Taun di utara Syria: satu lagi cabaran dalam situasi kemanusiaan yang sedia tidak menentu
Seorang pekerja penjagaan kesihatan memeriksa Mohamad Al-Merhi, pesakit taun di Unit Rawatan Taun (CTU) yang disokong MSF di wilayah Idlib, barat laut Syria. Syria, November 2022. © Abd Almajed Alkarh/MSF
Ketika ini jam 9 pagi di bandar Raqqa yang dilanda perang namun masih sibuk di timur laut Syria. Fatina, yang berasal dari Aleppo, sedang berbaring di atas katilnya di Unit Rawatan Taun (CTU) yang disokong Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF). Dia masih lemah, jadi seorang jururawat membantunya untuk meminum larutan rehidrasi oral (ORS) daripada cawan ketika dia beransur pulih daripada taun, penyakit yang tidak pernah dilihat di Syria selama lebih sedekad.
Fatina datang melawat anaknya yang berpindah ke bandar itu selepas melarikan diri daripada pertempuran di barat laut negara itu sepuluh tahun lalu. Namun harapan pertemuan semula yang bahagia musnah dengan cepat selepas dia jatuh sakit tidak lama selepas tiba. Sekarang dia sedang bersiap untuk bertemu keluarganya namun bukan secara bersemuka, ia pilihan terbaik kedua, melalui panggilan video hasil perkhidmatan disediakan CTU untuk meminimumkan bilangan pelawat dan membantu dalam membendung penyebaran bakteria.
"Saya datang ke Raqqa untuk melawat anak saya beberapa hari lalu, dan kemudian saya mendapati diri saya di sini," kata Fatina. Selepas terselamat daripada konflik yang melanda wilayah itu sejak 2011, Fatina mendapati ancaman baharu yang menjulang. “Saya pertama kali dimasukkan ke hospital iaitu di hospital Raqqa National oleh keluarga saya. Keadaan saya semakin teruk; Saya mengalami sakit kepala yang teruk, cirit-birit, dan muntah yang tidak terkawal semasa tiba di CTU. Saya tidak pasti mengapa saya jatuh sakit, namun saya rasa seperti sedang hampir mati”.
Seorang pesakit di pusat rawatan taun disokong Doctors Without Borders di Raqqa, timur laut Syria. Syria, 3 November 2022.© Azad Mourad/MSF
Di timur laut Syria, Doctors Without Borders bertindak balas terhadap wabak itu dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan tempatan, termasuk memberikan sokongan kepada Unit Rawatan Taun (CTU) di Raqqa. Pusat di Raqqa dahulunya adalah hospital COVID-19 tetapi sunyi selama berbulan-bulan, kerana bilangan pesakit dalam keadaan kritikal semakin berkurangan dan kemudahan khusus tidak lagi dianggap perlu. Kini lampu dihidupkan semula, dan pasukan penerimaan tetamu yang meyakinkan duduk di meja depan menyambut pesakit semasa ketibaan. Beberapa tukang cuci menjaga kebersihan di klinik, mengemop lantai dan mengelap setiap permukaan, jelasnya mereka memahami kepentingan pembasmian kuman selepas bekerja semasa COVID-19 apabila wad penuh dengan pesakit.
Sejak wabak taun pertama diisytiharkan pada September, Doctors Without Borders merawat lebih 3,000 kes yang disyaki taun di timur laut. Dengan paras air di Sungai Efrat berkurangan akibat kemarau yang berpanjangan, dan banyak komuniti menggunakan sumber yang terjejas seperti sungai atau terusan terbuka untuk mendapatkan air mereka, bahaya wabak taun yang teruk kekal, terutamanya dengan infrastruktur kesihatan tempatan yang musnah akibat konflik selama 11 tahun.
Pasukan air dan sanitasi mencampur kapur dengan mendapan najis dari pusat rawatan taun untuk menghapuskan kolera Vibrio, Raqqa, timur laut Syria. Syria, 3 November 2022. © Azad Mourad/MSF
Di pentadbiran Idlib, di barat laut Syria, Alaa Hassan, 30, tiba di Unit Rawatan Taun (CTU) dilengkapi 24 katil yang disokong Doctors Without Borders, satu-satunya unit yang aktif di kawasan itu, dalam keadaan kepenatan dan sakit. "Pada mulanya, saya fikir ia hanya jangkitan usus biasa, namun dalam beberapa jam, muntah dan cirit-birit saya bertambah teruk, saya hampir pengsan, dan tekanan darah saya tiba-tiba menurun", kata Alaa. Ibu mertuanya mempunyai simptom sama, tetapi tidak mengetahui punca jangkitan. "Saya mendengar tentang penularan taun di Syria, namun saya tidak menyangka akan dijangkiti dan mengalami simptom serius seperti itu," tambahnya. Dua hari selepas dimasukkan ke CTU, dan tidak lama selepas menerima rawatan, semua gejalanya hilang.
