Mencari peranan paling berguna – tindak balas Doctors Without Borders di Ukraine dan sekitarnya
Doctors Without Borders mengendalikan kereta api rujukan perubatan pertamanya di atas kereta api dua gerabak yang diubah suai khusus. Pemindahan pesakit pertama berlaku antara Khamis 31 Mac dan Jumaat 01 April 2022. Ukraine, 31 Mac 2022. © MSF
"Jelas sekali sistem perubatan Ukraine sangat kuat dan keupayaannya untuk menghadapi cabaran itu mengagumkan," kata Dr Liu, yang melawat hospital Ukraine untuk membantu menilai keperluan mereka dan membincangkan bagaimana Doctors Without Borders boleh membantu. “Perkara terbaik yang boleh kami lakukan ialah mendengar dengan teliti dan memahami bidang khusus di mana sokongan kami boleh memberikan nilai tambah sebenar. Kami telah mengenal pasti beberapa bidang utama di mana sokongan kemanusiaan dan perubatan kami boleh memberi manfaat yang nyata, praktikal dan kadangkala secara langsung menyelamatkan nyawa.”
Bekalan perubatan kecemasan
Sejak awal, terdapat keperluan yang jelas untuk mendapatkan bekalan perubatan yang betul ke hospital yang tepat secepat mungkin. Ini bermula dengan panggilan penting diterima daripada kakitangan hospital berhampiran kawasan pertempuran dan pengeboman di barisan hadapan yang kebanyakannya memerlukan ubat dan bekalan untuk pembedahan, trauma dan rawatan luka. Akhir-akhir ini keperluan ini semakin bertambah termasuk ubat-ubatan untuk penyakit seperti asma, hipertensi, HIV, hipotiroidisme dan tuberkulosis.
Doctors Without Borders membuka gudang pengedaran utama di bandar barat Lviv dan seterusnya membuka gudang lain di lokasi berasingan di Ukraine.
Penghantaran pertama bekalan perubatan kecemasan @MSF kini akan dihantar ke #Ukraine. Penghantaran ini berlepas dari Brussels dengan 3 trak dan 120m3 kit perubatan, termasuk:
— MSF di Asia Tenggara (@MSF_seAsia) March 3, 2022
➡️kit pembedahan
➡️kit trauma
➡️ubat penyakit kronik
➡️bekalan mangsa besar-besaran pic.twitter.com/yypkX92gqD
Hingga kini, Doctors Without Borders telah membawa lebih daripada 225 tan metrik bekalan perubatan dan bantuan ke Ukraine, kebanyakannya dihantar ke hospital dan pusat kesihatan, atau ke Kementerian Kesihatan untuk pengangkutan seterusnya ke tempat di mana ia paling diperlukan. Memindahkan bekalan di sekitar negara yang sedang berperang bukanlah mudah, tetapi pasukan kami mendapati perkhidmatan keretapi Ukraine sangat tidak ternilai.
Kami juga membawa masuk lima kontena perkapalan diisi selimut bulu termal, beg tidur, pakaian hangat dan barangan kebersihan (seperti ubat gigi, berus gigi, sabun dan tuala) dan memberikannya kepada organisasi masyarakat sivil tempatan di Lviv untuk diedarkan kepada orang yang tiba di bandar dari tempat lain di Ukraine atau menuju ke sempadan negara. Kami kemudian mengagihkan keperluan bantuan di Kyiv, Kharkiv dan lokasi lain.
Kereta api rujukan perubatan ketiga Doctors Without Borders di Ukraine: ketibaan di Lviv pada 6 & 7 April – 40 pesakit dipindahkan menggunakan kereta api ke Kramatorsk. Satu pemindahan di Kyiv dan 39 lagi di Lviv. Ia menyusul selepas pemindahan hari sebelumnya membabitkan 17 pesakit dari Kramatorsk ke Dnipro. Ukraine, 7 April 2022. © Maurizio Debanne/MSF
Rujukan kereta api perubatan
Pada 1 April Doctors Without Borders menyempurnakan rujukan kereta api perubatan pertamanya, membawa sembilan pesakit yang cedera di Mariupol atau kawasan berhampiran dari hospital di Zaporizhzhia ke hospital di Lviv, membawa mereka menaiki kereta api dua gerabak yang dijadikan sebagai wad hospital asas, dengan sepasukan sembilan tenaga perubatan Doctors Without Borders berada di atasnya.
Tiga lagi rujukan oleh kereta api ini dating dari hospital berhampiran barisan hadapan pertempuran di wilayah Donetsk dan Luhansk. Seramai 114 pesakit dipindahkan secara perubatan setakat ini, bersama ahli keluarga mereka. Rujukan perubatan lanjut dengan kereta api dirancang memandangkan permintaan segera daripada hospital di timur terus meningkat, sementara kereta api yang lebih besar dan dilengkapi kemudahan perubatan lebih baik sedang dipersiapkan untuk digunakan.
