Tahun 2023 Dalam Sorotan
Setiap hari pada bulan Ogos, antara 2,000 dan 3,000 orang menyeberangi hutan Darién, yang menghubungkan Colombia dengan Panama. Panama, Ogos 2023. © Natalia Romero Peñuela/MSF
Konflik menjadi penyumbang utama kepada penderitaan dan kerentanan manusia pada 2023, menyebabkan ribuan kematian di seluruh dunia serta perpindahan yang merekodkan bilangan manusia yang ramai (Sumber: UNHCR). Seperti tahun-tahun sebelumnya, membantu komuniti terjejas akibat keganasan menjadi komponen penting dalam program Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF). Kami juga bertindak balas terhadap bencana dan wabak penyakit, serta berusaha meningkatkan penjagaan kesihatan bagi pelarian, pendatang dan kelompok lain yang terpinggir.
Kesan dahsyat peperangan terhadap kehidupan manusia
Pada pertengahan April, ketika perang tiba-tiba meletus di Sudan antara tentera pihak berkuasa Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), pasukan kami dengan pantas menyesuaikan semua aktiviti untuk bertindak balas. Pertempuran sangat sengit di ibua negara, Khartoum, dan merentasi kawasan negara yang besar.
Akibatnya, 8.5 juta orang dipindahkan, kebanyakannya di Sudan (Sumber: UNHCR). Namun lebih 1.8 juta juga telah melarikan diri ke negara jiran, termasuk Chad, Sudan Selatan dan Ethiopia. Perang di Sudan menarik perhatian yang sangat sedikit daripada dunia dan sokongan daripada organisasi lain kadang kala tidak wujud; di sesetengah kawasan, Doctors Without Borders adalah satu-satunya organisasi kemanusiaan antarabangsa yang hadir.
Membantu mereka yang cedera dan kehilangan tempat tinggal akibat perang terbukti sangat mencabar. Pihak berkuasa tempatan menyekat penghantaran bekalan perubatan kritikal ke kawasan di bawah kawalan RSF, memaksa kami menangguhkan sementara aktiviti di beberapa kemudahan, termasuk pembedahan di hospital Bashair Khartoum. Visa untuk pasukan antarabangsa masuk dan menyokong kakitangan Sudan yang keletihan menjadi sukar untuk diperoleh. Pada penghujung tahun, ramai yang tinggal di Sudan bergelut untuk mendapatkan rawatan perubatan, makanan dan air, manakala mereka yang sudah melintasi sempadan mendapati diri mereka hidup dalam keadaan teruk di kem. Pasukan kami di Chad dan Sudan Selatan merawat ribuan pelarian Sudan akibat kecederaan berkaitan keganasan dan rogol, serta penyakit berjangkit yang ditemui dalam persekitaran kem yang buruk.
Pemandangan udara merakamkan pertempuran dan keganasan yang tercetus di Khartoum. Sudan, Mei 2023. © Atsuhiko Ochiai/MSF
Pada 7 Oktober, Hamas, organisasi yang mentadbir Semenanjung Gaza di Palestin, melancarkan pembunuhan beramai-ramai dalam Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menjadikan lebih 250 yang lain sebagai tebusan. Israel mengisytiharkan perang terhadap Hamas dan mula mengebom Gaza. Sejak itu, tentera Israel tidak henti-henti membedil dan menyerang kawasan perumahan dan infrastruktur awam. Israel juga mengenakan sekatan total, memotong bekalan air, makanan dan barangan keperluan lain. Puluhan ribu orang terbunuh. Lebih 1.7 juta orang di Gaza dianggarkan dipindahkan secara paksa dan hidup dalam keadaan tidak selamat serta tidak sihat; 1.5 juta orang hidup bersesak di Rafah, di kawasan bersempadan dengan Mesir (Sumber: UNRWA).
Banyak kemudahan penjagaan kesihatan tidak lagi berfungsi, disebabkan oleh kerosakan akibat pengeboman dan pencerobohan dan/atau kekurangan bahan api, yang diperlukan untuk menggerakkan jana kuasa. Bagi yang masih berfungsi secara separa pula terbeban dengan jumlah pesakit yang ramai serta bilangan kakitangan yang sedikit dan hampir tiada bekalan. Infrastruktur dan kakitangan penjagaan kesihatan - termasuk kami sendiri - berulang kali menjadi sasaran serangan udara atau peluru. Sejak 7 Oktober, lima kakitangan Doctors Without Borders terbunuh di Gaza; kami amat berduka atas kehilangan Mohammed Al Ahel, Alaa Al Shawa, Dr Mahmoud Abu Nujaila, Dr Ahmad Al Sahar dan Reem Abu Lebdeh.
