Skip to main content

Misi MSF di Filipina selepas kemusnahan taufan Goni dan Ulysses

MSF teams saw substantial damage to houses, but very few deaths, from their first assessment of damages in Guinobatan, Albay Province, following landfall of typhoons Goni and Ulysses. © MSF

MSF teams saw substantial damage to houses, but very few deaths, from their first assessment of damages in Guinobatan, Albay Province, following landfall of typhoons Goni and Ulysses. © MSF

Tiga minggu kemudian, sebahagian besar kawasan Albay dan Catanduanes masih bergelap tanpa bekalan elektrik, terputus liputan telekomunikasi serta sambungan internet yang mengecewakan. Bangkit daripada kemusnahan taufan Goni, Pasukan penilai Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) dikerahkan ke setiap wilayah. 

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan kemudiannya berdepan cabaran baharu apabila taufan Ulysses pula melanda negara itu pada 11 dan 12 November, memaksa misi pasukan bertindak dan penilaian MSF digantung seketika. “Pasukan kami terpaksa berhenti dan menunggu Ulysses berakhir. Keganasan taufan ini memusnahkan sebahagian besar kawasan utara Manila,” kata Ketua Misi MSF di Filipina, Jean-Luc Anglade. 

Pelbagai tahap kerosakan berlaku kepada bangunan dan infrastruktur di wilayah Albay. Bandar yang terletak di lereng kaki gunung berapi Mayon dan berhadapan Lautan Pasifik adalah paling awal terjejas sewaktu taufan Goni melanda daratan dengan kekuatannya paling maksimumnya. Bandar yang terletak di kawasan terendah musnah dengan banjir besar air sungai dan lumpur lahar gunung berapi.

“Kami tiba di lokasi pertama Bandar Guinobatan, yang musnah sepenuhnya apabila taufan mencetuskan limpahan lahar gunung berapi. Itulah kali pertama penduduk tempatan menyaksikan perkampungan San Francisco dan Travesia dimusnahkan lahar dalam keadaan yang sangat menakutkan. Semasa meninjau kemusnahan kawasan itu dan melalui bongkah-bongkah besar batu, kami dimaklumkan tempat kami berdiri ketika itu adalah bekas tapak rumah yang ranap dalam bencana. Keadaan itu sungguh menyayat hati,” kata Ketua Pasukan Kecemasan MSF di Albay, Dr Rey Anicete. 
 
Walaupun kemusnahan besar-besaran dapat dilihat hampir segenap bandar Albay, langkah pengosongan dan pemindahan awal penduduk berhasil membantu mengurangkan kemalangan jiwa secara menyeluruh. Kebanyakan mangsa bencana yang dipindahkan kini kembali ke kediaman masing-masing dan mula membaiki kerosakan. 
 
Dua pusat pemindahan sementara kini menempatkan 1,037 mangsa yang berkemungkinan perlu tinggal lebih lama disebabkan kemusnahan di kawasan kejiranan dan kediaman. Di Bandar Guinobatan, rumah dan bangunan di perkampungan San Francisco dan Travesia tenggelam sepenuhnya dalam banjir lumpur dan penduduk diarahkan berpindah. Bandar Tiwi turut terkesan teruk dilanda bencana taufan Goni. Semua daerah dibadai angin kuat berserta hujan, dan ribut taufan turut melanda kawasan persisiran pantai. Lebih satu pertiga kediaman di kawasan terbabit musnah sepenuhnya dan hampir 200 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara Joroan National High School. 

MSF teams conducted outreach activities and health assessments in San Miguel island, Catanduanes Province, Philippines, following landfall of typhoons Goni and Ulysses. © Hana Badando/MSF

MSF teams conducted outreach activities and health assessments in San Miguel island, Catanduanes Province, Philippines, following landfall of typhoons Goni and Ulysses. © Hana Badando/MSF

Pasukan MSF bertindak mengedarkan tong jerrycan untuk menyimpan air minuman dan kit pencegahan COVID-19, mengandungi dua pelitup muka, gel sanitasi tangan dan satu pelindung muka untuk setiap orang di kedua-dua pusat pemindahan. Turut dirancang penganjuran latihan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit (IPC) bagi mendepani COVID-19, berserta sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas di pusat berkenaan. 
 
“COVID-19 sudah mula menular di Filipina sejak Mac, maka penting untuk kita pastikan langkah penjagaan kebersihan dan penjarakan sosial dikekalkan bagi mengelak penularan virus di pusat pemindahan. Staf kesihatan dan mangsa di pusat pemindahan perlu memainkan peranan penting mencapai sasaran IPC,” kata Jururawat MSF IPC di Albay, Allen Borja. 
 
Catanduanes, wilayah kepulauan Filipina, menyaksikan enam daripada 11 perbandarannya rosak teruk kerana berada dalam laluan Goni. Pulau itu lokasi bencana paling terjejas teruk dari segi kemusnahan dan kehilangan harta benda serta mata pencarian. Namun, penduduk di kawasan terbabit bernasib baik dapat keluar daripada pusat pemindahan dengan segera dan kembali ke tempat masing-masing untuk membaiki kediaman serta memulakan hidup baharu.  

 
“Pasukan MSF melancarkan pasukan bertindak pada 24 November di San Miguel, satu daripada empat perbandaran yang diputuskan untuk misi bantuan kali ini. Dengan kerjasama pegawai perubatan Pejabat Kesihatan Perbandaran, wakil MSF iaitu seorang doktor dan jururawat menyediakan bekalan perubatan kepada perkampungan yang paling terjejas teruk. Pasukan mula mengedarkan pil penulenan air untuk bekalan air terawat dan tin jerrycan untuk menyimpan air minuman kepada 2,500 keluarga mangsa bencana,” kata Ketua Pasukan Kecemasan, Dr. Hana Badando di Virac, Catanduanes. 

Categories