Skip to main content

"Tidak boleh lagi membazir masa untuk sampai kepada penduduk di rantau ini"

the impact of the earthquake taken on 7 February 2023. Idlib province, Northwestern Syria. Syria, 7 February 2023. © OMAR HAJ KADOUR

Impak gempa bumi. Foto dirakam pada 7 Februari 2023 di wilayah Idlib, Barat Laut Syria. Syria, 7 Februari 2023. © Omar Haj Kadour

“Empat hari selepas gempa bumi, pasukan Doctors Without Borders meneruskan tindakan kecemasan mereka di barat laut Syria. Kami menerima sangat sedikit sokongan antarabangsa dari luar setakat ini. Peranan kami penting, tetapi ia juga ibarat setitis di lautan: keperluan sangat besar di rantau ini. Kami menangani keperluan asas, menyediakan makanan dan air serta menyediakan rawatan perubatan.

Memandangkan kekurangan dana untuk bantuan kemanusiaan dan kesukaran mengakses kawasan darat yang terkepung, kebanyakan hospital Syria sudah sedia berdepan pelbagai kesukaran dan kekurangan. Memindahkan bekalan dan ubat-ubatan dari Turkiye ke Syria sudah sedia mencabar, kerana Bab al-Hawa adalah satu-satunya lokasi untuk konvoi kemanusiaan menyeberang ke barat laut Syria dan ia sudah pun terkesan kepada ketegangan politik sebelum bencana itu.

Selepas gempa bumi, lokasi untuk menyeberang ini ditutup selama tiga hari dan hanya dibuka semula semalam, dengan trafik yang sangat perlahan setakat ini. Organisasi kemanusiaan yang bekerja di dalam kawasan Barat Laut Syria sudah mula menggunakan stok kecemasan mereka yang berada di lapangan.

Ahmed Rahmo, Doctors Without Borders project coordinator in charge of the Idlib. © Assia Shihab/MSF
Tidak boleh lagi membazir masa untuk sampai kepada penduduk di rantau ini, memandangkan penghantaran bekalan sangat kritikal. Dua juta orang kini tinggal di kem pemindahan, kebanyakannya di dalam khemah yang terdedah kepada angin. Hanya seminggu sebelum gempa bumi, ribut salji membadai kawasan itu. Keadaan hidup tersangat merosot.
Ahmed Rahmo, Penyelaras Projek

Kami sudah menderma alatan untuk pemanas, selimut dan tilam, semuanya penting dalam keadaan cuaca ini, memandangkan suhu mencecah angka negatif pada waktu malam. Hari ini, semakin ramai yang terpaksa menyertai kem ini, dan pusat penerimaan dibuka untuk menampung lebih ramai yang terpaksa berpindah. Terdapat 15 di wilayah Idlib buat masa ini, dan kami melancarkan klinik mudah alih untuk menawarkan konsultasi perubatan di lima daripada semua daerah ini. Kami akan memperluaskan aktiviti ini dalam beberapa hari akan datang.

Pasukan Doctors Without Borders turut serta dalam menyumbang barangan perubatan kepada lebih 10 hospital. Kami bertindak balas kepada pelbagai keperluan, khususnya berkaitan traumatologi, penjagaan obstetrik atau dialisis. Kami juga menghantar beberapa kakitangan perubatan dari hospital kami di Atmeh, yang mempunyai kepakaran dalam rawatan mangsa melecur, untuk menyokong hospital lain, yang kakitangannya sudah sedia terbeban dengan bilangan mangsa yang cedera. Pakar bedah kami berupaya membantu mereka. Kami juga menggerakkan ambulans kami untuk digunakan bagi tujuan pemindahan antara hospital.

Setiap hari, pasukan kami berkongsi kisah tragis dengan kami. Sesetengah mangsa yang terselamat, apabila tidak dimasukkan ke hospital, kehilangan segala-galanya: rumah mereka, pakaian mereka, akses kepada makanan, kadang-kadang sebahagian daripada keluarga mereka, wang mereka, segala-galanya... dan kini mereka tinggal di dalam khemah. Mereka memerlukan pakaian dan produk kebersihan, mereka memerlukan air dan makanan, mereka memerlukan segala-galanya.

Baca kisah dari rakan sekerja kami, Sherwan Qasem

Apabila mendengar berita mengenai gempa bumi pada pagi Isnin, saya segera cuba menghubungi keluarga dan -rakan di Syria. Saya tidak dapat menghubungi mereka kerana tiada bekalan elektrik atau internet. Sambil duduk di sana, membayangkan apa yang mungkin berlaku, ia sangat tertekan.