Mengorientasikan semula aktiviti kami untuk bertindak balas adalah sukar. Bekalan sukar diperoleh, dan ruang fizikal di mana kami boleh menyediakan penjagaan dengan selamat telah berkurangan. Peperangan juga memberi kesan kepada Tebing Barat, di mana keganasan berkaitan pendudukan telah meningkat; pasukan kami menawarkan sokongan kesihatan mental dan merawat pesakit untuk kecederaan trauma.
Kakitangan perubatan Doctors Without Borders merawat pesakit yang cedera pada jam 2 pagi di hospital Jenin, susulan pencerobohan tentera Israel di kem pelarian Jenin, Tebing Barat. Palestin, 27 Oktober 2023. © Faris Al-Jawad/MSF
Pada penghujung Oktober, konflik meningkat di Myanmar, membawa kepada krisis kemanusiaan yang teruk. Ribuan orang kehilangan tempat tinggal, dan banyak kemudahan penjagaan kesihatan tidak lagi berfungsi berikutan serangan dan pemindahan. Meskipun disebalik ketidakamanan serta sekatan ke atas akses, pasukan kami menyampaikan bantuan kepada mereka yang berpindah di utara Chang dan negeri Rakhine melalui klinik bergerak, dan apabila dipaksa menangguhkan aktiviti langsung, melalui pekerja kesihatan masyarakat dan telekonsultasi.
Sementara itu, di Ethiopia, Doctors Without Borders berusaha menangani keperluan perubatan dan pemakanan yang sangat besar dan menyokong mereka yang terjejas akibat konflik di wilayah Amhara. Memandangkan perang di Ukraine tidak menunjukkan tanda-tanda reda, kami memberi tumpuan kepada perkhidmatan ambulans dan menyediakan rawatan untuk kedua-dua trauma fizikal dan mental, termasuk pembedahan, fisioterapi dan konsultasi kesihatan mental.
Menyediakan penjagaan di tengah keganasan kronik
Dalam satu konflik yang hampir dilupakan, orang awam terus menanggung beban keganasan ngeri didalangi oleh M23 dan kumpulan bersenjata lain di seluruh timur laut Republik Demokratik Congo pada 2023. Berjuta-juta orang dipindahkan, selalunya beberapa kali, dalam Kivu Utara, Selatan Wilayah Kivu dan Ituri, atau dipaksa melepasi sempadan ke Uganda dan Rwanda disebabkan pertempuran antara M23 dan angkatan bersenjata DRC. Pasukan kami menyediakan rawatan perubatan kepada mereka yang hidup dalam keadaan mengerikan, termasuk ramai pesakit yang mengalami luka akibat perang dan mangsa keganasan seksual.
Pemandangan tapak perpindahan Rusayo, satu dozen kilometer di luar Goma, ibu kota wilayah Kivu Utara, di mana dianggarkan kira-kira 85,000 orang menerima perlindungan. Republik Demokratik Congo, April 2023. © Michel Lunanga/MSF
Keganasan teruk berterusan di ibu kota Haiti, Port-au-Prince, pada 2023, dengan kumpulan bersenjata bertempur antara satu sama lain dan juga pihak polis demi berebut merebut kawalan di kawasan kejiranan bandar itu. Orang ramai secara rutin diculik dan ditahan untuk mendapatkan wang tebusan atau ditembak di jalanan. Tahap ketidakamanan tinggi mengurangkan kedua-duanya baik akses orang ramai kepada penjagaan kesihatan dan keupayaan Doktor Tanpa Sempadan untuk menyediakannya – kadangkala keadaannya terlalu berbahaya untuk kakitangan kami keluar bekerja, dan berulang kali sepanjang tahun kami terpaksa menggantung atau menutup kemudahan atau perkhidmatan. Kemudahan kami di Tabarre dan Turgeau menghentikan aktiviti sepanjang tahun, berikutan insiden serius di mana pesakit dalam jagaan kami telah dikeluarkan secara paksa oleh kumpulan bersenjata - seorang dari dewan bedah dan seorang lagi ditarik dari belakang ambulans dan dibunuh di jalanan.
Pasukan tentera nasional dan kumpulan bersenjata terus berperang di seluruh wilayah Sahel di Afrika, memusnahkan banyak komuniti dan mata pencarian, serta menyekat orang ramai daripada penjagaan kesihatan dan perkhidmatan asas. Sentimen anti-Barat dan terutamanya anti-kerajaan Perancis serta konteks geopolitik yang berubah-ubah di seluruh Burkina Faso, Niger, Mali dan negara-negara lain di rantau ini menimbulkan banyak cabaran keselamatan dan logistik untuk pasukan kami pada 2023. Ini termasuk mendapatkan akses ke kawasan di mana tahap keperluannya paling tinggi dan membawa masuk kakitangan serta bekalan. Keganasan itu malangnya tidak mengecualikan kakitangan kami; kami berduka atas kehilangan rakan sekerja kami Komon Dioma dan Souleymane Ouedraogo, yang terbunuh pada 8 Februari apabila kumpulan bersenjata menyerang kenderaan Doctors Without Borders yang digunakan mereka untuk mengangkut bekalan berhampiran Tougan, Burkina Faso.
