Bangladesh: Doctors Without Borders menyeru bantuan tanpa halangan untuk pelarian Rohingya
Pelarian Rohingya kini tinggal dalam keadaan sesak di kem pelarian di Ukhiya, Cox’s Bazar, Bangladesh. © Yunus Ali Shamrat/MSF
Cox’s Bazar, Bangladesh – Sejak awal tahun ini, pelarian Rohingya telah tiba di Bangladesh setelah melarikan diri daripada keganasan yang semakin memuncak di Myanmar. Kini, mereka berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk masalah kepadatan penduduk yang melampau, kekurangan akses kepada perkhidmatan asas, dan kemerosotan kesihatan mental. Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) menyeru pihak berkuasa yang berkaitan agar memastikan akses tanpa halangan dan segera kepada bantuan kemanusiaan, rawatan, serta perlindungan untuk semua pelarian Rohingya.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ribuan pelarian Rohingya telah tiba di Bangladesh, sementara sebahagian lagi ditolak kembali atau ditahan ketika cuba melarikan diri dari Myanmar. Mereka yang berjaya sampai ke Bangladesh menceritakan pengalaman ngeri kepada pasukan kami, termasuk menyaksikan orang tersayang meninggal dunia di hadapan mereka, terpaksa menjual harta terakhir mereka, atau menanggung hutang besar demi membiayai perjalanan berisiko tinggi. Ada juga yang berkongsi bagaimana mereka berusaha keras menyeberangi sempadan untuk mencari keselamatan, satu usaha yang kadang-kala memakan masa beberapa hari.
Di kem pelarian di Cox’s Bazar, isu kekurangan makanan semakin membimbangkan. Penduduk yang telah lama tinggal di kem melaporkan bahawa mereka berkongsi bekalan makanan dan ruang tinggal dengan ahli keluarga yang baru tiba, yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan asas seperti tempat perlindungan, air, sanitasi, dan perlindungan daripada penderaan, eksploitasi, serta pengabaian, khususnya terhadap kanak-kanak perempuan, lelaki, dan wanita. Sejak Julai, Doctors Without Borders telah melihat peningkatan bilangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengalami malnutrisi sederhana dan teruk. Masalah ini amat serius bagi pelarian baharu, memandangkan akses kepada makanan dan penjagaan kesihatan di Myanmar hampir tidak wujud.
Kekurangan sumber dalam tindak balas kemanusiaan yang berterusan telah menjejaskan ketersediaan perkhidmatan asas, menyukarkan pelarian Rohingya yang baru tiba untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan. Walaupun usaha untuk mempermudahkan pendaftaran pelarian Rohingya amat penting, kelewatan dalam proses ini tidak seharusnya menjadi halangan kepada pemberian bantuan segera.
Bunyi pertempuran sengit yang masih bergema dari Myanmar menjadi peringatan berterusan terhadap keganasan yang telah kami tinggalkan. Namun, walaupun di dalam kem pelarian, ketegangan kadang-kala memuncak, dan ketakutan terhadap keganasan yang berulang sentiasa menghantui. Saya lari dari keganasan di Myanmar, tetapi ketakutan tidak pernah hilang. Jantung saya berdebar setiap kali mendengar bunyi kuat . Jantung saya berdegup kencang setiap kali mendengar bunyi kuat.*Solim, seorang pelarian Rohingya
Pasukan kami sedang merawat pelarian Rohingya yang baru tiba di kem, termasuk pesakit yang kritikal dan mereka yang cedera akibat peperangan, seperti kecederaan daripada letupan mortar dan tembakan peluru. "Orang ramai berkongsi dengan kami bahawa mereka takut untuk mendapatkan bantuan kerana khuatir menjadi mangsa eksploitasi atau dihantar pulang ke Myanmar," kata Orla Murphy, Wakil Negara Doctors Without Borders di Bangladesh.
“Pasukan kesihatan mental kami, khususnya, melihat bagaimana orang bergelut dengan keganasan yang mereka saksikan di tanah air mereka, dan bagaimana kekurangan akses kepada perkhidmatan kemanusiaan telah mengakibatkan ketidakpastian yang semakin memburukkan trauma mereka. Kami mendapati pelarian Rohingya yang baru tiba menunjukkan gejala tekanan, kebimbangan, dan kemurungan," tambah Murphy
- "Setiap trauma baharu yang mereka alami… hanya menambahkan luka psikologi yang sedia ada.”
Sebagai seorang pakar kesihatan mental yang berkhidmat dengan pelarian Rohingya, saya telah menyaksikan sendiri kesan dahsyat trauma dan keganasan terhadap kesejahteraan mental mereka yang baru sahaja melarikan diri dari Myanmar. Setiap bulan, kemudahan kami menerima lebih daripada 30 pesakit dengan pelbagai aduan kesihatan mental, termasuk trauma kompleks dan gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD). Ramai penghidap gangguan kesihatan mental, yang sebelum ini stabil di Myanmar kini mengalami keadaan yang makin teruk akibat kekurangan rawatan sepanjang perjalanan mereka.
