Skip to main content

Sudan: Doctors Without Borders dipaksa menggantung sokongan di Wad Madani disebabkan halangan dan gangguan

Patients wait outside the Doctors Without Borders clinic in Wad Madani. Sudan, June 2023.

Pesakit menunggu di luar klinik Doctors Without Borders di Wad Madani. Sudan, Jun 2023. 

  • Doctors Without Borders dipaksa menggantung tugasan dan mengeluarkan kakitangan dari Hospital Pengajaran Madani, satu-satunya kemudahan kesihatan menengah yang beroperasi sepenuhnya di ibu negara Al Jazirah.
  • Keperluan di Wad Madani adalah kritikal dan masih banyak yang belum dipenuhi.
  • Doctors Without Borders menggesa pihak terbabit perang untuk menghentikan serangan ke atas fasiliti kesihatan dan memastikan keselamatan kakitangan.

 

Port Sudan/Barcelona, 9 Mei 2024 - Doctors Without Borders/ Médecins Sans Frontières (MSF) dipaksa menggantung tugasan dan mengeluarkan kakitangan dari Hospital Pengajaran Madani, satu-satunya hospital berfungsi untuk ratusan ribu orang yang sangat memerlukan bantuan perubatan di ibu kota Al Jazirah di Sudan

Keputusan yang amat sukar ini diambil selepas lebih tiga bulan berdepan cabaran tanpa henti ketika cuba memberikan rawatan di hospital, termasuk keadaan tidak selamat yang semakin meningkat; ketidakupayaan untuk membawa kakitangan baharu dan bekalan perubatan ke kawasan itu disebabkan penafian permit perjalanan; serta insiden keselamatan berulang, seperti rompakan dan gangguan, menjejaskan keupayaan kami untuk menyediakan rawatan perubatan.

Doctors Without Borders menyeru pihak yang terbabit perang untuk berhenti mengancam kemudahan kesihatan dan menjamin keselamatan kakitangan perubatan serta memberikan permit perjalanan yang diperlukan untuk kakitangan dan bekalan kami.

Sistem kesihatan dan perkhidmatan asas di Al Jazirah runtuh akibat pertempuran dan sekatan sistematik terhadap bekalan dan kakitangan yang memasuki kawasan itu. Doctors Without Borders satu-satunya NGO antarabangsa yang memberikan sedikit sokongan di Wad Madani. Pemergian kami meninggalkan kesan kekosongan mendalam bagi mereka yang bergelut untuk mengakses penjagaan kesihatan dan hidup dalam persekitaran yang sangat tidak selamat tanpa pengangkutan untuk bergerak.
Mari Carmen Viñoles, Pengurus Operasi

Pada pertengahan Disember, pertempuran merebak ke Wad Madani - ibu kota negeri Al Jazirah yang terletak kira-kira 136 kilometer dari tenggara Khartoum - sekurang-kurangnya 630,000 orang terpaksa melarikan diri dari Al Jazirah menuju bahagian lain di Sudan menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi - yang mana kebanyakan daripada mereka sudah sedia kehilangan tempat tinggal. Pada penghujung bulan sama, Doctors Without Borders memindahkan semua kakitangan dari Wad Madani berikutan serangan daripada kumpulan paramilitari Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di bandar itu, yang sehingga itu dikawal Angkatan Tentera Sudan (SAF) pimpinan Kerajaan. .

Menjelang 13 Januari, Doctors Without Borders berupaya menghantar satu pasukan kembali ke Wad Madani, yang masih menempatkan beberapa ratus ribu orang yang mana pernah menjadi salah satu bandar paling ramai penduduk di Sudan.

Sejak itu, Doctors Without Borders telah menyokong bilik kecemasan, dewan bedah, materniti, jabatan pesakit dalam - termasuk pediatrik, pusat pemakanan terapeutik, dan wad dewasa serta pembedahan - dan juga farmasi di Hospital Pengajaran Madani. Kami juga menyediakan sokongan kesihatan mental dan penjagaan untuk keganasan seksual. Selain itu, Doctors Without Borders turut menyediakan latihan, insentif gaji kepada 240 kakitangan Kementerian Kesihatan (MoH), dan makanan untuk pesakit

A Doctors Without Borders staff member speaks with a patient in Fadasi Camp in Wad Madani. Sudan, December 2023. © Fais Abubakr

Kakitangan Doctors Without Borders berbicara dengan seorang pesakit di Kem Fadasi di Wad Madani. Sudan, Disember 2023. © Fais Abubakr

Antara pertengahan Januari dan akhir April, Doctors Without Borders menyediakan hampir 10,000 konsultasi pesakit luar - malaria adalah penyakit paling biasa dirawat - 2,142 konsultasi antenatal, dan penjagaan kepada 16 mangsa yang terselamat daripada keganasan seksual. Dalam tempoh ini, kemasukan pesakit ke bilik kecemasan berterusan, membabitkan keseluruhan 2,981 kemasukan. Sebilangan besar melibatkan kecederaan fizikal yang dialami dalam keganasan yang berterusan.

Doctors Without Borders kini telah menggantung semua sokongan kepada kemudahan berkenaan, dan kami memindahkan kakitangan kami ke kawasan lebih selamat di Sudan. Sepanjang tiga bulan lalu, pasukan kami bersama kakitangan MoH yang disokong berdepan banyak insiden keselamatan yang berulang sama ada dilakukan atau dibiarkan berlaku oleh RSF, termasuk rompakan hospital, kecurian kenderaan, serta kakitangan ditahan, sebahagian daripada pelbagai insiden dan tekanan lain yang berlaku. Sejak Januari, pihak berkuasa Sudan terus-menerus menafikan permit perjalanan untuk membawa kakitangan baharu serta bekalan perubatan dan logistik ke bandar itu.

Walaupun keperluan kemanusiaan dan perubatan di Wad Madani dan Al Jazirah sangat besar, kami tidak mempunyai pilihan lain selain menghentikan tugasan kami serta-merta dan meninggalkan kawasan itu. Sekatan pentadbiran yang disengajakan, ketidakamanan yang semakin meningkat, serta pelanggaran berterusan hospital sebagai ruang neutral menjadikannya mustahil untuk terus menyediakan perkhidmatan.
Mari Carmen Viñoles, Operations Manager

Doctors Without Borders bersedia kembali untuk memberikan sokongan kepada Hospital Pengajaran Madani bagi menyokong orang ramai di Al Jazirah sekiranya pihak bertelagah komited untuk menghormati tugas perubatan kami dan memastikan akses selamat serta tidak terganggu ke kawasan itu. Doctors Without Borders menyeru RSF untuk berhenti melanggar kemudahan perubatan dan menjamin keselamatan kakitangan MoH serta Doctors Without Borders. Doctors Without Borders juga menyeru pihak berkuasa tentera dan awam yang diketuai Kerajaan Sudan untuk memberikan permit perjalanan diperlukan untuk kakitangan dan bekalan kami.

Doctors Without Borders kini bekerja dan menyokong di lebih 30 kemudahan kesihatan di sembilan negeri di Sudan: Khartoum, White dan Blue Nile, Al Gedaref, Darfur Barat, Darfur Utara, Selatan dan Tengah serta Laut Merah. Kami menjalankan program di kawasan dikawal SAF dan RSF. Pasukan kami menyediakan penjagaan trauma, penjagaan ibu dan kanak-kanak, dan merawat kekurangan zat makanan bersama perkhidmatan penjagaan kesihatan lain. Pasukan Doctors Without Borders juga menyokong pelarian dan orang Sudan yang kembali di Sudan Selatan serta timur Chad.