Skip to main content

Pada Hari Pelarian Sedunia, Rohingya rindukan kediaman, keselamatan dan bebas daripada rasa takut

Portraits of Rohingya refugees

Semua berlaku pada 1982 ketika mereka dilucutkan kewarganegaraan, menjadi sasaran penganiayaan dan penderaan selama berdekad-dekad di Myanmar. Pada Ogos 2017, tindakan ganas meragut sekurang-kurangnya 6,700 nyawa Rohingya, dan memaksa lebih 600,000 yang lain melarikan diri dari Myanmar.

Mereka yang melarikan diri melalui perjalanan berbahaya melalui darat dan laut, tiba di negara seperti Bangladesh, Malaysia, Kemboja, Thailand dan India.

Daripada jangkaan 2 juta Rohingya in Asia Tenggara, lebih setengah hidup di kem berpagar di Cox's Bazar, Bangladesh - kem pelarian terbesar dunia - manakala 600,000 yang lain menanggung keadaan sekatan di Rakhine.

A portrait of a Rohingya women

"Apa yang saya mahukan adalah tempat tinggal yang selamat, bebas daripada ketakutan." 

“Nama saya Rohima Khatun dan saya tinggal di Kem 15 di Bangladesh.   

Hidup di sini sukar. Keadaan cukup susah sejak saya melarikan diri daripada keganasan di Myanmar pada 2017. Serangan tentera merampas segala-galanya daripada saya - suami saya, kesihatan saya serta rasa selamat. Sekarang, hanya ada saya dan anak perempuan yang berusia 8 tahun. Kami bersendirian, sentiasa bimbang. Suasana di kem menakutkan, dengan pergaduhan, penculikan serta perasaan tidak tenang yang berterusan.

Ketakutan terbesar saya adalah soal keselamatan anak perempuan saya. Sehinggakan dia tidak dapat pergi ke pusat pembelajaran disebabkan bahaya. Saya benar-benar mahukan dia mempunyai pendidikan, satu peluang untuk kehidupan lebih baik. Mahu dapatkan perkara asas sekalipun cukup sukar. Untuk mendapatkan air perlu menunggu sambil berbaris panjang atau keluar pada waktu malam, yang mana ia sangat menakutkan. Makanan selalunya terhad, dan apabila anak perempuan saya jatuh sakit, mendapatkan rawatan perubatan yang betul ibarat mimpi ngeri. Saya terpaksa memilih antara membeli makanan atau mendapatkan suntikan yang diperlukannya. Memilih antara dua pilihan sebegini tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana ibu.

Apa yang saya mahukan adalah tempat tinggal yang selamat, bebas daripada ketakutan. Tempat di mana anak perempuan saya boleh membesar dengan sihat dan berpeluang untuk belajar. Tempat di mana saya akhirnya dapat merasakan ketenangan. Keganasan di Myanmar merampas keluarga saya, rumah saya dan rasa selamat saya. Namun ia tidak akan mencuri harapan saya.  Saya berharap untuk melihat masa depan di mana anak perempuan saya boleh menjalani kehidupan tanpa rasa takut."

A portrait of a Rohingya man

"Identiti saya, impian saya, ia semakin pudar setiap hari." 

"Nama saya Arafat Ullah. Saya berusia 18 tahun, seorang pelajar dalam gred 12.  

Kehidupan di sini melemaskan. Kami bersesak-sesak antara satu sama lain, beratus-ratus orang dalam ruang yang hanya sesuai untuk beberapa orang sahaja. Guru kami, Rohingya yang melarikan diri bersama kami dari Myanmar, melakukan yang terbaik, namun ia tidak mencukupi. Di tempat asal kami pendidikan adalah laluan menuju masa depan lebih baik. Di sini, ia jalan buntu selepas gred 12. Tiada universiti, tiada peluang untuk menjadi doktor, jurutera, apa sahaja yang pernah saya impikan. Kami banduan. Mereka memberitahu kami bahawa kami tidak boleh pergi, bahawa kami tidak dialu-alukan di luar kem. Ia peringatan berterusan bahawa kami tidak diterima di mana-mana.

Makanan terhad. Kami bergantung kepada catuan, beras dan kacang, hampir tidak cukup untuk bertahan. Air pula lebih susah nak dapat. Pam rosak bermakna kena menunggu lama, dan penyakit (berpunca air yang tidak bersih) boleh menyerang bila-bila masa. Klinik MSF adalah talian hayat, namun orang berbaris seperti tiada penghujung, dan rasa takut kepada kumpulan-kumpulan pada waktu malam menghalang ramai orang daripada mendapatkan bantuan ketika mereka amat memerlukannya.

Ini bukanlah kehidupan. Ia suatu kewujudan yang penuh kegelapan, dan masa depan yang diragut. Apa saya mahukan adalah hak asasi yang sepatutnya semua orang dapat - makanan, air, bumbung di atas kepala saya, peluang untuk belajar, untuk sembuh, supaya saya menjadi seseorang seperti yang sepatutnya. Kehidupan kami di Myanmar. Di sana, kami boleh menjadi doktor, guru, pemilik perniagaan.  Di sini, kami tiada apa-apa. Identiti saya, impian saya, ia semakin pudar setiap hari. Saya hanya mahu pulang ke rumah.  Saya nak jadi doktor.  Apakah permintaan itu terlalu besar?"

