Skip to main content

Sudan: Suara Wanita dari Kem Aboutengue dan Metche

Sudan Women

Gamera (kiri) and Jeta (kanan) bersama-sama melarikan daripada keganasan perang di Sudan pada 2023 dengan lima anak Jeta. Dengan berkaki ayam mereka melarikan diri ke arah sempadan Chad. © Laora Vigourt/MSF

Hidup dalam keadaan teruk di kem di kawasan padang pasir terpencil, seperti Metche dan Aboutengue, keluarga ini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan. Berbulan-bulan lamanya, tindak balas kemanusiaan di timur Chad tidak mencukupi sepenuhnya. Pelarian bergelut untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas penting, seperti makanan dan air, dan hidup dalam keadaan tidak boleh diterima serta tidak bermaruah, mendedahkan lagi mereka kepada risiko kesihatan dan perlindungan.

Di Metche dan Aboutengue, pasukan Doctors Without Borders menyediakan penjagaan bersalin dan pediatrik, merawat kanak-kanak untuk malnutrisi serta penjagaan primer, manakala pasukan air dan sanitasi mengagihkan sebahagian besar bekalan air di kem. Meskipun dengan usaha Doctors Without Borders, tindak balas kemanusiaan tidak mencukupi, dan Doctors Without Borders berterusan menyeru peningkatan segera untuk memenuhi keperluan yang sangat besar.

Koleksi testimoni ini memberikan peringatan kuat tentang keberanian semua wanita ini serta keazaman tidak berbelah bahagi mereka dalam melindungi keluarga semasa melarikan diri daripada keganasan etnik di Darfur. Mereka melarikan diri semasa serangan kejam di El Geneina sekitar 15-16 Jun dan melakukan perjalanan berbahaya ke Chad yang berjiran, tiba di kem pelarian Aboutengue dan Metche sekitar Julai 2023.

“Saya fikir kalau saya tak berbohong mengenai status kami selaku suku Masalit, sudah tentu kami mati pada hari itu.”

Sudan Women 2

Taiba tiba di kem Aboutengue pada Julai 2023, selepas melarikan diri daripada peperangan ganas di Sudan bersama suaminya Bashir dan dua anak mereka yang paling tua: Aya (6 tahun) and Ayoub (2 tahun). Anak bongsu mereka, Ayat, lahir empat bulan lalu di hospital kecemasan Doctors Without Borders yang dibangunkan di Aboutengue untuk memastikan penjagaan kesihatan dekat kepada populasi yang memerlukannya.  © Laora Vigourt/MSF

“Pada hari itu [16 Jun], saya berada di rumah bersama dua anak kami dan suami saya berada di luar berdekatan. Ramai lelaki bersenjata menyerang dan menjarah kawasan itu. Mereka mengambil kereta kami dan memasuki rumah kami. Mereka mengugut saya dengan pistol dihalakan ke leher saya sambil bertanya, “kamu suku mana?”. Kami dari suku Masalit, tetapi untuk menyelamatkan nyawa kami, saya menafikan kebenaran dan menjawab, "Saya dari Borgo, saya bukan Masalit." Mereka memaksa saya bercakap dalam bahasa Borgo untuk memastikan saya bercakap benar. Nasib baik, saya sempat bercakap beberapa perkataan dan mereka melepaskan saya. Beberapa jiran saya berasal dari suku Borgo jadi selama bertahun-tahun saya belajar beberapa perkataan daripada mereka, sebagai langkah berjaga-jaga. Saya fikir kalau saya tak berbohong mengenai status kami sebagai suku Masalit, sudah tentu kami mati pada hari itu.”

