Skip to main content

Taufan Tropika Trami: Rumah dan sawah tenggelam di Filipina

MSB213549

Seluruh wilayah Camarines Sur di Filipina mengalami hujan lebat akibat Taufan Tropika Trami yang membawa banjir kilat. © Asnairah Solaiman/MSF

Setiap tahun, Filipina menghadapi purata 20 siklon tropika. Namun, kebelakangan ini, intensiti ribut semakin meningkat, mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, dan memberi kesan besar kepada komuniti yang rentan.

Taufan Tropika Trami yang melanda baru-baru ini adalah antara yang paling dahsyat, dengan kerosakan yang meluas. Taufan ini memasuki kawasan Filipina pada 21 Oktober dan mendarat pada 24 Oktober. Sepanjang empat hari itu, Trami membawa hujan lebat ke seluruh wilayah Luzon dan Visayas, menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh. Seramai lebih 7 juta orang terjejas di 17 wilayah, dengan lebih 100 kematian dilaporkan.(sumber)

Camarines Sur adalah antara kawasan paling teruk terjejas, dengan 36 daripada 37 daerahnya ditenggelami air. Banyak keluarga kehilangan rumah dan hasil tanaman mereka akibat banjir ini. Pada 26 Oktober, pasukan Médecins sans Frontières/Doctors without Borders (MSF) menjadi antara yang pertama tiba untuk memberikan bantuan kepada komuniti yang terkesan.

MSB213550

Banjir besar yang melanda Brgy Salvacion, Bula, Camarines Sur, Filipina, akibat Taufan Tropika Trami telah menenggelamkan dewan barangay, pusat kesihatan, dan pusat jagaan kanak-kanak. Paras air banjir hampir mencecah bahagian atas dinding gelanggang bola keranjang.© Regina Layug Rosero/MSF

Keperluan di lapangan

Dr. Marve Duka Fernandez, Ketua Pasukan Perubatan Doctors Without Borders, menceritakan pengalaman beliau di Camarines Sur:

“Banyak kawasan yang kami lawati masih menunggu air surut. Keperluan utama mereka ialah air minuman yang bersih dan ubat-ubatan asas kerana mereka terputus hubungan dengan perkhidmatan perubatan. Pesakit kronik pula menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan ubat-ubatan mereka.

Pendedahan kepada air banjir selama beberapa hari telah mengakibatkan luka-luka terdedah, jangkitan kulat, serta risiko penyakit bawaan vektor seperti leptospirosis. Dalam sesi taklimat bersama komuniti, kebimbangan utama mereka adalah sumber pendapatan. Mereka risau akan kesukaran untuk membina kembali kehidupan selepas banjir, kerana sawah padi, haiwan ternakan, dan alat pertanian mereka semuanya musnah.”

Tindakbalas Doctors Without Borders

Sejak Doctors Without Borders tiba di sini, pasukan kami telah menjalankan penilaian di kawasan terjejas paling teruk sambil berkerjasama dengan pihak berkuasa dan melawat komuniti secara langsung. Fokus utama diberikan kepada perbandaran Bula di Camarines Sur, yang merupakan pusat utama banjir kilat. Perbandaran ini terletak berdekatan dengan sungai dan didiami oleh puluhan ribu penduduk.

Kami telah melawat dua barangay (komuniti setempat), iaitu Fabrica dan Ombao Polpog, dan menjalankan klinik bergerak di setiap lokasi, termasuk sesi sokongan kesihatan mental dan psikososial untuk komuniti, terutamanya petugas barisan hadapan. Selain itu, kami telah mengagihkan kit kebersihan dan air minuman dalam tong jerrycan yang boleh diisi semula. Kami juga melakukan susulan di kawasan terpencil San Miguel serta menjalankan klinik bergerak di barangay Casugad dan Salvacion. Perkhidmatan ini merangkumi klinik perubatan, sokongan kesihatan mental, pengagihan kit kebersihan, dan air minuman kepada barangay yang telah dikenalpasti ini.
Dr. Marve Duka Fernandez
MSB213551

Perbandaran Bula merupakan salah satu kawasan yang paling teruk terjejas. Semasa penilaian dilakukan, pasukan Doctors Without Borders mendapati ramai komuniti masih ditenggelami air. Bot getah menjadi satu-satunya cara bagi pasukan Doctors Without Borders untuk sampai ke kawasan-kawasan ini dan menilai keperluan penduduk. © Asnairah Solaiman/MSF

MSB213504

Seminggu kemudian, sebahagian kawasan di Barangay Ombao Polpog masih ditenggelami air. Di kawasan yang boleh diakses, penduduk berusaha membersihkan rumah, membasuh pakaian, dokumen, dan perabot, serta mengeringkannya di bawah cahaya matahari. © Regina Layug Rosero/MSF

