Rawatan kesihatan di Kunduz, Afghanistan: Memastikan ia berfungsi
Bilik bedah Unit Kecemasan Trauma Kunduz milik Doctors Without Borders, pasukan kami menjalankan pembedahan ke atas pesakit yang tercedera akibat pertempuran di Kunduz. Afghanistan, 2021. © MSF
Pertempuran di Bandar Kunduz di timur laut Afghanistan berakhir 8 Ogos. Ketika pertempuran, Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) mengubah ruang pejabat menjadi unit trauma sementara untuk merawat mereka yang cedera. Unit itu kini ditutup dan pada 16 Ogos semua pesakit dipindahkan ke Pusat Trauma Kunduz yang hampir siap dibina Doctors Without Borders sejak 2018. Komuniti tempatan masih memerlukan rawatan trauma. Seorang petugas perubatan di Doctors Without Borders menceritakan pengalamannya ketika pertempuran dan tugas yang dijalankan hari ini.
Situasinya sibuk tetapi tenang, kami merekrut kakitangan baharu, dan fasa akhir untuk pembinaan hospital sedang disiapkan di keliling kami. Namun, kita lihat satu demi persatu – bermula dengan petang ketika pertempuran meletus di Bandar Kunduz…
Petang itu berlaku pengeboman dan tembakan berterusan jadi kami terpaksa bergegas ke kubu dan tinggal di sana sepanjang malam, tanpa tidur. Pesakit tidak dapat sampai ke unit trauma ketika itu, memandangkan pertempuran berterusan di jalanan.
Keesokan paginya, kami menerima berita ramai mangsa tiba di unit, tetapi kami tidak dapat ke sana kerana masih ada pertempuran di jalan antara tempat saya menginap dan unit itu. Rakan sekerja kami meminta kami membantu dengan segera kerana mereka menerima pesakit dengan luka tembakan pada dada dan perut yang memerlukan pembedahan segera lagi dan mereka memerlukan pertolongan untuk itu.
Seketika kemudian bunyi senapang semakin hilang dan memberi ruang untuk bergerak - kami bertiga berlari ke seberang jalan ke dewan bedah. Pesakit baharu sahaja kehilangan nadi, jadi kami mulakan rawatan tekanan pada dada semasa pakar bius mencari saluran pernafasan. Saya membuat dua lubang pada dada - untuk memastikan darah boleh mengalir keluar dan untuk membolehkan paru-paru mengembang; Sementara itu, seorang lagi rakan sekerja cuba menghentikan pendarahan di bawah ‘sternum’ (tulang dada). Kami dapat kesan dengan cepat bahawa peluru itu mungkin mengenai bahagian jantung, dan semakin jelas bahawa tidak ada cara untuk kami menyelamatkannya.
Hari yang sukar
Itulah permulaan hari sengsara kita. Dan detik pertama pasukan kami benar-benar terbeban. Ramai mangsa dibawa masuk dan terpaksa menjalani pembedahan: ramai datang dengan kecederaan akibat ditembak; ramai juga cedera akibat letupan bom; dan ramai yang terperangkap dalam tembak-menembak.
Ia hari yang sangat panjang. Ramai juga kakitangan kami tidak dapat sampai ke unit trauma. Kakitangan syif malam bekerja sepanjang hari. Ada yang tidur dan melelapkan mata seketika sementara yang lain bekerja, supaya kami dapat pastikan ada kakitangan bekerja dari pagi hingga malam.
Kira-kira jam 6:30 pagi keesokan harinya seorang doktor ER menghubungi saya melalui radio, berkata "Saya memerlukan bantuan anda sekarang". Memandangkan pertempuran reda sedikit ketika itu, saya berlari dengan pakar bedah menyeberangi jalan. Apabila kami masuk ke dalam unit ia penuh sesak.
Empat pesakit memerlukan pembedahan kecemasan segera - serentak. Kami mula melakukan pembedahan untuk menyelamatkan nyawa dua pesakit, pada masa sama melakukan sedaya upaya untuk memastikan dua lagi terus hidup. Kedua-dua pesakit yang menunggu itu terselamat dan kami boleh meneruskan untuk membedah mereka juga. Namun akhirnya seorang meninggal dunia, tetapi tiga terselamat, ia masih cukup mengagumkan - mereka semua mengalami luka tembakan serius dan kecederaan akibat letupan bom. Ketika menunggu ruang dewan bedah tersedia, sambil cuba memastikan dua yang lain kekal hidup di bilik kecemasan, kami masih perlu membantu pesakit lain yang datang dan memerlukan rawatan. Kami cuba membantu mereka sambil menangani kes kecemasan. Jadi ia hari yang berat untuk dilalui.
Pakar bedah Doctors Without Borders yang bekerja di pusat trauma zon krisis selama lebih 20 tahun menunjukkan dua peluru yang dikeluarkan daripada pesakit berbeza di Pusat Trauma Kunduz Doctors Without Borders di bahagain utara negara itu. Afghanistan, 2015. © Andrew Quilty/Oculi
Kes luar jangka
Seorang daripada pesakit kami adalah budak lelaki. Dia dibawa bapanya ke ER dengan lengannya yang sedia berbalut. Dia tidak menangis dan hanya diam memandang ke hadapan. Saya sedang menyelia ER bersama jururawat Unit Rawatan Rapi. Budak itu nampak selesa dan sangat okay. Tidak kelihatan pada saya dia perlukan rawatan segera.
Memandangkan jari-jari yang terkeluar daripada pembalut kelihatan baik pengalirannya dan hangat, saya meluangkan masa untuk menunjukkan kepada kakitangan cara melakukan penyiasatan yang betul ke atas tangan untuk kerosakan saraf. Anehnya budak lelaki itu nampaknya tidak merasakan apa-apa pada seluruh tangannya, membuktikan bahawa semua tiga saraf berbeza sudah terputus.
