Skip to main content

Setahun selepas serangan ke atas wad ibu bersalin Dasht-e-Barchi

Entrance to the main office in the compound.

Pintu masuk ke pejabat utama di perkarangan hosital Dasht-e-Barchi.Afghanistan 2020. @Frederic Bonnot/MSF

Setahun kemudian, bagaimana anda mengingati apa yang berlaku di wad bersalin Dasht-e-Barchi?

Saya masih ingat hari-hari pertama, pemahaman progresif kami tentang bagaimana pembunuhan beramai-ramai ini dilakukan: penyerang dengan sengaja, dan secara teratur, membunuh ibu dan wanita hamil, di atas katil mereka, satu demi satu. Serangan mengerikan seperti itu ke atas wad bersalin tidak pernah terjadi, sama ada di Afghanistan atau sepanjang 50 tahun sejarah Doctors Without Borders. Tidak pernah kami terbayang keganasan boleh dilakukan ke atas wanita, pada masa mereka paling terdedah: ketika melahirkan anak. Terdapat makna simbolik yang tidak dapat ditanggung dalam tindakan keganasan ini.

Ia kemudian diikuti beberapa hari dan minggu dengan aktiviti sengit, di mana kami cuba sedaya upaya memberikan sokongan - termasuk penjagaan kesihatan mental - kepada yang cedera, kepada keluarga mangsa dan kakitangan kami.

Beberapa minggu kemudian, kami terpaksa membuat pilihan sukar untuk menarik diri daripada Dasht-e-Barchi. Kami tahu kami akan meninggalkan satu keperluan yang besar. Bagi kebanyakan wanita di kawasan kejiranan, wad bersalin kami adalah sumber yang sangat diperlukan; 16,000 kelahiran berlaku di sana pada 2019 sahaja. Namun kami tidak dapat meneruskan aktiviti kami selepas apa yang berlaku.

Kenapa Doctors Without Borders menjalankan eksesais pencarian fakta?

Di satu pihak, ia sebahagian amalan standard kami susulan tragedi keselamatan yang teruk, untuk menerangkan setepat yang kami boleh kronologi dan perihalan serangan itu, serta untuk menganalisis unsur-unsur yang memungkinkan kejadian sedemikian berlaku dan apa yang mungkin boleh dilakukan untuk mengelakkannya. Ia membantu kami menilai semula persekitaran dan kedudukan kami dalam konteks tertentu, bagaimana risiko keselamatan dinilai dan diurus. Eksesais ini bukan untuk menyemak keputusan kami meninggalkan Dasht-e-Barchi, tetapi bertujuan supaya ia berguna untuk aktiviti Doctors Without Borders sedia ada yang lain di Afghanistan.

Di pihak lain, kami merasakan ia penting, dan sebagai satu kewajipan terhadap mangsa, begitu juga mereka yang terselamat dan kakitangan kami di Afghanistan dan seterusnya, untuk mencuba dan memahami seboleh mungkin tentang apa yang berlaku.

Itulah sebabnya, walaupun kami tahu sebelumnya bahawa kami tidak dapat memperoleh semua jawapan kepada soalan kami, namun ia penting dan perlu untuk melaksanakan eksesais ini.

 

Dasht-e-Barchi hospital

 @Frederic Bonnot/MSF

Apakah inti pati eksesais pencarian fakta ini?

Temu bual dilakukan bersama kakitangan Doctors Without Borders dan saksi lain yang berada di lokasi atau di kawasan sekitar wad bersalin, serta dengan pihak berkepentingan luar yang berkaitan yang terbabit di peringkat nasional dan antarabangsa. Secara keseluruhan, 38 saksi dan 45 pihak berkepentingan serta pakar luar ditemu bual oleh Doctors Without Borders. Kami juga menyemak elemen material dan fakta, serta elemen tersedia secara umum seperti kenyataan dalam media dan media sosial..

Apa ingin anda buktikan melalui eksesais pencarian fakta ini? 