Antara isu kesihatan mental yang paling mendesak ialah kemurungan teruk dan kebimbangan yang berakar daripada pengalaman ngeri yang mereka tempuhi. Apabila keganasan di Myanmar meningkat pada bulan Julai dan Ogos tahun ini, jumlah pesakit yang mencari bantuan melonjak secara mendadak. Setiap seorang daripada mereka membawa beban gangguan mental bersama-sama dengan masalah fizikal akibat pendedahan berpanjangan kepada keganasan dan pengabaian.
Perjalanan dari Myanmar ke Bangladesh seringkali dilalui dengan penuh bahaya dan perasaan putus harapan. Ramai menghadapi halangan di sempadan, termasuk keganasan dan tolak balik yang menghalang mereka melarikan diri. Pengalaman mereka dipenuhi trauma berpanjangan, keganasan, kehilangan, dan kematian insan tersayang. Malangnya, penderitaan ini jarang mendapat liputan media, menyebabkan luka emosi mereka kekal tidak diendahkan.
Meskipun berjaya tiba di Bangladesh, cabaran mereka masih berterusan. Keperluan asas seperti pendaftaran, tempat tinggal yang mencukupi, dan ruang kehidupan yang selesa sering tidak dipenuhi. Hidup dalam keadaan serba kekurangan di kem pelarian menjadikan usaha untuk membina semula kehidupan hampir mustahil, mengakibatkan kemerosotan kesihatan mental yang semakin parah.
Keadaan di kem pelarian terus memburukkan kesihatan mental mereka. Pesakit sering menggambarkan suasana yang semakin merbahaya, dengan laporan harian mengenai tembakan dan konflik antara kumpulan tertentu. Ketakutan terhadap keganasan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian mereka, mencetuskan kebimbangan dan ketidakupayaan. Bagi pelarian yang baru tiba, perasaan ini sering diterjemahkan sebagai trauma teruk, simptom kemurungan, dan kebimbangan melampau—isu yang kini menjadi kebiasaan dalam kalangan mereka yang memohon bantuan kami.
Wanita dan kanak-kanak menghadapi cabaran unik di persekitaran ini. Ramai melaporkan perasaan putus harapan, kemurungan, dan kebimbangan akibat trauma berterusan yang mereka alami. Dalam tempoh tujuh tahun terakhir, keadaan di Myanmar tidak banyak berubah, dengan sekatan pergerakan yang ketat dan kekurangan sumber. Lelaki pula, yang berasa tidak berdaya, mungkin melampiaskan kekecewaan kepada ahli keluarga yang lebih lemah, menambah lagi trauma dalam kalangan isi rumah.
Kengerian pengambilan paksa di kem-kem ini menambah lagi penderitaan keluarga pelarian. Bayangkan menjadi seorang ibu atau bapa kepada anak lelaki berusia 17 tahun dan dipaksa menghantar mereka ke jalan keganasan, sedangkan peluang untuk mereka bertahan amat tipis. Trauma ini bertindan dengan kehilangan barangan, ahli keluarga, dan keselamatan diri, memperdalamkan luka psikologi mereka. Keganasan berterusan di kem pelarian menjadi pengingatan yang menyakitkan tentang trauma masa lalu, mencetuskan semula penderitaan mereka dalam satu kitaran yang sukar dihentikan.
Sebagai tindak balas terhadap keperluan mendesak ini, Doctors Without Borders menawarkan sokongan penting kepada kumpulan rentan ini. Apabila pesakit tiba di kemudahan kami, kaunselor kami mengutamakan keselamatan, maruah, dan kerahsiaan mereka. Kami mewujudkan persekitaran yang menyokong, membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan meluahkan penderitaan.
Pendekatan kami melibatkan penilaian menyeluruh untuk mengenal pasti keadaan mental mereka, diikuti sesi kaunseling untuk menormalisasikan pengalaman mereka dan memberikan pendidikan tentang kesihatan mental. Kami menumpukan pada strategi daya tahan positif dan mengukuhkan sokongan sosial melalui komunikasi dengan keluarga, komuniti, dan organisasi lain. Bagi mereka yang memerlukan rawatan psikiatri, doktor kami menilai keadaan mereka dan menetapkan ubat psikotropik apabila diperlukan.
Kami menyedari bahawa setiap individu mempunyai keperluan unik, dan kami menggalakkan pesakit untuk kembali bagi sesi susulan mingguan. Pekerja sosial kami memainkan peranan penting dalam memastikan mereka mendapat sokongan berterusan dan berada dalam keadaan baik di kediaman mereka.