A portrait of a Rohingya man

"Kehidupan sebelum ini tidaklah sempurna - pendidikan terhad, namun sekurang-kurangnya kami ada rumah yang selesa." 

"Nama saya Zubair Nur. Saya berusia 17 tahun dan tinggal di kem Kutupalong bersama ibu, dua adik perempuan dan seorang abang. Ayah saya meninggalkan kami ketika saya berusia 10 tahun, dan kami melarikan diri dari Myanmar pada tahun sama.

Kehidupan sebelum ini tidaklah sempurna  pendidikan terhad, namun sekurang-kurangnya kami ada rumah yang selesa, rumah tanah liat yang sederhana milik kami. Di sini, di kem, semuanya baik-baik saja. Kami terima bantuan, dan beberapa guru memastikan sejarah kami kekal, namun mereka mengenakan bayaran untuk pelajaran. Saya tidak mampu membayarnya, jadi saya terpaksa mencari kerja di Bandarban. Kemudian denggi menyerang. Tiba-tiba, saya berada di hospital tempatan Bandarban, wang titik peluh saya hilang sepantas kesihatan saya.

Saya bercita-cita menjadi seorang guru, namun bagaimana saya boleh mengajar jika saya sendiri tidak dapat belajar?  Di sini, tanpa sokongan untuk pendidikan saya, satu-satunya pilihan saya ada ialah membantu abang saya melakukan kerja sampingan untuk menampung kehidupan. Sekurang-kurangnya kem mempunyai air dan sanitasi yang baik. Makanannya juga ok, tiada rungutan di sana. Untuk kembali ke Myanmar kelihatan mustahil sekarang. Situasi pertempuran tidak aman di sana. Satu perkara paling saya rindukan? Makanan. Minuman, jus, kek - semua yang ada citarasa merujuk tempat lahir saya yang hilang."

A portrait of a Rohingya man

"Saya mengidamkan sebuah rumah di mana saya selamat, di mana saya mempunyai hak asasi." 

“Nama saya Mohammad Ayas. Saya berusia 29 tahun.

Memori ketika melarikan diri dari Myanmar masih terasa. Keganasan meletus pada Ogos 2017, pihak tentera membakar rumah kami, membunuh sesiapa sahaja yang mereka temui. Saya melarikan diri bersama keluarga saya, bergerak secara pantas dan terdesak dari satu kampung ke kampung lain sehingga kami menyeberangi Sungai Naf ke Bangladesh. Ia suatu perjalanan yang menakutkan. Bot yang dinaiki adalah satu rezeki yang mana kami nyaris tidak dapat naiki bersama, meninggalkan segala-galanya - lembu kami, ladang kami, kenangan seumur hidup pula bertukar menjadi abu. Saya melihat orang mati, impian mereka musnah sama seperti mana musnahnya rumah mereka.

Bangladesh adalah suatu talian hayat. Penat, takut, namun akhirnya selamat. Mereka menyambut kami dengan makanan dan air, kebaikan yang masih menitiskan air mata.  Kami dipindahkan ke kem, tempat yang kami harap untuk tinggal hanya selama beberapa bulan. Tujuh tahun kemudian, kami masih di sini. Kem berkenaan menuntut perjuangan berterusan. Bentuk muka bumi berbukit, sanitasi yang teruk, air yang terhad - jauh daripada kehidupan biasa.  Kami terperangkap, terkurung, pergerakan kami dihadkan oleh penguat kuasa undang-undang yang menjenamakan kami "Rohingya" seakan-akan suatu sumpahan. Catuan makanan tidak mencukupi.  Kami memerlukan sayur-sayuran, daging, pakaian, peluang untuk mendapatkan wang untuk hidup selayaknya. Aspek penjagaan kesihatan juga suatu pertempuran yang berterusan - kemudahan yang sesak dengan kriterianya yang menolak orang sakit. Kesihatan saya sendiri membimbangkan saya, tetapi untuk menunggu bermakna mempertaruhkan keadaan saya menjadi lebih teruk.

Anak saya berusia setahun. Impian bapa saya untuk melihat saya menjadi doktor berkubur di Myanmar. Di sini, di kem ini, impian saya sendiri turut terasa jauh. Bagaimana saya boleh menawarkan masa depan untuk anak saya sedangkan masa depan saya sendiri sangat suram? Saya mengidamkan rumah. Tetapi saya mendambakan sebuah rumah di mana saya selamat, di mana saya mempunyai hak asasi, di mana anak saya tidak akan menjadi seorang lagi pelarian.  Saya mahu kembali hidup bermaruah, sebagai seorang warganegara, bukan seorang pariah.

