Skip to main content

Sudan: Sekatan bekalan memaksa Doctors Without Borders menghentikan rawatan untuk 5,000 kanak-kanak kurang zat

A child undergoes a MUAC screening in the ATFC at the MSF clinic in Zamzam Camp.

Seorang kanak-kanak menjalani saringan MUAC di Pusat Pemakanan Terapeutik Ambulatori (ATFC) di klinik Doktor Tanpa Sempadan di Kem Zamzam, Ogos 2024. Sudan, Ogos 2024. © Mohammed Jamal

Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) terpaksa menghentikan rawatan pesakit luar bagi 5,000 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat akut di kem penempatan sementara Zamzam, Darfur Utara, Sudan. Ini berikutan sekatan yang dikenakan oleh pihak yang bertelagah, menyebabkan penghantaran makanan, ubat-ubatan dan bekalan penting lain tidak sampai selama berbulan-bulan.

Ketika bekalan semakin habis pada akhir September, Doctors Without Borders terpaksa menghentikan rawatan bagi 5,000 kanak-kanak secara pesakit luar, termasuk 2,900 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat akut yang teruk. Hanya hospital MSF dengan kapasiti 80 katil di kem tersebut masih beroperasi untuk merawat kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk meninggal dunia.

“Kami memerlukan bekalan produk pemakanan dan makanan dengan segera untuk membantu penduduk yang kini berada dalam situasi bencana,” kata Michel-Olivier Lacharité, Ketua Operasi Kecemasan MSF.

Doctors Without Borders menyeru kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, sekutu pihak yang berperang, Pasukan Sokongan Pantas (RSF), Angkatan Tentera Sudan, dan Pasukan Bersama, agar memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke kem tersebut.
Michel-Olivier Lacharité, Ops Kecemasan.

Beberapa bekalan terhad telah tiba dalam minggu-minggu kebelakangan ini, termasuk bekalan perubatan yang berjaya dihantar oleh Doctors Without Borders, tetapi jumlahnya masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan mereka yang mengalami kekurangan zat di kem Zamzam, yang menempatkan kira-kira 450,000 penduduk.

Krisis ini menarik perhatian antarabangsa apabila Jawatankuasa Semakan Kebuluran IPC pada Ogos menyimpulkan bahawa kebuluran sedang berlaku di kem Zamzam. Penilaian pemakanan yang dijalankan oleh Doctors Without Borders mendapati 30 peratus kanak-kanak mengalami kekurangan zat dalam beberapa tinjauan awal tahun ini, dengan anggaran seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat masalah berkaitan kekurangan zat setiap dua jam secara purata. Dengan krisis semasa yang turut membatasi kemampuan Doktor Tanpa Sempadan untuk mengumpul data baharu, kadar kematian kanak-kanak yang terkini tidak diketahui.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kami melihat beberapa tanda positif, dengan trak bekalan tiba selepas berbulan-bulan sekatan hampir sepenuhnya di sekitar kem tersebut. Namun, kuantiti bekalan masih tidak mencukupi,” kata Lacharité. “Ini tanda positif, dan kita boleh melihat bahawa pihak yang bertelagah mula menyedari keseriusan situasi ini dan membenarkan trak bekalan tiba.”

“Jika kita mahu melihat tindak balas besar-besaran, agensi bantuan perlu mempertingkatkan usaha mereka secara signifikan, dan semua pihak diplomatik yang berunding dengan pihak yang bertelagah mesti meyakinkan mereka untuk memastikan penghantaran bekalan ini berterusan dalam beberapa bulan akan datang.”

Sebagai contoh, untuk menyediakan bekalan makanan kecemasan selama sebulan (iaitu kira-kira 500 kalori sehari setiap orang) kepada 450,000 penduduk di Zamzam, kira-kira 2,000 tan bekalan diperlukan. Ini memerlukan 100 lori sebulan untuk menghantar bekalan tersebut.


Adakah anda akan menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?

Bantu kami menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa semasa kecemasan dengan menderma hari ini.