OpEd: Berbincang dengan Taliban? Kenapa tidak, kami selalu lakukannya
Pintu depan di hospital trauma Doctors Without Borders di Kunduz, Afghanistan utara, dilihat pada 29 November 2011. Hospital Doctors Without Border dibuka pada bulan Ogos 2011 dan menyediakan rawatan pembedahan dan terapi fizikal. Ia adalah satu-satunya pusat trauma seumpamanya di rantau ini. © Michael Goldfarb/MSF
Pada hari Ahad, 15 Ogos, setelah berbulan-bulan pertempuran sengit, Emiriah Islam Afghanistan (IEA, juga dikenal sebagai Taliban) memasuki ibu kota Kabul, ketika pemerintah runtuh. IEA telah menyatakan bahawa perang telah berakhir dan mengambil alih kawalan ke atas negara ini. Walaupun pertempuran sengit dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pasukan kami tidak berhenti memberikan rawatan perubatan yang penting.
Christopher Stokes, pakar kemanusiaan kanan, dan Jonathan Whittall, pengarah jabatan analisis, masing-masing telah menghabiskan masa bertahun-tahun untuk membantu menyelaraskan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa dengan Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) di Afghanistan. Di sini, mereka menerangkan sejarah Doctors Without Border yang terlibat dengan semua pihak dalam konflik dan bagaimana pendekatan ini membolehkan pasukan kami menyampaikan bantuan kemanusiaan di mana ia sangat diperlukan.
Ketika tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari Afghanistan, menamatkan perang paling lama dalam sejarah AS, satu era baharu bermula kembali untuk negara yang telah menyaksikan kuasa penjajah datang dan pergi selama beberapa abad.
Penguasaan mendadak Taliban ke atas beberapa ibu kota daerah dan merebut Kabul tanpa pertempuran mendominasi berita, begitu juga pemandangan beberapa kedutaan Barat bersiap keluar, rakyat Afghanistan berusaha keras meninggalkan kota, warga asing melarikan diri beramai-ramai serta banyak NGO menghentikan operasi. Situasi berbeza dengan Médecins Sans Frontières (MSF) dan segelintir agensi kemanusiaan lain yang memilih mempertahankan keberadaan serta kegiatan mereka ketika pertempuran memuncak, memberikan bantuan menyelamatkan nyawa kepada mereka yang sakit dan cedera.
Bagaimana ini berlaku? Doctors Without Borders melalui kejayaan dan kegagalan di Afghanistan, namun asas utama pendekatan kami kekal sama; kami hanya akan bekerja jika kami mempunyai persetujuan jelas daripada semua pihak yang terbabit konflik. Ini termasuk Taliban, Tentera AS, Tentera Kebangsaan Afghanistan dan dalam sesetengah kes kumpulan militia tempatan. Prinsip kami untuk kekal neutral, bebas dan tidak berpihak - walaupun kadang kala kelihatan abstrak - digerakkan melalui perbincangan bersama semua pihak, menolak pembiayaan pemerintah, jelas memberi gambaran mengenai organisasi kami supaya tidak terkeliru dengan kumpulan yang mungkin mempunyai kepentingan lain serta dengan menjadikan hospital kita sebagai zon bebas senjata. Sesiapa saja yang datang ke hospital persendirian dibiayai Doctors Without Borders perlu meninggalkan senjata mereka di luar pintu.
Ketika bertugas di beberapa hospital di Kunduz atau Lashkargah, kami sering menjelaskan kepada tentera AS, Afghanistan dan Taliban bahawa kami tidak akan menolak mana-mana pesakit, sama ada askar kerajaan yang tercedera, mangsa kemalangan kereta atau pejuang Taliban yang cedera. Saringan hospital kami hanya berasaskan keperluan semata-mata. Kami bekerja berdasarkan etika perubatan, bukan mengambil kira sesiapa yang dilabel penjenayah, pengganas, askar atau ahli politik. Kami memang sentiasa meminta askar AS dan Afghanistan pergi dan kembali semula tanpa senjata jika mereka mahukan rawatan di hospital.
Pendekatan kami selalunya bertentangan dengan cara diguna pakai sistem bantuan - termasuk agensi kemanusiaan - yang ditentukan penderma untuk membina Afghanistan, memastikan kestabilan di kawasan dikuasai pasukan Afghanistan dan menyumbang kepada keabsahan kerajaan yang disokong AS. Bantuan adalah 'kuasa halus' untuk kerajaan Afghanistan memenangi hati populasi, komponen utama dalam strategi hati dan minda yang mengatasi 'kuasa keras' penempatan tentera.
