Skip to main content

Yaman: Mahu makan atau suap anak saya? Soalan di minda seorang ibu

Doctors Without Borders midwife measures the mid upper arm circumference of nine-month pregnant mother in the Doctors Without Borders-supported maternity department inside Abs general hospital.

Bidan Doctors Without Borders mengukur lilitan pertengahan lengan atas seorang ibu yang hamil sembilan bulan di jabatan bersalin yang disokong Doctors Without Borders di dalam hospital besar Abs. Yaman, November 2023. © Jinane Saad/MSF

Mayasa duduk di atas katil anaknya di hospital besar Abs di wilayah Hajjah Yaman. Mohammad yang berusia dua tahun dimasukkan ke pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam hospital itu selepas dia disahkan mengalami kekurangan zat makanan yang disertai radang paru-paru dan cirit-birit.

Mohammad sudah lama tidak menerima sebarang makanan. Semasa masih bayi, Mayasa tidak mampu membeli susu formula, jadi dia memberinya susu lembu, roti dan kentang. Ini kali kelima Mohammad menginap di pusat pemakanan terapeutik, kali pertama ketika dia baru berusia enam bulan.

Pusat pemakanan terapeutik di hospital Abs disokong oleh Doctors Without Borders, namun meskipun rawatan Mohammad percuma, Mayasa terpaksa berhutang untuk menampung kos pengangkutan yang tinggi dari rumah mereka, dua hingga tiga jam perjalanan dari Abs. Walaupun begitu, Mayasa tidak pernah gagal membawa anaknya ke hospital apabila dia jatuh sakit. Dia sangat mengambil berat tentang kesihatan anak-anaknya, kadang-kadang dengan mengorbankan dirinya sendiri. Kini mengandung anak keempat, dia sendiri mengalami kekurangan zat makanan ketika kehamilannya memasuki empat bulan.

"Anak-anak saya pergi ke rumah bapa saudara mereka untuk sarapan pagi dan saya ke hospital pagi ini dengan perut kosong," kata Mayasa. “Saya tidak mempunyai wang untuk makan. Jika saya makan pada sebelah pagi, saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk makan pada tengah hari dan malam.”

Seperti kebanyakan ibu di Yaman, Mayasa setiap hari bimbang tentang bagaimana dia akan menyediakan makanan untuk anak-anaknya, dan berdepan pilihan sama ada untuk menyuap mulutnya sendiri atau meninggalkan bahagiannya kepada mereka.

Kami melihat ramai penjaga di pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam yang mengalami kekurangan zat makanan. Ini disebabkan ketidakamanan makanan di Yaman. Sekiranya seorang wanita kekurangan zat makanan, sukar baginya untuk menyokong bayinya.
Dr Hilaire Pato, pakar pediatrik

Ini banyak terjadi di jabatan bersalin hospital. Saada yang sedang hamil bulan kesembilan baru sahaja dimasukkan ke hospital kerana mengalami pendarahan dan saluran usus tersumbat. Dia juga kekurangan zat makanan. Saada tidak menjalani pemeriksaan antenatal semasa mengandung disebabkan faktor kos tinggi untuk ke pusat kesihatan terdekat.

Kampung halaman Saada "mati", seperti yang dikatakannya, tanpa pekerjaan atau cara mencari rezeki. Keluarganya yang terdiri lapan orang bergelut untuk mencari makanan yang mencukupi. "Kami makan roti dan teh, tetapi kami tidak makan daging atau ikan," katanya. "Kami pernah menerima bantuan makanan - tepung beg dan sebotol minyak sahaja - tetapi ia berhenti lima bulan lalu."

Kakitangan Doctors Without Borders mengukur lilitan lengan tengah atas semua wanita yang dimasukkan ke bahagian bersalin di Abs untuk menentukan status pemakanan mereka. Bilangan wanita yang mengalami malnutrisi sama ada sederhana atau teruk meningkat secara berterusan sepanjang dua tahun lalu.

Pada 2021, 51 peratus wanita yang dimasukkan untuk penjagaan bersalin di hospital Abs mengalami kekurangan zat makanan, manakala 4 peratus mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk.

Pada 2022, ia meningkat kepada 64 peratus, dengan 6 peratus mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk. Menjelang Februari 2024, sebanyak 68 peratus wanita yang dimasukkan ke jabatan bersalin mengalami kekurangan zat makanan.

