Skip to main content

Bangladesh: Kekurangan rawatan hepatitis C di kem pelarian Rohingya

A patient is receiving medicines for Hep C from Doctors Without Borders’ Jamtoli facility at the Rohingya refugee camp in Ukhiya, Cox’s Bazar. Bangladesh, May 2024. © Abir Abdullah/MSF

Seorang pesakit sedang menerima ubat untuk Hep C dari kemudahan Jamtoli Doctors Without Borders di kem pelarian Rohingya di Ukhiya, Cox's Bazar. Bangladesh, Mei 2024. © Abir Abdullah/MSF

Berdepan dengan kebanjiran pesakit hepatitis C di kem Cox's Bazar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Epicentre, pusat penyelidikan dan epidemiologi Doctors Without Borders, telah menjalankan tinjauan ke atas 680 isi rumah di tujuh kem antara Mei dan Jun 2023. Keputusan menunjukkan hampir satu pertiga daripada orang dewasa di kem terbabit pernah terdedah kepada hepatitis C dalam hidup mereka dan 20 peratus mempunyai jangkitan hepatitis C yang aktif.

“Sebagai salah satu etnik minoriti yang paling teraniaya di dunia, masyarakat Rohingya menanggung kesan selama berdekad-dekad akibat kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan dan amalan perubatan yang selamat di negara asal mereka. Penggunaan peralatan penjagaan kesihatan yang belum dibasmi kuman, seperti picagari, yang digunakan secara meluas dalam amalan penjagaan kesihatan alternatif dalam komuniti pelarian, mungkin menjelaskan mengenai potensi penularan berterusan dan prevalen hepatitis C tinggi dalam kalangan penduduk yang tinggal di kem yang terlalu sesak" , jelas Sophie Baylac, ketua misi Doctors Without Borders di Bangladesh.

Mengekstrapolasi hasil kajian ini ke atas semua kem akan membawa maksud bahawa kira-kira satu daripada lima orang dewasa kini hidup dengan jangkitan hepatitis C - dengan anggaran jumlah 86,000 individu - dan memerlukan rawatan untuk kembali sembuh.

Pasukan kami terpaksa menolak pesakit hepatitis C setiap hari, disebabkan keperluan untuk rawatan melampaui kapasiti organisasi kami yang bersendirian. Hampir tidak ada alternatif lain tersedia dan berpatutan untuk pesakit ini di luar klinik kami di kem. Ia jalan buntu bagi penduduk tanpa kerakyatan yang dilucutkan hak paling asas, yang sudah sedia berdepan jalan buntu dalam semua bidang aspek kehidupan seharian mereka.
Sophie Baylac, Ketua Misi

Akses kepada diagnosis dan rawatan tidak mencukupi di kebanyakan negara berpendapatan rendah dan sederhana, menjadikan penyakit ini ancaman kesihatan awam yang berpotensi. Namun, ubat antivirus bertindak secara langsung boleh menyembuhkan lebih 95 peratus daripada mereka yang dijangkiti.

Di kem pelarian yang sesak di Cox's Bazar, akses kepada diagnosis dan rawatan virus hepatitis C hampir tidak wujud. Doctors Without Borders satu-satunya penyedia penjagaan hepatitis C di sana selama empat tahun. Namun keperluan untuk rawatan sangat tinggi.

Pelarian tidak dibenarkan bekerja secara sah atau meninggalkan kem. Bagi mereka yang tidak dapat kami rawat, pilihan untuk membayar bagi mendapatkan ujian diagnostik dan ubat-ubatan yang mahal atau mendapatkan rawatan sesuai di luar kem di luar jangkauan mereka. "Kebanyakan pelarian secara mudah tidak boleh disembuhkan dan akhirnya memilih kaedah penjagaan alternatif, yang tidak berkesan dan bukan suatu rawatan tanpa risiko kepada kesihatan mereka," kata Sophie Baylac.

