Doctors Without Borders melihat penularan kes taun, meletakkan kelompok paling terdedah dalam risiko.
Di Haiti, Doctors Without Borders menyeru tindak balas segera terhadap wabak itu dipertingkatkan; lebih banyak organisasi dan penderma mesti digerakkan, dan alat penting, seperti vaksinasi, mesti disediakan untuk pasukan perubatan dan orang ramai.
Timur laut dan barat laut Syria berdepan wabak taun besar sejak September 2022. Pertama kali dikaitkan dengan air tercemar berhampiran Sungai Euphrates dan kekurangan air yang teruk di utara Syria, wabak itu kini merebak ke seluruh negara, dan lebih 13,000 kes disyaki dilaporkan, termasuk 60 kematian (sehingga 14 Oktober).
Adakah anda akan menyokong tindak balas kami?
Anda boleh bantu misi kami di seluruh dunia dengan menyumbang hari ini.
Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) sering bertindak balas terhadap wabak taun di negara tempat kami bekerja. Namun bagaimanakah kami menyediakan pusat rawatan taun untuk memastikan pesakit kami mendapat penjagaan sebaik mungkin - dan memastikan penyakit itu tidak merebak?
Bagaimana Doctors Without Borders bertindak balas terhadap wabak taun
Apa anda perlu tahu mengenai taun
Taun menjadi sejenis penyakit global pada abad ke-19 apabila merebak dari sumber asalnya iaitu delta Ganges di India. Enam wabak berikutnya membunuh jutaan nyawa di semua benua. Pada 1961, wabak semasa (ketujuh) bermula di Asia Selatan, merebak ke Afrika pada 1971 dan sampai ke Amerika pada 1991. Taun kini menjadi endemik di banyak negara.
Menurut WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), penyelidik menganggarkan setiap tahun terdapat 1.3 hingga 4.0 juta kes taun dan 21,000 hingga 143,000 kematian di seluruh dunia akibat penyakit itu.
- Apa itu taun?
Taun adalah jangkitan akut pada usus kecil disebabkan oleh bakteria Vibrio cholera. Orang ramai boleh jatuh sakit apabila mereka menelan makanan atau air yang tercemar dengan bakteria taun. Sumber biasa termasuk:
- bekalan air perbandaran
- Ais diperbuat daripada air perbandaran
- Makanan dan minuman dijual peniaga jalanan
- Ikan mentah atau kurang masak serta makanan laut yang ditangkap di perairan tercemar dengan kumbahan
Apabila seseorang mengambil makanan atau air yang tercemar, bakteria mengeluarkan toksin dalam usus yang menghasilkan cirit-birit yang teruk
Wabak boleh merebak dengan cepat dalam komuniti yang terlalu sesak dan dalam situasi hidup yang padat apabila terdapat akses tidak mencukupi kepada air bersih, serta pengumpulan sisa dan tandas yang sesuai. Akibat penduduk kehilangan tempat tinggal, kemusnahan infrastruktur atau kekurangan perkhidmatan awam, taun adalah risiko serius selepas bencana alam atau semasa konflik. Keadaan ini boleh menjadi masalah terutamanya pada musim hujan apabila rumah serta tandas banjir dan air tercemar terkumpul di kolam bertakung.
- Apa simptom taun?
Simptom taun boleh bermula seawal beberapa jam atau sehingga lima hari selepas jangkitan. Jangkitan selalunya ringan atau tanpa gejala, namun kadang kala boleh menjadi teruk dan mengancam nyawa.
Kolera dikenal pasti melalui cirit-birit berair secara tiba-tiba, yang seringkali disusuli muntah.
Pesakit akan cepat mengalami dehidrasi akibat dahaga yang teruk dan lidah kering. Simptom lain jangkitan adalah kadar denyutan jantung yang cepat, tekanan darah rendah, kekejangan otot dan kehilangan keanjalan kulit.
Kanak-kanak juga mungkin mengalami demam, lesu, dan sawan kerana dehidrasi melampau. Penyakit ini biasanya dialami dalam dua hingga tujuh hari.
Kehilangan cecair yang cepat dari usus boleh, jika tidak dirawat, membawa kematian - kadang-kadang dalam beberapa jam - dalam lebih 50 peratus daripada mereka yang diserang.
Namun, dengan rawatan moden yang betul, kematian boleh dicegah, dengan kadar dikekalkan kepada kurang 1 peratus daripada mereka yang memerlukan terapi.- Bagaimana taun dirawat?
Taun mudah dirawat dalam kebanyakan kes, dengan mereka yang mengalami bentuk ringan hingga sederhana biasanya boleh pulih melalui rawatan dengan cecair dan garam rehidrasi oral, yang mudah diberikan. Bagi yang mengalami dehidrasi teruk mungkin memerlukan cecair intravena dan kemasukan ke hospital.
Pemberian antibiotik seperti tetracycline pada hari pertama rawatan biasanya memendekkan tempoh cirit-birit dan mengurangkan jumlah penggantian cecair yang diperlukan. Ia juga penting bagi pesakit untuk menyambung semula makan sebaik mereka dapat berbuat demikian untuk mengelakkan kekurangan zat makanan atau untuk mengelak kekurangan zat makanan sedia ada daripada menjadi lebih teruk.
Tanpa rawatan, kadar kematian boleh mencapai 50 peratus; dengan penjagaan mencukupi, ia kurang daripada 2 peratus.
- Pencegahan
Bekalan air yang selamat dan bersih kunci kepada pencegahan taun.
