Terdapat laporan mengatakan virus hepatitis wujud sejak 400 SM. Namun, pertama kali ianya dijelaskan hanya pada pertengahan abad ke-19. Pada era 1970-an, virus hepatitis A dan B secara rasminya dikenal pasti. Beberapa tahun kemudian, para saintis mendapati susulan pemindahan darah, beberapa pesakit dijangkiti dengan bentuk hepatitis yang baharu. Jangkitan baharu ini telah dikenal pasti pada April 1989 sebagai virus hepatitis C atau HCV.
Di seluruh dunia, dianggarkan 58 juta orang mengalami jangkitan virus hepatitis C (HCV) kronik pada tahun 2019, 72% daripadanya tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC).
Bagaimana Doctors Without Borders Mendepani Penyakit Ini?
Doctors Without Borders merawat mereka yang menghidap hepatitis C di beberapa negara, dan memiliki projek khusus HCV di Iran, Myanmar, Ukraine, Pakistan, India dan Kemboja.
Pada 2019, Doctors Without Borders memberikan rawatan HCV kepada kira-kira 10,000 orang di seluruh dunia.
Kemboja
Doctors Without Borders bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Kemboja untuk meningkatkan akses orang ramai kepada rawatan, dan telah meneliti dan memperkenalkan kaedah inovatif untuk mendiagnosis dan merawat HCV. Pertama, semua pesakit kini mendapat rawatan sama tanpa mengira jenis dan tahap penyakit hati mereka, bermakna mereka tidak lagi memerlukan kebanyakan analisis pra-rawatan yang diperlukan sebelumnya. Kedua, antivirus bertindak langsung (DAA) sangat selamat, jadi ujian dan pemantauan tambahan, yang biasanya dilakukan sebelum dan semasa rawatan, tidak diperlukan lagi. Secara keseluruhan, pesakit kini hanya memerlukan lima kali rawatan perubatan berbanding 16 sebelum ini, menjadikan ia lebih mudah dan berpatutan untuk mematuhi / menyelesaikan rawatan.. Lebih daripada 13,000 pesakit dirawat di bawa rejim baru ini sejak 2016.
Pada tahun 1990-an hingga 2010-an, rawatan hepatitis memakan masa antara enam hingga 12 bulan. Tidak cukup dengan itu, ia juga tidak dapat diterima dengan baik, dengan kesan sampingan negatif, dan pesakit juga harus dipantau dengan teliti. Lebih buruk lagi, rawatannya tidak begitu berkesan, kerana kejayaan menghapuskan virus hanya membabitkan sekitar 50% kes.
Rawatan kemudian dipermudah dalam lima tahun kebelakangan ini. The Drugs for Neglected Diseases Initiative (DNDi) - sebuah organisasi penyelidikan tidak berasaskan keuntungan - mengembangkan rawatan baharu untuk pesakit yang diabaikan yang sebahagiannya diasaskan oleh Doctors Without Borders, sedang berusaha memberikan rawatan yang sama berkesan dengan ubat HCV terbaik, dengan kos lebih rendah. Rawatan generasi baharu dipanggil DAA diperkenalkan pada akhir 2013. DNDi mengetuai beberapa ujian klinikal ravidasvir (RDV) dan sofusbuvir (SOF) di Malaysia pada 2016, yang ditaja bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, selain di Thailand pada 2017 dengan kerjasama kerajaan.
Hasil awal dibentangkan pada 2018 menunjukkan 12 minggu selepas rawatan selesai, 97% dari mereka yang mendaftar dalam rawatan telah sembuh. Ini bermakna HCV tidak dapat dikesan dalam darah tiga bulan setelah menyelesaikan rawatan. Hasilnya menunjukkan kombinasi RDV / SOF setanding dengan terapi HCV terbaik yang ada sekarang. Ini juga menunjukkan bahawa rejimen seperti itu berpotensi menjadi rawatan yang mudah dan berpatutan yang dapat menyembuhkan strain HCV yang ada.
Pada bulan Jun, 2021, Malaysia meluluskan penggunaan Ravida® (ravidasvir), yang ditunjukkan dalam kombinasi dengan produk ubat lain untuk rawatan jangkitan HCV pada orang dewasa. Ini adalah hasil kerjasama bertahun-tahun antara DNDi dan pkerajaan Malaysia untuk mengurangkan halangan dalam akses dan kemampuan ubat HCV untuk pesakit di Malaysia.