“Saya pernah mendengar daripada jiran bahawa dalam serangan sebelum ini penyerang bersenjata mengarahkan kanak-kanak lelaki keluar dari rumah dan membunuh mereka, semata-mata kerana jantina mereka. Ada juga yang memeriksa seluar budak kecil. Jadi, kami membiasakan diri dengan memakaikan anak lelaki kami pakaian perempuan. Ayoub berumur kira-kira setahun masa itu, tetapi saya masih memakaikannya seperti kanak-kanak perempuan, supaya dia tidak diapa-apakan.”

“Sebelum meninggalkan rumah kami, mereka mengambil apa sahaja yang boleh dicuri dan menyuruh saya meninggalkannya, sambil berkata, ‘tidak selamat untuk kamu tinggal di sini kerana pasukan bersenjata lain akan datang, dan mereka lebih kecewa. Kamu mesti pergi sekarang.’ Saya tidak mempunyai banyak masa jadi saya membawa anak-anak saya dan beberapa barang yang boleh saya bawa, seperti pakaian kanak-kanak. Tetapi semasa kami menuju ke sempadan semua itu turut dicuri lelaki bersenjata - mereka tidak membenarkan kami menyeberangi sempadan sambil membawa apa-apa barang."

“Semasa meninggalkan rumah, saya nampak ramai yang mati di jalan raya. Beberapa mayat sudah reput. Ia pemandangan ngeri untuk dilihat. Beberapa jiran saya sudah dibunuh. Saya melarikan diri bersama mangsa lain. Dalam perjalanan, saya berjaya menemui suami saya dan kami menyertai orang ramai yang melarikan diri bersama-sama. Kami ditahan dua kali dalam perjalanan. Ada yang dibunuh. Kali pertama, lelaki bersenjata mula menembak ke arah orang ramai. Suami saya terkena tembakan pada kaki kanannya - dia hampir tidak boleh berjalan. Kali kedua, lelaki bersenjata menyerang kami sekali lagi. Mereka menendang saya, dan memukul suami saya dengan kayu. Selepas semua ini, dia hampir tidak boleh bergerak jadi saya cuba menggendongnya semampu yang boleh dengan bayi kecil saya Ayoub berada dalam pelukan. Seorang wanita dengan baik hati menawarkan diri untuk menjaga anak saya ketika saya berusaha menggendong suami dan anak lelaki saya.”

Semasa meninggalkan rumah, saya nampak ramai yang mati di jalan raya. Beberapa mayat sudah reput. Ia pemandangan ngeri untuk dilihat.

“Di hentian terakhir perjalanan kami, saya cuba mencari anak perempuan saya sekali lagi sambil menjerit namanya dalam kalangan orang ramai. Akhirnya, kami menemuinya, masih bersama wanita yang menjaganya. Saya sangat lega. Di kampung itu, saya juga bertemu tentera yang menyuruh saya meninggalkan suami di sana dan menuju Adré untuk meminta bantuan di hospital. Kami mengambil masa empat hari sebelum berjaya sampai ke Adré. Di hospital, kami dijaga pasukan perubatan, disokong oleh Doctors Without Borders dan menjalani pembedahan serta rawatan. Ketika itulah kami mendapat berita bahawa lengan kiri dan kaki suami saya lumpuh seumur hidup, kesan akibat dipukul.”

“Anak-anak kami trauma dengan semua yang mereka lihat dalam perjalanan. Apabila mereka mendengar tembakan atau bunyi yang kuat, meskipun suara kuat sekalipun, mereka bersembunyi dan menutup telinga, sambil menangis. Yang sulung terus bertanya apa yang telah berlaku, mengapa kami tidak selamat dan apa yang akan berlaku sekarang.”