Saya terus memeriksa dan perlahan-lahan membuka balutan pada lengannya. Saya masih ingat saat pembalut itu dibuka dan anda dapat melihat lubang terbuka pada bawah lengan kanak-kanak ini. Kelihatan lebih banyak lubang daripada tisu yang tinggal! Bapa berkenaan memberitahu bahawa peluru sesat mengenainya semasa kanak-kanak itu bermain.
Saya masih ingat wajah para kakitangan. Ekspresi mereka hanya berkata: Saya langsung tidak menjangkakannya! Begitu juga saya. Jadi kami menutupi luka itu semula dan cuba menstabilkan tangan kerana ia tidak kelihatan stabil seperti tangan yang sepatutnya. Atas sebab tertentu, satu-satunya perkara yang tinggal ialah arteri yang menuju ke jari, namun saraf semuanya terputus.
Dari segi perubatan, kami semua bersetuju bahawa amputasi mungkin pilihan terbaik. Bapa berkenaan tidak bersetuju. Dia mahu memberi peluang kepada anaknya. Kami melakukan yang terbaik untuk membersihkan luka dan memastikan tisu itu terus hidup, serta memasangkan pengapit luaran, pendakap logam untuk mengekalkan tulang pada tempatnya semasa rawatan, untuk cuba membiarkannya sembuh selama mungkin. Sehingga hari ini tangan kanak-kanak itu masih ada. Dia tidak akan kembali memiliki tangan yang sempurna, itu sudah pasti. Namun tangan itu masih ada dan ia sesuatu yang tidak kami jangkakan.
Si ayah sangat ramah tetapi anak kecil itu tahu jika doktor datang dekat, itu bermakna akan ada kesakitan. Dia tidak tersenyum kepada mana-mana daripada kami, tetapi kami dapat melihat dia tersenyum kepada bapanya.
Tenang – tetapi masih sibuk
Selepas pertempuran mula berkurangan, kami mula melihat lebih ramai pesakit tiba. Ramai daripada mereka kelihatan seperti sudah menerima rawatan kecemasan. Apabila ditimpa kecederaan, mereka pergi ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan dan kakitangan perubatan di sana melakukan apa yang mereka mampu.
Kami menyaksikan peningkatan pesakit yang dirujuk kepada kami dari hospital wilayah, di mana pesakit menjalani beberapa pembedahan. Dan akhirnya mereka berada di ER kami. Dan selalunya apabila melakukan pembedahan kami sedar bahawa tidak banyak pilihan yang kami ada - tidak banyak lagi yang boleh kami lakukan untuk cuba menyelamatkan pesakit ini. Namun kami masih mencuba; cuba menstabilkan; cuba untuk memperbetulkan keadaan melalui beberapa pembedahan.
Struktur makmal Gaptek bagi hospital baharu Kunduz. Afghanistan, 2019. © MSF
Berpindah ke hospital baharu
Di Kunduz, pembinaan semula hospital kami memakan masa agak lama. Masyarakat menunggu untuk hospital ini dibuka. Dua minggu lalu kami memindahkan pesakit daripada klinik sementara kami ke hospital buat kali pertama. Ia baharu. Ia satu langkah besar untuk membuka hospital, walaupun ia belum siap sepenuhnya.
Apa yang kami lihat dari segi kedatangan pesakit adalah peralihan daripada kecederaan akibat tembakan dan letupan bom yang sangat aktif. Kini kebanyakan yang kami rawat adalah komplikasi kecederaan akibat perang yang memerlukan susulan daripada rawatan sebelumnya, selain kemalangan jalan raya, yang meningkat dengan mendadak apabila masyarakat kembali bergerak. Semua orang di sini menunggang motosikal tanpa topi keledar; apabila jatuh, mereka mengalami trauma kepala, bukan suatu yang mudah untuk kami rawat memandangkan kami tidak mempunyai pakar bedah saraf, jadi kadang-kadang hanya sedikit boleh kami lakukan.
Memastikan ia berfungsi
Di Pusat Trauma Kunduz, kami meneruskan kerja perubatan ketika pembinaan masih berjalan. Namun kepantasan semua pasukan pembinaan dan lain-lain melakukan pembaikan agak menakjubkan. Mereka mempunyai pendekatan sebenar untuk menyelesaikan masalah. Kami melihat seorang pembawa pengusung yang ingin mendapatkan pesakit menghadapi masalah membawa pengusung melepasi kawasan tidak rata kerana terlalu banyak runtuhan. Dalam masa singkat, seseorang meletakkan konkrit di atas runtuhan. Agak luar biasa bagaimana semua pasukan pembinaan membantu bersungguh-sungguh menyelesaikan semua masalah dihadapi kakitangan perubatan.
Kami mendapat sokongan sama daripada pasukan bertanggungjawab ke atas perkarangan hospital. Seorang daripada mereka sentiasa menunggang basikal, bergerak dari satu jabatan ke jabatan lain, membaik pulih apa sahaja dengan sangat pantas. Begitu juga untuk bekalan, anda hanya melihat barangan dan bekalan perubatan tiba-tiba muncul di tangga hadapan jabatan dan tidak lama kemudian ada lagi di depan pintu pakej lain untuk kami merawat pesakit kami.
Anda juga ada bahagian pengambilan – bilangan kami akan bertambah lagi. Kami mempunyai peperiksaan sedang berlangsung untuk kakitangan; dan kami berharap untuk mula merekrut pegawai kesihatan mental, sesuatu yang sangat kami perlukan.
Dan itulah yang dirasakan buat masa ini - semua pasukan benar-benar membantu satu sama lain, bersama-sama, hanya cuba untuk memastikan ia berfungsi.