Turkiye: "Penting bersikap fleksibel dalam tindak balas ini berikutan skala besar bencana"
Pada 15 Februari, dengan kerjasama Persatuan Perubatan Turkiye, satu pasukan dari Doctors Without Borders menyumbang pelbagai barangan bantuan penting kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi di bandar Adıyaman di selatan Turkiye. Turkiye, Februari 2023. © Igor Barbero/MSF
“Saya berlepas ke selatan Turkiye sejurus gempa bumi melanda, sebagai sebahagian pasukan kecemasan pertama yang dihantar Doctors Without Borders dari Sepanyol. Tidak seperti Syria, di mana kami sudah bekerja sejak awal perang, di Turliye kami tidak mempunyai aktiviti yang sedia digerakkan di kawasan terjejas.
Perkara pertama kami lakukan dalam situasi ini adalah mengenal pasti lokasi paling diabaikan, di mana paling sedikit bantuan sampai, dan menilai keperluan orang ramai. Kami juga menghubungi pihak berkuasa dan organisasi tempatan untuk menilai bagaimana kami boleh memberikan nilai tambah melalui sokongan kami.
Kami memutuskan untuk menuju bandar Adiyaman. Jalan utama dari lapangan terbang terdekat telah rosak akibat gempa bumi jadi melalui jalan lebih jauh.
Imej pusat bandar Adıyaman, di selatan Turkiye, selepas banyak bangunan runtuh akibat gempa bumi yang melanda negara ini dan Syria pada 6 Februari 2023. Turkiye, Februari 2023. © Igor Barbero/MS
Sebaik tiba di bandar itu, yang mempunyai hampir 300,000 penduduk sebelum malapetaka, pemerhatian pertama saya adalah huru-hara. Pasukan mencari dan menyelamat bekerja tanpa henti untuk mencari mangsa yang terselamat. Orang ramai bergilir-gilir menunggu di sebelah bangunan yang runtuh, mengharapkan dapat menemukan orang yang mereka sayangi masih hidup, atau sekurang-kurangnya untuk mencari mayat mereka supaya boleh dikebumikan dengan bermaruah dan tidak dibawa ke kubur beramai-ramai.
Di Adıyaman, ratusan bangunan musnah sama sekali. Sebahagian besar bandar rosak teruk, manakala banyak bangunan yang masih ada mengalami keretakan dan masalah lain. Jentolak sudah mengalihkan banyak runtuhan. Pihak berkuasa sedang memeriksa bangunan yang masih kekal berdiri. Orang ramai sangat takut untuk pulang ke rumah mereka kerana masih terdapat gegaran susulan dari semasa ke semasa, jadi tiada sesiapa di bandar ini yang tinggal di rumah masing-masing sekarang.
Pada 15 Februari, dengan kerjasama Persatuan Perubatan Turkiye, satu pasukan dari Doctors Without Borders menyumbangkan pelbagai barangan bantuan penting kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi di bandar Adıyaman di selatan Turkiye. Turkiye, Februari 2023. © Igor Barbero/MSF
Banyak kem tidak rasmi untuk penduduk yang terpaksa berpindah muncul di kawasan lapang - di stadium, dataran, di tengah jalan. Ada sesetengah kem bersaiz besar tetapi kebanyakannya agak kecil. Khemah bertaburan di hampir setiap sudut bandar, jauh dari bangunan tetapi tidak terlalu jauh dari rumah mangsa yang terselamat. Ramai tidur di dalam kereta untuk melindungi diri mereka daripada kesejukan. Kami berada di pertengahan musim sejuk dan suhu di sini boleh mencapai 10 darjah di bawah sifar pada waktu malam.
Adiyaman menjadi bandar hantu sekarang. Terdapat sedikit kehidupan: hanya beberapa stesen minyak dibuka; bank, perniagaan dan hampir semua kedai ditutup.
Sebahagian daripada penduduk bandar, terutamanya yang keadaan dari segi ekonominya lebih baik, bergerak keluar menggunakan kereta; kerajaan juga memudahkan perjalanan dengan bas, kapal terbang dan kereta api dari bandar terjejas ke lokasi seperti Istanbul, Ankara dan Antalya. Yang lain pula ramai memilih untuk ke kawasan pedalaman di sekitar bandar. Kemusnahan di sana telah berkurangan, tetapi dengan penduduk yang terpaksa berpindah yang tiba dari tempat lain, mereka juga memerlukan bantuan kemanusiaan. Di kampung-kampung dan pekan-pekan kecil, adalah perkara biasa untuk melihat 20 atau 30 orang tinggal di rumah yang hanya ada beberapa bilik.
Walaupun mendapat maklum balas ketara digerakkan pihak berkuasa dan masyarakat sivil Turkiye, bantuan ditawarkan masih kecil berbanding situasi keadaan yang teruk. Pada masa ini, orang ramai benar-benar memerlukan tempat perlindungan, tandas, tempat mandi, air, sistem pemanasan, pakaian musim sejuk, alat jana kuasa, selimut, kit kebersihan dan produk pembersihan.
Kami tidak berdaftar di Turkiye jadi kami bekerja melalui pelbagai NGO dan kumpulan masyarakat sivil tempatan untuk memberikan bantuan yang paling diperlukan dengan segera. Ini termasuk menderma barangan bantuan penting, menyediakan pengangkutan untuk membawa orang ramai ke klinik bergerak di pinggir Adıyaman, dan menjana tenaga di dua kem untuk penduduk yang berpindah.
Tidak lama lagi pasukan kami akan mula menyediakan sokongan kesihatan mental, yang cukup penting memandangkan penderitaan dialami orang ramai, dan kami merancang untuk menyediakan farmasi mudah alih dan pusat bantuan. Kami berharap dapat melakukan lebih banyak lagi dan menyumbang pengalaman kami dalam situasi kecemasan. Adalah penting untuk bersikap fleksibel dalam tindak balas ini memandangkan magnitud bencana dan keadaan yang berubah dengan pantas.”