Bertahan di sebalik runtuhan: Syria dan Turkiye selepas sebulan
Imej pusat bandar Elbistan, di selatan Turkiye Türkiye, yang terjejas teruk akibat gempa bumi yang melanda negara ini dan Syria. Turkiye, Februari 2023. © Igor Barbero/MSF
Pada 6 Februari, dua gempa bumi besar dengan kekuatan 7.8 and 7.6 menggegarkan selatan tengah Turkiye dan barat laut Syria yang berjiran. Selepas gempa bumi awal, kawasan sama mencatatkan ratusan gempa susulan, menambah jumlah kematian, kerosakan material dan trauma mangsa yang terselamat. Sebulan selepas gempa bumi pertama, fasa mencari dan menyelamat telah tamat. Namun, ketika habuk sudah mula mendap, di antara runtuhan, keperluan kekal meruncing.
Ahmed Rahmo adalah penyelaras projek Doctors Without Borders di Idlib, Syria, dan berkongsi melalui temu bual ini mengenai keperluan perubatan dan kemanusiaan semasa, serta aktiviti dan sokongan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) di kedua-dua negara.
Sebulan berlalu, apa impak bencana alam di Türkiye dan Syria ini?
Di barat laut Syria, di wilayah Idlib dan Aleppo di mana kita berada, bencana memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah sedia terdesak. 180,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi menambah 2.8 juta orang yang sudah hidup dalam keadaan sukar dan tidak menentu selepas berulang kali dipindahkan sepanjang 12 tahun perang.
Di Turkiye, menurut angka rasmi, sehingga 4 Mac, lebih 3 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, di mana lebih 1.5 juta kini tinggal di pekan-pekan khemah. Gempa bumi memberi kesan kepada sebelas wilayah dalam keadaan yang yang berbeza, menempatkan 16% daripada jumlah penduduk negara itu. Di sebalik maklum balas ketara pihak berkuasa dan perpaduan masyarakat sivil Turkiye, masih terdapat keperluan yang tidak dapat dipenuhi untuk ramai orang yang terjejas akibat gempa bumi.
Selain itu, beberapa kawasan Turkiye yang dilanda gempa menjadi tumpuan jutaan pelarian Syria dalam keadaan yang sangat terdedah dan tinggal di tempat perlindungan yang tidak menentu.
Pengagihan barangan bantuan Doctors Without Borders ke pusat penerimaan menempatkan keluarga pelarian di kawasan luar bandar Salqin di sempadan Turki di barat laut Syria. Syria, Februari 2023. © Omar Haj Kadour
Apakah keperluan perubatan dan bantuan paling mendesak masa ini?
Ramai yang kehilangan tempat tinggal masih tidak mempunyai tempat untuk berteduh, makanan, air bersih atau sebarang bentuk akses kepada keperluan hidup. Orang ramai memerlukan bantuan perubatan, tandas, mandian, sistem pemanasan, pakaian musim sejuk, jana kuasa, selimut, kit kebersihan dan produk pembersihan. Fasa mencari dan menyelamat serta fasa kecemasan akut telah berakhir, dan amat mendesak untuk terus menawarkan bantuan bantuan segera kepada orang yang terjejas.
Selain itu, ramai yang kehilangan tempat tinggal serta aktiviti ekonomi, mereka kehilangan saudara-mara dan orang tersayang serta hidup dalam keadaan sangat sukar. Kebanyakan orang bersedih, terdesak, cemas, tidak pasti tentang masa depan dan mesti hidup dengan ketakutan yang berterusan serta tekanan selepas trauma disebabkan gegaran susulan setiap hari. Ramai terbayang-bayang pengalaman dilalui dalam kepala mereka dan percaya bahawa kemusnahan yang mereka alami boleh berlaku lagi. Oleh itu, penyediaan sokongan psikososial penting disebabkan semua penderitaan ini.
Di Barat Laut Syria, kawasan ini turut berhadapan sistem dan infrastruktur penjagaan kesihatan yang lemah, dengan 55 kemudahan penjagaan kesihatan rosak atau tidak berfungsi sepenuhnya.
Bagaimana Doctors Without Borders bertindak balas terhadap krisis ini?
Di Syria, pasukan kami menyokong struktur kesihatan yang berfungsi di wilayah Idlib dan Aleppo. Kami juga menjalankan klinik bergerak yang menyediakan rawatan perubatan utama, serta kesihatan mental di pusat penerimaan tetamu dan kem perpindahan di wilayah Idlib dan Aleppo. Pasukan kami masih mengedarkan barangan bantuan dan kit kepada mereka yang memerlukannya.
