Skip to main content

Ada sejuta sebab untuk kita bertindak

camp life

Tempat perlindungan dibuat daripada buluh dan kain terpal dibina sebagai penyelesaian sementara. Ramai keluarga Rohingya melarikan diri dari Myanmar menganggap mereka akan pulang ke rumah masing-masing dalam masa beberapa bulan.
©Victor Caringal/MSF

Senario mimpi ngeri telah tiba bagi penduduk Rohingya yang tinggal di kem pelarian di Bangladesh. Penyakit dan keadaan hidup mencapai tahap yang tidak lagi boleh diterima dan tidak berperikemanusiaan.

Ketika ini, terdapat 40 peratus kadar prevalen kudis di kem. Ia bermakna lebih 400,000 dipercayai dijangkiti penyakit tropika yang sangat menular dan terabai ini. Ia akan menjadi salah satu wabak penyakit terbesar direkodkan, di kem pelarian terbesar di dunia, menempatkan hampir satu juta pelarian Rohingya - salah satu minoriti yang paling teraniaya dalam sejarah moden

Untuk tempoh enam tahun lalu sejak Rohingya dihalau dari negara jiran Myanmar, kegagalan berlaku dalam tindak balas kemanusiaan. Médecins Sans Frontières, di mana saya bekerja sebagai ketua misi di Bangladesh, telah memaklumkan kepada dunia mengenai risiko melampau wabak penyakit yang kritikal. Kami memberi amaran bahawa keadaan di kem boleh perlahan-lahan merosot sehinggalah terlambat. Dan kini ia sudah pun berlaku.

Kudis adalah jangkitan parasit yang disebabkan oleh hama mikroskopik (Sarcoptes scabiei) yang bersembunyi di bawah kulit manusia dan bertelur. Kulit tidak dapat menahan serangan ini, menyebabkan berlaku ruam yang merah dan gatal. Walaupun tidak membawa maut, ia mengurangkan kualiti hidup, terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai atau keupayaan untuk merawat. Gatal-gatal yang teruk boleh menyukarkan seseorang untuk tidur pada waktu malam, seterusnya, melemahkan tahap kesihatan mental.

scabies

Seorang pesakit muda dari kem pelarian Rohingya melawat kemudahan MSF di Jamtoli untuk mendapatkan rawatan kudis.
©MSF/Malvoisin

Jangkaan apa lagi yang boleh berlaku apabila mengepung sejuta pelarian buat selama-lamanya di kem sementara?
  

Persoalannya kini kurang ditanya mengenai sebab mengapa dunia mengabaikan tanda-tanda amaran, tetapi apa yang diperlukan untuk masyarakat antarabangsa, penderma, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah untuk mengambil lebih banyak tanggungjawab terhadap Rohingya.

Saya sudah bekerja dengan komuniti Rohingya selama lebih enam tahun. Pasukan MSF menyediakan penjagaan kesihatan kepada Rohingya yang terdedah di tanah air mereka, Myanmar sejak 1993 dan melihat kegagalan berturut-dalam aspek turut tanggungjawab antarabangsa.

Usaha mengawal wabak kudis memerlukan pentadbiran ubat-ubatan secara besar-besaran, serta kawalan vektor berkesan di seluruh kem. Seacar asasnya ia memerlukan setiap isi rumah membersihkan tempat tidur dan pakaian mereka pada masa yang sama. Semua ini tidak mungkin berlaku bagi Rohingya, yang mempunyai bekalan air dan peruntukan sabun yang kurang mencukupi di kem-kem yang sesak.
Semua kem itu sepatutnya disediakan sebagai pilihan jangka pendek. Namun selepas enam tahun, struktur sementara menjadi liabiliti jangka panjang, menyerupai kawasan setinggan dan bukannya rumah. Tanpa perubahan dalam strategi susun atur yang tidak mampan baik oleh kerajaan penderma atau kerajaan tuan rumah, penduduk kem akan kekal terdedah kepada wabak penyakit berjangkit.

bgd

Akses tidak mencukupi kepada air yang selamat dan keadaan sanitasi yang buruk menambahkan risiko kesihatan di kem yang sesak, menyebabkan wabak seperti kudis.
©Victor Caringal/MSF

Dengan wabak kudis terbaharu ini sepatutnya ia mencukupi untuk kerajaan antarabangsa berusaha ke arah penyelesaian berpanjangan dengan meletakkan keutamaan serta keazaman yang lebih. Namun sayangnya ia tidak berlaku. 

Rasanya tidak masuk akal untuk mewajarkan mengapa wabak ini dianggap krisis kesihatan awam tidak bermaruah yang tidak perlu ditanggung mana-mana populasi.

Selain kudis, keadaan pemakanan di kem-kem juga tidak baik. Kami bimbang mengenai bilangan kes malnutrisi yang tiba ke klinik kami di kem. Pada 2022, di hanya dua kemudahan kami, kami menerima 3,200 kes malnutrisi dalam kalangan wanita hamil dan menyusu, di mana 40 peratus daripadanya adalah anemia, dan 25-28% bayi dilahirkan dengan berat lahir rendah. Kadar malnutrisi akut am dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun pada kadar 19 peratus pada 2022, dan 21 peratus sehingga pertengahan 2023.

Jika digabungkan ini dengan Program Makanan Sedunia yang mengurangkan elaun makanan untuk Rohingya kepada AS$8 sebulan, kami menjangkakan peningkatan dalam tahap malnutrisi dan anemia, kadar lebih tinggi bayi lahir dengan berat rendah dan seterusnya kadar kematian lebih tinggi dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. 

Seluruh generasi kanak-kanak Rohingya menghadapi kemungkinan pertumbuhan terbantut kerana kekurangan nutrisi yang berterusan. Kanak-kanak sama juga dinafikan hak untuk mendapat pendidikan penuh. Kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar di Bangladesh kelihatannya seperti tempat di mana piawaian kemanusiaan tidak terpakai, sebahagian besarnya dilupakan dan diabaikan oleh seluruh dunia.

Seluruh generasi wanita, kanak-kanak dan lelaki yang dikurangkan kepada perkataan mudah seperti "pelarian" atau "orang tanpa kerakyatan". Mereka lebih daripada itu, mereka adalah manusia yang mengalami penganiayaan, melihat kampung dibakar, ahli keluarga dibunuh, hanya untuk melalui hidup di sebalik pagar kawat berduri dalam keadaan yang anda dan saya mungkin tidak akan pernah hadapi. Mereka adalah manusia yang masih hidup setiap hari, walaupun dalam keadaan ini, sebagai ibu, bapa, anak perempuan dan anak lelaki. Mereka adalah manusia seperti kita yang lain, sebagai artis, guru, penjaga dan banyak lagi.

Situasi tidak menentu di kem pelarian selalunya boleh berlaku apabila terdapat ketidakupayaan atau keengganan organisasi antarabangsa untuk menyedari ancaman yang timbul secara beransur-ansur. Dalam kes Rohingya di Bangladesh, sebenarnya terdapat sejuta alasan penting untuk tidak leka.

Arunn Jegan
Head of Mission in Bangladesh

Arunn Jegan has been the Head of Mission for Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) in Bangladesh. Arunn has worked as an Emergency Coordinator in Yemen, Syria, Venezuela for MSF and in Afghanistan, Iraq, Jordan, Lebanon, and Turkey in senior management positions for other international NGOs. He specialises in humanitarian crisis coordination of public health emergencies and creative approaches to advocacy.