Bangladesh: Keperluannya di sini dan sekarang
Doctors Without Borders adalah penyedia utama rawatan perubatan di wilayah Cox's Bazar. Klinik Balukhali salah satu daripada sembilan pusat perubatan yang beroperasi dengan dua pusat yang bersiap sedia untuk pelbagai wabak dikendalikan Doctors Without Borders di kem itu. © MSF/Jan Bohm
Dua tahun lalu, pada 22 Mac 2021, kebakaran besar melanda kem pelarian terbesar di dunia di Cox’s Bazar, Bangladesh. Ia meragut 15 nyawa, mencederakan 560 yang lain, dan menyebabkan 45,000 lagi kehilangan tempat berteduh. Kebakaran turut memusnahkan klinik Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) di Balukhali. Bagaimanapun, seperti mana datangnya siang selepas malam, berita baik menyusul sejurus berita menyedihkan itu.
Hanya sebulan selepas kebakaran, Doctors Without Borders menyambung semula perkhidmatan perubatan kritikal dalam struktur sementara. Dasar sedia ada di kem mendepani krisis secara sementara, jadi tiada struktur kekal dibenarkan - sama ada untuk perkhidmatan perubatan, mahupun untuk penghuni kem. Untuk membina semula klinik itu, Doctors Without Borders bekerja keras mendapatkan permit supaya dibenarkan membina struktur separa kekal. Selepas dua tahun, permit ini akhirnya diberikan dan pembinaan bermula pada Januari 2023. Ketika orang ramai di banyak tempat di dunia menyambut Krismas, kami meraikan penyiapan klinik baharu itu. Pada 21 Disember 2023, dua setengah tahun selepas kebakaran dahsyat itu, Doctors Without Borders meraikan pembukaan semula dengan majlis yang dihadiri komuniti itu, kakitangan serta pihak berkuasa.
"Pesakit datang dari kawasan yang jauh dari kem untuk mendapatkan rawatan berkualiti yang kami tawarkan," kata Sarmin Akter, Penyelaras Sokongan Projek, yang sudah bersama dengan kemudahan itu sejak September 2017. "Kebakaran menjejaskan penyediaan perkhidmatan kami dengan teruk. Namun, pesakit terus bergantung kepada kami kerana rasa kepercayaan yang telah kami bina. Walaupun sekatan pergerakan dikenakan kepada orang ramai termasuk dalam kawasan kem yang sudah sedia terkepung, mereka memilih kemudahan kami berbanding alternatif lebih dekat dengan tempat perlindungan mereka disebabkan kepada kepercayaan yang terbentuk ini."
Klinik Balukhali Doctors Without Borders menyediakan perkhidmatan ambulatori yang menumpukan kepada dua bidang utama: kesihatan seksual dan reproduktif, termasuk penjagaan mangsa yang terselamat daripada keganasan seksual dan berasaskan jantina, serta perkhidmatan kesihatan mental, termasuk penjagaan psikiatri, dan rawatan untuk epilepsi. Klinik ini juga berfungsi sebagai hab untuk vaksinasi, promosi kesihatan, air dan sanitasi, serta pangkalan untuk pasukan hal ehwal kemanusiaan kami yang bekerja di kem berdekatan, yang berusaha mengenal pasti situasi membimbangkan dari segi kemanusiaan - contohnya apabila pelarian dilarang mengakses pusat kesihatan sekunder atau dinafikan sijil kelahiran untuk bayi mereka.
Pasukan penjagaan kesihatan seksual and reproduktif klinik Balukhali Doctors Without Borders. © MSF/Jan Bohm
Dasar semasa adalah berlandaskan andaian bahawa Rohingya akan kembali ke Myanmar, satu prospek yang buat masa ini masih sukar difahami, kerana syarat untuk Rohingya pulang dengan selamat dan bermaruah, di mana hak mereka terjamin, tidak akan ada. Sebaliknya keperluannya di sini dan sekarang.Antonino Caradonna, Ketua Misi
“Cabaran semakin meningkat, dan sokongan penderma antarabangsa semakin berkurangan. Adalah penting untuk mengekalkan kesedaran terhadap krisis Rohingya dalam radar global untuk menangani keperluan segera dan meningkat untuk Rohingya yang kami saksikan setiap hari, dan berterusan ke arah sama, sehinggalah keadaan berpihak kepada mereka untuk kembali ke Myanmar. Tindakan yang bermakna mesti diambil untuk memudahkan Rohingya berdikari dan hidup secara selamat dan bermaruah, kata Antonino Caradonna, Ketua Misi Doctors Without Borders di Bangladesh
Sejak 1978, daerah Cox's Bazar melindungi pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan bersasar di negeri Rakhine, Myanmar. Lonjakan keganasan terbaru dan terbesar bermula pada Ogos 2017 mengakibatkan ratusan ribu melarikan diri merentasi sempadan ke Bangladesh. Bersama-sama pelarian sedia ada yang berpindah akibat keganasan terdahulu, kira-kira sejuta Rohingya kini hidup dalam keadaan yang semakin teruk.
Doctors Without Borders adalah penyedia utama penjagaan perubatan di wilayah Cox's Bazar, mengendalikan sembilan pusat perubatan serta dua pusat lain yang bersiap sedia untuk pelbagai wabak. Memandangkan pencegahan penyakit lebih efisyen berbanding menangani kesan wabak, Doctors Without Borders juga menguruskan beberapa rangkaian air dan mengendalikan dua loji rawatan enapcemar najis. Antara Januari dan November 2023, pasukan Doctors Without Borders menyediakan 106,424 konsultasi kecemasan dan 610,208 konsultasi pesakit luar. Aktiviti promosi kesihatan merangkumi 718,176 individu. Setiap hari, pasukan perubatan Doctors Without Borders merawat kira-kira 2,200 pesakit.