Skip to main content

Sudan: Lari dari konflik, ratusan ribu berdepan kesusahan dan penyakit di kem sesak di White Nile

View of Ajwal Refugees Camp in White Nile State. Sudan, July 2023. © Ahmad Mahmoud/MSF

Pemandangan Kem Pelarian Ajwal di negeri White Nile. Sudan, Julai 2023. © Ahmad Mahmoud/MSF

“Setiap hari, lebih ramai tiba, dan bilangannya semakin meningkat. Keadaan ini, meningkatkan keperluan untuk perkhidmatan kesihatan, makanan dan tempat tinggal yang lebih baik,” kata Ali Mohammed Dawoud, pengurus aktiviti perubatan Doctors Without Borders.

Pada Jun, pasukan Doctors Without Borders mula menyokong tiga klinik kendalian Kementerian Kesihatan dalam menyediakan penjagaan kesihatan utama di kem pelarian Um Sangour dan Al Alagaya, serta di Khor Ajwal, yang menempatkan penduduk Sudan yang berpindah dari negeri Blue Nile. Baru-baru ini, Doctors Without Borders juga mula menyokong pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam di hospital di kem pelarian Al Kashafa, di mana terdapat kira-kira 50 kanak-kanak kekurangan zat makanan akut yang teruk dimasukkan, sebahagian daripadanya dirujuk dari kem pelarian lain.

Patients wait for medical checkup at Doctors Without Borders clinic in Ajwal Refugees Camp. Sudan, July 2023. © Ahmad Mahmoud/MSF

Pesakit menunggu pemeriksaan kesihatan di klinik Doctors Without Borders di Kem Pelarian Ajwal. Sudan, Julai 2023. © Ahmad Mahmoud/MSF

Um Sangour, sebuah kem yang sepatutnya menampung kira-kira 30,000 orang, kini menempatkan lebih 70,000 orang. Keperluannya  besar dan berkembang di kem yang sesak. "Penyakit paling biasa yang memberi kesan kepada masyarakat di sini, terutamanya kanak-kanak di bawah umur lima tahun, adalah kes disyaki campak, radang paru-paru dan malnutrisi," kata Ali.

“Angka kematian sudah tinggi ketika kami tiba. Kami menerima purata 15 hingga 20 kes disyaki campak setiap hari, dengan enam kematian direkodkan pada minggu pertama. Malangnya, kebanyakan daripada mereka adalah kanak-kanak bawah usia lima tahun. Kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, yang memberikan kami sumber untuk menubuhkan pusat pengasingan bagi menyediakan penjagaan yang diperlukan kepada kanak-kanak ini," sambung Ali.

Hari ini kami menjalankan purata 300 hingga 350 konsultasi setiap hari, termasuk 30 hingga 40 kes disyaki campak. Kami juga mempunyai bilik bersalin untuk wanita hamil dan membantu satu hingga dua kelahiran setiap hari dan menjalankan kira-kira 20 hingga 30 susulan (perkhidmatan penjagaan antenatal) untuk wanita hamil. Perkhidmatan imunisasi rutin kami turut melibatkan 30 hingga 40 kanak-kanak setiap hari.
Ali Mohammed Dawoud

Selama beberapa minggu Doctors Without Borders telah menyokong pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk menggerakkan vaksin campak yang tersedia, yang sudah ada di negara ini, untuk menjalankan vaksinasi besar-besaran kanak-kanak di seluruh White Nile. Pada masa sama, dalam usaha meningkatkan aktiviti perubatan dan bantuan, kami memerlukan peningkatan kakitangan yang ketara, termasuk pakar antarabangsa tambahan, kerana pasukan yang bekerja di lapangan sudah terlalu terbeban dan letih.

Konflik semasa menyebabkan Sudan tiada kapasiti makmal untuk mengenal pasti wabak penyakit. Di seberang sempadan di Renk dan Malakal, Sudan Selatan, wabak campak disahkan dalam kalangan mereka yang melarikan diri dari konflik itu. Lebih 100,000 orang dianggarkan menyeberangi sempadan dari Sudan ke Sudan Selatan.

