Skip to main content

Syria: Kecederaan mental kekal parah setahun selepas gempa bumi

View of Idlib province, Northwestern Syria.Syria, February 2023. © Omar Haj Kadour

Situasi selepas gempa bumi melanda Syria pada 2023. Syria, 7 Februari 2023.  © Omar Haj Kadour

 

Kami tinggal dalam khemah - kanak-kanak takut dengan rumah dan bangunan,” kata Hind, seorang ibu kepada lima anak berusia 36 tahun di Afrin, di wilayah Idlib di barat laut Syria. “Kami tersangat penat.”

Di mana anda boleh mencari perlindungan apabila rumah anda tidak lagi selamat? Bagaimana anda boleh menenangkan anak-anak anda apabila mereka hidup dalam ketakutan disebabkan tanah di bawah kaki mereka bergegar? Persoalan ini berlegar dalam fikiran penduduk di barat laut Syria, wilayah yang bergelut dengan kesan krisis ekonomi dan peperangan yang meletus selama lebih sedekad, ditambah pula kesan gempa bumi dahsyat yang melanda barat laut Syria dan selatan Türkiye pada 6 Februari 2023.

Gempa bumi menyebabkan pertambahan dalam kemiskinan, kehilangan tempat tinggal dan perpindahan, serta menyebabkan keadaan hidup rakyat merosot, memburukkan lagi keadaan ekonomi dan fungsi sistem pendidikan dan menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur. Selain itu, ribuan kanak-kanak kehilangan tempat bergantung atau mengalami kecederaan fizikal dan amputasi. Semua ini memburukkan lagi keadaan kesihatan mental bagi ribuan orang di seluruh rantau ini."
Thomas Balivet, ketua misi

Sebelum Februari lalu, ramai penduduk di barat laut Syria sudah sedia berpindah dari rumah mereka akibat perang. Selepas gempa bumi, kehidupan mereka bertukar melarat - tiada tempat tinggal, makanan, air bersih atau keperluan asas lain.

"Kami meninggalkan kampung halaman kami di Saraqib, timur Idlib, disebabkan peperangan dan serangan berterusan, dan selepas bertahun-tahun kehilangan tempat tinggal dan mencari keselamatan, kami menetap di Afrin, lebih jauh ke utara," kata Hind. “Rumah yang kami duduki tidak ada dinding - kami menggantung selimut supaya ia teduh dan untuk tujuan privasi. Suami saya pernah bekerja tetapi hidup kami cukup-cukup makan sahaja. Kemudian gempa bumi berlaku dan kami sekali lagi kehilangan segala-galanya.”

Gempa pertama, dengan magnitud 7.8, yang menyebabkan banyak kemusnahan mengingatkan kepada kerosakan perang yang sudah sedia melanda barat laut Syria.

Omar Al-Omar, penyelia kesihatan mental Doctors Without Borders di Idlib, mengimbau beberapa jam pertama selepas gempa bumi. “Pada waktu subuh, saya turun ke Salqin, sebuah bandar di wilayah Idlib. Saya melihat keseluruhan bangunan runtuh dan bertukar menjadi batu dan runtuhan. Apa yang paling meruntunkan hati saya adalah mendengar suara seseorang di bawah runtuhan meminta tolong, sedangkan saya tidak berupaya untuk membantu."

"Saya kemudian pergi ke hospital Salqin, yang diuruskan secara bersama oleh Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF). Sebaik masuk, saya terkejut melihat ramai yang cedera serta mayat di dalam bilik serta koridor hospital. Saya tidak kuat untuk berdiri lagi – saya duduk di atas tanah dan menangis. Di hospital, kami dapat merasakan gegaran susulan, dan setiap saat ramai yang cedera dan terluka memasuki hospital. Malam itu akan kekal terpahat dalam ingatan saya sehingga akhir hayat saya," sambungnya.

Sebelum Februari lalu sekalipun, sistem penjagaan kesihatan di barat laut Syria sudah sedia bergelut, dengan kemudahan perubatan yang kekurangan dana dan perkhidmatan yang terhad. Gempa bumi merosakkan 55 kemudahan kesihatan, menyebabkan semuanya tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Selain bantuan perubatan, penduduk di seluruh wilayah memerlukan tandas, pancuran mandian, sistem pemanasan, pakaian musim sejuk, jana kuasa, selimut, kit kebersihan serta produk cucian.

Dalam beberapa jam selepas gempa pertama, pasukan Doctors Without Borders menyediakan rawatan perubatan kecemasan dan serta-merta mengedarkan stok barangan bantuan penting yang sedia ada. Beberapa hari berikutnya, Doctors Without Borders menghantar 40 trak yang dimuatkan dengan barangan perubatan dan bukan perubatan ke kawasan itu, termasuk makanan dan kelengkapan untuk berteduh. Pakar air dan sanitasi Doctors Without Borders pula membina tandas dan pancuran mandian untuk mangsa gempa bumi serta menyediakan air minuman bersih kepada mereka.