Banyak langkah berkesan boleh dicapai melalui tindakan klorin bekalan air awam dengan sewajarnya dan, dalam beberapa kes, mengedarkan tablet klorin kepada isi rumah dengan arahan tentang cara menggunakannya. Jika tiada nyahjangkit secara kimia, orang ramai boleh memasak air sebelum digunakan, namun ia mungkin sukar dilakukan, terutama di negara miskin.
Pembuangan najis manusia secara bersih juga langkah penting dalam mencegah taun. Penggunaan tandas boleh mengurangkan risiko jangkitan dengan ketara di kawasan tanpa sistem pembetungan moden.Memastikan keselamatan makanan satu lagi langkah kawalan penting.
Ketika wabak taun, penting sekali semua makanan - termasuk lebihan makanan - dimasak sempurna (hingga suhu teras 70 °C [158 °F]) dan dimakan sebelum ia sejuk. Makanan disimpan juga perlu ditutup untuk mengelak pencemaran, selain sentiasa mencuci tangan selepas membuang air besar dan sebelum penyediaan makanan. Makanan dijual peniaga jalanan berulang kali dikaitkan sebagai sumber jangkitan dan oleh itu harus dielakkan pengembara ke kawasan yang diklasifikasikan endemik taun.
Vaksin dibangunkan terhadap taun, yang membekalkan perlindungan antara enam bulan dan tiga tahun bergantung jenis vaksin dan bilangan dos diberikan.
Walaupun vaksin oral terbukti berkesan dalam mencegah taun semasa wabak, strategi pemberian dua dos ketika ini mencabar dari segi logistik untuk dilaksanakan semasa kecemasan. Namun Doctors Without Borders merujuk pengalaman terdahulu dan bukti saintifik bahawa strategi vaksin taun oral satu dos bukan sahaja selamat dan mudah dilaksanakan tetapi boleh mencegah atau mengurangkan penularan penyakit semasa wabak.
- Kenapa begitu banyak wabak taun hari ini?
Pada 2022 sekurang-kurangnya 30 negara menyaksikan wabak taun atau penyakit seperti taun. Namun ia bukan satu wabak besar. Bagi kebanyakan negara, lonjakan taun semasa disebabkan keadaan tempatan yang khusus. Faktor risiko wabak taun diketahui umum dan sentiasa dikaitkan dengan akses kepada air minuman bersih dan pelupusan air kumbahan yang betul.
Krisis politik dan/atau ketenteraan yang berlarutan: krisis jenis ini boleh menyebabkan kekurangan penyelenggaraan air minuman dan/atau infrastruktur kumbahan. Inilah kes yang dihadapi hari ini di negara-negara seperti Haiti, Somalia dan Syria.Bencana alam: Panas dan kemarau boleh mengurangkan jumlah air minuman yang selamat, lantas memaksa orang ramai menggunakan sumber yang tidak selamat. Banjir sebaliknya, boleh memudahkan bakteria merebak ke sumber air yang sebelum ini selamat. Pada 2022, negara seperti Somalia, Kenya dan Ethiopia mengalami kemarau teruk. Yang lain, seperti Sudan Selatan dan Nigeria, menghadapi banjir.
Orang yang sedang bergerak: Pelarian selalunya terpaksa tinggal di tempat yang tidak mempunyai akses mencukupi kepada air bersih, dan pihak berkuasa selalunya tidak melabur dalam infrastruktur air dan sisa yang betul di kem pelarian. Tahun ini, terdapat wabak taun di kem pelarian di Lubnan, Somalia dan Nigeria.
- Apa antara cabaran hari ini?
Taun mudah dirawat, dengan rehidrasi oral untuk kebanyakan pesakit, dan rehidrasi intravena untuk kes lebih teruk. Jika dirawat tepat pada masanya, lebih 99% pesakit akan terselamat daripada penyakit ini. Menyediakan air minuman yang bersih dan memproses air sisa dengan betul melindungi orang ramai daripada dijangkiti sejak awal. Terdapat juga vaksin yang baik terhadap taun.
Namun rawatan dan pencegahan taun datang bersama cabaran logistik yang besar. Menubuhkan pusat rawatan taun memerlukan banyak bekalan, begitu juga projek air dan sanitasi. Di tempat tidak selamat atau sebaliknya sukar untuk diakses, ia mengundang kekangan besar. Dan bilangan wabak dikesan tahun ini saja sudah menjadikannya sangat mencabar. Sudah terdapat kekurangan vaksin kolera dan bekalan bahan penting lain, seperti cecair untuk rehidrasi intravena, juga meletakkannya di bawah tekanan.
Selain itu, kerajaan kadang kala tidak mahu mengisytiharkan wabak taun secara rasmi, selalunya atas sebab politik. Ini menjadikannya sangat sukar untuk memaklumkan penduduk dengan secukupnya cara mereka boleh melindungi diri mereka, dan mustahil untuk melakukan vaksinasi taun.
- Apa yang dilakukan Doctors Without Borders hari ini?
Doctors Without Borders hari ini menjalankan program taun di 10 negara (Kenya, Ethiopia, Somalia, Cameroon, Nigeria, Haiti, Lubnan, Syria, Malawi). Pasukan kami terbabit dalam pencegahan taun: mereka melakukan promosi kesihatan, kerja air dan sanitasi, dan vaksinasi taun. Kami juga menjalankan unit taun untuk merawat pesakit di kemudahan perubatan, dan menubuhkan pusat taun lebih besar dan berasingan di mana ratusan pesakit boleh dimasukkan secara serentak.
Fakta mengenai kolera (taun)
Adakah anda akan menyokong tindak balas kami?
Anda boleh bantu misi kami di seluruh dunia dengan menyumbang hari ini.