Berkongsi cerita, ketika menemui penderma kemanusiaan Barat di Kabul, mereka tidak dapat memberitahu kami di mana keperluan kemanusiaan paling besar sebaliknya merujuk kepada peta di mana kawasan dikuasai tentera bersekutu (berwarna hijau), di bawah penguasaan Taliban (berwarna merah) dan kawasan rebutan (berwarna ungu). Mereka menghantar bantuan ke kawasan hijau dan ungu untuk menyokong usaha ketenteraan. NGO antarabangsa mengambil dana kerajaan daripada negara Barat yang terbabit dalam pertempuran terkejut melihat bahasa pemberontakan balas seperti "clear and hold" (kosongkan dan tahan) merayap masuk ke dalam geran pendanaan mereka. Sepertimana satu daripada penyumbang kerajaan terbesar menerangkan kepada kami di Kabul: "Taliban sedang mengaut untung di daerah ini, kami meminta agensi bantuan untuk meliputinya dengan gandum, dan mereka lakukannya".
Namun pendekatan diguna pakai tidak selalunya melindungi kami. Kejadian pada 2015 menyaksikan tentera AS mengebom hospital kami di Kunduz selepas daerah itu diambil alih Taliban. Ia menunjukkan kepada kami bahawa kawasan kelabu yang wujud dalam konflik sebegitu: toleransi bantuan terpakai dan diterima apabila ia meningkatkan keabsahan negara, namun terdedah kepada pemusnahan apabila berada di kawasan di mana keseluruhan komuniti dikenal pasti sebagai musuh yang diperangi dan apabila negara berada di pihak bertentangan. Kawasan kelabu ini disebabkan kesamaran perundangan antara undang-undang antarabangsa dan kebangsaan, menjadikan ia kondusif kepada apa yang pihak berkuasa AS kategorikan sebagai 'kesilapan'.
Susulan pemusnahan hospital kami, Doctors Without Borders kembali mendekati semua pihak yang terbabit konflik untuk menegaskan supaya menghormati aktiviti perubatan kami. Boleh dikatakan sokongan menyeluruh masyarakat umum dan kos politik ke atas serangan terhadap MSF ini banyak berperanan sebagai pelindung terhadap apa yang digambarkan kesilapan oleh tentera AS dan Afghanistan yang mungkin berulang. Namun peringatan melalui perkongsian dan tekanan umum tidak kekal lama apabila hospital ibu dan anak kami diserang secara kejam di Dasht-e-Barchi, dipercayai oleh pengganas IS di Afghanistan yang masih di luar jangkauan rundingan kami.
Walaupun Doctors Without Borders beroperasi di ibu kota daerah kami masih tidak mampu untuk bergerak ke kawasan pedalaman untuk menangani keperluan di sana. Ia salah satu daripada kegagalan misi Doctors Without Borders sejak beberapa tahun lalu. Namun, dua minggu lalu, ketika Taliban memasuki kota, kami boleh terus merawat pesakit: mereka yang sakit dan cedera boleh menerima penjagaan di fasiliti yang kami mula bekerjasama sejak peningkatan pertempuran. Di Helmand, Kandahar, Kunduz, Herat and Khost pasukan kami terus bekerja. Fasiliti kesihatan kami hari ini dipenuhi pesakit.
Inilah sebab mengapa Doctors Without Borders terus berunding dengan semua pihak terbabit konflik. Ia untuk membolehkan pasukan kami menghulurkan bantuan ketika ia sangat diperlukan. Selalunya keperluan sebegini sangat mendesak di tengah pertukaran kuasa. Ia juga sebab mengapa kami menolak usaha untuk bekerjasama dalam aktiviti kami dengan proses politik dalam pembinaan negara. Sebab itulah kami lantang bersuara apabila fasiliti dan staf kami diancam.
Masa depan Afghanistan masih belum pasti, dan aktiviti kami akan kekal berada dalam tekanan. Cabaran yang kami hadapi akan berubah dan keselamatan pasukan serta pesakit kami terus dibimbangi. Namun untuk mendepani cabaran getir yang mendatang di Afghanistan penggiat kemanusiaan akan terus melakukan yang terbaik untuk menetapkan hala tuju mereka sendiri berdasarkan keperluan yang wujud, berbanding ditunjuk arah oleh arus politik yang berubah.
Afghanistan menunjukkan betapa pembinaan negara yang dipacu kuasa asing boleh berdepan kegagalan dan bagaimana sedikitnya penggiat kemanusiaan menyumbang kepada usaha itu. Ia juga menunjukkan bahawa misi kami boleh menyelamatkan seberapa banyak nyawa apabila kami mampu berperanan sebebas mungkin, sama ada ketika negara itu dibina ataupun ketika ini menuju keruntuhan.