Skip to main content

Yaman: Mengatasi cirit-birit berair akut

A mother sitting next to her child who is treated in cholera treatment centre. Yemen, May 2024. © Mario Fawaz/MSF

Seorang ibu duduk di sebelah anaknya yang dirawat di pusat rawatan kolera. "Saya datang jauh dari daerah Khoukha di pentadbiran Al Hudaydah ke pusat rawatan kolera Mokha untuk mendapatkan rawatan buat anak saya Mohammed selepas dia sakit selama berminggu-minggu." Yaman, Mei 2024. © Mario Fawaz/MSF

Aseela mengalami muntah dan cirit-birit selama empat hari sebelum ibunya Sila berupaya memulakan perjalanan selama dua jam untuk membawanya ke hospital ibu dan anak Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF)  di Taiz Houban, di pentadbiran Taiz, barat daya Yaman, di mana kami menguruskan pusat rawatan cirit-birit berair akut.

“Saya terpaksa berhutang untuk menampung kos pengangkutan bas ke hospital,” kata Sila. “Suami saya tidak bekerja; kami tiada punca pendapatan. Untuk menyediakan makanan di atas meja, saya pergi ke kampung lain untuk meminta tepung dan beras daripada orang ramai.”

Dua puluh daripada 22 wilayah pentadbiran Yaman menyaksikan lonjakan dalam bilangan mereka yang mengalami cirit-birit berair akut, memandangkan lebih daripada 63,000 kes dilaporkan di negara itu setakat 31 Mei, menurut pihak berkuasa kesihatan. Walaupun kapasiti ujian terhad di negara ini, lebih daripada 2,700 kes yang diuji kembali positid dengan kolera.

The cholera treatment center in Aden city. Yemen, May 2024. Mario Fawaz/MSF

Pusat rawatan kolera di bandar Aden. Yaman, Mei 2024. Mario Fawaz/MSF

Bertindak balas terhadap lonjakan kes

Pasukan Doctors Without Borders melancarkan tindak balas di lapan wilayah pentadbiran, menyediakan rawatan perubatan untuk pesakit, latihan untuk kakitangan perubatan dan bukan perubatan, sumbangan bekalan perubatan, serta menjalankan aktiviti promosi kesihatan.

Amat yang berusia satu setengah tahun terjatuh dan tidak sedarkan diri. Demamnya tidak kebah, dan dia mengalami cirit-birit. Ibunya bergegas membawanya ke sebuah pusat kesihatan, kemudian ke pusat kesihatan lain, di mana dia diagnosis secara salah dan diberikan rawatan yang salah. Apabila keadaannya tidak bertambah baik, dia dirujuk ke pusat rawatan Doctors Without Borders di Mokha.

“Kampung saya terletak tiga jam jauhnya dari Mokha. Kami tidak mampu menanggung kos rawatan mahal di klinik berhampiran,” kata ibu Amat.

“Saya kehilangan dua anak, seorang daripadanya akibat demam panas. Saya membawanya ke klinik, tetapi saya tidak dapat menyelamatkannya. Saya takut perkara sama berulang lagi.”

Walaupun cirit-birit berair akut menjadi penyakit berulang di Yaman selama bertahun-tahun, lonjakan bilangan kes sedemikian menimbulkan risiko kepada kehidupan mereka yang sudah sedia mempunyai akses terhad kepada penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Osama mengalami dehidrasi teruk dan terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Dia datang dari pentadbiran Taiz ke pentadbiran Ibb yang berdekatan, tempat di mana kami menjalankan pusat rawatan cirit-birit di dalam hospital Al-Qaida yang disokong Doctors Without Borders di Kilo.

“Saya mengambil masa kira-kira satu setengah jam melalui perjalanan sukar untuk sampai ke sini. Saya tidak mampu membayar keperluan rawatan perubatan asas di hospital swasta di daerah saya,” kata Osama.

Di wilayah Hajjah, kami membuka pusat rawatan cirit-birit dengan 60 katil di sekolah yang jaraknya lima minit dari hospital besar Abs yang disokong Doctors Without Borders.

"Pusat kami satu-satunya yang menyediakan rawatan kepada pesakit cirit-birit berair akut di daerah besar ini," kata Dr Evangelina Lauxmann, Ketua Pasukan Perubatan Doctors Without Borders dalam projek Abs. "Cirit-birit berair akut, walaupun boleh dirawat, mendatangkan risiko kepada pesakit dengan komorbiditi serta wanita hamil yang berdepan peningkatan risiko kematian janin."