Di Turkiye, pada masa ini, kami bekerjasama dengan pelbagai NGO tempatan dan organisasi masyarakat sivil untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dan bantuan yang sangat diperlukan. Kami menumpukan pada kawasan yang diabaikan di mana campur tangan kami boleh memberi nilai tambah.
Antara sokongan kami melalui rakan kongsi organisasi tempatan di Turkiye, Doctors Without Borders menderma dan terus menyumbangkan bekalan perubatan, makanan, air dan logistik, serta kit kebersihan dan barangan bantuan, termasuk selimut, dapur elektrik dan pakaian dalam haba untuk membantu orang ramai bertahan dalam suhu yang sejuk. Kami juga menyokong keperluan air dan sanitasi dengan membina bilik mandi dan tandas di kem sementara serta menyokong aktiviti psikososial untuk mereka yang terjejas akibat gempa bumi, termasuk mereka yang terselamat, sukarelawan serta pasukan mencari dan menyelamat melalui kerja individu dan kumpulan.
Dengan kerjasama Persatuan Perubatan Turkiye, Doctors Without Borders menyumbangkan pelbagai barangan bantuan penting kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi di bandar Adıyaman di selatan Turkiye. Turkiye, Februari 2023. © Igor Barbero/MSF
Adakah bantuan kemanusiaan cukup untuk memenuhi semua keperluan penduduk terjejas di Syria?
Bantuan kemanusiaan yang memasuki barat laut Syria sangat terhad dan terlalu perlahan. Masih terdapat keperluan besar untuk tempat perlindungan, air minuman, kemudahan mencuci dan peralatan pemanas. Bab Al-Hawa adalah lintasan kemanusiaan utama yang disokong PBB antara Turkiye dan barat laut Syria, yang mana melaluinya bekalan perubatan penting yang menyelamatkan nyawa boleh memasuki barat laut Syria. Pada 13 Februari, dua titik lintasan kemanusiaan tambahan Bab Al-Salam dan Al Ra'ee dari Turkiye ke barat laut Syria diumumkan dibuka untuk tempoh awal tiga bulan.
Walaupun konvoi kedua Doctors Without Borders terdiri 15 trak menyeberang ke barat laut Syria pada 26 Februari dengan fasilitasi NGO Al Ameen, kami masih menyokong gesaan agar lebih banyak titik akses disediakan untuk bantuan kemanusiaan memasuki barat laut Syria, sebagai bekalan, terutamanya untuk prosedur pembedahan, yang semakin berkurangan.
Bagi Doctors Without Borders, kami menyeru bantuan kemanusiaan sekadar untuk membantu penduduk mengikut keperluan mereka, namun malangnya hari ini, di Syria, bantuan amat jauh daripada memenuhi keperluan itu.
Di barat laut Syria, Doctors Without Borders kini menyokong hospital termasuk unit melecur, selain pusat penjagaan kesihatan am dan ambulans untuk rujukan. Di samping itu, kami menyokong klinik bergerak dan klinik NCD yang memberi khidmat kepada mereka yang berpindah di kem. Kami juga menjalankan aktiviti air, sanitasi dan kebersihan di dekat kem di seberang barat laut.
Di timur laut Syria, kami mengendalikan klinik penjagaan kesihatan am, program penyakit tidak berjangkit, penjagaan luka mudah alih dan loji air suling (RO) untuk menyediakan air minuman yang selamat di kem Al-Hol. Kami juga menyokong hospital, serta jabatan pesakit luar, bilik kecemasan, program pemakanan, dan ketika ini mempunyai pasukan yang terbabit dalam campur tangan influenza B jangka pendek sebagai tindak balas kepada kematian kanak-kanak yang tinggi.
Di Turkiye, dengan kerjasama pelbagai organisasi tempatan rakan kongsi yang menyokong mereka di kawasan terjejas, Doctors Without Borders sentiasa menilai dan menyesuaikan bantuan kami untuk memberi respons terbaik kepada keperluan perubatan dan bantuan. Setakat ini, aktiviti disokong berada di lokasi seperti Gaziantep, Malatya, Adiyaman, Hatay, Elbistan, Nurdağı, Kilis, Islahiyeh, Defne, Samandag, Antakya, Narlicia, Pazarcik, Iskenderun dan bandar Kahramanmaraş.