“Di El Geneina, sebelum perang, kehidupan kami hebat. Saya seorang bidan yang bekerja di hospital, dan suami saya seorang ahli perniagaan, berniaga kereta. Selepas Sudan selamat, kami akan kembali kerana kehidupan di sini sangat sukar, kami menderita tanpa akses kepada keperluan asas: makanan, air, sekolah, kerja. Kami tiada katil, tiada tilam, kami kekurangan banyak perkara. Satu-satunya makanan yang kami dapat adalah daripada pertubuhan kemanusiaan. Kadang-kadang orang ramai dalam komuniti menyokong kami dan memberi kami sedikit makanan. Tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan di sini, tiada kerja, tiada tanah, tiada cara untuk kami menyelamatkan diri. Saya seorang sahaja yang menjaga keluarga saya. Suami saya tidak boleh bergerak disebabkan keadaannya lumpuh jadi saya mesti melakukan segala-galanya, daripada membawa air hingga mencari makanan.”

 

Suaminya menitiskan air mata ketika mendengar kata-kata isterinya.

“Dalam kem di sini, kami tidak mempunyai apa-apa. Kadang-kadang anak-anak saya sampai perlu merayu untuk dapatkan makanan.”

Sudan Women 3

Ibu dan anak perempuan Gamera (60) dan Jeta (35) melarikan diri daripada serangan kejam di El Geneina bersama lima anak Jeta: Abdel Aman (14), Mohamad (6), Wiam (9), Wafa (4), dan Sana (2), © Laora Vigourt/MSF

"Pada awal pagi, lelaki bersenjata menyerang rumah kami," kata Gamera. “Mereka memanggil tiga anak lelaki saya ke dalam satu bilik dan menyuruh kami [wanita] keluar dari rumah. Saya merayu mereka supaya tidak membunuh anak lelaki saya, sambil memberitahu bahawa mereka tidak bersalah, kerana entah bagaimana mereka menuduh anak-anak saya sebagai pengintip. Namun kemudian saya mendengar bunyi tembakan. Apabila pulang ke rumah, saya melihat mayat bergelimpangan di atas lantai. Salah seorang anak lelaki saya ditembak pada dadanya, seorang lagi di kepalanya, dan yang ketiga pada leher. Kemudian lelaki bersenjata itu mengugut saya dengan pisau di kerongkong dan mencuri wang serta telefon kami. Mereka juga memeriksa badan saya untuk melihat sama ada saya menyembunyikan apa-apa. Ketika berlalu pergi, mereka membakar rumah itu.”

“Kami melarikan diri dengan berjalan kaki dari El Geneina ke kawasan bersempadan dengan Chad. Kami melihat banyak mayat dalam perjalanan. Keadaan sangat sesak, dan kami kehilangan satu sama lain dalam lautan manusia. Hanya selepas menyeberangi sempadan barulah kami bertemu semula,” sambung Gamera. “Kami tidak dapat menemui sebarang air bersih. Ketika itu musim hujan, dan kami menemui sedikit air hujan dalam perjalanan, dan kami tidur di bawah pokok pada waktu malam kerana hujan lebat. Kami membawa beberapa pakaian bersama, tetapi kumpulan bersenjata tidak membenarkan kami membawanya ketika menyeberangi sempadan. Tiba di Adré, kami berlindung di bangunan sekolah. Sebuah organisasi memberi kami makanan dan memberi vaksin kepada kanak-kanak.”

Jeta menambah: “Ayah saya [suami Gamera] terbunuh dua tahun lalu semasa serangan ganas sebelum ini, dan suami saya hilang pada masa sama – saya tidak tahu sama ada dia sudah mati atau masih hidup. Jadi, dua anak lelaki saya Abdel Aman dan Mohamad satu-satunya lelaki yang tinggal dalam keluarga. Saya melakukan apa yang termampu untuk melindungi mereka semasa kami melarikan diri. Saya memakaikan mereka pakaian perempuan, supaya mereka tidak dibunuh. Namun anak sulung saya dijumpai mereka dan dipukul sehingga koma. Saya sangat bimbang, tetapi apabila kami berjaya sampai ke Adré, mereka menjaganya di hospital [disokong oleh pasukan Doctors Without Borders] dan keadaannya kini lebih baik."