Pesakit yang cedera akibat peluru dirawat di Pusat Kecemasan Doctors Without Borders Turgeau selepas konfrontasi dengan senjata berat berlaku di pusat Port-au-Prince. Haiti, Mac 2023. © Alexandre Marcou/MSF
Bertindak balas terhadap bencana
Pada February, ketika dua gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turkiye dan barat daya Syria, mengorbankan puluhan ribu nyawa, Doctors Without Borders segera melancarkan tindak balas kecemasan. Di kedua-dua lokasi kami menyediakan penjagaan kesihatan perubatan dan mental serta kemudahan air minuman dan sanitasi yang selamat, tempat tinggal dan makanan.
Kami juga menghantar pasukan untuk membantu mereka yang terjejas akibat Siklon Freddy di Malawi dan Mozambique, pada Mac, serta Siklon Mocha di Myanmar, pada Mei, dengan menawarkan konsultasi perubatan dan membekalkan air bersih, serta membina dan membaiki tandas.
Pada September, pasukan kami menyediakan penjagaan kesihatan dan bekalan perubatan selepas bandar Derna di Libya sebahagiannya musnah akibat banjir. Pada bulan sama, kami menawarkan sokongan kesihatan mental kepada mangsa yang terselamat daripada gempa bumi di barat daya Maghribi. Susulan satu lagi gempa bumi pada Oktober, kali ini di wilayah Herat di barat Afghanistan, kami membantu merawat mangsa yang cedera dan menderma bekalan penting.
Doctors Without Borders mengedarkan barangan bantuan ke pusat penerimaan yang menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi yang melanda Syria dan Turkiye pada 6 Februari 2023. Syria, Februari 2023. © Omar Haj Kadour
Membantu golongan terpinggir
Pihak berkuasa di Afghanistan dan Yaman semakin meminggirkan wanita dan gadis daripada masyarakat dan mengurangkan dengan teruk akses mereka kepada pendidikan serta penjagaan kesihatan. Kami sudah sedia berdepan kekurangan kakitangan penjagaan kesihatan wanita yang berkelayakan di Afghanistan - yang diperlukan untuk menyediakan rawatan kesihatan kepada pesakit wanita - serta juga sesuatu yang kami hanya boleh jangka bertambah buruk dengan larangan pendidikan menengah dan tinggi buat wanita. Kedua-dua negara ini mensyaratkan wanita untuk bergerak dengan hanya keberadaan (biasanya lelaki) waris apabila mereka meninggalkan rumah. Di Yaman, membayar kos pengangkutan dua orang untuk melawat hospital, berbanding hanya seorang, bukanlah suatu yang mampu dimiliki oleh kebanyakan keluarga, manakala di Afghanistan, wanita sering perlu menunggu seseorang untuk menemani mereka atau anak mereka untuk ke kemudahan kesihatan.
Pada 2023, kami terus membantu mereka yang melakukan perjalanan berbahaya melalui Darién Gap, kawasan berhutan lebat antara Colombia dan Panama, dalam perjalanan ke utara ke Mexico dan Amerika Syarikat. Lebih setengah juta orang - termasuk ramai keluarga dan kanak-kanak - melakukan penyeberangan, dua kali ganda jumlah pada 2022. Pasukan kami merawat pesakit untuk keadaan dan kecederaan yang disebabkan oleh perjalanan mereka yang sukar, serta ramai mangsa keganasan dan serangan seksual, di Panama dan negara lain di sepanjang laluan penghijrahan, termasuk Mexico, Guatemala dan Honduras.
Kami merawat pelarian, pendatang dan pencari suaka yang tertakluk kepada dasar penghijrahan yang tidak berperikemanusiaan. Dari Aegean - di mana kami menyediakan penjagaan kepada mereka yang tiba di Kepulauan Greek - ke United Kingdom - di mana kami membuka projek baharu untuk pencari suaka pada November - dan dari Balkan ke Libya, dasar penghijrahan Eropah mempunyai kesan teruk terhadap kehidupan mereka yang mencari keselamatan.