— Shariful Islam, Pengurus Aktiviti Kesihatan Mental Doctors Without Borders di Klinik Kutupalong dan Balukhali
Meskipun pihak berkuasa Bangladesh telah berikrar untuk menangani keperluan mendesak pelarian di kem-kem ini, tindakan segera diperlukan bagi memastikan semua pelarian dapat mengakses perkhidmatan asas seperti makanan, air, tempat tinggal, penjagaan kesihatan, pendidikan, dan perlindungan.
Doctors Without Borders menyeru pihak berkuasa untuk memastikan akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan dan perlindungan bagi semua pelarian Rohingya di Bangladesh. Organisasi ini juga menegaskan pentingnya mematuhi prinsip non-refoulement, yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa, bagi menghalang penghantaran pelarian ke tempat di mana mereka berisiko menghadapi penyeksaan, penganiayaan, atau pelanggaran hak asasi manusia yang serius.
- "Saya lari dari keganasan di Myanmar, tetapi ketakutan tidak pernah hilang"
Nama saya *Solim. Saya berusia 21 tahun dan tiba di Bangladesh pada bulan Julai. Saya dilahirkan di Myanmar dan dibesarkan bersama ibu bapa serta keluarga besar—enam orang abang dan tiga orang kakak. Namun, pada saat ini, hanya seorang abang yang berada di Bangladesh bersama saya, seorang lagi di Yangon, dan nasib yang lain tidak diketahui. Salah seorang abang saya dan dua kakak saya hilang tanpa khabar berita. Hubungan antara kampung di Myanmar telah terputus, dan hingga kini, saya tidak tahu sama ada mereka selamat atau tidak.
Sebelum meninggalkan Myanmar, saya sering ditekan untuk menyertai tentera Myanmar atau Arakan Army. Kedua-dua pihak memerlukan pemuda Rohingya untuk memperkuatkan pasukan mereka, tetapi saya tidak mahu terlibat dalam sebarang keganasan. Pada suatu malam, ketika kampung kami dikepung oleh tentera, saya melarikan diri bersama adik lelaki saya. Kami melalui sungai dan kawasan berbukit untuk berlindung di kawasan lain. Namun, konflik terus memburu kami—bunyi tembakan dan letupan menghantui. Kami terpaksa berpindah dari satu kampung ke kampung lain, sentiasa mengelak daripada terkena tembakan.
Akhirnya, kami bersembunyi di dalam hutan selama dua hari, berharap tidak dikesan. Kami hanya bergerak pada waktu malam, dengan harapan dapat sampai ke sempadan. Pada suatu malam, ketika sebuah bot berhampiran, kami membuat percubaan terdesak untuk menyeberangi laut. Namun, sebaik tiba di sempadan, kami ditahan oleh Polis Sempadan Myanmar yang menuduh kami sebagai anggota Arakan Army. Walaupun kami cuba menjelaskan bahawa kami hanyalah pelajar yang tidak mahu terlibat dalam pertempuran, mereka enggan percaya. Malah, mereka cuba memaksa kami menyertai tentera. Kami bernasib baik dapat melarikan diri semasa mereka sibuk menyoal orang lain.
Selepas beberapa hari melarikan diri daripada keganasan, kami akhirnya menemui bot yang membawa kami ke Bangladesh. Ketibaan di Bangladesh memberi sedikit kelegaan, tetapi tubuh saya lemah. Saya cedera sepanjang perjalanan; kaki saya luka dan berdarah akibat terkena cengkerang tajam di pantai. Saya hampir lemas ketika terjatuh ke dalam air kerana tidak tahu berenang. Hingga kini, saya masih merasai kesakitan daripada kecederaan fizikal dan emosi. Saya cuba meyakinkan diri bahawa saya kini selamat, tetapi ketakutan itu tidak pernah hilang. Bunyi tembakan dan keganasan di Myanmar terus menghantui setiap hari.
Kini, di Bangladesh, saya banyak menghabiskan masa di dalam rumah. Terlalu ramai orang yang berhimpit di ruang kecil—keluarga seramai tujuh orang atau lebih tinggal di ruang sempit, dengan lebih ramai orang tiba setiap hari. Kami berkongsi apa yang ada, tetapi kehidupan sangat sukar. Saya tidak dapat bekerja, tiada ahli keluarga yang dekat, dan tiada cara untuk menghubungi mereka yang masih berada di Myanmar. Mujurlah, seorang saudara jauh bapa saya yang tinggal di kem pelarian membenarkan kami menumpang. Dia baik hati dan berkongsi makanan dengan kami, meskipun jumlahnya sedikit.
Setiap kali mendengar bunyi yang kuat, saya seolah-olah kembali ke Myanmar. Bunyi itu membawa kembali ketakutan—ketakutan bahawa seseorang akan datang; bahawa saya akan ditangkap atau dibunuh. Jantung saya berdegup kencang setiap kali. Saya sukar tidur. Saya ingin merasa selamat, tetapi ia sangat sukar.
Nama telah diubah untuk melindungi identiti.
- “Kadang-kadang, kami hanya makan sekali sehari, dan saya terpaksa menatap mata anak-anak saya yang kelaparan.”
Teknaf, sebuah daerah kecil di Cox’s Bazar, Chittagong, Bangladesh, kini menjadi saksi penderitaan ribuan pelarian Rohingya. Di sini, mereka bertarung untuk bertahan hidup dalam situasi yang serba kekurangan. Kem pelarian yang sesak, kekurangan kemudahan sanitasi, akses terhad kepada air bersih, dan khidmat kesihatan yang amat minimum menggambarkan realiti kehidupan mereka. Tempat perlindungan sementara yang hanya diperbuat daripada buluh dan terpal tidak mampu melindungi mereka daripada cuaca buruk. Keadaan semakin meruncing dengan kehadiran pelarian baru yang tidak putus-putus.
Doctors Without Borders tidak mempunyai fasiliti kesihatan di Teknaf buat masa ini. Walau bagaimanapun, pasukan kami baru-baru ini berkunjung ke kawasan tersebut dan bertemu dengan Zahir, seorang pelarian Rohingya yang baru tiba di Bangladesh. Zahir berkongsi kisah memilukan tentang bagaimana beliau terpaksa melarikan diri dari Myanmar dan cabaran yang dihadapi di tempat perlindungan baru.
“Saya Zahir, seorang pelarian Rohingya dari Myanmar. Saya tiba di Bangladesh pada bulan Julai dan kini tinggal bersama keluarga ipar di Teknaf. Kehidupan kami dahulu sederhana, tetapi bahagia. Kami memiliki sebuah ladang kecil yang menjadi sumber rezeki keluarga. Namun, keganasan telah menghancurkan segala-galanya.
Pada suatu hari di bulan Julai, keganasan itu sampai ke kampung kami. Ketika sedang berbual bersama seorang jiran, tembakan tiba-tiba dilepaskan. Jiran saya meninggal dunia di tempat kejadian, dan saya pula terkena tembakan di bahagian belakang. Tanpa sebarang bantuan perubatan, saya dan keluarga terpaksa membuat keputusan yang sukar untuk meninggalkan rumah dan harta benda kami. Dalam kekalutan melarikan diri, kami kehilangan anak lelaki kami yang berusia tiga tahun di tengah-tengah kerumunan. Walaupun kami berusaha mencarinya, keadaan yang semakin berbahaya memaksa kami meneruskan perjalanan.”
Zahir menceritakan bagaimana dia dan keluarganya terpaksa membayar RM1,200 setiap orang kepada seorang tekong bot untuk melarikan diri ke Bangladesh. Perjalanan pada waktu malam itu penuh ketidakpastian, dan setelah tiba di pantai Bangladesh, cabaran baru pula muncul. Anak sulungnya ditahan oleh tekong sebagai tebusan sementara mereka mencari wang untuk melunaskan bayaran. Dengan kecederaan yang semakin parah, Zahir terpaksa mencari bantuan keluarga dan rakan untuk membayar wang tebusan tersebut.
“Kami akhirnya sampai ke kem pelarian di Teknaf. Namun, hidup di sini jauh daripada apa yang kami bayangkan. Kami sembilan orang terpaksa berhimpit di sebuah pondok kecil yang hanya sesuai untuk empat orang. Bekalan makanan yang diberikan oleh Majhee tidak mencukupi, dan ada hari kami hanya makan sekali sahaja. Anak-anak saya sering tidur dengan perut yang kosong, sementara kami berkongsi satu balang air sehari untuk keperluan semua.”
Zahir kini berdepan dengan luka yang tidak sembuh dan keperluan rawatan lanjutan yang tidak mampu ditunaikan. Ketiadaan dokumentasi rasmi menyekat akses kepada perkhidmatan asas, termasuk rawatan kesihatan. “Saya bimbang tentang masa depan kami. Tanpa sokongan, kami hanya menunggu masa untuk kehilangan segala-galanya,” katanya.
Kisah Zahir adalah gambaran nyata penderitaan komuniti Rohingya di Teknaf. Mereka memerlukan sokongan segera – daripada bantuan kemanusiaan hingga penyelesaian jangka panjang yang boleh memberi mereka kehidupan yang bermaruah. Dunia tidak boleh memejamkan mata terhadap penderitaan ini.
Nama telah diubah untuk melindungi identiti.