“Selepas beberapa minggu di Adré, saya sendiri jatuh sakit dan menghabiskan kira-kira dua puluh hari di hospital, yang disokong oleh pasukan Doctors Without Borders. Selepas itu barulah kami berpindah ke kem Aboutengue. Saya berjaya mendaftar secara rasmi sebagai pelarian dan mendapat tempat perlindungan untuk saya dan lima anak saya. Ibu saya [Gamera] tidak berjaya mendaftar jadi dia tidak mempunyai apa-apa – dia tinggal bersama kami. Tetapi apa yang kami ada tidak mencukupi, kami bergantung 100% pada apa yang diberikan organisasi kemanusiaan kepada kami. Kadang-kadang anak-anak saya mesti merayu untuk mendapatkan makanan di kem. Mereka tidak ke sekolah; mereka tidak melakukan apa-apa di sini,” kongsi Jeta penuh emosi. Setibanya mereka di kem Aboutengue pada Julai, anak bongsu Jeta, Sana, mengalami malnutrisi teruk. Sana berjaya dirawat dalam program pemakanan terapeutik hospital kecemasan yang ditubuhkan pasukan Doctors Without Borders.

Kadang-kadang anak-anak saya perlu merayu untuk mendapatkan makanan di kem. Mereka tidak ke sekolah: mereka tak buat apa-apa di sini.

Kehidupan kami di Sudan sebelum ini baik. Kami ada rumah, makanan yang cukup dan keselesaan. Kami juga bekerja. Saya seorang pengasuh dan pembantu rumah. Walaupun kami boleh kembali ke Sudan, semuanya musnah sekarang - apa yang akan kami lakukan? Apa yang akan berlaku kepada kami sekarang? Kami tidak berasa selamat di mana-mana. Ya, di sini lebih baik berbanding pembunuhan beramai-ramai di Sudan, tetapi kadang-kadang di kem di sini jenayah berlaku. Kami tidak ada sebarang perlindungan, kecuali satu sama lain. Lebih teruk anak-anak saya, mereka masih takut, menangis dan panik setiap kali mendengar bunyi yang kuat,” kata Jeta.

 

“Pada hari kami melarikan diri, saya tidak rasa kami akan sampai dengan selamat ke sana: Saya melihat begitu ramai yang mati di jalanan."

Sudan Women 8

Nafissa melarikan diri daripada serangan kejam di El Geneina pada Jun 2023. Dia mendapatkan perlindungan di Chad Timur dan kini tinggal bersama dua anaknya di kem pelarian Aboutengue. Suaminya dibunuh pada 2022 semasa tempoh keganasan sebelumnya. © Laora Vigourt/MSF

“Perang memuncak tahun lalu, namun keganasan sudah pun berlaku di wilayah kami sebelum itu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini rumah saya dibakar empat kali. Suami saya dibunuh pada 2022, dan seorang daripada anak lelaki saya dibunuh pada Mei 2023. Anak saya baru berusia 10 tahun. Dia ditembak di jalan dan meninggal dunia di hospital tiga hari kemudian akibat kecederaan dialami. Jadi, apabila saya mendapat tahu serangan baharu yang menuju kawasan kejiranan kami [pada Jun 2023], saya meninggalkan rumah bersama baki dua anak saya dan tidak pernah kembali,” kongsi Nafissa.

"Saya memakaikan anak lelaki saya yang berusia 11 tahun dengan pakaian kakaknya, dan dengan berjalan kaki kami bersama-sama memulakan perjalanan. Saya hanya membawa dua selimut, beberapa pakaian dan tong jerry untuk air. Namun pihak bersenjata mengambil segala-galanya daripada saya dalam perjalanan, dengan berkata 'sesiapa pun tidak boleh membawa apa-apa bersama mereka ke Chad'. Di jalanan, kami melihat banyak mayat. Kami mengikuti pergerakan orang ramai; ia sangat sesak. Pada satu ketika, kami berjalan ke arah Ardamatta untuk mencari perlindungan, [di mana tentera berada]. Kami mendengar tembakan, pasukan bersenjata mula menembak ke arah orang ramai, orang ramai berlari ke mana-mana. Ketika itulah saya kehilangan anak perempuan saya. Dia sangat ketakutan sehingga dia berlari bersama yang lain,” kata Nafissa, kesakitan.

