Campak di Sudan Selatan: Mereka yang lari dari konflik di Sudan berdepan krisis kesihatan baharu
Seorang wanita menenangkan anak saudaranya berusia 9 tahun ketika dia dimasukkan ke wad pediatrik akibat komplikasi perubatan lain selepas sembuh daripada demam campak di hospital Doctors Without Border di kem perpindahan di Bentiu, Unity. Sudan Selatan, Julai 2023. © Nasir Ghafoor/MSF
Pasukan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) merekodkan peningkatan membimbangkan kes campak dan kekurangan zat makanan di kemudahan organisasi di Sudan Selatan, terutamanya dalam kalangan mereka yang pulang selepas mengelak konflik dari Sudan dan komuniti hos.
Fasiliti perubatan Doctors Without Borders di Upper Nile, Unity, Bahr El Ghazal Utara dan Warrap menerima pesakit, terutamanya kanak-kanak bawah usia lima tahun, yang menghidap campak dan keadaan kritikal lain. Memandangkan semakin ramai mereka yang kembali tiba di pelbagai lokasi sempadan, Doctors Without Borders menyeru penderma dan aktor kemanusiaan supaya segera memperbaiki sistem pengawasan dan meningkatkan tindak balas dari pintu masuk ke lokasi penempatan semula, bagi memastikan keadaan mereka yang dipindahkan dan komuniti tuan rumah lebih bermaruah.
Tindak balas campak dan nutrisi mesti diperkukuh dengan kadar segera. Saringan dan susulan vaksinasi di pintu masuk mesti dilanjutkan kepada 24/7. Begitu juga, pasukan vaksinasi mudah alih mesti dikerahkan di lokasi transit, tapak penerimaan serta dalam komuniti hos untuk memastikan saringan berterusan dan susulan vaksinasi bagi ketibaan baharu yang terlepas di sempadan. Pemantauan komuniti mesti diperkukuh untuk mengelakkan penularan penyakit campak lebih lanjut.Mohammad Ibrahim, Ketua Misi
Sejak meletusnya konflik, lebih 200,000 individu didaftarkan menyeberang ke Sudan Selatan sehingga minggu pertama Ogos. Lebih sembilan puluh peratus daripada mereka warga Sudan Selatan, tiba dalam keadaan letih dan sangat rentan. Mereka ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sama ada berselerak di seluruh negara dalam keadaan bergelut untuk menyesuaikan diri ke dalam komuniti, atau di pusat transit berhampiran sempadan; dalam kedua-dua kes memerlukan perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, akses kepada air bersih dan infrastruktur sanitasi, makanan dan bukan makanan, perlindungan serta tempat tinggal.
“Kami berada dalam keadaan yang teruk. Tidak ada makanan. Kami tinggal di bawah pokok”, kata Nyakiire Nen, yang mana anak perempuannya berusia dua tahun sedang menjalani rawatan campak di hospital Doctors Without Borders di kem pelarian tempatan (IDP) Bentiu di Unity.
Memandangkan kemasukan pesakit campak yang membimbangkan di Renk dan Bentiu, pasukan Doctors Without Borders telah membangunkan wad pengasingan khusus, manakala kapasiti kemudahan Doctors Without Borders diperluas untuk merawat lebih ramai pesakit di Aweil, Leer dan Malakal.
Di Twic County, Doctors Without Borders menyokong penubuhan dan penyediaan pusat pengasingan campak dengan 25 katil di Hospital Mayen Abun, sambil menyokong latihan pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan dalam definisi kes, pengenalpastian dan pengurusan campak di lapan pusat penjagaan kesihatan primer di seluruh daerah.
