Turkiye: Sokongan kesihatan mental buat mereka yang terkesan gempa bumi
Seorang ahli psikologi dari organisasi disokong Doctors Without Borders mengendalikan aktiviti sokongan psikososial untuk penduduk di Arguvan, di pinggir Malatya. Turkiye, 2023. © Mariana Abdalla/MSF
Di Turkiye, kesan daripada gempa bumi dahsyat pada Februari semuanya jelas terpampang pada melalui bangunan yang musnah, kem sementara dan usaha besar membina semula kawasan terjejas. Dengan kedatangan musim bunga, hujan lebat menyebabkan banjir, menimbulkan lebih banyak isu. Bagi yang terselamat, gempa bumi juga mendatangkan kesan meskipun ia kurang ketara. Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menyokong organisasi tempatan di Turkiye dalam usaha mereka memberikan sokongan psikososial kepada orang ramai semasa cuba membina semula kehidupan.
Selepas gempa bumi melanda, orang ramai akan menunggu di luar sisa rumah mereka yang masih ada sementara pasukan mencari dan menyelamat cuba menyelamatkan mangsa dari runtuhan. Menambah trauma semasa fasa pertama ini, orang ramai perlu mengenal pasti setiap mayat ditemui dalam runtuhan, memeriksa sama ada ia individu mereka sayangi. Sehingga awal April, menurut pihak berkuasa Turki, lebih 50,300 terbunuh hanya di Turkiye.
“Walaupun keadaan kebersihan bermasalah dan kadangkala cuaca tidak mengizinkan, kebanyakan orang masih terlalu takut untuk memasuki bangunan, mereka tidak berasa selamat. Orang ramai masih berada di luar kerana naluri mereka rasa lebih selamat,” kata Nazlı Sinem Koytak di Adiyaman, ahli psikologi untuk İmece İnisiyatifi, sebuah NGO tempatan yang disokong Doctors Without Borders.
Menyokong organisasi tempatan menyediakan sokongan psikososial
Doctors Without Borders menyokong organisasi tempatan dalam menyediakan sokongan psikososial kepada penduduk di kawasan terjejas, termasuk Adıyaman dan wilayah Malatya melalui İmece İnisiyatifi, serta di wilayah Hatay dan Kahramanmaras, melalui Maya Vakfi, di mana sehingga 24 Mac lebih 7,500 orang menerima manfaat sama ada melalui konsultasi individu dan berkumpulan.
“Di salah sebuah kampung, peserta mengatakan rumah mereka ‘kini bertukar menjadi raksasa’. Orang ramai dahulunya berlindung di rumah mereka, tetapi kini rumah bertukar menjadi tempat yang menakutkan, tempat yang membunuh mereka,” kata Koytak.
Pekerja kesihatan mental menggalakkan orang ramai berkongsi emosi, cerita dan cabaran masing-masing, memaklumkan bahawa apa yang mereka rasai itu adalah normal disebabkan apa yang mereka lalui. Sesi berkumpulan membina ikatan dalam kalangan peserta, menyatukan orang ramai supaya mereka boleh berada di sana untuk menyokong satu sama lain ketika detik sukar.
Seorang ahli psikologi daripada organisasi disokong Doctors Without Borders mengendalikan sesi sokongan psikososial untuk wanita di Kayatepe (Rezip), di pinggir Adıyaman. Turkiye, 2023. © Mariana Abdalla/MSF
Pakar psikologi dari organisasi yang disokong Doctors Without Borders menjalankan aktiviti sokongan psikososial untuk kanak-kanak di Arguvan, di pinggir Malatya. Türkiye, 2023. © Mariana Abdalla/MSF
Orang ramai masih lagi sangat berwaspada dan sukar menumpukan perhatian serta tidur. Ada yang mengalami mimpi ngeri setiap malam, menjadi pelupa dan hilang selera makan. Gegaran susulan masih berlaku setiap hari dan orang ramai sentiasa mengingati pengalaman lalu dalam fikiran mereka serta percaya bencana lain boleh berlaku.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD), lebih 25,000 gegaran susulan berlaku sejak gempa bumi 6 Februari, 47 daripadanya direkod lebih tinggi berbanding magnitud 5 pada skala Richter. Oleh itu, pakar psikologi dalam organisasi yang disokong Doctors Without Borders menyedari simptom tekanan pasca trauma tidak berkurangan.
- Cerita Abdurrahman Can: “Kami masih tidak dapat berfikir secara jelas.”
-
Abdurrahman Can adalah ketua kampung Başpınar (Küllüm) di Adıyaman. Dia berkongsi kisah dan apa yang dirasa:
“Saya hilang menantu dan cucu saya. Saya simpan mayat cucu saya dalam kereta selama dua hari sehingga kami akhirnya dapat menemui mayat ibunya dan mengebumikan mereka bersama. Kami tidak ada kain kafan. Kami membungkusnya dengan selimut. Hospital semuanya penuh dengan mayat.
Saya mempunyai empat anak, dua perempuan dan dua lelaki. Seorang daripadanya kehilangan isteri dan anak. Seorang lagi menemukan anaknya masih hidup dalam runtuhan. Semua rumah mereka tiada, tiada apa-apa lagi. Mereka tidak dapat menyelamatkan apa-apa.
Ia kesan yang kami tanggung, kami kehilangan nyawa, kami kehilangan banyak harta.
Pada beberapa hari pertama kami tidur dalam kereta kami. Sekarang kami tinggal di khemah; kami tidak boleh masuk ke dalam [rumah kami].
Terlalu banyak ketakutan. Gegaran susulan berlaku beberapa kali sehari, setiap hari. Kami masih tidak dapat berfikir secara jelas. Kami kehilangan corak tidur kami. Kami mula mempunyai masalah keluarga.
Kami memerlukan sokongan material dan moral. Semua orang tertekan, namun kami cuba untuk pulih. Kami di sini sebagai sebuah keluarga, cuba untuk meneruskan hidup. Sekarang, sekurang-kurangnya kami tahu bahawa ada seseorang yang mendengar kami.”
Di kawasan luar bandar, seperti kampung Başpınar (Küllüm) dan Kayatepe (Rezip) di Adıyaman, tempat İmece İnisiyatifi (Inisiatif Imece) menjalankan aktiviti sokongan, kebanyakan keluarga sekurang-kurangnya kehilangan seseorang dan cuba membina semula kehidupan dan komuniti mereka. Mereka juga perlu menerima sanak saudara yang datang dari lokasi lain. Mereka dari kota sering meraskan seperti kawasan bandar terlalu berbahaya jadi mereka pergi ke luar bandar.
Bagi penduduk yang masih berada di kawasan bandar, keperluan akibat gempa bumi boleh memburukkan ketegangan sedia ada antara kumpulan berbeza dalam hal berkaitan sumber. Skala bencana bermakna keperluan untuk makanan, air dan sanitasi, serta khemah dan barangan bukan makanan lain amat mendesak. Yardım Konvoyu (Persatuan Konvoi Bantuan), dengan sokongan Doctors Without Borders, menumpukan kepada pengagihan kepada orang ramai di kem sementara tidak rasmi, yang didirikan di taman dan tempat letak kereta.
Hilang mata pencarian mewujudkan satu lagi situasi mencabar yang mesti dihadapi orang ramai, kata Koytak.
Eylül, 13, menetap di kampung Kayatepe (Rezip) di Adıyaman.
“Saya tidak boleh tidur lena kebelakangan ini. Saya juga tidak boleh belajar. Rasanya semua maklumat yang ada dalam fikiran saya kini hilang. Apa yang saya tahu sebelum ini, saya sudah tidak tahu lagi." Turkiye, 2023. © Mariana Abdalla/MSF
"Orang ramai tidak boleh kembali bekerja atau balik kepada rutin isi rumah mereka. Adıyaman adalah bandar yang musnah, sebagai contoh. Lama kelamaan, keadaan ini, berserta rasa takut, akan menjejaskan emosi dan tingkah laku lebih ramai orang, menjadikan pemulihan semakin sukar dalam jangka masa panjang".
Organisasi tempatan yang disokong Doctors Without Borders menyediakan bantuan psikososial kepada pelbagai kelompok yang terkesan akibat gempa bumi: pekerja penjagaan kesihatan Turkiye, pelarian Syria, sukarelawan, lelaki, wanita dan kanak-kanak. Sokongan psikososial hadir dalam pelbagai bentuk, terutamanya untuk kanak-kanak yang sering mendapat manfaat daripada aktiviti mudah seperti melukis, menari atau mendengar muzik.
Gempa bumi itu dahsyat, dan kesannya akan menjejaskan kehidupan orang ramai untuk beberapa tahun akan datang. Melalui kerjasama dengan organisasi tempatan dalam menyediakan sokongan psikososial, Doctors Without Borders menyasarkan untuk membantu orang ramai mengakses cara untuk membolehkan mereka membina kekuatan dan daya tahan diperlukan bagi membina semula dan memproses trauma besar yang mereka alami.
Di Turkiye, Doctors Without Borders menyokong organisasi tempatan seperti Imece İnisiyatifi dan Yardım Konvoyu.
İmece İnisiyatifi adalah organisasi bukan bermotifkan keuntungan berpangkalan di Izmir, Turkiye dan berpaksikan kepada prinsip tradisional Turkiye iaitu "imece", yang menekankan tindakan kolektif dan sokongan bersama. Menumpukan kepada pembangunan komuniti melalui pendekatan berasaskan komuniti, sejak gempa bumi, organisasi itu mengagihkan barangan bantuan kecemasan, serta aktiviti pendidikan dan sokongan psikososial untuk populasi yang terdedah.
Maya Vakfi adalah organisasi bukan bermotifkan keuntungan Turkiye yang memfokuskan kepada perkembangan mental, fizikal dan akademik kanak-kanak serta golongan muda berusia 5 hingga 24 tahun, serta penjaga mereka. Pada masa ini, sebagai sebahagian tindak balasnya terhadap gempa bumi dan pengalamannya yang semakin meningkat dalam tindak balas bencana, organisasi itu menjalankan aktiviti dan acara psikososial untuk meningkatkan kemahiran menangani dan proses penyembuhan mereka yang terjejas gempa bumi. Maya Vakfi juga menyediakan aktiviti pembinaan kapasiti dan kesejahteraan yang tertumpu kepada kakitangan awam yang bertindak balas dalam jangka panjang.
Yardım Konvoyu adalah organisasi tindak balas kecemasan berpangkalan di Istanbul, bekerja di kawasan bencana dan krisis menyediakan usaha bantuan, dengan tumpuan pada kesihatan, air dan sanitasi serta keselamatan makanan. Sejak gempa bumi, organisasi telah bertindak balas di lapangan di Kahramanmaraş, Adıyaman, Hatay dan Gaziantep.