Latihan babitkan mangsa besar-besaran dan penjagaan trauma
"Apabila hospital menerima ramai pesakit pada satu masa, kami memanggilnya sebagai situasi mangsa besar-besaran - apabila anda tidak mempunyai sumber mencukupi dan pesakit mempunyai terlalu banyak keperluan," kata Barbara Maccagno, Penyelaras Perubatan Kecemasan di Ukraine. “Salah satu cara paling berkesan untuk menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa adalah dengan mempunyai sistem untuk membantu anda menyaring dengan cepat pesakit paling teruk yang perlu dirawat segera, dan pesakit yang kurang teruk dan boleh menunggu lebih lama. Ia boleh dipelajari dengan mudah, tetapi ia perlu dipraktikkan, kerana ia berbeza daripada cara biasa kemasukan ke hospital."
Kami telah menjalankan latihan membabitkan mangsa besar-besaran ini di hospital di Berehove, Bila Tserkva, Dnipro, Kharkiv, Kyiv, Lviv, Mukachevo, Odesa, Orikhiv, Vinnytsia, Zaporizhzhia dan di Zhytomyr serta kawasan sekitarnya.
Sesetengah pasukan latihan Doctors Without Borders membawa bersama pakar bedah trauma perang yang berpengalaman untuk memberikan latihan praktikal tambahan dalam teknik pembedahan mengeluarkan peluru dan serpihan, selain pembersihan luka.
Situasi latihan untuk menguruskan kemasukan beramai-ramai mereka yang tercedera diberikan oleh Penasihat Doctors Without Borders untuk Perubatan Kecemasan dan doktor perubatan di sebuah hospital di Lviv. Lviv, Ukraine, 14 Mac 2022. © MSF/PETER BRAEUNIG
Keperluan yang kurang kelihatan
Sebelum perang bermula, kami merawat pesakit tuberkulosis di Zhytomyr; kami akan terus mencari jalan untuk menyokong mereka dalam rawatan, walaupun ia mencabar apabila orang ramai berpindah. Di Kyiv, Doctors Without Borders menyediakan talian hotline telefon untuk penghidap penyakit tidak berjangkit, yang boleh digunakan warga emas dan individu yang terdedah untuk menghantar ubat mereka di rumah. Di Kharkiv, kami mengadakan klinik bergerak untuk mereka yang berlindung di stesen metro, kebanyakannya mengalami tekanan dan trauma psikologi akibat perang.
Di Chernihiv, kami memberikan sumbangan bekalan perubatan yang banyak kepada salah sebuah hospital di bandar itu. Kami juga menubuhkan klinik bergerak di kampung jiran dan di bandar untuk bertindak balas terhadap keperluan kesihatan.
Pasukan kami juga mula memberikan sokongan kesihatan mental kepada mereka yang berjaya keluar dari kawasan pertempuran yang lebih aktif dan berkumpul di Kyiv, Vinnytsia dan Berehove atau dalam transit melalui Zaporizhzhia. Di Dnipro dan kawasan sekitarnya, kami menyediakan barangan bantuan penting untuk mereka yang berjaya melarikan diri dari Mariupol dan wilayah Donetsk.
Kawasan perang yang aktif
Keperluan terbesar sudah pasti di mana peperangan aktif yang tidak mampu didekati pasukan kami. Orang awam yang terperangkap di bandar yang dikepung memerlukan laluan selamat ke lokasi pilihan mereka.
Bekalan kemanusiaan mesti dibenarkan sampai ke kawasan di mana orang awam sangat memerlukan. Orang awam mesti dilindungi di bawah peraturan perang dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, di semua tempat dan pada setiap masa.
Sekitar sempadan Ukraine
Lebih empat juta pelarian melarikan diri dari Ukraine ke negara jiran, menurut UNHCR. Di kebanyakan negara ini, terdapat solidariti yang besar untuk mengalu-alukan dan memberikan bantuan kepada rakyat Ukraine, dan kami tidak berhasrat meniru aktiviti ini. Di negara bersempadan dengan Ukraine, pasukan kami membuka klinik yang menyediakan rawatan perubatan dan sokongan kesihatan mental di lintasan sempadan dan kadangkala di kedua-dua belah sempadan; kami menyumbang bekalan perubatan; dan kami menyokong kumpulan masyarakat sivil tempatan, contohnya dengan melatih mereka dalam pertolongan cemas psikologi.
Walaupun suatu yang mengharukan untuk menyaksikan solidariti ditunjukkan kepada pelarian Ukraine oleh ramai individu, kami menyedari dengan penuh kesedihan bahawa kerajaan di negara anggota EU terus mempamerkan pendekatan sangat menindas untuk menyediakan laluan selamat bagi pelarian dari negara lain yang tiba di Eropah.
Kami menggesa laluan selamat dan penerimaan yang bermaruah untuk diperluaskan kepada semua yang tiba di Eropah sebagai pendatang, pencari suaka atau pelarian, di mana sahaja mereka tiba dan dengan apa cara sekalipun.