“Keesokan harinya, saya berjalan di jalan raya bersama anak apabila kumpulan bersenjata menghalang kami. Mereka cuba mencederakan anak saya dengan pisau, tetapi saya sempat membalut kain pada tangan dan menghalang pisau itu sambil melindunginya. Mereka kemudian menikam lagi dan melukakan kaki saya,” jelas Nafissa sambil menunjuukan bagaimana dia melakukannya. "Kemudiannya mereka (pasukan bersenjata itu) ternampak seorang lelaki agak jauh daripada kami, lalu bergegas ke sana untuk membunuhnya. Ketika itulah saya berjaya melarikan diri bersama anak saya. Beginilah keadaannya, mereka bunuh lelaki dahulu, sebelum perempuan. Jadi, dari satu segi, lelaki itu menyelamatkan nyawa saya dengan nyawanya.”

“Sukar untuk saya percaya apabila kami tiba di sempadan di Adré. Pada hari kami melarikan diri, saya tidak pernah menyangka kami akan sampai ke sana hidup-hidup: Saya melihat begitu ramai yang mati di jalanan. Dalam setiap kumpulan orang yang melakukan perjalanan bersama, ada yang akan terkena tembakan dan ada yang berjaya sampai ke Adré. Tetapi yang pasti akan terlintas di fikiran, kami semua fikir kami akan mati dalam perjalanan, "jelas Nafissa. "Di sempadan, saya menemui kembali anak perempuan saya, dia letih dan takut, tetapi saya berasa sangat lega kerana dia masih hidup."

“Sebaik tiba di Adré, saya hampir tidak mampu untuk melangkah lagi. Kesan cedera pada kaki saya cukup banyak kerana berjalan sepanjang jalan. Saya dan anak-anak menemui tempat berteduh di sebuah sekolah. Kami secara rasmi didaftarkan sebagai pelarian dengan UNHCR. Beberapa minggu kemudian, kami dipindahkan ke kem pelarian Aboutengue. Kami tidak mendapat tempat perlindungan rasmi, jadi pelarian lain membantu saya menyediakannya menggunakan kayu terpakai dan tikar. Tiada kerja untuk saya lakukan di sini, jadi saya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan. Di Sudan, saya adalah seorang peniaga pasar, menjual barangan seperti Tamir [gorengan].”

Sewaktu kami bercakap dengan Nafissa, dia sedang duduk di atas tempat perlindungannya yang hangus. “Ini kali kelima rumah saya terbakar sejak permulaan keganasan di Darfur,” jelasnya. “Setiap kali ia berlaku, saya kehilangan segala-galanya. Kali ini saya tidak tahu apa yang menyebabkannya. Suatu hari, saya berada di pasar di kem, anak-anak saya berada di sekolah di bawah pokok di Ouaddi, dan apabila kembali, semuanya terbakar. Sekali lagi, komuniti kem memberi saya banyak perkara dan membantu saya membina tempat perlindungan baharu, tetapi saya khuatir ia tidak akan bertahan apabila bermulanya musim hujan,” katanya menutup bicara.

Anak perempuan Nafissa, Amira (14), yang terpisah dengannya semasa perjalanan mereka ke Chad, menjelaskan "Saya suka belajar di sekolah bawah pokok di sini, di Ouaddi. Saya belajar matematik, sejarah, bahasa Arab, pengajian Islam dan bahasa Inggeris. Subjek kegemaran saya ialah Bahasa Arab. Buku nota dan pakaian saya hangus dalam api. Saya perlu mencari jalan untuk mendapatkan buku nota baharu untuk sekolah.” Katanya lagi, "di Sudan, saya mempunyai dua kawan baik. Hari ini, salah seorang daripada mereka berada di sini, di kawasan lain di kem. Seorang lagi berada di kem Metche, tetapi saya tidak mempunyai cara untuk menghubunginya.”