Pertama, ia membolehkan kami mengumpul dan memeriksa beberapa elemen, yang terbukti rumit pada minggu pertama selepas serangan itu, dan untuk mengesahkan beberapa maklumat: sejumlah 24 orang terbunuh, menurut sumber rasmi, termasuk salah seorang bidan kami, Maryam, 16 orang ibu, dan dua kanak-kanak berusia 7 dan 8 tahun. Enam kakitangan Doctors Without Borders, seorang bayi baru lahir dan seorang penjaga turut cedera dalam serangan itu. Siasatan ini juga mengesahkan bahawa protokol keselamatan sedia ada mengehadkan jumlah korban dalam kalangan kakitangan dan pesakit Doctors Without Borders. Sebagai contoh, lebih 90 orang dapat berlindung di bilik selamat bersalin.

Namun, untuk beberapa soalan utama - terutamanya identiti pelaku pembunuhan beramai-ramai ini, dan motivasi mereka - tiada kesimpulan atau kepastian kukuh diperoleh daripada eksesais ini. 

Adakah anda dapat tahu lebih lanjut tentang pelaku dan motivasi mereka?

Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab atas serangan ini. Sejurus selepas itu, pihak berkuasa Afghanistan secara terbuka menyalahkan Taliban - atau Emiriah Islam Afghanistan - yang menyangkal dan mengecam tuduhan itu, manakala di media wakil kerajaan asing menuduh wilayah Khorasan Negara Islam (ISK-P). Bagaimanapun, tiada bukti didedahkan kepada umum untuk menyokong dakwaan tersebut. Sejak itu, Doctors Without Borders hanya menerima maklumat lisan bahawa siasatan Afghanistan mengenai serangan itu sedang dijalankan.

Proses pencarian fakta kami tidak membenarkan kami menentukan dengan pasti identiti pelaku serangan dan motif mereka.

Bagaimanapun, hipotesis paling berkemungkinan ialah serangan itu dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua anggota kumpulan bersenjata ISK-P. Beberapa sumber menyatakan ada sokongan daripada kumpulan bersenjata lain yang mana siasatan kami tidak dapat mengesahkan atau menafikan.

Walaupun kita tidak tahu siapa bertanggungjawab, eksesais itu mencadangkan bahawa sebab untuk serangan ini mungkin berkaitan dengan satu bentuk tindak balas terhadap pihak berkuasa Afghanistan. Dalam hipotesis ini, wanita hamil akan menjadi sasaran kerana seminggu sebelum serangan ini, tiga wanita termasuk dua wanita hamil, terbunuh semasa operasi ketenteraan dikendalikan pasukan tentera Afghanistan terhadap ISK-P; atau disebabkan keadaan wanita dan kanak-kanak yang didakwa menyokong ISK-P yang ditahan oleh pihak berkuasa Afghanistan.

Bagaimanapun, tidak dikecualikan kemungkinan bahawa wanita dan wanita hamil disasarkan sebagai ahli komuniti Hazara - serangan ini sebahagaian siri serangan yang panjang dalam beberapa tahun kebelakangan ini terhadap minoriti ini, terutamanya di kawasan kejiranan Dasht-e-Barchi.

Entrance to the mother's room

Pintu masuk ke bilik untuk ibu di wad bersalin terbabit. Afghanistan 2020 @ Frederic Bonnot/MSF

Apakah Doctors Without Borders juga sasaran? 

Tiada petunjuk dalam eksesais pencarian fakta kami bahawa Doctors Without Borders, selaku sebuah institusi, disasarkan secara langsung. 

Namun, kami tidak boleh mengecualikan bahawa kehadiran Doctors Without Borders dalam ibu bersalin ini mungkin memainkan peranan dalam pemilihan sasaran ini.

