Ukraine: Doctors Without Borders memindahkan 150 pesakit akibat serangan berulang ke atas hospital di Kherson
Pada 20 dan 22 Oktober 2023, Doctors Without Borders memindahkan 150 pesakit dari wilayah Kherson selepas hospital dibedil. Pesakit dipindahkan ke kemudahan kesihatan lain di sekitar Ukraine menggunakan kereta api pemindahan perubatan Doctors Without Borders. Ukraine, 2023. © Verity Kowal/MSF
Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), memindahkan 150 pesakit dari sebuah hospital di Kherson, di selatan Ukraine, akibat bedilan yang berterusan. Ini kali kedua Doctors Without Borders terpaksa memindahkan pesakit dari hospital yang dalam tempoh setahun akibat serangan ke atas kemudahan itu.
Pada November 2022, Doctors Without Borders telah memindahkan 267 pesakit dari hospital berkenaan. Kini, disebabkan serangan yang meningkat di Kherson sejak beberapa minggu lalu, jabatan penjagaan kesihatan di wilayah Kherson meminta sokongan kami sekali lagi untuk memindahkan 150 pesakit awam berkeperluan tinggi dengan segera.Dr Albina Zharkova, penyelaras projek
Hospital mengalami gangguan bekalan kuasa akibat serangan itu, , bermakna ia kadangkala berfungsi tanpa bekalan elektrik. Selain itu, ramai pesakit tidak dapat bergerak disebabkan faktor usia dan keadaan kesihatan mereka. Ini menjadikan mereka sangat terdedah, kerana mereka tidak dapat dipindahkan ke tempat perlindungan tepat pada masanya apabila serangan ke atas hospital berlaku.
"Pesakit mempunyai pelbagai kondisi - ramai menghidap penyakit kronik, yang lain pula mengalami kecacatan teruk, ada yang terlantar," jelas Dr Zharkova. "Kami juga melihat peningkatan dalam bilangan keadaan psikiatri akibat tekanan hidup di kawasan yang sering berlaku pertempuran."
Ambulans Doctors Without Borders memindahkan pesakit dari hospital ke stesen kereta api, di mana pesakit kemudiannya dipindahkan menggunakan kereta api perubatan Doctors Without Borders. Dua perjalanan dilakukan untuk memindahkan sejumlah besar pesakit ke kemudahan kesihatan lain di kawasan lebih selamat di tengah dan barat Ukraine, dengan yang pertama pada Jumaat 20 Oktober dan yang kedua pada Ahad 22 Oktober.
Jururawat Doctors Without Borders, Halyna Milovus, memeriksa tekanan darah pesakit di atas keretapi perubatan Doctors Without Borders. Ukraine, 2023. © Verity Kowal/MSF
"Semasa pagi pemindahan dilakukan, tembakan hebat berlaku dan kami terpaksa menunggu dalam kubu sebelum dapat meneruskan pemindahan pesakit dari hospital ke kereta api," sambung Dr Zharkova. "Nasib baik, kami berjaya membawa semua pesakit ke kemudahan kesihatan lain dengan selamat di mana mereka boleh terus menerima penjagaan yang mereka perlukan."
Bagaimanapun, pemindahan pesakit ke kemudahan lain di seluruh Ukraine bermakna ramai pesakit kini akan berada jauh dari keluarga dan orang tersayang. Tiada siapa tahu sama ada mereka dapat kembali semula ke rumah masing-masing atau bila mereka akan dapat berbuat demikian.
"Ia sangat membebankan pesakit," kongsi Dr Zharkova. “Namun malangnya, tiada pilihan selain memindahkan mereka, kerana kita melihat hospital di Ukraine – terutamanya yang terletak berhampiran barisan hadapan, seperti wilayah Kherson, Donetsk dan Kharkiv – menjadi sasaran serangan senjata api yang agak kerap.”
Sejak 22 February 2022 ketika skala penuh peningkatan perang bermula, pentadbiran wilayah tempatan merekodkan kemusnahan 26 kemudahan penjagaan kesihatan di kawasan wilayah Kherson yang dirampas semula oleh Ukraine. Sebanyak 105 lagi kemudahan perubatan rosak. Secara keseluruhan, ia bersamaan 80 peratus daripada semua kemudahan penjagaan kesihatan - termasuk hospital, klinik perubatan, pusat paramedik dan perbidanan - sama ada rosak sepenuhnya atau sebahagiannya di rantau ini.
Bagaimanapun, bilangan kemudahan kesihatan serta institusi penjagaan yang musnah di Kherson berkemungkinan lebih tinggi, berikutan kekurangan akses ke kawasan yang masih diduduki tentera Russia menyebabkan situasi keseluruhan kemudahan penjagaan kesihatan di sana masih samar.
“Berkali-kali, Doctors Without Borders telah mengecam serangan ke atas hospital di Ukraine dan meminta perlindungan kemudahan kesihatan, pekerja penjagaan kesihatan serta pesakit,” kata Vincenzo Porpiglia, ketua misi Doctors Without Borders di Ukraine. “Namun serangan peluru berpandu dan tembakan ke atas hospital terus berlaku, tanpa menghiraukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Doctors Without Borders mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas hospital dan infrastruktur perubatan lain di Ukraine dan sekali lagi menyeru untuk perlindungan kemudahan kesihatan di tengah-tengah perang ini.