Dalam beberapa tahun terakhir, Doctors Without Borders - melalui Kempen Akses dan DNDi - menganjurkan penurunan harga DAA dan menjadikannya lebih mudah diakses oleh pesakit yang sangat memerlukannya. Pada 2018, sekitar 3 juta pesakit - dari 71 juta di seluruh dunia yang hidup dengan HCV - mendaftar dalam rawatan DAA.
DAA mewakili penembusan rawatan bagi penghidap HCV. Bagaimanapun, akses kepada DAA terhad kerana syarikat farmaseutikal mengenakan harga tidak berpatutan. Di beberapa tempat, syarikat-syarikat ini bahkan menyekat kemasukan generik yang berpatutan melalui paten. Ini menyebabkan banyak negara menyediakan rawatan hanya untuk mereka yang mempunyai tahap penyakit paling serius.
Walaupun anggaran kos pembuatan untuk sofosbuvir dan daclatasvir selama 12 minggu kurang daripada AS$100, pengeluar Gilead dan Bristol-Meyers Squibb menyenaraikannya pada harga AS$147,000 setiap rawatan ketika mereka melancarkannya di Amerika Syarikat. Langkah itu menimbulkan kemarahan meluas, tetapi harga terlalu tinggi tetap menjadi penghalang besar kepada rawatan sama ada di negara berpendapatan tinggi atau negara membangun.
Sejak pelancaran DAA pertama, Doctors Without Borders berusaha menutup jurang rawatan HCV dengan strategi yang menyasarkan peningkatan akses kepada versi generik yang berpatutan dan terjamin kualiti. Dalam usaha utama 2017, pusat bekalan Doctors Without Borders dan pasukan Kempen Akses berjaya berunding dengan pengeluar generik untuk mendapatkan DAA pada hanya $120 setiap rawatan di hampir semua projek Doctors Without Bord=membolehkan pasukan memulakan rawatan untuk lebih banyak orang.
KISAH BENAR PESAKIT
Pegawai polis berusia 50 tahun, Din Savorn, dalam keadaan putus asa. Bapa kepada tiga anak yang tinggal di Phnom Penh, Kemboja, mengetahui ubat-ubatan baharu yang boleh menyembuhkan hepatitis C dihidapinya, tetapi harganya tidak terjangkau.
"Saya mahu dirawat, tetapi saya tidak mampu," katanya. “Saya mungkin perlu menjual rumah saya. Maka anak-anak saya tidak akan ada tempat perlindungan. Jadi, saya hanya menunggu."
Din Savorn carries his son to daycare in Phnom Penh, Cambodia. April 2017. © Todd Brown
Din Savorn poses with his children at his apartment in Phnom Penh, Cambodia. April 2017. © Todd Brown
Din Savorn receives news that the hepatitis C treatment was a success, from Doctors Without Border's Doctor Hang Vithuneat, at the Doctors Without Borders' Hepatitis C clinic at Preah Kossamak Hospital in Phnom Penh, Cambodia. April 2017. © Todd Brown
Kemudian dia terpandang di media sosial bahawa Doctors Without Borders menawarkan rawatan percuma. Pada awal 2017, Din memulakan rawatan di klinik Doctors Without Borders di Phnom Penh, satu-satunya kemudahan di Kemboja yang menyediakan rawatan HCV secara percuma. Menjelang Mei 2017, dia mendapat berita yang ditunggu hampir 20 tahun untuk mendengarnya: rawatannya berjaya. Dia sudah sembuh.
Ubat-ubatan yang dibangunkan dapat menyembuhkan HCV hanya dalam 12 minggu dan mengubah kehidupan pesakit. Namun, berjuta-juta lagi masih ketinggalan dan tidak dapat mengakses kepada rawatan menyelamatkan nyawa ini.
- Apa itu hepatitis C?
-
Hepatitis adalah radang hati, dan ia mungkin disebabkan oleh salah satu daripada lima virus - hepatitis A, B, C, D dan E. Antara lima virus ini, hepatitis C atau HCV dianggap antara yang paling membawa maut, dan paling sukar dirawat. HCV mempunyai lapan genotip atau strain (jenis) dan 86 sub jenis, termasuk 19 sub jenis novel yang baharu dikenal pasti. Semua jenis dan sub jenis yang pelbagai ini, serta sifatnya sebagai virus RNA yang cepat bermutasi, menjadikan HCV sangat sukar untuk diubati.
