Menyediakan khidmat perubatan penting di Afghanistan
Ketua bahagian pediatrik, Dr Daud dan pakar pediatrik Dr Asadullah Mal memeriksa pesakit di unit rawatan rapi neonatal (NICU) di Hospital Boost, hospital utama daerah helmand di ibu kota Lashkar Gah. © Andrew Quilty
Fasiliti perubatan kami di 5 wilayah -- Herat, Kandahar, Khost, Kunduz, dan Lashkar Gah – dibuka dan beroperasi. Kami menyasarkan pesakit yang tercedera dalam pertempuran dan menyediakan rawatan perubatan kepada mereka yang menderita akibat pelbagai keadaan perubatan. Memandangkan pertempuran sudah reda, banyak fasiliti kami kini dipenuhi pesakit memandangkan mereka ketika ini lebih mudah untuk mengakses perkhidmatan kami.
Herat
Di Herat kami mengesan sedikit penurunan pesakit yang hadir di pusat rawatan COVID-19 dan pusat pemakanan terapeutik pesakit luar (ITFC) kami. Bagaimanapun, klinik Kahdestan, di mana Doctors Without Borders menyediakan penjagaan pesakit luar, rawatan untuk penyakit tidak berjangkit dan khidmat rawatan seksual serta reproduktif, menyaksikan peningkatan pesakit berikutan klinik lain di kawasan itu menghentikan aktiviti mereka.
Kandahar
Ketika pertempuran, Doctor Without Borders mampu meneruskan rawatan untuk pesakit tuberkulosis rintang-ubat (DR-TB) dengan menyediakan konsultasi jarak jauh dan stok penimbal ubat-ubatan supaya mereka tidak perlu merentasi barisan hadapan untuk mendapatkan rawatan. Rawatan TB diteruskan hari ini.
Kem Haji dihuni 5,000 orang kini kosong, jadi Doctors Without Borders bercadang memindahkan klinik sementara ke lokasi lebih dekat dengan pusat TB kami supaya boleh terus menyediakan penjagaan kesihatan untuk kanak-kanak bawah usia 5 tahun. Sebelum menamatkan tugas di Kem Haji, isu kesihatan utama yang kami lihat adalah cirit-birit, jangkitan saluran pernafasan atas, anemia, serta jangkitan mata dan kulit.
Khost
Aktiviti Doctors Without Borders diteruskan dengan materniti (rawatan ibu bersalin) di Khost, serta di lapan pusat kesihatan komprehensif (CHCs) yang disokong. Pada Julai terdapat sejumlah 1,450 kelahiran di hospital bersalin Khorst dan lebih 870 lagi di CHCs yang disokong Doctors Without Borders.
Ketika Khost berdepan ketidakstabilan baru-baru ini, orang ramai sukar untuk sampai ke fasiliti kesihatan. Rawatan bersalin Doctors Without Borders biasanya memfokuskan kes sulit namun terpaksa diperluaskan kriteria kemasukan untuk memastikan kelahiran dan penjagaan kesihatan neonatal yang selamat. Walaupun dengan usaha ini, kami masih melihat pengurangan pesakit namun keadaan sekarang kembali normal.
Mahmood ditembak ketika dia dan keluarganya lari meninggalkan rumah di luar Lashkar Gah. ©MSF/Tom Casey
Lashkar Gah
Situasi di Lashkar Gah kini tenang, dan orang ramai yang menangguhkan rawatan ketika pertempuran masih aktif kini mula datang untuk mendapatkan rawatan. Sejak beberapa hari lalu, Bilik Kecemasan dipenuhi orang yang hadir dengan masalah respiratori, masalah saluran pencernaan dan trauma berkaitan kecederaan akibat pertempuran, selain kemalangan jalan raya.
Kunduz
Situasi di Kunduz tenang. Pada Isnin 16 Ogos kami memindahkan semua pesakit kami dari Unit Trauma Kecemasan Kunduz (KETU), ke Pusat Trauma Kunduz (KTC) yang baharu. KTC ini akan bermula dengan 30 katil dan satu bilik pembedahan. Kami merawat mereka yang cedera akibat kemalangan, begitu juga yang tercedera akibat pertempuran.
Doctors Without Borders terus menyediakan khidmat perubatan penting di Afghanistan kerana kecemasan perubatan tidak pernah berhenti ketika konflik dan pergolakan.
Saksikan temu bual bersama Dr Evangeline Cua, Pengarah Klinikal Hospital Doctors Without Borders di Kunduz yang berkongsi situasi di Afghanistan, dan sokongan perubatan disediakan mereka untuk pesakit yang terperangkap dalam serangan bertali arus konflik terbabit.