"Berikutan fasa akut tindak balas kecemasan, tumpuan kami beralih ke arah menyediakan tempat tinggal, makanan dan barangan bantuan, memastikan akses kepada penjagaan kesihatan serta perkhidmatan air dan sanitasi," kata Balivet. “Kekurangan keperluan asas ini memberi kesan mendalam kepada kesihatan mental orang ramai.”

Setahun berlalu, kemusnahan fizikal disebabkan gempa bumi semakin kurang kelihatan berbanding sebelum ini, namun impaknya terhadap kesihatan mental orang ramai sangat ketara.

"Sejak gempa bumi, kes gangguan tekanan selepas trauma dan masalah tingkah laku meningkat, terutama dalam kalangan kanak-kanak," kata Omar, "sebagai tambahan kepada serangan panik, pelbagai jenis fobia dan gejala psikosomatik."

Sejak gempa bumi, kes gangguan tekanan selepas trauma dan masalah tingkah laku meningkat terutama dalam kalangan kanak-kanak, sebagai tambahan kepada serangan panik, pelbagai jenis fobia dan gejala psikosomatik.
Omar Al-Omar, penyelia kesihatan mental

Menangani keperluan kesihatan mental orang ramai

Doctors Without Borders telah menyediakan perkhidmatan kesihatan mental kepada penduduk di barat laut Syria sejak 2013. Selepas gempa bumi, Doctors Without Borders melancarkan inisiatif kesihatan mental yang komprehensif sebagai sebahagian daripada tindak balas kecemasannya.

Pasukan bergerak membabitkan kaunselor kesihatan mental dikerahkan untuk menyediakan bantuan awal psikologi, serta kaunseling pakar buat pesakit berisiko sederhana dan tinggi, di 80 lokasi seluruh rantau ini. Mereka juga menjalankan sesi untuk membantu orang ramai menangani reaksi psikologi serta-merta mereka serta emosi yang menyusul. Pasukan Doctors Without Borders menyediakan 8,026 konsultasi kesihatan mental individu selepas gempa bumi.

Ruang selamat’ untuk wanita dan kanak-kanak

Doctors Without Borders juga mewujudkan program ‘ruang selamat’ di empat lokasi di utara wilayah Aleppo dan Idlib, dengan kerjasama organisasi rakan kongsi, bagi menyediakan tempat di mana wanita dan kanak-kanak boleh berehat seketika daripada realiti yang pahit di luar. Aktiviti ini masih berjalan, dengan tiga tapak tambahan ditambah di wilayah Idlib.

Di dalam khemah khusus ini, wanita dan kanak-kanak dilibatkan dengan permainan dan aktiviti, seperti melukis, menyertai sesi berkumpulan, atau sekadar duduk dan berehat. Sama ada terbabit dalam sesi muhasabah yang tenang atau perbualan yang rancak, wanita serta kanak-kanak di ruang ini mencari ruang perlindungan di mana mereka boleh melepaskan diri daripada beban masalah mereka serta bernafas untuk seketika.

Kira-kira 25,000 wanita dan kanak-kanak telah menggunakan ruang selamat; pasukan Doctors Without Borders turut merujuk 1,900 wanita dan kanak-kanak ke organisasi lain untuk menerima rawatan susulan bagi isu kesihatan fizikal atau mental.

MSF’s distribution of relief items to a reception center hosting displaced families in the countryside of the city of Salqin on the Turkish border in northwestern Syria. Syria, February 2023. © Omar Haj Kadour

Doctos Without Borders mengagihkan barangan bantuan kepada pusat penerimaan yang menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal susulan gempa bumi yang melanda Syria and Turkiye pada 6 Februari 2023. Syria, Februari 2023. © Omar Haj Kadour

Hind, yang kerap melawat salah satu ruang selamat Doctors Without Borders, berkata: “Apabila saya masuk ke dalam ruang selamat, saya lupa segala-galanya, saya lupa keperitan dan ketakutan. Anak-anak saya ikut serta dan bermain. Kami semua lupa dengan ketakutan, kami semua lupa apa yang berlaku selepas gempa bumi.”

Hidup di tengah-tengah runtuhan konflik dan gempa bumi, penduduk di barat laut Syria masih memerlukan air bersih, makanan, tempat tinggal dan akses kepada penjagaan kesihatan yang penting. "Pelaburan dalam meningkatkan keadaan hidup penduduk barat laut Syria adalah penting," kata Balivet. "Hanya dengan menangani punca penderitaan kita boleh berharap untuk membuka jalan ke arah pemulihan."