Kanak-kanak perempuan pergi ke sekolah di Band-e-Amir di Yakawalang, sebuah daerah terpencil di Wilayah Bamyan, Afghanistan. Doctors Without Borders membuka kemudahan kesihatan masyarakat di Band-e-Amir, di mana tidak terdapat kemudahan kesihatan lain untuk wanita dan kanak-kanak. Afghanistan, April 2023. © Nava Jamshidi
Sementara itu, keadaan tidak bertambah baik bagi hampir 800,000 Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh dari Myanmar pada 2017. Kami terus menggerakkan rangkaian perkhidmatan perubatan untuk pelarian Rohingya, yang masih tinggal di kem yang penuh sesak dan berdepan situasi permusuhan yang semakin meningkat daripada kerajaan dan masyarakat tempatan. Di samping itu, pemotongan dana global untuk bantuan - yang mana mereka bergantung kepadanya untuk bertahan - telah mengurangkan jumlah makanan yang diagihkan dan meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan kami.
Cabaran dan kejayaan dalam merawat penyakit
Sejak pandemik COVID-19, kami telah menyaksikan peningkatan wabak penyakit, sebahagiannya disebabkan angka korban teruk yang ditanggung sistem kesihatan serta kempen vaksinasi rutin. Pada 2023, kami merawat beribu-ribu pesakit untuk penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, seperti campak, taun dan hepatitis. Pasukan kami bergelut untuk bertindak balas terhadap wabak difteria, jangkitan bakteria yang berpotensi membawa maut, yang menjejaskan Guinea, Nigeria, Niger dan Chad, disebabkan kekurangan global vaksin dan antitoksin yang digunakan untuk rawatan.
Pada tahun berkenaan, kami bertindak balas terhadap bilangan membimbangkan mereka yang mengalami kekurangan zat makanan. Pasukan Doctors Without Borders bertindak balas terhadap krisis di Nigeria, Ethiopia, Angola, Yaman, DRC, Afghanistan dan Burkina Faso. Orang ramai berdepan kekurangan zat kerana pelbagai sebab; konflik yang memotong bekalan atau menghalang aktiviti pertanian, hasil tuaian yang lemah, harga makanan yang tinggi, atau bantuan makanan yang tidak mencukupi untuk mereka yang berpindah.
Seorang jururawat melakukan pusingan wad untuk memeriksa pesakit pada waktu pagi dan memberi mereka ubat untuk difteria di Centre de Traitement Epidemiologique di Siguiri. Guinea, Disember 2023. © Andrej Ivanov/MSF
Bagaimanapun, terdapat berita gembira berkaitan tuberkulosis (TB) sepanjang tahun berkenaan. Pada November, kami menerbitkan keputusan positif ujian klinikal endTB, yang mengenal pasti tiga rejimen ubat baharu yang selamat untuk TB rintang pelbagai ubat, yang lebih berkesan dan mengurangkan masa rawatan sehingga dua pertiga. Sesetengah rejimen ubat ini menggunakan bedaquiline, yang harganya menjadi halangan untuk meningkatkan rawatan. Melalui peranan Kempen Akses Doctors Without Borders, pengilang, Johnson & Johnson, menggugurkan beberapa paten sekundernya pada ubat itu pada September, membolehkan versi generik mampu milik digunakan di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Pada bulan sama, tekanan Kempen Akses terhadap Cepheid, yang menghasilkan sistem ujian diagnostik, digunakan secara meluas dalam projek Doctors Without Borders, dan syarikat induknya Danaher, membuahkan hasil apabila mereka bersetuju dengan pengurangan harga sebanyak 20 peratus untuk beberapa ujian, termasuk untuk TB.
Pada Disember, susulan tiga tahun usaha advokasi yang gigih oleh Doctors Without Borders, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyenaraikan noma ke dalam senarai penyakit tropika yang diabaikan. Noma adalah sejenis infeksi penyakit bakteria tetapi tidak berjangkit yang menjejaskan kebanyakan kanak-kanak, terutamanya di sub-Sahara Afrika. Ia boleh dicegah dan dirawat, tetapi tanpa rawatan, ia membunuh 90 peratus orang. Berada dalam senarai itu harus menyerlahkan perhatian terhadap penyakit terbabit, memudahkan penyepaduan aktiviti pencegahan dan rawatan noma ke dalam program kesihatan awam sedia ada, serta menggalakkan peruntukan sumber yang sangat diperlukan untuk membantu menanganinya.
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada lebih 69,000 kakitangan Doctors Without Borders, yang bekerja di lebih 70 negara pada 2023 – sentiasa dalam keadaan berisiko tinggi – untuk menyampaikan rawatan perubatan kepada mereka yang memerlukan.
Baca Laporan Aktiviti Antarabangsa 2023 kami