Enam puluh kilometer dari Abs, di hospital ibu dan anak Al-Qanawis yang disokong Doctors Without Borders di wilayah Al-Hudaydah, gambaran sama dilihat. Pada 2023, 47 peratus wanita yang dimasukkan mengalami kekurangan zat makanan, meningkat kepada 49 peratus pada Februari 2024.

“Wanita hamil yang mengalami kekurangan zat makanan lebih berisiko mengalami komplikasi semasa mengandung dan bersalin, paling utama ialah kekurangan zat besi atau anemia,” kata Dr Pato. “Seorang wanita yang mengalami malnutrisi berisiko tinggi untuk mendapat bayi yang kurang zat. Ia juga akan menjadi lebih sukar baginya untuk menyusukan anaknya.”

Risiko ibu kekurangan zat yang melahirkan bayi yang terdedah kepada kekurangan zat makanan adalah jelas daripada program pemakanan Doctors Without Borders di Abs, di mana 24 peratus daripada semua kemasukan pada 2023 adalah kanak-kanak di bawah usia enam bulan.

Dalam usaha mengesan wanita dan kanak-kanak yang mengalami malnutrisi dan mencegah keadaan mereka daripada menjadi lebih teruk, petugas kesihatan komuniti Doctors Without Borders menjelajah dari pintu ke pintu di muhafazah Al-Hudaydah untuk mengukur lilitan pertengahan lengan atas kanak-kanak, wanita hamil dan ibu-ibu baharu. Semua yang menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat makanan dirujuk ke pusat kesihatan terdekat yang mempunyai kapasiti pemakanan terapeutik.

A mother feeds her nine-month-old son who was admitted to the Doctors Without Borders-supported inpatient therapeutic feeding center at Abs general hospital, Hajjah governorate, Yemen.

Seorang ibu menyuap anak lelakinya berusia sembilan bulan yang dimasukkan ke pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam yang disokong Doctors Without Borders di hospital besar Abs, wilayah Hajjah. Yaman, November 2023. © Jinane Saad/MSF

Bagaimanapun, pekerja kesihatan komuniti Doctors Without Borders melaporkan cabaran dalam memastikan kesinambungan rawatan untuk wanita hamil dan ibu baru yang mengalami kekurangan zat makanan, kerana terdapat jurang besar dalam pengaturcaraan sedemikian di pusat kesihatan serantau.

Krisis kekurangan zat makanan di Yaman mempunyai banyak punca asas. Selepas lebih sedekad konflik dan krisis ekonomi yang tidak pernah berhenti, ramai di Yaman kehilangan mata pencarian. Kadar inflasi tinggi mengurangkan kuasa beli rakyat sehingga mereka tidak lagi mampu membeli makanan yang cukup berkhasiat. Mengurangkan pengagihan bantuan makanan, termasuk penggantungan Pengagihan Makanan Am Program Makanan Sedunia (WFP) di utara Yaman, memburukkan lagi keadaan yang sudah sedia teruk.

Pada masa sama, akses orang ramai kepada rawatan perubatan amat terhad disebabkan kekurangan kemudahan penjagaan kesihatan primer yang berfungsi dan kos pengangkutan yang tinggi. Ini menjejaskan akses wanita hamil kepada penjagaan antenatal dan selepas bersalin, mengakibatkan tanda-tanda awal kekurangan zat makanan tidak dapat dikesan.

Selain itu, ramai wanita di Yaman tidak menyedari bahawa pemberian susu ibu boleh mengurangkan risiko kekurangan zat makanan dalam kalangan anak-anak mereka dan komplikasi yang berkaitan dengannya.

Untuk menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan ibu dan kanak-kanak di Yaman, penting untuk mengisi jurang kritikal dalam program pemakanan dan bantuan makanan. Memandangkan kekurangan dramatik dalam pembiayaan penderma yang kita lihat di Yaman, maka penting untuk pendekatan bersasar dilaksanakan, memfokuskan kepada kumpulan yang paling terdedah, khususnya kanak-kanak bawah usia lima tahun, wanita hamil dan ibu baharu. Terdapat juga keperluan besar untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemberian susu ibu. Ini akan membantu mengurangkan risiko kekurangan zat makanan dan komplikasi berkaitan dengannya.
Dr Hilaire Pato, pakar pediatrik