Walau apa pun, sasaran pertama serangan ini adalah wanita hamil dan wanita bersalin di wad bersalin yang kami uruskan. Kami tahu bahawa penyerang terus menuju ke pusat bersalin dan membunuh wanita hamil dan wanita bersalin yang ada di sana. Dua kanak-kanak yang datang untuk vaksinasi rutin dan seorang lagi penjaga turut ditembak mati dalam serangan itu. Kakitangan penjagaan kesihatan turut terbunuh dan cedera dalam serangan itu.

Jika Doctors Without Borders tidak disasarkan secara langsung, mengapa anda tidak meneruskan aktiviti wad bersalin di Dasht-e-Barchi?

Kami tidak boleh bekerja dalam persekitaran di mana pesakit dan kakitangan perubatan menjadi sasaran, dan di mana kami tidak dapat menghalang pembunuhan beramai-ramai seperti itu daripada berulang.

Serangan ini jelas menyasarkan wanita hamil dalam wad bersalin dikendalikan oleh Doctors Without Borders. Dan eksesais mencari fakta mengesahkan bahawa tiada satu pun daripada pihak yang mempunyai hubungan dengan kami di Afghanistan memberi kami amaran khusus mengenainya. 

Apakah makna insiden ini terhadap kehadiran Doctors Without Borders di Afghanistan?

Keinginan kami untuk terus bekerja di Afghanistan didorong keperluan perubatan yang sangat mendesak penduduk Afghanistan. Ini benar terutamanya dalam konteks pandemik COVID-19, dan ketika kehadiran tentera antarabangsa selama 20 tahun berakhir dan dinamik politik dalaman sedang berubah. Namun tugas kami hanya boleh diteruskan jika syarat keselamatan minimum dipastikan untuk pesakit dan kakitangan kami.

Apabila Doctors Without Borders kembali ke Afghanistan 12 tahun lalu - selepas kami berundur pada 2004 berikutan pembunuhan lima rakan sekerja kami - kami sedar ia antara negara paling berbahaya untuk bekerja. Waktu itu, analisis kami menyatakan bahawa ada kemungkinan untuk mencipta ruang kerja selamat buat kami, dengan memperbaharui pertalian kami bersama semua pihak terbabit. Sejak itu, selepas serangan ke atas hospital kami di Kunduz, dan hospital bersalin Dasht-e-Barchi, kami harus mengakui bahawa ini belum mencukupi. Dalam dua serangan ini, 66 orang terbunuh - jumlah korban tertinggi dalam program kami setakat ini di seluruh dunia sepanjang enam tahun lalu. Organisasi kami tidak boleh menerima idea untuk mengintegrasi kehilangan kakitangan kami atau pesakit yang kami rawat sebagai sebahagian daripada kerja kami. Kami mengekalkan kebebasan kami untuk berundur dan menghentikan aktiviti kami apabila kami mendapati risiko serangan teruk seperti itu berulang adalah terlalu besar.

Walaupun dinamik keselamatan dan politik berbeza dari satu kawasan dengan kawasan lain, secara global kehadiran kami di negara ini hari ini masih kekal dibebani kekangan dan terhad. Kami meneruskan kerja kami dengan campur tangan hanya di kawasan yang kami rasa boleh menyatakan pendirian secara kukuh, dengan sentiasa mengkaji konteks dan insiden keselamatan, dengan mengurangkan pendedahan kakitangan kami, khususnya di Kabul, dan dengan mengukuhkan pertalian kami dengan semua pihak tempatan yang akan bercakap dengan kami.

Doctors Without Borders sudah bekerja di Afghanistan sejak 1980 and hari ini mengendalikan lima projek di lima wilayah: Kandahar, Khost, Kunduz, Helmand dan Herat. Pada 2020, pasukan Doctors Without Borders mengendalikan 112,453 konsultasi bilik kecemasan, membantu 37,898 kelahiran dan terbabit 5,669 pembedahan besar. Doctors Without Borders menyediakan rawatan perubatan secara percuma. Ia bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan swasta untuk misinya di Afghanistan dan tidak menerima dana daripada mana-mana kerajaan.