Skip to main content

Doctors Without Borders mengecam serangan ganas, gantung operasi di Hospital Khartoum

Facade of Bashair Teaching Hospital in southern Khartoum, Sudan.

Hospital Bashair, yang terletak di selatan Khartoum, merupakan salah satu daripada segelintir hospital yang masih beroperasi di ibu negara Sudan. Mei 2023. © Ala Kheir/MSF

Sepanjang 20 bulan pasukan Doctors Without Borders bekerjasama dengan staf hospital dan sukarelawan, Hospital Bashair telah beberapa kali mengalami insiden yang membimbangkan, termasuk pencerobohan kumpulan bersenjata yang membawa senjata ke dalam hospital serta mengugut petugas perubatan. Dalam banyak kejadian, mereka menuntut agar pejuang yang cedera diberi rawatan terlebih dahulu berbanding pesakit lain.

Pada 11 November 2024, seorang pesakit telah ditembak mati di dalam hospital. Kemudian, pada 18 Disember, individu-individu bersenjata melepaskan tembakan di dalam wad kecemasan, mengancam keselamatan petugas perubatan secara langsung. Dalam satu insiden terdahulu, tembakan dilepaskan ke arah hospital sehingga peluru menembus kawasan hospital dan menyebabkan kecederaan seorang individu.

Keganasan yang berlaku di Khartoum semakin parah dan berlarutan tanpa henti. Setiap hari, penduduk berdepan dengan ancaman keganasan melampau, sementara kekurangan makanan, bekalan keperluan asas, dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan menjadikan keadaan semakin genting. Keperluan perubatan amat mendesak. Cedera yang dialami mangsa sering kali parah dan menyayat hati. Insiden kecederaan besar-besaran kini menjadi perkara biasa. Di sebalik cabaran getir ini, pasukan perubatan, staf hospital dan para sukarelawan terus berusaha tanpa mengenal lelah untuk memberikan rawatan kepada mereka yang memerlukan. Namun, tanpa jaminan keselamatan untuk beroperasi, keadaan menjadi tidak lagi berdaya untuk diteruskan. Apabila nyawa staf perubatan dan pesakit turut terancam, usaha menyelamatkan mereka semakin sukar untuk dilaksanakan.
Claire San Filippo, Penyelaras Kecemasan

Hospital Bashair merupakan antara hospital terakhir yang masih beroperasi di selatan Khartoum, yang menyediakan rawatan perubatan percuma kepada masyarakat. Sejak akhir bulan September, hospital ini menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah pesakit yang mengalami kecederaan akibat keganasan, selari dengan peningkatan pertempuran. Ada kalanya, puluhan pesakit tiba serentak selepas kejadian pengeboman atau serangan udara ke atas kawasan kediaman dan pasar. Pada Ahad, 5 Januari 2025, seramai 50 pesakit dibawa ke unit kecemasan – 12 daripadanya meninggal dunia – selepas satu serangan udara berlaku hanya satu kilometer dari hospital.

Dalam masa yang sama, pasukan perubatan kami turut berdepan dengan peningkatan kes kanak-kanak dan ibu mengandung berikutan banyak fasiliti kesihatan lain terpaksa ditutup atau mengurangkan perkhidmatan. Selain itu, kami turut menangani wabak kolera, malaria dan denggi, di samping berhadapan dengan kadar malnutrisi yang semakin membimbangkan.

Hospital Bashair telah menghadapi pelbagai cabaran serius. Pada Oktober 2023, semua prosedur pembedahan terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas bekalan perubatan disekat oleh Angkatan Bersenjata Sudan. Kini, penghantaran bekalan perubatan serta pergerakan petugas dari Port Sudan telah terhalang selama lebih setahun. Pada Julai tahun lalu, Doctors Without Borders terpaksa menghentikan operasi perubatan di Hospital Turki yang terletak berhampiran akibat ancaman serta keganasan terhadap petugas kesihatan.

“Sangat menyedihkan apabila terpaksa menghentikan sokongan terhadap perkhidmatan perubatan yang menyelamatkan nyawa, lebih-lebih lagi ketika keperluan kesihatan semakin mendesak. Setiap kali sesebuah organisasi dipaksa menangguhkan operasi, akses pesakit terhadap rawatan yang amat diperlukan semakin berkurangan,” kata San Filippo.

"Hospital mesti menjadi tempat di mana orang ramai boleh mendapatkan rawatan kesihatan tanpa membahayakan nyawa mereka, serta tempat selamat bagi petugas perubatan untuk memberikan perkhidmatan dengan berkesan."

Pasukan Doctors Without Borders telah berganding bahu dengan sukarelawan serta kakitangan perubatan yang membuka semula hospital ini pada Mei 2023, tidak lama selepas konflik bermula. Sepanjang tempoh dari Mei 2023 hingga Disember 2024, hospital ini telah merawat seramai 25,585 pesakit di unit kecemasan, dengan lebih 9,000 kes berpunca daripada keganasan, termasuk kecederaan akibat letupan dan tembakan.

Dalam tempoh yang sama, pasukan perubatan telah melaksanakan sebanyak 3,700 prosedur pembedahan—sebahagian besar daripadanya melibatkan kecederaan akibat keganasan—dan membantu hampir 3,800 kelahiran, termasuk 850 pembedahan caesar. Doctors Without Borders terus beroperasi di 11 negeri di Sudan, termasuk di bandar Omdurman, dalam negeri Khartoum. Kami berharap keadaan akan kembali stabil agar dapat meneruskan semula perkhidmatan perubatan di Hospital Bashair pada masa hadapan.

Timeline of MSF activities in Bashair Teaching Hospital, Khartoum, Sudan.
Timeline of MSF activities in Bashair Teaching Hospital, Khartoum, Sudan.
Timeline of MSF activities in Bashair Teaching Hospital, Khartoum, Sudan.
Timeline of MSF activities in Bashair Teaching Hospital, Khartoum, Sudan.
Timeline of MSF activities in Bashair Teaching Hospital, Khartoum, Sudan.