Di utara Idlib, Doctors Without Borders juga menyokong CTU lain, dan dua lagi di Afrin dan Al-Bab, utara Aleppo, dengan kerjasama Pertubuhan Al-Ameen. Selain itu, kami juga menjalankan dan menyokong empat Pos Rehidrasi Oral (ORP) sebagai langkah pertama dalam rawatan, untuk pesakit yang menunjukkan simptom, namun tidak berada pada tahap yang mereka memerlukan kemasukan ke hospital. Kira-kira 300 pesakit dirawat di ORP dan 220 pesakit di CTU di utara Idlib, kira-kira 20% daripada mereka dianggap mengalami gejala teruk. Kebanyakan kes teruk ini berpunca daripada kelewatan mendapatkan rawatan.
Mulanya dikaitkan dengan air tercemar dari Sungai Euphrates dan kekurangan air yang teruk di utara Syria, taun permulaannya muncul di Deir ez-Zur, kemudian bergerak di sepanjang Sungai Efrat ke Raqqa dan ke Aleppo di barat laut sebelum merebak dengan cepat ke seluruh negara.
Dalal dan anak lelakinya dirawat di pusat rawatan taun baharu yang disokong Doctors Without Borders di Raqqa, timur laut Syria. 03 November 2022. © Azad Mourad/MSF
Dalal dan anaknya Saleh yang sakit, yang berasal dari luar bandar Raqqa, beberapa jam memandu jauhnya, telah dirujuk ke Unit Rawatan Taun di Raqqa baharu sehari lalu. Dia bersungguh-sungguh ke pusat itu dengan bayinya yang sakit teruk, menggunakan pengangkutan awam, dan menaiki bas mini. Dengan bayinya kehilangan cecair, dan semakin lemah dari semasa ke semasa, perjalanan itu terasa seperti tidak akan berakhir. Seorang ibu kepada lapan anak, dia terpaksa meninggalkan anak-anaknya yang lain bersama bapa mereka.
"Saya mempunyai 8 anak, anak saya, Saleh yang berusia 5 bulan, adalah yang bongsu," kata Dalal, yang duduk di atas katil bersama anaknya yang sedang tidur dengan tenang di CTU. 'Dia cirit-birit teruk seminggu lalu lalu. Saya fikir ia mungkin kerana susu biri-biri tetapi kesihatannya merosot. Saya membawanya ke pusat ini dan syukur kepada Tuhan, keadaannya lebih baik sekarang”.
Penganjur Kesihatan Doctors Without Borders menerangkan kepada kanak-kanak di sekolah tentang kepentingan mencuci tangan dengan sabun untuk mengelakkan dijangkiti taun di barat laut Syria. Syria, November 2022. © Abd Almajed Alkarh/MSF
Melibatkan Komuniti
Ahmad Ali adalah sebahagian Pasukan Penganjur Kesihatan Raqqa CTU. Dia seorang daripada sekumpulan pekerja kesihatan komuniti di Timur Laut dan Barat Laut Syria yang bersedia untuk melawat pesakit di bilik mereka dan bertemu dengan keluarga untuk bercakap tentang kebimbangan dan menjawab soalan mereka. Mereka juga menerangkan cara mengenali simptom awal taun, dan apa yang perlu dilakukan jika seseorang mengesyaki bahawa mereka atau ahli keluarga dijangkiti penyakit itu.
“Sesetengah keluarga di kawasan luar bandar di Raqqa memberitahu saya bahawa mereka menggunakan air terus dari terusan terbuka atau sungai untuk keperluan isi rumah dan untuk minum. Air ini tercemar dan tidak selamat dan apabila loji air berhampiran tidak berfungsi, orang ramai secara semula jadi akan mencari sumber lain, sekali gus mengundang jangkitan penyakit”, kata Ahmad.
“Kami biasa menemui 25 pesakit secara purata setiap hari, namun kes [di timur laut Syria] telah menurun dengan ketara. Orang ramai kini lebih faham cara melindungi diri mereka dan keluarga daripada jangkitan,” tambah Ahmad. Sementara utara Syria sekali lagi berdepan musim sejuk melampau, di tengah-tengah situasi keselamatan yang sedia tidak stabil, masyarakat tempatan melakukan segala yang termampu untuk membantu membendung wabak itu, supaya ia tidak menambah satu lagi lapisan kerumitan kepada situasi kemanusiaan yang sudah sedia tidak menentu.