HCV dianggap sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana manusia seringkali tidak menyedari jangkitannya, menyebabkan ia terbiar tanpa dirawat selama bertahun-tahun. Mereka tidak mengalami simptom penyakit, oleh itu tidak mendapatkan rawatan.
- Apakah hepatitis C sama dengan HIV?
-
HCV dan virus kurang imun manusia (HIV) kedua-duanya adalah virus RNA. Kedua-duanya masuk dan mereplikasi bahan genetik dalam sitoplasma atau bahagian cecair sel. Walaupun HCV adalah flavivirus dan HIV pula retrovirus, kedua-duanya bermutasi dengan cepat, menjadikan penghasilan vaksin terhadapnya lebih sukar.
Ada kemungkinan bagi pesakit untuk menghidap kedua-duanya iaitu HCV dan HIV. Ini dipanggil koinfeksi. WHO menganggarkan HCV mendatangkan kesan kepada 2% hingga 15% individu yang menghidap HIV di seluruh dunia, dan sehingga 90% daripadanya membabitkan pengguna dadah suntikan (PWID). Beban global koinfeksi HIV-HCV adalah 2.3 juta orang, yang mana 1.3 juta adalah PWID. Koinfeksi ini paling besar bilangannya di rantau Afrika dan Asia Tenggara.
- Bagaimana hepatitis C menular?
-
HCV adalah virus berkaitan darah, menjangkiti tubuh melalui saluran darah susulan pemindahan darah atau suntikan ubat yang tidak selamat. Ia juga boleh merebak melalui persekitaran penjagaan kesihatan yang tidak selamat, transfusi darah dan produk darah yang tidak disaring, serta amalan seksual yang menyebabkan pendedahan kepada darah.
Para saintis berpendapat ada kemungkinan untuk HCV berjangkit daripada ibu kepada janin semasa kehamilan, walaupun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), cara penularan ini jarang berlaku.
- Bolehkah hepatitis C menyebabkan kematian?
-
HCV antara jenis hepatitis yang paling menyebabkan kematian. WHO menganggarkan hampir 400,000 orang mati akibat HCV pada 2016, kebanyakannya disebabkan oleh komplikasi seperti sirosis dan barah hati. Bagi setiap 100 orang yang dijangkiti HCV, kira-kira lima hingga 25 orang akan menghidap sirosis dalam 10 hingga 20 tahun akan datang.
Pesakit dengan HCV lebih cenderung mengalami sirosis dalam kalangan lelaki, berusia lebih 50 tahun, mengambil alkohol, atau mempunyai penyakit hati berlemak tanpa alkohol atau hepatitis B atau koinfeksi HIV.
Walau bagaimanapun, hepatitis C adalah penyakit yang dapat disembuhkan.
- Apa hepatitis C lakukan kepada tubuh?
-
Apabila berada dalam badan, HCV menyerang hati. Ia masuk ke dalam lobus, unit mikroskopik yang membolehkan hati berfungsi. Seperti semua virus, HCV harus menembusi sel untuk bertahan dan membiak.
Menyedari gangguan, tubuh menghantar sel-sel imun, sebagai barisan pertahanan pertamanya. Namun dalam usaha menghapuskan virus, ia juga memusnahkan sel-sel hati yang melindunginya.
Menurut WHO, sekitar 30% mereka yang dijangkiti bebas daripada virus secara spontan dalam tempoh enam bulan jangkitan tanpa apa-apa rawatan.
Namun selalunya, sel-sel imun tidak mampu menjalankan tugas. Jangkitan boleh menjadi kronik selepas enam bulan, kerana virus terus berlipat ganda dan menjangkiti lebih banyak lobus yang kemudian dihancurkan oleh sel-sel imun. Ini boleh menyebabkan proses parut yang disebut fibrosis hati. Hati mengecut dan mengeras, manakala saluran darahnya menjadi rata, memaksa darah memintasnya.
Fibrosis yang lebih parah mungkin menyebabkan sirosis, yang mana lebih teruk dan boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan. Sirosis adalah faktor risiko barah hati, yang boleh berlaku pada setiap tahap penyakit hati.
- Siapa paling terdedah kepada hepatitis C?