Apa yang saya minta hanyalah satu peluang. Peluang untuk pendidikan, untuk penjagaan kesihatan, untuk kehidupan bebas daripada kurungan. Dunia boleh mengubah nasib kami. Berunding, membela, bantu kami untuk bina semula di tempat yang selamat. Kami hanya mahu hidup dengan maruah, seperti mana yang selayaknya untuk seorang manusia.  Kami merindui kehidupan kami, rumah kami, sekolah kami. Kembalikan harapan kami."

A portrait of a Rohingya girl

"Pendidikan sebenar dirasakan seperti jauh di luar jangkauan, dan rasa takut untuk diragut sentiasa menyelubungi saya." 

“Nama saya Kismat Ara, saya berusia 11 tahun dan pelajar darjah 3 di Sekolah Mukti.

Myanmar tidak lebih sekadar suatu kenangan yang kabur kedai kecil ayah saya berada berhampiran, api menjilatnya dari rumah datuk di seberang jalan. Rumah kami terbakar. Ini antara beberapa perkara yang saya ingat dari Myanmar. Kami melarikan diri dengan ibu bapa dan adik-beradik saya, melarikan diri dari pertempuran yang seolah-olah mengikuti kami walaupun ke kem di sini. Saya masih ingat rasa ketakutan apabila bapa saudara saya diculik, lega apabila dia akhirnya kembali. Rumah kami di Myanmar dibuat daripada kayu dan hangat, dengan taman untuk bermain.  Di sini, ia hanyalah tempat berlindung, bukannya sebuah  rumah. Tiada tempat untuk bermain secara bebas, malah permainan yang ringkas pun akan ditutup.

Impian saya untuk menjadi seorang hafiz Al-Quran. Pendidikan yang betul di sini terasa di luar jangkauan, dan ketakutan untuk diragut sentiasa menyelubungi saya. Ibu bapa saya tidak pernah benarkan saya merayau jauh. Tetapi saya tidak akan membiarkan ketakutan itu menghalang saya. Saya ingin menjadi seorang guru, untuk berkongsi ilmu agama saya dengan anak-anak lain. Satu hari nanti, kalau sudah selamat, saya mahu balik ke Myanmar. Kembali ke tempat yang menjadi rumah untuk keluarga saya dan komuniti saya."

A portrait of a Rohingya man

"Cabaran bertimbun - tiada pendidikan yang sesuai, tiada pekerjaan yang layak, hampir tidak cukup makanan untuk terus hidup." 

“Nama saya Solim Ullah, 22 tahun, terperangkap dalam penjara terbuka di sebuah kem di Balukhali.

Maungdaw pernah menjadi tempata saya tinggal, namun di sini, ketakutan menjadi teman tetap kami. Pergerakan kami dikawal, menentukan ke mana kami boleh pergi. Kawasan kami terhad dan ditandai dengan kawat berduri. Pendidikan? Mimpi yang jauh. Terdapat kumpulan bersenjata di kem yang sentiasa mengancam kami. Penculikan, dipukul - tiada cara lain kecuali ikut cara mereka.  Kami hanya mahu hidup dengan aman, tetapi "keamanan" kelihatan seperti perkataan yang asing di sini.

 

Cabaran bertimbun tiada pendidikan yang sesuai, tiada pekerjaan yang layak, hampir tidak cukup makanan untuk terus hidup. Catuan makanan mungkin sudah meningkat, namun begitu juga dengan harga makanan. 2,200 taka untuk sebungkus beras? Bagaimana kami mampu mendapatkan diet seimbang untuk itu? Air okay, sekurang-kurangnya di kem kami. Namun pengurusan sisa?  Satu bencana. Sukarelawan tidak mencukupi, jadual diabaikan, sampah bertimbun dan mengundang penyakit kepada kami. Kami bosan dengan kehidupan di tempat sempit ini.  Kami hanya mahu bebas.

Myanmar. Itulah rumah, 15 tahun hidup saya. Saya rindu untuk pulang. Walaupun dengan keterbatasan, sekurang-kurangnya di sana saya boleh mendapat pendidikan. Di sini, gred 11 sudah penamat. Dunia penuh dengan kemungkinan - doktor, jurutera, ahli perniagaan - tetapi sistem pendidikan yang betul adalah kunci yang tidak kami miliki. Saya rindukan sekolah, gelak tawa bersama kawan-kawan. Di sini, hanyalah bekerja, bimbang, dan keinginan berterusan untuk sesuatu yang lebih.

Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, beban tanggungjawab berdaa pada saya. Kami melarikan diri pada 2017, laluan terdesak melalui pergunungan untuk melarikan diri dari tentera Myanmar. Empat hari memenatkan untuk sampai ke Bangladesh, sebuah negara yang membuka tangan kepada kami. Kami bersyukur, namun kem ini bukan suatu kehidupan. Ia adalah penjara terbuka. Di sini kehidupan adalah suatu kerinduan demi masa depan di mana pendidikan membuka potensi kami, di mana kebebasan membolehkan kami bermimpi semula."