 

“Dalam kem kami tidak dibunuh tetapi kami tidak ada apa-apa untuk dimakan.”

Sudan Women 5

Ghalia melarikan diri dari perang Sudan yang kejam bersama suaminya, lima anak mereka berusia antara empat hingga 13 tahun, serta dua abangnya. Mereka tiba di kem pelarian Aboutengue pada Julai 2023. Ghalia hamil ketika melarikan diri, melahirkan anak bongsunya Makarima di hospital kecemasan Doctors Without Borders empat bulan lalu. © Laora Vigourt/MSF

“Peningkatan keganasan di kawasan kejiranan saya amat mengerikan. Saya tidak dapat menghitung berapa ramai yang terbunuh di jalanan, dengan tembakan dan bom. Hari rumah saya diserang, saya mula berlari, dengan anak bongsu diikat pada bahagian belakang saya. Orang di luar begitu ramai hingga saya kehilangan anak-anak saya yang lain dan juga suami.  Saya masih ingat menuju Ardamatta pada waktu malam, tetapi kumpulan bersenjata menunggu kami. Pada waktu pagi, mereka menjerit ‘jangan ada sesiapa bergerak’ dan menyuruh kami meninggalkan wang serta senjata kami. Kemudian mereka mula menembak ke arah orang ramai. Orang ramai berlari ke serata tempat. Keadaan kacau-bilau; orang ramai datang seperti ombak. Kumpulan bersenjata itu kemudian menyuruh kami berpatah balik dan mengambil jalan ke barat, menuju Chad.”

“Di kampung berikutnya saya berjaya menemui kembali anak-anak saya – mereka berjaya kekal bersama dan menyokong satu sama lain. Mereka dahaga, lapar, letih, dan takut. Mereka menangis. Namun saya sangat lega. Saya fikir saya tidak akan melihat mereka lagi; Saya fikir mereka telah dibunuh. Saya berasa sangat gembira dan lega apabila menemui mereka.”

“Sebaik tiba di Adré, kami menemui tempat berlindung di sekolah. Enam hari kemudian, saya menemui suami saya di hospital [yang disokong pasukan Doctors Without Borders]. Ketika orang ramai bertempiaran lari, dia ditembak pada lengan. Di hospital, dia menjalani pembedahan dengan pemasangan implan, skru dan plat. Sebulan dia berada di hospital untuk membantu pemulihannya, namun hari ini dia masih bergelut dengan kesakitan, dan dia tidak boleh mengangkat barang berat seperti tong jerry untuk mendapatkan air. Jadi, saya perlu menjaganya.”

“Kami tiba di kem baharu pada pertengahan Julai tahun lalu. Bagaimana saya mahu menerangkannya? Ya, sekurang-kurangnya tidak ada bom atau tembakan. Kami tidak akan dibunuh, tetapi kami tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan. Beberapa hari kami langsung tidak makan. Kami bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan, terutamanya untuk makanan,” jelas Ghalia. “Untuk dapatkan air juga satu perjuangan besar. Barisan ketika beratur untuk dapatkan air sangat panjang, mesti bangun awal dan letak tong jerry dalam barisan supaya dapat air nanti. Di Sudan, kami adalah petani. Namun di Aboutengue ini, tidak ada apa-apa, kami berada jauh dari segalanya. Satu-satunya perkara yang saya temui untuk bekerja adalah membantu menyusun batu bata – untuk itu saya hanya memperoleh beberapa ratus franc CFA [bersamaan kurang satu euro].”

