Skip to main content

Sudan: Satu daripada enam pesakit cedera perang di Hospital Selatan Khartoum adalah kanak-kanak

A skull X-ray of a child patient showing shrapnel

Semasa menemani ibunya membeli-belah di sebuah pasar berhampiran, kanak-kanak berusia 20 bulan ini menjadi mangsa serpihan bom yang meletup di kawasan kejiranan tersebut. Bersama mangsa-mangsa lain, kanak-kanak yang tidak didedahkan identitinya ini dibawa ke Hospital Latihan Bashair di Khartoum Selatan. Ketika proses X-ray, sebahagian daripada tengkorak kecil kanak-kanak itu terjatuh di atas meja. Pasukan kecemasan Doctors Without Borders segera menjalankan pembedahan ke atasnya dan berjaya menyelamatkan nyawanya. Sudan, November 2024. © MSF

Pasukan Doctors Without Borders yang bekerjasama dengan staf hospital telah merawat lebih daripada 4,214 pesakit yang mengalami kecederaan trauma akibat keganasan, termasuk tembakan dan letupan bom. Daripada jumlah ini, 16% adalah kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun. Hospital Pengajaran Bashair merupakan salah satu hospital terakhir yang masih beroperasi di selatan Khartoum, menyediakan rawatan kecemasan, pembedahan, serta perkhidmatan bersalin.

Riyad, seorang bayi berusia 18 bulan, dibawa ke bilik kecemasan selepas terkena peluru sesat di bahagian kanan tubuhnya ketika sedang tidur di rumah keluarganya. Pasukan perubatan bertungkus-lumus selama empat jam untuk menstabilkan keadaannya. Akibat kehilangan darah yang teruk, peluang untuknya bertahan selepas pembedahan hanyalah 50-50.
Dr Moeen*, Ketua pasukan perubatan

Pasukan perubatan berjaya menghentikan pendarahan Riyad, tetapi peluru masih tertanam di dalam dadanya. Tidak dapat dipastikan bila peluru itu dapat dikeluarkan. Hospital ini tidak memiliki keupayaan pembedahan canggih, sebahagiannya disebabkan oleh sekatan sistematik terhadap bekalan pembedahan yang dikenakan oleh pihak bertelagah sejak Oktober 2023. Merujuk pesakit ke kawasan lain juga amat sukar kerana laluan pengangkutan telah musnah atau terlalu berbahaya. Riyad adalah salah seorang daripada 314 kanak-kanak yang dirawat akibat kecederaan tembakan dan letupan pada tahun 2024.

Sekatan sengaja terhadap penghantaran bekalan perubatan dan ubat-ubatan menyebabkan prosedur kecemasan asas, seperti merawat kes melecur teruk, tidak dapat dilaksanakan di hospital ini. Situasi ini amat membimbangkan memandangkan semakin ramai mangsa letupan bom, dan tiada pusat rawatan untuk kes melecur yang berfungsi sepenuhnya di Khartoum.

Pada akhir Oktober, lebih daripada 30 pesakit yang cedera akibat peperangan dikejarkan ke Hospital Bashair dalam masa sehari selepas letupan berlaku di sebuah pasar yang kurang daripada satu kilometer jauhnya. Dua belas daripada mereka yang dibawa ke bilik kecemasan adalah kanak-kanak berusia bawah 15 tahun. Kebanyakan kanak-kanak ini mengalami kecederaan akibat melecur dan trauma. Seorang kanak-kanak perempuan, hampir berusia dua tahun, dikejarkan dengan serpihan bom tertanam jauh di kepalanya. Ketika pasukan perubatan dengan cermat meletakkannya di atas meja X-ray, sebahagian kecil tengkorak rapuhnya jatuh ke atas meja tersebut.

“Kes seperti ini adalah perkara biasa,” kata Dr. Moeen*. “Syukurlah, kanak-kanak perempuan itu berjaya diselamatkan. Malangnya, tidak semua mangsa bernasib baik.”
X-ray an 18-month-old toddler who was struck in the chest by a stray bullet while he was taking a nap in Khartoum.

Sinar-X seorang bayi lelaki berusia 18 bulan, Riyad, yang terkena peluru sesat di bahagian dadanya ketika sedang tidur di Khartoum. Bayi itu dibawa ke bilik kecemasan Hospital Pengajaran Bashair, yang disokong oleh Doctors Without Borders, oleh penjaganya. Pasukan pembedahan kecemasan Doctors Without Borders segera melakukan pembedahan menyelamatkan nyawa Riyad. Pakar bedah yang terlibat menyatakan bahawa peluang untuk selamat hanya 50/50 akibat kehilangan darah yang teruk. Walaupun para pakar bedah berjaya menyelamatkan nyawanya, peluru itu masih tertinggal. Pasukan perubatan cuba merujuk Riyad untuk membuang peluru tersebut, tetapi usaha ini tidak dapat dilakukan kerana laluan keluar dari bandar telah disekat dan klinik khusus tidak lagi berfungsi. Sudan, November 2024. © MSF

“Kejadian kecederaan beramai-ramai seperti ini — di mana sejumlah besar pesakit tiba dalam masa yang singkat — semakin kerap berlaku sejajar dengan peningkatan pertempuran di bandar,” jelas Dr. Moeen*. Hospital-hospital yang masih berfungsi kini berada di bawah tekanan yang sangat hebat, dengan staf perubatan bergelut untuk memenuhi semua keperluan pesakit.

Pada masa yang sama, Hospital Pengajaran Bashair juga menyaksikan peningkatan jumlah kanak-kanak dan wanita hamil yang mengalami kekurangan zat makanan akut, yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat. Daripada 4,186 wanita dan kanak-kanak yang diperiksa bagi kekurangan zat makanan antara 19 Oktober hingga 8 November 2024, lebih daripada 1,500 didapati mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk, manakala 400 lagi berada dalam kategori kekurangan zat makanan sederhana.

Angka-angka keganasan dan kekurangan zat makanan ini menunjukkan mimpi ngeri yang dialami penduduk, termasuk kanak-kanak, di Khartoum. Pihak yang bertelagah mesti memastikan keselamatan orang awam terpelihara. Bekalan perubatan harus dibenarkan sampai ke semua hospital di Sudan.
Claire San Filippo, Penyelaras Kecemasan

*Nama telah diubah untuk melindungi identiti.

Sejak tercetusnya konflik pada April 2023, lebih daripada 500,000 orang telah mendapatkan rawatan di hospital, kemudahan kesihatan, dan klinik bergerak yang disokong oleh Doctors Without Borders di seluruh Sudan. Doctors Without Borders memberikan sokongan dan bekerja di lebih daripada 12 kemudahan kesihatan di kawasan yang terjejas konflik, termasuk di Khartoum, lokasi pertempuran sengit sejak permulaan perang. Antara Januari hingga September 2024, Doctors Without Borders telah merawat sejumlah 6,557 pesakit yang cedera akibat peperangan di semua kemudahan kami di Sudan. Dengan lebih 11 juta orang yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, Sudan kini menjadi krisis perpindahan terbesar dalam ingatan mutakhir. Doctors Without Borders aktif di 11 daripada 18 negeri untuk menyediakan bantuan perubatan percuma kepada mereka yang paling memerlukan.