wad pasca pembedahan di hospital ibu dan anak Al-Qanawis yang disokong Doctors Without Borders di Hodeidah. Yaman, 2021. © Nasir Ghafoor/MSF
Harapan untuk mereka yang anda sayangi
Di mana sahaja tempat tinggal, sesiapa sahaja akan cuba mencapai kehidupan terbaik untuk keluarga. Mereka tidak berputus asa. Di Yaman juga, anda dapati ibu bapa sanggup menjual segala yang mereka ada demi satu peluang untuk menghantar sebahagian anak mereka ke negara lain dengan harapan mereka akan dapat menjalani kehidupan normal, untuk mengakses penjagaan kesihatan, mendapatkan pendidikan dan mencari pekerjaan.
Saya menemui ramai ibu bapa yang menghadapi cabaran besar hanya untuk membawa anak mereka yang sakit ke hospital, seperti ibu dan bapa Latifa. Latifa harus berjuang sejak hari pertama hidupnya.
Ibunya bersama keluarga tinggal di sebuah kampung kecil yang terpencil, tanpa akses kepada penjagaan kesihatan. Apabila perang meletus, banyak pusat kesihatan di kawasan mereka terkesan, sama ada musnah, ditinggalkan kakitangan perubatan atau hanya ditutup kerana kekurangan ubat dan peralatan. Semasa mengandung, ibu Latifa, Fatima, tidak mempunyai akses kepada kemudahan kesihatan berdekatan. Dia sakit, tetapi tidak mempunyai masa atau wang untuk membayar pengangkutan untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Kontraksi bermula tiba-tiba pada suatu hari, tetapi ia masih terlalu awal. Fatima bimbang keselamatan bayinya. Dia ingin ke kemudahan kesihatan kerana dia tahu ia terlalu awal dan bayinya pasti berisiko. Namun dia tidak sempat dan hanya bersalin di rumah. Bayi dilahirkan tersangat kecil dan mengalami kesukaran bernafas.
Zaima Hussain bersama bayinya yang bhaharu lahir Aiesha di wad pasca pembedahan hospital ibu dan anak Al-Qanawis yang disokong Doctors Without Borders di Hodeidah. Yaman, 2021. © Nasir Ghafoor/MSF
Pasukan pembedahan DWB mengendalikan C-section bersama pasukan bilik bedah di hospital ibu dan anak Al-Qanawis di Hodeidah. Yaman, 2021. @ Nasir Ghafoor
Kedudukannya jauh dari hospital dan bayinya tidak dapat diselamatkan. Dia masih bersedih akibat kehilangan ketika menyedari prosedur bersalinnya belum selesai! Dia mengandungkan anak kembar, tetapi tidak mengetahuinya kerana tidak menjalani pemeriksaan antenatal.
Fatima mengumpul tenaga dan sumber untuk pergi ke kemudahan kesihatan percuma terdekat yang menyediakan penjagaan ibu dan kanak-kanak, hospital Doctors Without Borders Al Qanawis, yang jaraknya juga masih beberapa jam dari rumahnya. Nasib baik, dia berjaya sampai di hospital kami tepat pada masanya, dan dia melahirkan bayi keduanya, Latifa.
Kami tempatkan Latifa di wad selama dua bulan disebabkan berat lahir rendah. Dia kemudian menjadi sumber kasih dan sayang seluruh pasukan. Apabila hari akhirnya tiba untuk dia dibenarkan keluar, saya sangat bangga dengannya dan tugas yang kami lakukan, dengan dedikasi dan kasih sayang pasukan. Saya harap dia membawa harapan kepada keluarganya, kepada komunitinya, dan kepada negaranya yang dilanda perang. Saya berharap Latifa menceriakan hidup setiap orang yang bertemu dengannya, seperti yang dia lakukan terhadap kami.
Kekurangan penjagaan kesihatan asas boleh membawa maut
Komplikasi akibat kelahiran pramatang punca utama kematian bayi baharu lahir di bahagian Yaman ini. Pelbagai faktor risiko untuk berat lahir rendah dan kelahiran pramatang; kebanyakannya boleh dicegah atau diurus dengan penjagaan antenatal yang baik. Faktor risiko termasuk usia ibu kurang 17 tahun atau lebih 35 tahun, tempoh antara kehamilan yang singkat, kekurangan zat makanan ibu, kehamilan berganda, janin abnormal dan masalah kesihatan ibu seperti malaria, pra-eklampsia, eklampsia, jangkitan, antara lain. Di Al-Qanawis, ramai ibu hadir dengan faktor risiko ini. Namun, dengan memastikan penjagaan neonatal asas dapat mengurangkan kematian dan meningkatkan hasil dengan ketara.
Duduk di atas bumbung malam itu, saya berasa puas menjadi sebahagian pasukan yang menyumbang kepada usaha menyelamatkan nyawa, namun saya juga bimbang bagi mereka yang tidak dapat sampai ke hospital kami. Ada ibu menjerit kesakitan dan bayi baharu lahir pula menghembuskan nafas terakhir, hanya kerana mereka tidak dapat menerima rawatan perubatan yang mudah dan asas. Menyaksikan realiti ini dan menyedari bagaimana peperangan memberi kesan kepada ramai dalam kategori rentan membuatkan saya berharap akan ada lebih banyak kesedaran global tentang apa yang berlaku di sini. Saya berharap sumber kami dan keupayaan tenaga kerja kami yang hebat akan digunakan untuk menyelamatkan nyawa, bukan mengambilnya.
Monica Costeira adalah pakar pediatrik di unit neonatal hospital ibu dan anak Al-Qanawis yang disokong Doctors Without Borders di Hodeidah, Yaman.