“Hari ini, keadaan masih sukar untuk anak-anak kami. Tiada apa pun untuk mereka lakukan; mereka tidak ke sekolah. Mereka berterusan bertanyakan soalan untuk memahami apa yang berlaku dalam peperangan. Mereka memberitahu saya bahawa sewaktu berpisah ketika dalam perjalanan ke sini, mereka melihat banyak mayat dalam perjalanan termasuk kanak-kanak. Mereka memberitahu saya bahawa lelaki bersenjata bertanya kepada mereka 'di mana bapa kamu? Di manakah senjatanya?’  Mereka takut. Anak lelaki saya yang berusia lima tahun kerap terjaga pada waktu malam disebabkan mimpi buruk sambil menjerit 'mereka akan datang!'. Anak perempuan saya yang berusia tujuh tahun, Maria, [dalam gambar] menangis beberapa kali sehari,” jelas Ghalia.

Maria berkata dia suka ke sekolah terutamanya belajar bahasa Inggeris. Dia dengan bangganya membaca abjad dalam bahasa Inggeris. "Pada masa depan saya mahu menjadi seorang doktor," kata Maria.

“Saya suka belajar tetapi sekarang sudah tidak boleh kerana saya perlu menjaga adik-adik saya.”

Sudan Women 6

Gisma genap usia 18 tahun tiga bulan lalu. Dia tinggal di kem pelarian di Aboutengue bersama ibunya serta lima adik perempuannya dan sering menjadi pencari nafkah utama keluarga. © Laora Vigourt/MSF

“Kami melarikan diri dari El Geneina pada Jun tahun lalu. Ia sangat sukar. Ayah saya dibunuh. Semasa serangan, kami meninggalkan rumah bersama keluarga saya, tetapi kami terpisah dalam perjalanan. Saya bersama tiga adik perempuan saya, membawa yang bongsu di belakang saya. Di jalanan, kami bertembung kumpulan bersenjata, dan mereka membawa dua adik perempuan saya. Mereka mencederakannya, tetapi… kami tidak boleh bercerita mengenainya,” kata Gisma, sedih. "Anda tahu saya tiada pilihan selain lari."

“Kami menyeberangi sempadan dan tiba dengan kaki ayam di Adré kerana tidak boleh membawa apa-apa bersama kami. Kami letih, dahaga, dan menangis. Beberapa orang membantu kami dan memberi kami air. Seorang wanita yang baik berkongsi makanannya dengan kami. Saya lega apabila sampai ke sempadan, terutamanya apabila bertemu semula dengan kakak dan ibu saya.” 

“Saya suka belajar dan gembira bersekolah di sini, kami belajar di bawah pokok di Ouaddi [dasar sungai yang kering]. Tetapi saya tidak akan ke sana lagi kerana saya perlu menjaga adik-adik saya. Ibu saya cuba untuk kembali ke Sudan untuk mengambil apa sahaja yang boleh demi kelangsungan hidup kami. Kami tidak mempunyai apa-apa di sini; ia sangat sukar untuk hidup,” jelas Gisma. “Pada masa depan, saya mahu bekerja untuk organisasi kemanusiaan supaya saya boleh membantu. Tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada saya pada masa hadapan."

 

“Makanan yang kami terima melalui pengagihan lalu sudah pun habis. Saya berasa tersekat dan tidak berdaya.”

Sudan Women 7

Pelarian Sudan Malak, 39, tinggal di kem Metche camp, timur Chad. © Linda Nyholm/MSF

Nama saya Malak, berusia 39 tahun. Waktu ketika itu jam 4 pada hari Jumaat, dan suami saya memberitahu akan ada serangan. "Ambil anak-anak dan pergi ke rumah kakakmu, dan saya akan pergi ke taman (El Geinena)."