Doctors Without Borders staff is collecting blood sample from a patient to run Hep C rapid diagnostic test (RDT) at the Hep C consultation room of Hospital on the hill at Ukhiya, Cox’s Bazar. Bangladesh, May 2024. © Abir Abdullah/MSF

Kakitangan Doctors Without Borders sedang mengambil sampel darah daripada pesakit untuk menjalankan ujian diagnostik pantas (RDT) Hep C di bilik konsultasi Hepatitis C Hospital on the Hill di Ukhiya, Cox’s Bazar. Bangladesh, Mei 2024. © Abir Abdullah/MSF

Kami menyambut baik pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dan Save The Children bahawa 900 pesakit hepatitis C akan dirawat di dua pusat kesihatan di kem berkenaan. Ia suatu langkah penting untuk bergerak ke arah yang betul. Bagaimanapun, kempen pencegahan berskala besar 'uji dan rawat' diperlukan untuk mengehadkan penularan virus dengan berkesan dan mengelak komplikasi hati yang teruk serta kematian. Untuk itu, penglibatan dan kesungguhan mereka yang menyelaraskan tindak balas kemanusiaan di kem Cox's Bazar diperlukan
Sophie Baylac, Ketua Misi

“Setiap generasi pelarian yang menetap di kem terkesan dengan hepatitis C. Mereka berisiko mengalami komplikasi hati yang teruk yang tidak boleh dirawat di kawasan kem – dan mungkin mati akibatnya walaupun terdapat rawatan yang sangat berkesan, diterima dengan baik dan mesra pesakit ( satu tablet sehari selama tiga bulan) yang harganya tidak mahal, " sambung Sophie Baylac.

Garis panduan WHO dan model penjagaan ringkas digunakan Doctors Without Borders dalam konteks sama terbukti efisyen untuk meningkatkan rawatan hepatitis C dengan hasil sangat baik dalam persekitaran kemanusiaan dan yang memiliki sumber rendah. Sepanjang dua tahun lalu, Doctors Without Borders juga menyokong Kementerian Kesihatan Bangladesh dalam merangka garis panduan klinikal nasional untuk rawatan hepatitis C.

Doctors Without Borders bersedia untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa kebangsaan, pertubuhan antara kerajaan dan bukan kerajaan untuk melaksanakan aktiviti pencegahan dan promosi kesihatan berskala besar, serta kempen 'uji dan rawat' besar-besaran di semua kem Cox's Bazar demi mengehadkan pemindahan virus dan merawat seberapa ramai pesakit secepat mungkin.

 

Tugas Doctors Without Borders di Bangladesh:

Sejak Oktober 2020, Doctors Without Borders telah menawarkan pemeriksaan, diagnosis dan rawatan virus hepatitis C percuma kepada populasi pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, di dua kemudahan kesihatan kami di kem terbabit (Klinik Jamtoli dan Hospital on the Hill). Antara Oktober 2020 hingga Mei 2024, lebih 12,000 individu disyaki mempunyai jangkitan hepatitis C aktif telah diuji oleh Doctors Without Borders dengan mesin diagnostik GeneXpert.

Lebih 8,000 pesakit yang disahkan dengan jangkitan aktif telah menerima rawatan di fasiliti Doctors Without Borders. Disebabkan bilangan pesakit HCV yang tinggi, sejurus program bermula, pasukan kami terpaksa mengehadkan dan menetapkan kriteria kemasukan terutamanya berpandukan pesakit yang berusia lebih 40 tahun, berikutan kapasiti kami untuk mengendalikan keperluan penjagaan mereka yang menghidap hepatitis C mencapai kapasiti dengan cepat. Program rawatan Doctors Without Borders mempunyai kapasiti maksimum 150 hingga 200 pesakit baharu yang memerlukan rawatan sebulan.

Melalui kempen ‘Time for $5’ digerakkannya, Doctors Without Borders memberikan tekanan kepada pembuat ujian perubatan Cepheid dan syarikat induknya Danaher untuk menurunkan harga ujian viral load GeneXpert hepatitis C yang digunakan untuk mendiagnosis hepatitis C. Ujian itu kini dijual kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana pada harga AS$15 setiap satu. ia lebih tiga kali ganda daripada hasil kajian kontrak Doctors Without Borders yang menunjukkan ujian itu boleh menelan kos untuk dihasilkan dan dijual dengan keuntungan, iaitu $5 setiap satu. Susulan tekanan kempen, pada September 2023, Danaher mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan harga ujian standard tuberkulosis standard daripada $10 kepada $8 setiap satu. Bagaimanapun, Danaher terus mengenakan sekurang-kurangnya dua kali ganda harga bagi ujian untuk penyakit lain, termasuk hepatitis C. Doctors Without Borders meminta Cepheid dan Danaher mengurangkan harga semua ujian kepada $5 supaya lebih ramai orang dapat mengakses ujian diagnostik ini, yang boleh membawa kepada rawatan menyelamatkan nyawa, dan terutamanya kepada mereka yang terdedah seperti pelarian di kem Cox's Bazar di Bangladesh.