Doctors looking after children inside measles isolation unit at Um Sangour Refugees Camp, White Nile State. Sudan, July 2023. © Ahmad Mahmoud/MSF

Seorang doktor Doctors Without Borders merawat kanak-kanak di dalam unit pengasingan campak di Kem Pelarian Um Sangour, Negeri White Nile. Sudan, Julai 2023. © Ahmad Mahmoud/MSF

Antara pesakit campak yang dirawat dan disaring oleh Doctors Without Borders di Malakal, lebih 90 peratus tidak divaksinasi, menunjukkan wujudnya gangguan dalam program vaksinasi rutin di Sudan.

“Anak saudara saya mengalami demam dan cirit-birit, dan dia juga muntah-muntah,” kata Philip (nama telah ditukar), seorang lelaki muda yang menunggu bersama kakaknya dan anak perempuannya di salah sebuah klinik di negeri White Nile. “Walaupun dia diberikan preskripsi ubat, kami tidak menemuinya di farmasi. 

Malangnya, kekurangan ubat di sini teruk. Campak - ia meragut nyawa dengan pantas. Demam memang boleh membawa maut. Jika seseorang jatuh sakit pada waktu lagi, mereka selalunya tidak dapat bertahan sehingga petang.”

Di tempat lain di klinik, seorang wanita hamil, Hamida (nama telah ditukar), menunggu bersama anaknya yang sakit menceritakan cabaran lain dihadapi orang ramai.

Pengeboman teruk berlaku di kawasan kejiranan kami. Saya bersama lapan ahli keluarga melarikan diri dari Khartoum dua bulan lalu. Di sini, keadaan kami mencabar kerana kami adalah pendatang baharu, dan kami tidak menerima sebarang bantuan. Kami bergelut untuk mendapatkan makanan. Setakat ini, kami hanya menerima kepingan plastik. Ramai sedang menunggu makanan dan tempat tinggal; tiada ruang untuk berteduh. Keadaannya amat sukar; ramai tinggal di luar rumah kerana mereka tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai. Air di sini tidak bersih, mengundang penyakit dalam kalangan penduduk. Jika anda minum air itu, anda akan mengalami cirit-birit dan mula muntah.
Hamida, seorang patient

Hujan tahunan sudah bermula, yang mungkin menyebabkan peningkatan penyakit bawaan air seperti kolera dan malaria, yang merupakan endemik di kawasan itu.

Di kem penuh sesak orang ramai mempunyai sedikit pilihan untuk menyara diri atau keluarga mereka, bergantung kepada bantuan. Ada yang dibantu dengan makanan daripada pelarian dan saudara-mara yang tinggal di kem sebelum konflik meningkat.

Doctors looking after children inside measles isolation unit at Um Sangour Refugees Camp, White Nile State. Sudan, July 2023. © Ahmad Mahmoud/MSF

Seorang doktor Doctors Without Borders merawat kanak-kanak di unit pengasingan campak di Kem Pelarian Um Sangour, negeri White Nile. Sudan, Julai 2023. © Ahmad Mahmoud/MSF

Apabila lebih ramai yang tiba, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan bantuan, termasuk sokongan pemakanan dan penyediaan tempat tinggal, makanan, air bersih, sanitasi dan vaksinasi campak untuk membendung wabak. Keadaan ini memerlukan lebih ramai kakitangan dengan segera, termasuk kakitangan berpengalaman dalam menguruskan krisis dan kecemasan sedemikian, serta memastikan laluan bekalan lebih pendek terus ke negeri White Nile dari luar negara. 

Hanya dalam tempoh tiga bulan pertempuran sengit di Sudan, lebih 3 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk menyelamatkan diri dan keluarga mereka daripada konflik (UNOCHA). Lebih daripada 2.1 juta kehilangan tempat tinggal akibat konflik, mencari perlindungan di Sudan. Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, sebahagian jumlah tertinggi mereka yang dipindahkan itu berlindung di negeri White Nile selain Darfur Barat, Sungai Nil dan negeri Utara.