-
Kelompok paling terdedah jangkitan HCV adalah pengguna dadah suntikan (PWID); mereka yang berada di penjara dan tempat tertutup lain dengan persekitaran kebersihan tidak baik; serta orang yang menerima produk darah yang dijangkiti atau prosedur invasif dengan amalan kawalan jangkitan yang tidak mencukupi.
Turut berisiko tinggi mendapat jangkitan adalah anak yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti HCV; mereka yang mempunyai pasangan seksual yang mempunyai jangkitan HCV atau HIV; dan mereka yang mempunyai tatu atau tindik.
Pekerja kesihatan dan kakitangan keselamatan awam juga mungkin terdedah kepada HCV jika mereka mengalami kecederaan disebabkan alatan tajam seperti jarum atau pisau bedah yang digunakan ke atas pesakit positif HCV.
- Bilakah anda harus berjumpa doktor atau mendapatkan rawatan?
-
Berjumpalah dengan doktor jika anda mengalami kombinasi gejala ini: demam, keletihan, hilang selera makan, kekuningan pada kulit dan mata, air kencing gelap, loya dan muntah. Sekiranya anda berisiko tinggi dijangkiti HCV, anda harus mempertimbangkan untuk diuji. Sebilangan besar jangkitan HCV kekal tanpa gejala sehingga beberapa dekad selepas jangkitan.
- Bolehkah hepatitis C dibasmi?
-
HCV adalah penyakit yang dapat disembuhkan, tetapi berjuta-juta tidak mampu untuk mengakses rawatan disebabkan kos yang menghalang. Untuk membasmi HCV dengan berjaya, mesti ada perubahan signifikan dalam diagnosis dan rawatan.
Ujian diagnostik sedia ada, ujian serologi atau asid nukleik, terlalu kompleks dan/atau terlalu mahal untuk negara dengan bajet yang terhad, sistem kesihatan yang lemah, atau kedua-duanya. Ujian lebih mudah dan berpatutan diperlukan.
Nasib baik, WHO menyatakan bahawa pemimpin global sudah memberi komitmen untuk menghapuskan HCV sebagai ancaman kesihatan awam utama dengan sasaran merawat 80% mereka yang menghidap HCV di seluruh dunia pada 2030.
- Bagaimana anda boleh mencegah atau merawat hepatitis C?
-
Untuk pemindahan darah dan pembedahan invasif lain, pastikan anda mengunjungi kemudahan kesihatan yang mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan yang betul, selain pengendalian dan pembuangan picagari serta sisa perubatan yang selamat.
Untuk mengelak terdedah kepada darah semasa hubungan seks, gunakan kondom dengan betul dan konsisten.
Pada masa ini, Doctors Without Borders mempromosikan penggunaan ubat antivirus yang bertindak secara langsung (DAA) yang selamat dan berkesan dalam rawatan jangkitan HCV. Anggaran menunjukkan hanya 9.4 juta orang di seluruh dunia dirawat dengan rejimen rawatan HCV pada akhir 2019, menjadikan 48.6 juta lagi masih menunggu akses kepada antivirus bertindak secara langsung (DAA) yang lebih selamat, lebih bertoleransi dan lebih berkesan untuk merawat jangkitan HCV mereka.
- Bolehkan anda dijangkiti hepatitis C selepas mengambil ubat atau rawatan?
-
Jangkitan terdahulu HCV tidak menjadikan anda kebal daripada dijangkiti semula dengan jenis atau genotip virus yang sama atau berbeza. Superinfeksi, atau dijangkiti lebih daripada satu strain HCV, juga mungkin terjadi jika tingkah laku berisiko untuk jangkitan HCV berlanjutan, seperti penggunaan suntikan dadah.
SEPULUH SOALAN MENGENAI HEPATITIS C
APA LAGI PERLU ANDA TAHU
Bukan mustahil untuk mendapat jangkitan aktif sekurang-kurangnya dua jenis virus hepatitis. Koinfeksi virus Hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV) adalah keadaan perubatan yang kompleks di mana virus tersebut bereplikasi pada hos yang sama. Dalam beberapa keadaan, satu virus lebih dominan berbanding yang lain, sementara ada juga kes di mana satu virus merangsang atau menekan replikasi yang lain. Pesakit yang hidup dengan koinfeksi HBV-HCV lebih cenderung kepada sirosis dan penyakit hati yang teruk.