Di negeri Upper Nile, Renk adalah pintu masuk paling sibuk ke Sudan Selatan bagi mereka yang melarikan diri dari konflik, kebanyakannya berasal dari negeri White Nile, Sudan, di mana pada bulan lalu, pasukan Doctors Without Borders mengenal pasti lebih 1,300 kes disyaki campak. Sejak 20 Jun 2023, wad pengasingan ditubuhkan Doctors Without Borders di hospital Renk County menerima 317 pesakit, lebih daripada 75% membabitkan mereka yang pulang. Yang muda paling terjejas, dengan lebih 80% pesakit terdiri kanak-kanak di bawah usia empat tahun. Kurang 15% daripada mereka pernah diberi vaksin campak. Memandangkan mereka yang kembali ini tinggal bersama di pusat transit yang sesak dan mengembara dalam jumlah besar dengan trak atau bot yang sesak, penularan penyakit itu amat besar.
Di Paloich, Doctors Without Borders melancarkan intervensi kecemasan selama tiga minggu pada 27 Julai 2023, memfokuskan kepada menangani keperluan kesihatan dan pemakanan lebih 3000 yang tinggal di kem yang dihuni mereka yang pulang.
Pemandangan wad pengasingan campak di hospital Doctors Without Borders di kem pelarian di Bentiu, negeri Unity. Sebagai tindak balas kepada kemasukan pesakit pada Julai 2023, Doctors Without Borders mengembangkan kapasiti katil wad pengasingan daripada 10 kepada 25 katil. Sudan Selatan, Julai 2023. © Nasir Ghafoor/MSF
“Anak-anak saya sihat ketika kami di Khartoum. Namun dalam perjalanan, mereka mula cirit-birit dan lemah. Kami minum air sungai di Malakal, dan warnanya hampir merah. Apabila kami bergerak dengan bot dari Malakal ke Bentiu, kanak-kanak mula mengalami simptom campak”, Martha Nyariek bercerita mengenai anak perempuannya yang berusia setahun Nyageng Mawich dan anak lelaki Bol Mawich berusia tiga tahun, yang menjadi antara ratusan pesakit dirawat pasukan perubatan Doctors Without Borders di negeri Unity.
Di Malakal, situasi kemanusiaan kelompok yang pulang di Kem Transit Bulukat kekal teruk dan ia diburukkan lagi kekurangan makanan yang mencukupi serta pergerakan ke destinasi terakhir mereka. Mereka datang beramai-ramai dengan ramai yang sakit, terutamanya kanak-kanak. Peningkatan berterusan kes malnutrisi direkodkan di kemudahan Doctors Without Borders. Doctors Without Borders memulakan klinik bergerak di kem transit, manakala hospital Doctors Without Borders - satu-satunya kemudahan penjagaan kesihatan peringkat menengah untuk kanak-kanak - bekerja melebihi kapasiti katilnya. Hospital Doctors Without Borders di Aweil juga menyaksikan peningkatan 65% dalam kes kekurangan zat makanan dalam tempoh enam bulan pertama 2023, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Doktor perubatan Doctors Without Borders memeriksa kanak-kanak yang dimasukkan ke wad pengasingan campak di kemudahan perubatan kami di Leer County, negeri Unity. Sudan Selatan, Julai 2023. © Nasir Ghafoor/MSF
"Jika kanak-kanak mengalami malnutrisi, mereka lebih mudah dijangkiti campak dan risiko kematian juga lebih tinggi", kata Ran Jalkuol, doktor perubatan Doctors Without Borders. “Kebanyakan pesakit kami kanak-kanak yang tidak diberi vaksin. Untuk mengelak campak meragut lebih banyak nyawa, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan sokongan makanan dan menjalankan susulan vaksinasi bagi mengimunkan semua orang, terutama mereka yang pulang antara usia enam bulan dan ke atas. Kanak-kanak antara enam bulan dan empat tahun paling terdedah.”
Sudan Selatan sudah sedia terdedah kepada wabak campak biasa. Pada 2022, dua wabak campak diisytiharkan pihak berkuasa kesihatan Sudan Selatan, dengan yang kedua menjejaskan semua negeri dan kawasan pentadbiran. Kemasukan mereka yang pulang dan kes campak semakin meningkat dalam kalangan penduduk yang berpindah dan komuniti hos merupakan satu lagi beban kepada sistem penjagaan kesihatan yang sudah sedia tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan.