"Seolah-olah tiada sesiapa yang peduli tentang Sudan."
Sudan Selatan, Oktober 2024. © Paula Casado Aguirregabiria/MSF
Dr. Mohamed Bashir telah terlibat dalam pelbagai projek Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) di Sudan, termasuk menyelia aktiviti perubatan di Hospital Umdawanban dan Alban Aljadeed yang disokong oleh Doctors Without Borders di negeri Khartoum. Kini, beliau berkhidmat bersama Doctors Without Borders di negeri Warrap, Sudan Selatan, di mana pasukan kami memberikan rawatan menyeluruh di Twic County dan Abyei Town melalui pelbagai fasiliti, serta menyokong pengurusan kes komuniti di tapak-tapak kem pelarian. Dr. Bashir merenung kesan dahsyat perang di Sudan dan menekankan pentingnya perhatian dunia terhadap konflik yang berterusan.
"Masih ingat saya?"Saya Dr. Mohamed Bashir, bekas Timbalan Penyelaras Perubatan Doctors Without Borders di Sudan. Dahulu, saya pernah menulis sebuah refleksi bertajuk Penyembuh Sudan: Cerita Seorang Doktor Sudan, di mana saya berkongsi pengalaman langsung saya tentang perang saudara—bukan hanya sebagai petugas kemanusiaan perubatan, tetapi juga sebagai seorang rakyat Sudan.
Saya masih bersama Doctors Without Borders, kini saya ditugaskan di Sudan Selatan, merentasi sempadan dari tanah air tercinta. Namun, walaupun berada jauh secara fizikal, kesan-kesan perang sentiasa di hati. Setiap kemas kini berita menarik perhatian saya, mengingatkan tentang kemusnahan yang saya dengar tetapi jarang mendapat tempat dalam tajuk utama berita global."
Sudan dan rakyatnya yang menderita kini seolah-olah tergelincir dari senarai keutamaan dunia—dilupakan oleh media, diabaikan oleh keazaman politik, dan tidak diendahkan oleh institusi donor kemanusiaan yang sepatutnya meletakkan bencana ini di hadapan. Saya sering bertanya pada diri sendiri: Apa yang mampu saya lakukan sebagai individu? Jawapan saya jelas—saya akan terus berdiri teguh menyokong mereka yang dihimpit oleh perang kejam ini.Dr. Mohamed Bashir
Di Twic County, Sudan Selatan, ramai pesakit kami adalah rakyat Sudan Selatan yang kembali ke tanah air setelah menjadi pelarian, dan mereka telah mengalami perpindahan sebanyak dua kali dalam tempoh kira-kira satu dekad. Ribuan pelarian Sudan juga telah melintasi sempadan ke pelbagai kawasan di Sudan Selatan, ada yang bertebaran dalam komuniti tuan rumah, manakala yang lain berhimpit-himpit di kem pelarian.
Seorang wanita pelarian mendukung anak kecilnya sambil berlindung di Kem Alsafat, negeri Al Jazirah. “Saya risau tentang masa depan anak-anak saya. Saya sedang mempertimbangkan untuk kembali ke Abyei supaya dapat memberikan pendidikan kepada mereka. Tetapi jika perang berakhir, saya akan pulang ke Khartoum dan rumah saya secepat mungkin, dan suami saya boleh kembali bekerja,” katanya.
Sudan, Disember 2023. © Fais Abubakr
"Kesakitan" ni saya kenali
Perang ini terus menyiksa kami, memisahkan keluarga dan menghancurkan hidup. Mereka yang melarikan diri dari Sudan membawa cerita yang serupa—kehilangan, ketidakpastian, dan harapan damai yang kian pudar. Saya kenal kesakitan ini dengan terlalu baik.
Sempadan dalaman dan garisan hadapan yang dikuasai oleh pihak-pihak bertelagah telah mencarik sebuah negara—nyawa hilang, rumah musnah, dan mata pencarian lenyap.
Dan bagi kami, rakyat Sudan, kami ditinggalkan sendirian.
Keluarga saya terpaksa melarikan diri dari Khartoum, antara jutaan yang kehilangan tempat tinggal, bukan sekali tetapi beberapa kali dalam tempoh 18 bulan. Mereka meninggalkan segalanya, tanpa arah jelas untuk bertahan dan hampir tiada perhatian dari dunia. Kami masih menanggung kehilangan seorang saudara, seorang awam yang diculik dari rumahnya oleh pihak bertelagah lebih 10 bulan lalu. Hingga kini, tiada berita—tiada maklumat tentang keadaannya atau sama ada dia akan dibebaskan.
Bagi mereka yang berjaya melarikan diri atau bertemu semula dengan keluarga selepas perpisahan, cabaran baru menanti—banjir, wabak penyakit—di bawah sistem kesihatan yang telah runtuh. Sebahagian besar hospital telah musnah. Hospital yang masih berfungsi terkapai-kapai tanpa bekalan ubat, staf, atau sumber. Ini adalah penderitaan yang disengajakan; satu taktik perang yang kejam.
Dengan hanya bergantung kepada keperluan asas, rakyat Sudan kini menunggu keajaiban, sama ada lebih banyak perpindahan, atau yang lebih teruk : maut.
Pesakit terus tiba di Hospital Bashair kerana ia merupakan satu-satunya hospital yang boleh diakses di Khartoum Selatan.
Sudan, Mei 2023. © MSF/Ala Kheir
Jangan paling pandangan
Di sebalik segala penderitaan ini, saya di sini untuk berkongsi tentang ketabahan kami. Sebagai petugas kemanusiaan—doktor, jururawat, logistik—kami melakukan segala yang termampu untuk membantu mereka yang memerlukan. Setiap usaha kecil adalah penting, dan setiap tindakan bermakna.
Inilah yang saya lakukan selama beberapa bulan kebelakangan ini di Twic, sebagai rujukan perubatan projek Doctors Without Borders di Hospital Daerah Mayen Abun. Kawasan ini sudah pun dibebani keperluan kemanusiaan yang melampau, setelah menyaksikan pemindahan dalaman ribuan rakyat Sudan Selatan yang menjadi pelarian akibat keganasan antara komuniti di Agok pada tahun 2022. Sistem kesihatan di sini telah runtuh, dibebani oleh wabak malaria, hepatitis E, dan kekurangan zat makanan.
Kerja di sini memberikan saya pandangan tentang dimensi lain perang di negara saya. Saya menyaksikan sendiri keadaan getir yang dihadapi mereka yang terpaksa melarikan diri dari Sudan. Lebih mengejutkan, betapa krisis ini masih diabaikan—begitu sedikit pengetahuan umum tentang pelarian Sudan yang berpindah ke Sudan Selatan, Chad, dan negara-negara lain, meskipun keperluan keluarga yang mencari perlindungan amat mendesak.
Kita hidup dalam zaman krisis yang semakin memburuk—baik buatan manusia mahupun bencana alam. Korban perang hari ini, di pelbagai tempat dan konteks, terlalu tragis untuk difahami.
Di tengah-tengah semua ini, saya merayu kepada dunia: Jangan biarkan Sudan terlepas dari perhatian anda. Kadangkala, rasanya seolah-olah tiada siapa yang peduli, seolah-olah Sudan sengaja dikesampingkan oleh pembuat keputusan global, ditolak ke tepi demi krisis lain. Berapa lama lagi kita boleh bertahan dengan kelalaian ini?Dr. Mohamed Bashir