MSB213505

Di Brgy. San Miguel, sukarelawan berganding bahu dengan pasukan Doctors Without Borders dalam klinik bergerak. Jururawat tempatan membantu memeriksa tekanan darah dan menjalankan proses triaging pesakit. © Regina Layug Rosero/MSF

MSB213514

Doctors Without Borders telah menjalankan klinik bergerak di Brgy. San Miguel. Sementara penduduk menunggu giliran untuk sesi konsultasi perubatan, profesional kesihatan mental Sarah Jane De Ocampo mengadakan sesi pendidikan psikologi untuk membantu mereka mengatasi kebimbangan, kemurungan, atau trauma yang mungkin dialami selepas taufan. © Regina Layug Rosero/MSF

MSB213460

Perbandaran Bula merupakan salah satu kawasan yang paling teruk terjejas. Semasa pasukan Doctors Without Borders menjalankan klinik bergerak di Brgy. San Miguel, sukarelawan mengumpulkan kanak-kanak untuk sesi terapi seni dan sokongan psikososial secara berkumpulan. © Regina Layug Rosero/MSF

Akses dan bekalan menjadi cabaran utama

Apabila Doctors Without Borders tiba di lokasi, banyak barangay masih ditenggelami air, manakala jalan menuju kawasan tersebut juga masih tidak dapat dilalui kenderaan ringan. Pasukan kami berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengakses kawasan tersebut menggunakan bot atau trak bagi menilai keperluan dan menentukan cara mengangkut bekalan serta pasukan ke komuniti terjejas.

Cabaran lain adalah memastikan bekalan ubat-ubatan dan bahan yang mencukupi, serta membawa pasukan lengkap ke lapangan. Masalah bekalan ubat berpunca daripada beberapa faktor. Kebanyakkan kedai dan gudang di kawasan ini ditenggelami air, manakala stok mereka berasal dari Manila yang mengalami gangguan bekalan. Terdapat kelewatan dalam penghantaran ubat-ubatan, selain jalan raya yang turut ditenggelami air, pemeriksaan sekatan jalan, dan beberapa isu keselamatan.

Pada masa yang sama, permintaan ubat di Camarines Sur sangat tinggi kerana penduduk tempatan kehabisan bekalan akibat banjir, menyebabkan rak-rak kedai kosong. Keadaan ini menjejaskan kualiti perkhidmatan yang dapat kami sediakan kerana ubat-ubatan ini penting untuk rawatan yang ingin diberikan. Sebagai penyelesaian, kami membawa bekalan ubat sendiri dari Manila.

 

Kerjasama bersama sukarelawan tempatan

Dr. Marve Duka Fernandez berkata, “Apa yang sangat positif di Camarines Sur ialah kehadiran sukarelawan daripada pelbagai persatuan dan hospital. Mereka terdiri daripada doktor, jururawat, sukarelawan dari unit kerajaan tempatan (LGU), serta individu persendirian yang memberikan maklumat, sumber, dan masa mereka.

Kami bekerjasama dengan doktor dan jururawat sukarelawan dari Bicol Medical Center, jururawat dari Jabatan Kesihatan (DOH), dan Unit Kesihatan Luar Bandar (RHU) di Bula. Setiap kali kami ke barangay, kami disambut oleh pekerja kesihatan barangay (BHW) yang walaupun rumah mereka sendiri turut terjejas, mereka tetap membantu komuniti mereka.

Sokongan mereka membolehkan kami menjalankan klinik bergerak, memberi bantuan triage, konsultasi, dan pengedaran ubat-ubatan.”

Sepanjang dua minggu, Doctors Without Borders telah melawat dan menilai beberapa perbandaran di Camarines Sur. Di Barangay Sua, Camaligan, Doctors Without Borders mengagihkan 90 tong jerrycan berisi air minuman bersih kepada 190 keluarga. Selepas itu, usaha ditumpukan kepada perbandaran Bula, di mana pasukan kami melawat beberapa barangay untuk mengenal pasti keperluan paling mendesak.

MSB213510

Di Brgy. San Miguel, Doctors Without Borders telah mengagihkan 600 kit kebersihan dan 600 tong jerrycan berisi air minuman bersih.© Regina Layug Rosero/MSF

Di barangay Fabrica, Ombao Polpog, San Miguel, dan Casugad, Doctors Without Borders telah mengagihkan 700 kit kebersihan dan 1,110 tong jerrycan berisi air minuman bersih. Dengan kerjasama sukarelawan tempatan, Doctors Without Borders turut menjalankan 1,449 konsultasi perubatan dan memberikan sokongan psikososial kepada 238 individu yang terkesan melalui sesi individu dan kumpulan di barangay Fabrica, Ombao Polpog, San Miguel, Casugad, dan Salvacion.

Doctors Without Borders juga telah menjadualkan klinik bergerak serta pengagihan tong jerrycan dan kit kebersihan di Barangay Salvacion. Intervensi Doctors Without Borders berakhir pada 8 November apabila fasa kecemasan paling kritikal yang mendorong respon kami telah berlalu.

Categories