Dalam pada itu, musim hujan telah bermula di banyak kawasan di mana kami memberikan sokongan, yang mana ia akan memburukkan lagi penularan penyakit bawaan air daripada sumber bekalan air yang tercemar.

Memandangkan kekurangan dana yang diperuntukkan untuk bertindak balas terhadap penyebaran penyakit, banyak organisasi antarabangsa memiliki sumber yang terhad, menjadikan tindakan balas tidak mencukupi. Doctors Without Borders salah satu daripada beberapa organisasi yang menyediakan rawatan kepada pesakit yang mengalami cirit-birit berair akut dan taun - yang boleh membunuh dalam beberapa jam jika tidak dirawat.

Medical team inside one of the cholera treatment centre’s tent providing medical care for a patient. Yemen, May 2024. © Athmar Mohammed/MSF

Pasukan perubatan dalam salah satu khemah pusat rawatan taun yang menyediakan rawatan perubatan untuk pesakit. Yaman, Mei 2024. © Athmar Mohammed/MSF

Di Aden, dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan, kami menjalankan satu-satunya pusat rawatan taun di bandar ini, dilengkapi dengan 70 katil, dan terletak di dalam hospital Al-Sadaqa yang disokong Doctors Without Borders. Pusat ini beroperasi pada kapasiti penuh manakala bilangan pesakit semakin meningkat.

"Terdapat keperluan cukup penting untuk tindakan tambahan bagi mengatasi jumlah kes yang semakin meningkat," kata Federica Franco, Ketua Misi Doctors Without Borders di Yaman. "Kami menekankan kepentingan langkah pencegahan seperti penyediaan air selamat, sanitasi dan amalan kebersihan, usaha promosi kesihatan yang meluas, bagi menangani situasi ini dengan berkesan."

Di banyak kawasan di mana kami bertindak balas, sekiranya bilangan pesakit melebihi keupayaan kami untuk merawat mereka, Doctors Without Borders menghadapi cabaran untuk mencari dan melatih kakitangan perubatan, paramedik serta logistik untuk mengekalkan aktiviti rawatan pesakit.

Tanpa aktiviti air dan sanitasi berskala luas di wilayah pentadbiran yang paling terjejas, dan jika tiada aktiviti jangkauan komuniti untuk pemekaan mengenai amalan kebersihan yang betul dan pengesanan awal pesakit, lonjakan kes cirit-birit berair akut dijangka kembali dalam beberapa gelombang untuk beberapa bulan mendatang.

Antara April dan Mei, Doctors Without Borders merawat lebih daripada 10,500 pesakit di bahagian berlainan di Yaman.

 

Doctors Without Borders di Yaman

Doctors Without Borders telah bekerja di Yaman secara berterusan sejak 2007. Doctors Without Borders berada di 13 wilayah pentadbiran yang menyediakan sokongan perubatan kepada mereka yang hidup dalam keadaan tidak menentu dengan akses terhad kepada penjagaan kesihatan.

Di wilayah Taiz, dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan, Doktor Without Borders mengendalikan dua pusat rawatan cirit-birit; di Taiz Houban di dalam hospital ibu dan anak yang disokong Without Borders, dan di bandar Taiz di dalam hospital Al-Jumhouri yang disokong Without Borders. Kami membuka unit rawatan taun di Mafraq, dan pusat rawatan taun di Mokha yang dibangunkan di dalam hospital medan Without Borders.

Di tempat lain di Yaman, kami menjalankan pusat rawatan cirit-birit berair akut di hospital Al-Wehda di wilayah Dhamar dan di pusat amal di Ad-Dahi, wilayah Al-Hudaydah. Kami mewujudkan titik rehidrasi oral di kedua-dua wilayah di dalam pusat penjagaan kesihatan primer yang kami sokong.

Di Abs, wilayah Hajjah, kami membuka unit rawatan cirit-birit di dalam hospital besar Abs, kemudian memindahkan aktiviti ke pusat rawatan di sekolah yang terletak lima minit jaraknya dari hospital.

Di Kilo, wilayah Ibb, kami membuka pusat rawatan cirit-birit di dalam hospital Al-Qaida yang disokong Doctors Without Borders. Di Ataq, wilayah Shabwa, kami menjalankan pusat rawatan taun dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan. Di wilayah Marib, kami mewujudkan titik rehidrasi oral di dua pusat penjagaan kesihatan utama yang kami sokong.