Saya akhirnya berjaya menghubungi ibu melalui telefon. Katanya semua orang merasakan ia seperti saat terakhir dalam hidup mereka. Nasib baik semua ahli keluarga saya ok. Namun ramai yang lain bergelut. Banyak rumah dan bangunan musnah, menyebabkan angka kematian dan kecederaan sangat mengejutkan selain mendatangkan kerosakan pada infrastruktur di Turkiye dan di Syria. Beribu-ribu orang kini kehilangan tempat tinggal.
Di barat laut Syria, hospital yang disokong Doctors Without Borders menerima ribuan pesakit yang cedera dan ratusan yang meninggal dunia. Kami menjangkakan jumlahnya akan meningkat, memandangkan kemungkinan untuk menemui mereka yang terselamat ketika ini dilihat seperti tipis.

Saya berhubung dengan rakan sekerja saya di kawasan luar bandar barat Aleppo, tempat saya pernah bekerja bersama Doctors Without Borders. Mereka mengatakan keadaannya amat teruk. Kawasan ini sudah pun berada dalam perang selama lebih 11 tahun, jadi sektor perubatan sudah sedia bergelut sebelum gempa bumi lagi.

Doctors Without Borders mempunyai dua keutamaan paling tinggi sekarang. Pertama, untuk menyokong hospital dan kemudahan kesihatan sedia ada untuk bertindak balas terhadap kecemasan ini dengan bekalan dan latihan. Kami juga membekalkan mereka bahan api supaya mereka boleh mempunyai bekalan elektrik dan pemanasan. Syria - seperti kebanyakan negara di seluruh dunia - bergelut dengan krisis tenaga yang berpunca daripada perang di Ukraine. Mereka tidak mempunyai bahan api yang mencukupi untuk menghidupkan penjana kuasa .

Yang kedua ialah membawa masuk bekalan. Satu daripada masalah utama ialah kekurangan akses ke kawasan ini. Satu-satunya akses adalah melalui satu koridor kemanusiaan. Selama bertahun-tahun sukar untuk menyampaikan sokongan dan bekalan ke rantau ini dan malangnya ia tidak menjadi lebih mudah dalam beberapa hari kebelakangan ini. Tiada bantuan boleh sampai ke kawasan itu dalam tempoh 48 jam pertama selepas gempa bumi - jangka masa penting untuk mangsa yang terselamat. Kami menggelar diri kami Doctors Without Borders, namun malangnya terdapat banyak sempadan, dan kami berusaha untuk mengatasinya serta mencari cara berbeza untuk menyampaikan bantuan ini kepada mereka yang memerlukan.

Terdapat kira-kira 4 juta orang tinggal di rantau ini, 2.8 juta daripadanya sudah dipindahkan - sesetengahnya lebih daripada sekali. Saya berjumpa mereka yang telah berpindah 20 kali. Ramai daripada mereka tidak dapat meninggalkan negara kerana kekurangan sumber, atau memilih untuk kekal kerana menjaga saudara yang sakit, yang memerlukan sokongan, atau yang tidak mahu meninggalkan negara kelahiran. Selain itu, lebih 3.6 juta pelarian Syria di Turkiye, yang majoritinya tinggal di empat wilayah paling terjejas akibat gempa bumi. Apabila mereka melarikan diri dari Syria ke Turkiye untuk mencari keselamatan, kebanyakannya mahu tinggal sedekad mungkin dengan sempadan Syria supaya mereka boleh pulang ke rumah suatu hari nanti.
Satu daripada keperluan terbesar sekarang ialah kesihatan mental. Bayangkan jika anda menetap di kem, di dalam khemah, di rumah sementara, selepas mungkin bertahun-tahun konflik tanpa sebarang harapan untuk apa yang mungkin berlaku esok? Beban kesihatan mental adalah teruk.

Semalam ibu berkata kepada saya: “Anakku, saya tidak tahu apa yang mungkin berlaku esok. Setiap tahun selama 12 tahun kami berharap ini akan menjadi tahun terakhir kepada penderitaan kami."

Non-food items distributions in Syria. February 2023. © MSF

Pasukan kami di Syria menghantar 270 kit dengan barangan bukan makanan termasuk barangan kebersihan, kit dapur, kit musim sejuk dan selimut, di kawasan Jandaris, di daerah Afrin, dan di kem serta pusat perlindungan yang menerima mereka yang terjejas akibat gempa bumi di utara Aleppo. Syria, Februari 2023. © MSF

Organisasi kemanusiaan perlu juga melindungi populasi ini daripada kolera/taun, yang baru-baru ini merebak di rantau ini sejak September lalu dan yang berkembang dalam keadaan tidak menentu serta kekurangan akses kepada air bersih. Pasukan Doctors Without Borders telah menangani penyakit ini dalam beberapa bulan lalu, namun organisasi kami tidak dapat menampung semua keperluan, terutama disebabkan keadaan umum yang semakin teruk. Bagi kebanyakan penduduk di rantau ini, keadaan hidup sudah menjadi lebih teruk.”

Categories