Saya menentang idea itu, tetapi dia pergi ke sana, di mana dia dibunuh. Dia tidak bersalah. Saya bersama beberapa saudara lelaki saya serta sebelah suami terus mencarinya selama empat hari. Akhirnya, kami mengesan bau pelik di lokasi pencarian kami. Mereka terus mencari sehingga menemuinya dan memberitahu kami bahawa mayatnya ada di sana. Namanya: Jaafar, dan dia berusia 42 tahun. Ketika itu, terlalu ramai penembak, jadi abang-abangnya dan beberapa jiran menyelinap masuk untuk mengambil mayatnya supaya kami dapat mengebumikannya.

Apabila tiba di Adré, saya tidak dapat mencari ibu saya dan tiga anak saya. Saya mencari mereka selama empat hari. Apabila akhirnya menemui ibu, keadaannya teruk. Saya bertemu semula dengan anak-anak saya. Kami tinggal dua bulan di Adré, sehingga kami menetap di sini di Metche, tempat saya melahirkan anak saya.

Kami melalui banyak kesukaran untuk mendapatkan makanan dan air. Kini, saya bersendirian dengan lapan anak saya, tanpa ibu dan adik-beradik saya, kerana kami terpisah. Dia di Adré dan saya di sini. Ibu saya tidak boleh tinggal di sini, dia mempunyai diabetes. Sudah 6 bulan saya tidak melihatnya.

Kami tidak memiliki apa-apa. Kami ke sini dengan pakaian yang kami pakai ini. Di Sudan, kami menjalani kehidupan lebih baik, dan orang ramai saling membantu. Sekarang kami tidak mempunyai apa-apa, seluruh rumah saya terbakar. Di sini kami tidak boleh membantu satu sama lain dan kami tidak mempunyai sumber pendapatan. Kami tidak mempunyai apa-apa.

Kami melalui banyak kesukaran untuk mendapatkan makanan dan air. Kini, saya bersendirian dengan lapan anak saya, tanpa ibu dan adik-beradik saya, kerana kami terpisah.

Jika saya mendapat pekerjaan, saya akan bekerja. Kini kami bergantung sepenuhnya pada organisasi, dan kami makan roti jagung, kacang mata hitam, dan menerima sedikit air. Makanan yang kami terima daripada agihan yang lalu pun sudah habis.

Saya berasa tersekat dan tidak berdaya. Saya tidak mempunyai sumber pendapatan untuk membeli makanan. Saya berharap dapat kembali ke Sudan dengan aman dan selamat.

 

“Semua tanggungjawab terletak pada saya. Kini sayalah ibu dan juga bapa.”

Sudan Women 8

Rakyat Sudan Ruqaya, 25, pelarian yang menetap di kem Metche, timur Chad. © Linda Nyholm/MSF

Nama saya Ruqaya, saya berusia 25 tahun. Saya kehilangan suami di El Geneina pada 15 Jun, ketika pertempuran memuncak pada hari itu. Dia hilang, begitu juga keluarganya. Saya mempunyai dua anak dan keadaan hidup sangat sukar, dan saya tidak mempunyai sesiapa untuk menanggung kami. Semua tanggungjawab saya yang pikul. Saya kini ibu dan juga bapa. Saya bertanggungjawab untuk makanan, air, tempat tinggal dan menyediakan rawatan jika anak-anak jatuh sakit. Saya mesti menguruskan dan menangani segala-galanya sendiri. Orang di sini lapar dan dahaga. Tiada makanan. Tiada keselamatan di Sudan, dan kami tidak boleh kembali. Kami melalui hidup hari demi hari.

Saya tidak tahu sama ada suami masih hidup atau sudah mati. Saya tidak tahu di mana ahli keluarga kami. Kedudukan kami berselerak antara Sudan dan di sini, dan kami tidak menerima berita mengenai mereka. Saya ingin mencari suami saya dan mendapatkan beberapa jawapan untuk melihat sama ada dia masih hidup atau sudah mati. Namanya Issam, berusia 45 tahun. Dia mempunyai mata hijau, tetapi tidak tinggi.